Memaparkan catatan dengan label Perdana Menteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perdana Menteri. Papar semua catatan

21 Oktober 2009

Umno perlu diberi peluang lagi untuk benar-benar berubah?

AMALAN rasuah dan Umno memang sudah sinonim, melekat kuat, dan sukar untuk dicerai-tanggal. Bagaimanapun ada pihak melihat bahawa rasuah - kegiatan jenayah yang paling sukar dibuktikan itu - jugalah yang menyebabkan Umno berkembang dan sehingga kini masih berkuasa walaupun digugat hebat dalam pilihan raya Mac 2008.

Melalui rasuah, aktiviti Umno dapat digerakkan secara lebih aktif, terutama untuk 'menggula-gulakan' rakyat, di samping memastikan jentera propaganda parti berjalan licin!

Rasuah yang dimaksudkan bukan sekadar politik wang atau membeli undi semasa pemilihan kepimpinan Umno, seperti yang dihebohkan pemimpin parti berkenaan. Ia meliputi gerak kerja lebih meluas, khususnya dalam setiap kali kempen pilihan raya, tidak kira pilihan raya kecil atau pilihan raya umum.

Hal ini jarang, atau lebih tepat, tidak pernah dibangkitkan pemimpin dan ahli Umno. Yang sering didebatkan hanyalah politik wang semasa memilih barisan kepimpinan parti.

Dana politik

Sedangkan amalan rasuah semasa pilihan raya, seperti ditunjukkan di Bagan Pinang dan mana-mana jua pilihana raya sebelum ini, adalah lebih serius, kotor dan memberikan kesan cukup buruk kepada negara.

Kos projek meningkat berkali ganda bagi menampung "dana politik", malah kualiti diabaikan untuk menjimatkan perbelanjaan. Natijahnya, banyak bangunan runtuh di sana-sini!

Melalui perhimpunan agungnya baru-baru ini, perlembagaan Umno dipinda bagi membolehkan lebih ramai perwakilan akar umbi dapat menentukan barisan kepimpinan parti, kononnya dengan itu meminimumkan amalan rasuah yang sudahpun membarah.

Umno-BN yang hampir tumbang dan hilang kuasa dalam pilihan raya ke-12 seolah-olah nampak serik dan bersedia mengambil tindakan drastik bagi memulihkan semula keyakinan rakyat terhadapnya.

Memang kepada Umno, kuasa adalah segala-galanya. Tanpa bergayut dengan kuasa, Umno sudah lama rebah. Dr Mahathir Mohamad sering mengingatkan apa gunanya menjadi pemimpin kepada parti yang tidak berkuasa lagi.

Jatuhnya Umno di Selangor, Perak dan Kedah (juga Pulau Pinang) pada 8 Mac 2008 cukup memeritkan. Apa juga usaha, termasuk taktik jahat, direncanakan bagi merampas semula negeri-negeri berkenaan dari Pakatan Rakyat. Bertubi-tubi dilancarkan serangan.

Akhirnya Perak dapat direbut semula, Kedah pula digoncang hebat dan Selangor tidak henti-henti digugat. Siapa percaya tiga Adun Pakatan di Perak dan seorang di Kedah mengkhianati perjuangan tanpa sebarang sogokan atau rasuah?

Aneh,parti yang cakap berdegar-degar mahu membanteras rasuah secara sedar dan proaktif membelit dan menyelimuti diri mereka dengan korupsi dan salahguna kuasa.

Ajar cukup-cukup

Umno sebenarnya belum "diajar cukup-cukup" sehingga lumpuh tempat pergantungan dengan sumberkuasa dan punca ekonomi. Pada pilihan raya 1999, Umno mendapat tamparan cukup dahsyat. Pengundi Melayu secara terbuka mempamerkan aksi protes, didahului siri demonstrasi disekitar Kuala Lumpur.

