Memaparkan catatan dengan label PRK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK. Papar semua catatan

19 Oktober 2009

Wake-up call buat Pakatan Rakyat

SEBENARNYA sejak dari awal lagi Bagan Pinang tidak menjanjikan peluang cerah untuk PAS menang. Mungkin tersilau dengan kemenangan 7-0 berturut-turut dalam semua pilihan raya kecil di Semenanjung selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008, maka penyokong Pakatan Rakyat pun turut ghairah untuk terus mencipta rekod.

Kedudukan kerusi Dun Negeri Sembilan yang menyaksikan buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga tambah meningkatkan lagi keyakinan bahawa Pakatan mampu memberikan kejutan.

Tidak cukup dengan itu. Jumlah pengundi India yang agak dominan di Bagan Pinang, iaitu sekitar 20 peratus, telah menguatkan jangkaan awal bahawa kubu BN di selatan Semenanjung itu boleh dirobohkan.

Ia berdasarkan beberapa situasi semasa, terutama dalam kes perarakan kepala lembu di Shah Alam, yang dikatakan telah menimbulkan rasa marah penganut Hindu terhadap aksi melampau penunjuk perasaan di bangunan SUK Selangor, yang dipercayai merupakan aktivis Umno.

Apabila timbul ura-ura Isa Abdul Samad, bekas Naib Presiden Umno yang pernah digantung tiga tahun kerana disabitkan Lembaga Disiplin Umno atas kesalahan rasuah politik, dipilih menjadi calon BN, ada pemimpin Pakatan Rakyat yang sudah berkira-kira "untuk meraikan kemenangan".

Terdapat juga pihak yang meminta agar jangan menyerang Isa agar bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun memang benar-benar terpilih dan dengan itu memberikan "banyak peluru" kepada jentera kempen PAS untuk menyerang BN.

Liabiliti

"Jangan beri gambaran kepada pemimpin tertinggi BN bahawa Isa itu liabiliti buat mereka," kata seorang darinya.

Saya sekadar mengingatkan bahawa selama ini jarang terbukti isu rasuah seseorang calon BN - apatah lagi yang begitu popular dan dilihat berjasa besar kepada penduduk setempat, sama ada bertaraf menteri, menteri besar atau bekas MB seperti Isa - menyebabkan saingannya menang mudah.

Saya memberikan contoh bagaimana seorang bekas menteri besar yang mempunyai banyak rekod salahguna kuasa tetapi terus meningkatkan undi popularnya setiap kali pilihan raya. Mungkin pencalonan tokoh itu membuatkan imej BN terjejas di tempat lain tetapi di "kampung halamannya" ia langsung tidak membekas!

"Harus berhati-hati berkempen mencela rasuah Isa di Bagan Pinang kerana ia umpama BN menyerang Anwar Ibrahim di Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil di sana dulu. Bukan saja tak berkesan malah boleh menikam balik dan menyebabkan kalah lebih teruk," kata seorang rakan wartawan di bilik berita Harakah.

Sewaktu saya menghubungi Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusof, bertanyakan pandangannya tentang pilihan raya kecil Bagan Pinang, beliau memberi reaksi pantas: "PAS dan Pakatan Rakyat harus tumpu perkara lebih besar. Bagan Pinang ini kecil saja. Bersiap hadapi pilihan raya umum akan datang, itu lebih penting. Tetapi jangan lupa terus suarakan penentangan terhadap proses undi pos."

(Ada pihak menimbulkan, mengapa Pakatan tidak meningkatkan tekanan bagi memansuhkan undi pos dan mereformasikan sistem pilihan raya kita, secara sistematik, berterusan dan tidak bermusim).

Dua hari sebelum mengundi, ada petugas kempen yang memaklumkan: "Langsung tak nampak harapan. Kami yang masuk estet pun susah berjumpa pengundi, malah ada pengundi yang memberitahu jangan lagi datang berkunjung ke rumah mereka."

Sebelum itu, sehari selepas penamaan calon, semasa berjumpa dua aktivis Kelab Penyokong PAS India Malaysia di Port Dickson, N Balasubramaniam dan R Kumutha, saya sudah dapat membayangkan kesukaran untuk mengekalkan sokongan pengundi India pada 2008 dahulu.

