29 April 2009

Mengapa tidak ikhlas bayar cukai pendapatan?

30 April, Khamis adalah hari terakhir menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan 2008 dan membayar sejumlah wang selepas pengiraan tertentu kepada negara. Melalui media, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri memberi penerangan secukupnya, termasuk iklan TV, tentang keperluan setiap warganegara yang layak membayar cukai pendapatan untuk berbuat demikian tepat pada masanya.

Saya sendiri pernah didenda ekoran tidak prihatin untuk mengisi borang taksiran kerana merasakan belum layak membayar cukai. Sehubungan itu, banyak juga wang yang terpaksa dilunasi, walaupun dibenarkan secara berjadual, hanya kerana kecuaian menyerahkan borang taksiran. Walaupun diuar-uarkan wang pembayar cukai merupakan antara hasil terbesar pendapatan negara, dan akan dibelanjakan untuk pembangunan bagi kesejahteraan semua, namun realitinya, hasil titik peluh rakyat itu gagal diuruskan dengan berhemat dan beramanah.

Bayangkan, bagaimana sakit hatinya pembayar cukai - yang sebahagiannya terpaksa mengikat perut untuk menjelaskan tepat pada masanya - apabila melihat atau mengetahui dana awam dibazirkan untuk tujuan-tujuan tidak berfaedah, malah lebih teruk lagi seolah-olah diagihkan sesama kroni bagaikan sekumpulan penyamun membahagikan wang rompakan.

Rasuah, makan suap, tumbuk rusuk dan apa jua istilah yang semaksud dengannya seperti tidak dapat disekat lagi walaupun BPR sudah bertukar menjadi SPRM, perdana menteri beralih tangan sambil menjanjikan usaha memerangi salahguna kuasa akan dipergiatkan sampai ke lubang cacing.

Mungkin sebab itu, bertambah ramai masyarakat kelas menengah, yang tentunya terdiri daripada pembayar cukai, tidak dapat lagi menyembunyikan rasa amarah terhadap pemerintah apabila wang poket mereka bagai dirompak di tengah jalan pada siang hari. Jalan mudah bertindak, seperti pernah dinasihati Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, adalah dengan menggunakan peti undi semasa hari pilihan raya.

Sepanjang 20 tahun menjadi wartawan, saya melihat sendiri dana awam disalahgunakan secara sewenang-wenangnya, dengan jumlah yang cukup besar. Melalui prosedur yang sah, wang pembayar cukai yang dicurahkan kepada projek-projek pembangunan 'dihanguskan' tanpa segan silu.

Nilai projek, misalnya membekal dan memasang paip air di Selangor, yang sepatutnya tidak melebihi RM40 juta, dengan mudah ditingkatkan kosnya menghampiri RM100 juta. Kos jalan merentasi sawah di Tanjong Karang - yang tidak diketahui mengapa ia perlu dibina, dan diberikan kepada kontraktor yang disenarai-hitamkan - bernilai lebih RM93 juta sedangkan taksiran sebenar sepatutnya tidak melebihi RM50 juta pun.

Begitu juga dengan projek mengecat dan mengindahkan sebuah sekolah, yang subkontraktornya hanya diperuntukan RM120,000 tetapi nilai sebenar melebihi RM200,000. Saya tidak bercakap tentang sebuah sekolah tetapi ia melibatkan ratusan sekolah di seluruh negara. Projek membina sebuah istana, kos awalnya melebihi RM1,100 juta tetapi selepas didedahkan oleh Harakah, boleh pula diturunkan kepada sekitar RM600 juta.

Kita juga belum lupa Laporan Ketua Audit Negara 2006, antara lain mendedahkan bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital (Kodak, DC4800, 3.1 Megapixel) melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik (3 saiz 8 inci, 6 inci dan 4 inci) RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater (jenis PVC) RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

Belum lagi diambil kira kos membina enam kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia, ketika Dato' Seri Najib Menteri Pertahanan yang pada awalnya bernilai RM5.35 bilion, ditambah kepada RM6.75 bilion tanpa sebarang justifikasi. Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan RM943.46 juta kepada kontraktor disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan. Kontraktor yang dipilih juga didapati tidak layak!

Rasanya tidak perlu kita dibebankan dengan lebih banyak fakta. Ia sudah cukup untuk membuktikan wang pembayar cukai tidak diuruskan dengan cermat, sebaliknya dieksploit untuk memperkayakan diri dan suku-sakat. Hatta wang yang diguna untuk kemudahan awam seperti sekolah, hospital, jalan raya juga dibazirkan dengan cara yang langsung tidak bertanggungjawab. Justeru, bila tiba waktu membayar cukai, ia terpaksa dilunasi dengan begitu berat hati.

Oleh itu, saya sentiasa menekankan agar media kita bebas untuk melaporkan segala kepincangan kerajaan terutama dalam menguruskan dana awam. Agensi pencegah rasuah mestidiperkasa dan bergerak independen tanpa kongkongan pemerintah, khususnya Perdana Menteri. Undang-undang antikorupsi harus mampu mencegah amalan rasuah yang kini semakin sofistikated. Penubuhan Ombudsman yang menyiasat pengaduan awam harus disegerakan.