Namun, Umno masih berkuku di luar Kelantan dan Terengganu serta terus ghairah membolot khazanah kekayaan negara. Pelbagai langkah perubahan dilakukan.

Bagaimanapun, apabila menang besar pada 2004, belang Umno muncul kembali, malah ia menjadi lebih angkuh, sombong dan lupa diri.

Tsunami politik Mac 2008 memang memedihkan Umno-BN. Lima negeri hilang, antaranya negeri paling maju. Majoriti dua pertiga di Parlimen dinafikan. Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi terpaksa berundur awal. Perubahan menjadi istilah popular di zaman Najib. Akta-akta menekan dan mengongkong seperti ISA pun khabarnya mahu dipinda.

Umno berhasrat untuk dilihat dekat dengan nurani dan degup jantung rakyat. Semuanya - hanya dengan satu tujuan - untuk mengembalikan sokongan yang telah hilang.

Berdepan masyarakat bukan Melayu, Umno bagai tidak percaya lagi dengan MIC dan MCA, ia mahu berbicara langsung dengan mereka, tanpa melalui parti-parti komponen itu.

Di Bagan Pinang Umno mendapat suntikan semangat baru. Walaupun ia hanya mempertahankan kerusi tradisi - bukan merampas kubu lawan, seperti dilakukan PAS di Kuala Terengganu - namun sudah cukup untuknya berpesta.

Najib Razak sendiri akui kemenangan Isa Samad itu menceriakan suasana perhimpunan Umno dan memudahkan pindaan perlembagaan diluluskan. Mungkin bagi Najib, pengundi masih boleh dikelirukan dengan satu dua azimat palsu.

Perasuah disanjung

Ironinya, ketika Umno mahu memerangi rasuah, tiba-tiba sang perasuah pula disanjung sebagai hero. "Hipokrasi Umno untuk banteras rasuah terdedah. Segala yang dibuat hanya untuk mengelabui rakyat sedangkan perangai Umno tetap macam dulu," kata seorang pemerhati politik.

"Selagi Umno tidak ditumpaskan sepenuhnya, dan merempat sebagai pembangkang di seluruh negara,maka ia tidak akan berubah, percayalah. Usah disambung hayatnya sebagai parti pemerintah jika kita mahu melihat Umno benar-benar berubah!" tambahnya.

Tentunya kepada rakyat, jika Pakatan dan BN berlumba-lumba menjaga kepentingan dan kebajikan mereka, ia menguntungkan semua. Soalnya, untuk kali ke berapa peluang harus diberikan buat Umno-BN?

Ruang 2004-2008 dibazirkan begitu sahaja; tiada perubahan yang menguntungkan rakyat dilaksanakan selain penciptaan slogan demi slogan. Kini Umno merayu kembali agar ia tidak direntap dari puncak kuasa, dengan turut menjanjikan deretan perubahan.

Pengundi pastinya lebih matang menilai. Sambil mengharapkan Pakatan mengotakan janji dan menambah-baik sistem penyampaian di empat negeri, rakyat mahu melihat segala teguran yang disampaikan, misalnya melalui keputusan Bagan Pinang, dipandang berat.

Jangan mengulangi tabiat buruk Umno-BN yang sentiasa dalam keadaan "menafikan". Seperti BN, Pakatan juga dinilai dari dekat dengan kacamata kritikal. Bukankah selama ini yang membentuk dan menyemai sikap kritis rakyat adalah Pakatan sendiri? Pedang yang menusuk musuh, ia juga boleh menikam diri sendiri.

10 September 2009

Elak persepsi salah pada tindakan yang betul

RAMADAN makin menipis. Hanya tinggal berbaki 10 hari. Bagaimanapun, inilah peluang yang ditunggu-tunggu. Di dalamnya ada malam agung yang paling istimewa; beribadat pada malam itu lebih baik daripada 1,000 bulan atau 83 tahun, satu tempoh melebihi usia kebanyakan manusia zaman ini.