"Hindraf pun sudah berpecah, apa lagi selepas Makkal Shakti ditubuh. Ada risalah, khabarnya dari Hindraf, yang meletakkan kedudukan Pakatan dan BN sama saja, tidak boleh dipercaya," kata Kumutha. Bagaimanapun saya lebih risau dengan tekanan dan ugutan yang bakal diterima pengundi India di estet.

BN akan melakukan apa saja demi memastikan kubu kuat mereka tidak bolos. Tumbangnya Bagan Pinang memberi isyarat bahawa tiada lagi sekatan untuk Pakatan menguasai Negeri Sembilan, seterusnya Melaka dan Johor. Isa yang pernah mendapat undi tertinggi naib presiden Umno mengatasi Muhyiddin Yasin pula tentu melihat Bagan Pinang peluang baginya melonjakkan diri.

Insiden keganasan yang bersilih-ganti, bagi saya juga satu taktik BN untuk mengalihkan tumpuan jentera kempen. Kita mungkin hilang fokus, apatah lagi selepas menyedari hampir 40 peratus pengundi (iaitu pengundi pos), tidak dapat didekati.

Turut dikritik keberkesanan penjelasan isu-isu melalui pengedaran risalah, termasuk memanfaatkan media baru seperti laman-laman web dan blog. Beberapa pakar media yang membuat kajian mendapati media baru gagal menjawab banyak isu yang ditujukan kepada PAS.

"Bukan saja jentera PAS yang agak lemah, prestasi wakil rakyat Pakatan di Telok Kemang juga dipersoal. Kegagalan kita bukan bermula pada hari penamaan calon, malah lebih awal. Pengundi melihat kerja Adun dan Ahli Parlimen kita. Masyarakat India merasakan kita hanya terhegeh-hegeh berjumpa mereka kerana pilihan raya kecil ini," kata seorang penyokong setia Pakatan yang berkampung di Bagan Pinang.

Dr Dzulkefli Ahmad yang berpengalaman luas mengendalikan kempen PAS dalam pilihan raya kecil memberitahu Harakahdaily: "Ketika saya mula sampai di Bagan Pinang dan cuba bercakap dengan penduduknya, kita diterima dengan negatif sekali.

Sebab itu, kata beliau, apabila pemimpin PAS bercakap soal isu nasional termasuk skandal PKFZ, penduduk tidak melayannya. "Bahkan, apabila kita bercakap soal isu kepala lembu yang panas di Selangor kepada masyarakat India di sini, mereka tidak melayannya.

"Puncanya kerana kesilapan kita yang tidak memberikan perkhidmatan sebagaimana yang sepatutnya selepas mereka memberikan undi kepada kita dalam pilihan raya umum lepas," katanya.

Alhamdulillah, selepas kekalahan dengan perbezaan undi yang cukup besar ini, kita mula terdengar muhasabah dalaman yang mengingatkan PAS dan Pakatan tentang kelemahan dan kealpaan. Benar, kemenangan berturut-turut, apatah lagi dengan kejayaan meningkatkan majoriti, boleh menyebabkan kita terleka dan lalai.

Kejutan

Sesekali perlu dikejutkan dan diperingatkan bahawa kedudukan kita rupanya agak rapuh dan mudah digoncang. Jangan biarkan hanya Umno dan parti-parti komponen BN bercakap soal perubahan dan reformasi dalaman.

Namun begitu, jangan pula mudah panik dan saling menyalahkan antara satu sama lain dalam parti. Pahit untuk menelan kebenaran tetapi pemimpin seharusnya bersikap terbuka menerima kritikan dan bersedia berubah. Umno-BN sukar mengulangi 'kecemerlangan' mereka di Bagan Pinang.

Malah, seperti kata Dr Sivamurugan Pandian, BN terpaksa menggunakan talian hayat di Bagan Pinang apabila memilih Isa Samad, dan ini tidak mungkin dilakukan di tempat-tempat lain.