Ketua Audit Negara pula mesti dilengkapkan dengan kemudahan yang mencukupi dan sumber kewangan bebas agar ia tidak menjadi seperti "pencuri memilih anjing penjaga". Jawatan itu mesti disandang oleh tokoh berintegriti tinggi dan bertanggungjawab dengan Parlimen. Selain itu, pendedahan harus disusuli tindakan perlu termasuk membawa ke muka pengadilan. Barulah nanti rakyat ikhlas membayar cukai ...

Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia: Permit akhbar tak diperlukan lagi

Oleh IRWAN MUHAMMAD ZAIN

Penulis blog tersohor, Ahirudin Attan mendesak agar kerajaan memansuhkan penggunaan permit akhbar bagi membuktikan wujudnya kebebasan media di negara ini.

Ahirudin yang mesra dikenal dengan nama Rockybru menegaskan kerajaan Malaysia tidak perlu takut untuk memansuhkan penggunaan permit kerana semua negara demokrasi lain tidak mengenakan syarat sedemikian kepada mana-mana individu atau parti yang mahu menerbitkan akhbar.

"Jika Dato' Seri Najib Tun Razak serius mahu melaksanakan ketelusan dalam pentadbiran beliau seharusnya penggunaan permit akhbar dihapuskan.

"Kebebasan harus diberikan kepada mana-mana individu atau parti untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri," tegas beliau ketika dihubungi Harakah.

Syarat permit yang dikenakan terhadap mana-mana individu atau parti yang mahu menerbitkan akhbar dianggap sebagai ketinggalan zaman.

Rocky menegaskan jika permit dihapuskan kerajaan pimpinan Najib akan dilihat lebih bersifat toleransi berbanding Perdana Menteri sebelumnya.

Setakat ini, tegas beliau, pentadbiran Najib dilihat lebih memberikan ruang untuk semua rakyat merayakan kebebasan media.

"Ada harapan untuk kita melihat keterbukaan yang mungkin tak pernah dilakukan dibawah pentadbiran Najib," tegas beliau.

Jika penghapusan permit ini dilaksanakan tegas Rocky, akhbar organ parti seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket tidak lagi menghadapi ancaman dirampas atau ditarik balik permit.

Beliau turut menegaskan tindakan merampas akhbar, mengantung atau menarik balik permit tidak lagi sesuai dilakukan di zaman serba canggih ini.

Mengenai sambutan Hari Kebebasan Media, Rocky menjelaskan pihak National Press Club dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan dan All Blog merancang untuk mengadakan sambutan bersama secara besar-besaran.

Perbincangan untuk mengadakan sambutan tersebut masih lagi dibincangkan dan tarikhnya akan diumumkan kelak.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, walaupun turut mengharapkan kebebasan akhbar di negara ini segera dipulihkan di bawah pemerintahan Najib, namun beliau kurang yakin ia akan menjadi realiti jika rakyat tidak bersungguh-sungguh memperjuangkannya.

"Lebih penting semua warga media, khususnya wartawan, tidak kira dari akhbar alternatif mahupun akhbar arus perdana, harus bersama-sama memperjuangkan kebebasan akhbar di Malaysia. Jika kita tidak bersatu menuntut hak, saya yakin kerajaan hanya pandang sebelah mata isu sepenting ini," katanya, yang juga jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), sebuah NGO yang pernah aktif mempromosikan isu kebebasan akhbar.

Lutfi yang berpengalaman luas berdepan dengan sekatan KDN kecewa dengan sikap Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, yang langsung tidak memberi reaksi positif kepada cadangan bernas menteri terdahulu, Dato' Seri Syed Hamid Albar yang mahu kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, beberapa hari sebelum beliau tidak dipilih menganggotai Kabinet.

Beliau mendedahkan, walaupun penggantungan Harakah ditarik balik oleh Najib, namun di pasaran terbuka, akhbar alternatif no. 1 itu tetap menerima tekanan. "Saya dimaklumkan Harakah masih dirampas di beberapa lokasi tertentu, malah dalam beberapa kes ada pihak polis yang merampas akhbar kami tanpa mengikut prosedur, mereka langsung tidak menyerahkan borang rampasan," ujarnya.

Beberapa majalah dan akhbar yang diusahakan Lutfi pernah diharamkan KDN, antaranya Detik, Wasilah dan Cabaran, selain buku-buku politiknya yang kerap dijadikan sasaran rampasan pihak berkuasa.

"Syarat mengehadkan jualan Harakah kepada ahli PAS sahaja sudah tidak ketinggalan zaman, begitu juga sekatan kandungan Harakah hanya kepada aktiviti PAS dan kenyataan pemimpinnya juga tidak munasabah langsung. Saya setuju dengan Ahirudin agar konsep permit penerbitan sekarang dimansuhkan sahaja, begitu juga Akta Mesin Cetak," tegas Lutfi.

Tambahnya, terpulang kepada Najib untuk membuktikan kesungguhannya membawa perubahan atau sekadar terus mengulangi retorik setiap perdana menteri yang baru dilantik. "Sekurang-kurangnya Dato' Seri Abdullah Badawi memulihkan kembali kekerapan Harakah daripada dua kali sebulan kepada dua kali seminggu, jadi kami harapkan Najib tidak menunggu lama untuk memansuhkan pelbagai peraturan karut di KDN," ujarnya lagi.