Berusahalah kita mencari malam penuh keberkatan itu. Ya, masih belum terlewat ...

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusan akhir Ramadan kepada akhbar Harakah mengingatkan: "Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak. Rasulullah pada 10 hari terakhir Ramadan iktikaf di masjid.

"Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak, setiap kali masuk masjid hendak sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf. Bila niat iktikaf kita merasakan diri kita dikurung di hadapan Allah Taala. ... saya nasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al Quran yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, pejabat dan rumah."

Melalui tabung HARAKAHDAILY DOT COM (AKAUN MAYBANK 564070000336) yang kami lancarkan sejak dua tahun lalu, khususnya bagi membantu keluarga mangsa tahanan ISA dan mereka yang memerlukan, Alhamdulillah, setiap Ramadan, derma datang mencurah-curah. Segalanya akan kami manfaat dan salurkan kepada sasaran yang telah dikenal pasti.

Insya-Allah, minggu depan, saya sendiri akan turun ke Sabah mengagihkan sumbangan berkenaan. Meskipun kebanyakan tahanan sudah dibebaskan, namun berdepan realiti baru, kami rasakan mereka masih perlu dibantu. Justeru, terima kasih atas segala sokongan kepada tabung berkenaan.

Sesungguhnya, terbukti majoriti masyarakat kita cukup prihatin dengan kesengsaraan dan penderitaan orang lain khususnya di bulan puasa ini.

II.

Umno memang tidak boleh kalah di Bagan Pinang. Secara tradisinya itu kubu kuat Umno. Pakatan Rakyat mungkin boleh dibiarkan menang pada semua enam pilihan raya kecil di kerusi yang penyandangnya PAS atau KeADILan.

Tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pun agaknya tidaklah sangat memedihkan. Tetapi jika Umno terlungkup di Bagan Pinang nanti, parti itu dilihat terkepung dan dijangka lemas perlahan-lahan.

Di pihak Pakatan pula, usah tertipu dengan kemenangan 7-0 sebelum ini. Medan baru di Telok Kemang pasti berbeza. Momentum Pengkalan Pasir boleh terbenam sebelum menyeberang sempadan Negeri Sembilan.

Najib Razak dan Muhyiddin Yassin pastinya sedang ligat mencari formula mempertahankan kemenangan 2008.

Undi pos yang begitu banyak itu tentu dapat membantu BN, tetapi ia bukan bekalan yang 100 peratus selamat buat parti yang makin mereput itu.

Di pihak Pakatan, lebih 5,000 undi pos itu mesti dijadikan isu besar. Jerit dan pekik sekuatnya, biar dunia berhenti sekejap untuk meneliti undi pos.

Selain itu, walaupun komposisi pengundi campuran nampak menyebelahi Pakatan, namun dalam politiknya segalanya bisa berlaku. Lena dalam zon selesa hanya mengundang padah.

Cabaran Najib dalam mengemudi BN nyata kian dahsyat.

Di permukaan, Umno nampak tidak bergolak tetapi kes di Terengganu membuktikan air tenang jangan disangka tiada buaya. Bukan saja pengerusi perhubungan Umno negeri, yang juga Menteri Dalam Negeri, tidak dihormati pemimpin Umno bahagian, malah TPM Muhyiddin Yassin turut ditolak.

Ini belum diambil kira pergolakan dalam MCA yang tambah meruncing dan memalukan. Bagai ikan, ia membusuk bermula dari kepala.

MIC pula seperti retak menunggu belah. Presiden Samy Vellu masih mahu berkuku walaupun tentangan dari bawah makin menyeluruh.

Gerakan pimpinan Koh Tsu Koon mungkin agak stabil tetapi selagi peluangnya untuk merebut Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng belum berhasil, parti itu juga terdedah kepada krisis dalaman.

Apakah BN hanya mengharapkan 'simpanan tetap' di Sabah dan Sarawak untuk kekal memerintah Pusat dan negeri-negeri tertentu? Najib tentu mengetahui, darjah kesetiaan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak bukan boleh diharapkan sangat terutama bila nampak kecenderungan rakyat memihak lawan.

Tidak mustahil Najib sedang mengintai tarikh sesuai untuk pilihan raya umum ke-13. Syaratnya, ekonomi tambah baik dan BN tidak kalah di Bagan Pinang!

III.

Isu pemindahan kuil di Shah Alam hanya menyerlahkan Umno ghairah memarakkan api perkauman. Sedih dan memalukan melihat rakaman orang Melayu bersikap kurang ajar dan biadap dalam majlis dialog dengan Menteri Besar Selangor dan wakil rakyat Pakatan.

Biarpun profil pengundi dan penduduk Shah Alam sepatutnya lebih berpendidikan, matang dan terdedah dengan simpang-siur maklumat, namun ada kalanya sentimen dan emosi boleh membakar-hangus segala rasional.

Kesediaan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk turun berdialog wajar dipuji dan harus menjadi tradisi kerajaan Pakatan walaupun berdepan risiko dicemuh dan dimaki.

Membicarakan soal majoriti dan minoriti dalam isu pembinaan rumah ibadat harus dilihat dalam konteks lebih meluas. Rujuklah khazanah sejarah Islam. Bersedialah untuk menawarkan keadilan, termasuk kepada bukan Islam, meskipun mungkin pahit untuk ditelan.

Pakatan Rakyat mesti konsisten dengan prinsip luhur yang dipegang bersama dan biarkan sahaja Umno tenggelam dalam lautan perkaumannya yang tidak bertepi itu.

Apa pun, cermat dan berhati-hati ... langkah politik tetap ada seninya terutama bagi mengelak persepsi yang salah terhadap tindakan yang betul.

07 September 2009

Umno kian terbelit dengan lingkaran sentimen perkauman

LOGIKNYA, apabila kita diberi petunjuk jelas tentang kehadiran Lailatulqadr - malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan - pada malam-malam ganjil di hari-hari sepuluh terakhir Ramadan, tentu tiada siapa yang akan meremehkannya.

Ya, apa sukarnya untuk menghidupkan malam dengan melakukan ibadah sepenuhnya hanya pada beberapa malam tertentu itu, tetapi ganjarannya cukup luar biasa?

Namun realitinya, insan begitu mudah alpa dan leka, tawaran sehebat mana pun, jika tidak didahului dengan jiwa tauhid yang mantap dan latihan yang konsisten, maka pada saban tahun, segalanya akan berlalu begitu sahaja.

Saya cuba mengingatkan diri yang kerdil ini - berkali-kali - bahawa kita masih belum terlambat untuk merebut tawaran Ilahi itu. Ramadan, bulan di mana nafas orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada wangi kasturi. Bulan di mana setiap malamnya Allah akan membebaskan seratus ribu orang yang sebelumnya diwajibkan ke atas mereka neraka.

Justeru, penuhkanlah malam dan siangnya dengan al-Quran, istighfar, zikir, taubat, sedekah, solat sunat dan beribadah dengan khusyuk. Sucikanlah hati, mohonlah keampunan seikhlasnya, cantas segala keinginan syahwat, moga-moga Allah menerima amalan kita yang sedikit ini.

II.

Hari Jumaat bulan Ramadan adalah hari baik di bulan yang baik. Tapi pada hari itulah juga sekumpulan penduduk di Shah Alam mengarak kepala seekor lembu sambil melaungkan slogan provokatif dan mempamerkan ungkapan menghina.

Mereka membantah proses pemindahan kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 21. Rupanya Ramadan 'tidak cukup' untuk melatih mereka agar bersifat sabar, menundukkan nafsu amarah dan melihat isu kontroversi itu dari gambaran lebih menyeluruh serta terpisah dari sentimen perkauman sempit yang ternyata cuba diapi-apikan pihak tertentu.

Lebih berbahaya apabila tindakan mengusung kepala lembu yang masih berdarah itu boleh ditafsirkan dari sudut penghinaan kepada amalan agama tertentu. Sebenarnya tidak sukar untuk menelah siapa dalang di belakang peristiwa yang sarat dengan agenda politik itu.

Malah jika diteliti perancangan Umno - dengan restu Presidennya, Najib Razak sendiri - untuk merampas kerajaan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun, banyak pihak bimbang jika sentimen keagamaan dieksploit semahu mungkin untuk menjayakan misi berkenaan. Umno di negeri termaju itu kian kelemasan selepas bertaraf pembangkang.

Umno sebenarnya dalam keadaan terhimpit. Malah pemimpin dan para strategisnya juga keliru untuk mencari jalan keluar. Selama ini Umno merasakan ia berjaya melalui propaganda perkaumannya, seperti selalu dikumandangkan dalam program-program anjuran BTN. Zaman sudah berubah. Senjata perkauman menikam dirinya sendiri.

Tetapi Umno ternyata begitu sukar untuk mengambil iktibar dan belajar dari sejarah kegagalannya dalam pilihan raya umum 2008. Bekalan intelektual dan kematangan fikiran pimpinannya boleh dipersoalkan.

Dalam keadaan pengundi Cina dan India semakin menjauhi BN terutama selepas kes kematian Teoh Beng Hock dan perarakan kepala lembu, ditambah jika 'permainan perkauman' Umno kali ini membelit dirinya, riwayat Umno-BN sebagai parti pemerintah dijangka berakhir dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun, seperti yang selalu saya tekankan juga, pengundi Melayu harus seberapa segera disedarkan daripada terus dibuai keyakinan palsu terhadap Umno. Jelas terdapat kempen besar-besaran mahu meniupkan sentimen perkauman Melayu melalui beberapa isu di Selangor.

Pendedahan maklumat dan pengedaran berita yang lebih cepat dan tepat melalui media baru diharap dapat membantu menjernihkan tanggapan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat.

III.

Memang ia satu kejutan dan hadiah hari merdeka yang tidak sepatutnya. Kenaikan harga minyak biar sekecil mana pun pasti mempunyai kesan berantai yang cukup negatif kepada pengguna. Apatah lagi ia diumumkan menjelang hari perayaan dalam suasana kelembapan ekonomi yang masih ketara.

Sekali lagi, apakah Najib tidak mengambil iktibar daripada eksperimen buruk Abdullah Ahmad Badawi dahulu? Rakyat yang cukup perit dengan bebanan kenaikan kos sara hidup mengajar Abdullah melalui peti undi.

Keuntungan besar Petronas ternyata tidak dimanfaatkan untuk meningkatkan keperluan asas. Banyak projek (lihat saja di Terengganu) hanya untuk mengisi tembolok para kroni dan membawa masalah selepas disiapkan.

Semasa rakyat masih termangu-mangu dengan skandal PKFZ berbelas bilion ringgit, istana bekas menteri bernilai puluhan juta, projek membazir yang menghanguskan dana awam, tiba-tiba mereka hendak dibebankan lagi.

Saya menjangkakan rentetan slogan muluk Najib boleh menjerat lehernya sendiri, mengulangi mimpi ngeri Abdullah. Kini, rakyat berhak bertanya, siapa yang didahulukan dan siapa pula yang diutamakan?

13 April 2009

Najib Tiada Pilihan Selain Segerakan Pembaharuan

Di Semenanjung, Pakatan Rakyat - yang dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 - telah memenangi semua kerusi dalam empat pilihan raya kecil yang diadakan, bermula di Permatang Pauh, kemudiannya di Kuala Terengganu dan terakhir di Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Maknanya, Pakatan Rakyat belum pernah tewas dalam semua pilihan raya yang disertainya, kecuali di Batang Ai, Sarawak. Dan ini satu kejayaan gemilang yang menjanjikan gelombang perubahan cukup besar dalam pilihan raya umum akan datang.


Perjalanan kempen sehingga hari mengundi 7 April lalu juga membuktikan bahawa usaha memperjuangkan sistem pilihan raya yang bersih, adil dan bebas perlu digiatkan lagi. SPR masih dikongkong dan menurut telunjuk serta kemahuan Umno-BN. Tarikh pilihan raya dan hari penamaan calon juga menunjukkan ia dipengaruhi kepentingan Umno.

Era pemerintahan Dato' Seri Najib Razak - mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri empat hari sebelum pilihan raya - yang mahu dilihat lebih terbuka, tidak lebih daripada gimik politik semata-mata. Media massa, khususnya RTM dan TV3, diperalatkan semahunya untuk kempen BN, sekali gus memburukkan Pakatan Rakyat, termasuk Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pihak polis masih menjadi 'perkakas' untuk menekan seteru politik BN. Janji pembangunan 'mi segera' tetap menjadi umpan walaupun sudah tidak berkesan lagi.

Bersih, gabungan pelbagai parti politik dan NGO yang memperjuangkan pilihan raya bersih dan telus harus diaktifkan kembali. Banyak tuntutannya yang belum dipenuhi. Usah terleka dengan pola pengundian masa kini yang memihak Pakatan Rakyat. Umno-BN yang menerajui kerajaan pusat akan mengeksploitasi apa jua demi mempertahankan sisa-sisa kuasa mereka.Sehubungan dengan itu, demokrasi di Malaysia mesti bertambah matang dan tahan uji. Bagaimanapun, ia tidak datang menggolek jika tidak didesak secara sistematik dan berterusan.

Persepakatan parti-parti Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau juga cukup mengkagumkan. Biarpun terpaksa mengagihkan sumber yang terhad untuk dua pilihan raya yang dijalankan serentak, tidak termasuk Batang Ai, masing-masing berganding bahu memerah keringat turun ke lapangan berkempen.

"Saya kagum dengan ramai pimpinan DAP yang aktif berkempen, siang dan malam, seolah-olah mereka yang bertanding di Bukit Gantang," kata seorang pemimpin kanan PAS.

"Walaupun akhbar Cina memberi ruang agak saksama kepada semua pihak yang bertanding, DAP tetap agresif berceramah dan berkempen dari rumah ke rumah. Pada hari mengundi, saya lihat mereka gigih bekerja sampai tempoh mengundi tamat. Memang berbaloi majoriti undi Cina memihak calon kita," tambahnya.

Dengan kemenangan besar Dato' Seri Nizar Jamaluddin itu, gesaan agar Dun Perak dibubarkan - bagi mendapatkan semula mandat rakyat - pastinya bertambah kuat. Kemelut berpanjangan ini tidak akan dapat diselesaikan di mahkamah. Pemimpin BN, termasuk Dato' Zambry Abdul Kadir sendiri mengakui, dalam sidang akhbar bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa antara faktor kekalahan BN di Bukit Gantang adalah penolakan pengundi terhadap cara kerajaan Pakatan Rakyat Perak ditumbangkan.

Rakyat juga menolak pendekatan politik lama BN, yang memainkan sentimen perkauman, berdasarkan audien yang berbeza-beza. Nizar sepanjang kempen ditohmah sebagai penderhaka, boneka Cina, sanggup serah tanah Melayu kepada orang asing, dan pelbagai label negatif lainnya. Kematangan pengundi teruji walaupun disedari PAS sepatutnya sokongan lebih besar daripada masyarakat Melayu. Harus dibedah-siasat kelemahan jentera kempen sehingga masih ramai pengundi Melayu yang terus terkeliru dengan dakyah jahat Umno-BN.

II.

Selepas gimik politik Najib, dengan menarik balik penggantungan Harakah dan Suara Keadilan, gagal pada hari pertama beliau menjadi Perdana Menteri, maka usahanya untuk membawa pembaharuan melalui pembentukan Kabinet juga tidak disambut baik.

"Kabinet baru ini langsung tidak impresif ... ya, langsung tidak menarik. Muka-muka baru yang entah dari mana, nak dikatakan profesional pun bukan, mahu disebut mewakili parti pun tidak," ujar seorang profesor sains politik.

"Ada yang tidak bertanding dalam Umno terpilih lagi, begitu juga yang kalah, tapi ada tokoh yang menang besar terpelanting. Kata mahu kuatkan parti dalam kerajaan, apakah Umno sudah tiada ahli-ahli Parlimennya yang berwibawa? Melihat kabinetnya, seolah-olah Najib enggan menerima suara rakyat apabila melantik mereka yang kalah dalam pilihan raya, dan tidak bersedia mengiktiraf dokongan parti kerana memilih mereka tewas dalam pemilihan Umno," tegasnya lagi.

"Bagi saya, Umno sudah masuk dalam zaman kepupusan kerana sudah tidak ada lagi pemimpin yang hebat di dalamnya. Malah kita tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan BN sendiri akan runtuh," tambah profesor yang enggan disebut namanya.

"Jika trend sekarang berterusan, iaitu hanya Sabah dan Sawarak sahaja dapat menerima BN dengan baik, tidak mustahil satu hari nanti, ibu kota Malaysia akan berpindah ke sana pula," katanya sambil ketawa.

Ditanya pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri ke-6, beliau berkata, "Najib belum berani untuk menjadi dirinya sendiri, dan dia bermain politik demi menjaga hati Dr Mahathir."

Bagaimanapun pensyarah muda ini sempat merakamkan tahniah kepada Dato' Seri Hishammuddin Hussein, sepupu Najib: "Selaku Menteri Dalam Negeri, tumpuan kini difokuskan kepadanya. KDN harus menjadi kementerian pertama yang melakukan perubahan. Rakyat mahu melihat isu-isu kritikal diselesaikan segera seperti ISA, kebebasan media, dan keganasan polis. Hishammuddin tidak perlu menabur janji, rakyat mahu lihat tindakan konkritnya."

Beliau juga menaruh harapan tinggi kepada Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin: "Selaku Menteri Pelajaran, Muhyiddin harus segerakan penyelesaian isu PPSMI, juga tentang kos pendidikan yang kian terbeban, termasuk yuran sekolah yang cakap lain, buatnya lain." Tidak terkecuali kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Mustapa Mohamed: "Bawa sebanyak mungkin pelabur asing ke Malaysia, atasi masalah kegawatan ekonomi terutama dari segi peluang pekerjaan."

III.

Pada hari semua akhbar melaporkan kemenangan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, saya tertarik dengan berita kaki Utusan Malaysia, Hapuskan Akta Mesin Cetak - Syed Hamid. Menurut Mentari Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 boleh dimansuhkan bagi membolehkan syarikat-syarikat penerbitan bergerak lebih bebas sejajar dengan tuntutan rakyat masa ini. Akta itu disifatkan tidak relevan lagi, termasuk Akta Kediaman Terhad 1953. "Rakyat tidak suka akta itu, syarikat media pun tidak suka akta itu," kata Syed Hamid pada sidang akhbar khas di kediamannya, 7 April.

Saya kira cadangan Syed Hamid itu harus disegerakan perlaksanaannya. Akta Mesin Cetak memang perlu dimansuhkan terus. Di dalamnya banyak peraturan "karut-marut", khususnya yang dikenakan terhadap Harakah, selain kuasa mutlak menteri untuk menolak permohonan, menggantung dan mengharamkan permit penerbitan.

Mungkin idea Syed Hamid ini mahu menebus "dosanya" menggantung penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan, yang mana 11 hari kemudiannya ditarik balik Najib. Selamat bersara Syed Hamid, bersama-sama Abdullah Ahmad Badawi!