Banyak lagi yang perlu disenaraikan di sini, tapi cukuplah dulu ... Tidak lupa, tahniah dan jutaan terima kasih buat petugas kempen yang bertungkus-lumus di Bagan Pinang. Hakikatnya, dari lapan pilihan raya kecil di Semenanjung, Pakatan mengekalkan semua kerusi yang disandangnya sebelum ini. BN meskipun menang di Bagan Pinang tetapi ia kalah kepada PAS di Kuala Terengganu.

"Rekod menyebelahi kita, menang dengan agregat 7-1, tetapi selepas Bagan Pinang seolah-olah kita yang kalah 1-7," kata blogger Penarik Beca ketika menjamu selera di majlis jamuan raya pencetak Angkatan Edaran, 12 Oktober lalu.

"Dulu, bila Isa Samad menang luar biasa sebagai naib presiden, maka dia disiasat, jadi bila Isa menang luar biasa majoritinya di Bagan Pinang baru-baru ini, apakah dia juga akan disiasat?" demikian SMS seorang editor berita sebuah laman web terkemuka.

16 Oktober 2009

Integriti, Bala dan Kumutha di Bagan Pinang

PENGUNDI di Malaysia, melalui pilihan raya umum 8 Mac 2008 dan siri pilihan raya kecil selepas itu, semakin bijak memilih dan mementingkan calon yang berintegriti.

Di Permatang Pasir, personaliti calon BN yang bermasalah menjadi tumpuan dan kritikan, hinggakan pemimpin atasan parti pun tidak mampu mempertahankannya. Begitu juga di Kuala Terengganu, walaupun penyandangnya BN, sejak awal wibawa calon PAS jauh meninggalkan ayam tambatan Umno, yang juga timbalan menteri yang baru meletakkan jawatan.

Malah, Dr Mahathir Mohamad sendiri mengingatkan agar jangan memandang rendah keupayaan intelektual pengundi hari ini. Bekas Perdana Menteri itu langsung tidak bersedia berkempen untuk Isa, yang dilihatnya bakal menyebabkan Umno secara keseluruhannya akan menghadapi lebih banyak masalah, walaupun mungkin boleh membawa kemenangan mudah buat Bn.

Memilih Isa Samad, yang sudah disabitkan amalan rasuah semasa berkempen merebut Naib Presiden Umno 2004 dan digantung selama enam tahun tetapi dikurangkan tiga tahun selepas rayuan, akan meninggalkan kesan buruk yang mendalam ke atas usaha Umno dan kerajaan untuk membanteras korupsi yang semakin membudaya dalam masyarakat.

Di atas kertas, Isa mungkin sukar dikalahkan, tetapi kemenangannya itu bakal membawa persepsi salah terhadap kecenderungan mengundi rakyat Malaysia. Seolah-olah pengundi kita - seperti juga pemimpin BN (dan sebelumnya perwakilan Umno) - langsung tidak mementingkan soal integriti calon jika mereka memenangkan Isa.

Apa pun saya percaya, jika masyarakat kita didedahkan dengan kefahaman sebenar tentang kejijikan rasuah dan kebaikan memilih kepimpinan berintegriti, serta hubungannya dengan penghayatan hidup beragama, maka orang yang terbukti korup seperti Isa bukan sahaja akan ditolak rakyat, malah tidak ada mana-mana parti yang bersedia mencalonkannya. Bukan itu sahaja, tokoh rasuah yang dicalonkan juga berasa malu dan menarik diri dari awal-awal lagi.

Justeru, ramai menunggu keputusan di Bagan Pinang, sebuah kawasan semi-urban di selatan Semenanjung, bagi menjangkakan pola pengundian dalam pilihan raya umum paling kritikal buat BN dan juga Pakatan, sekitar 2-3 tahun akan datang.

Menang atau, apatah lagi, kalah dalam pilihan raya kecil ini, buat BN, ia langsung tidak boleh disandarkan harapan untuk kita mengembalikan satu budaya politik yang berintegriti, beretika dan bermaruah.

II.

Semasa membuat tinjauan persiapan Harakah di markas besar jentera kempen PAS Bagan Pinang, Ahad lalu, saya sempat berbual-bual dengan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India (KPPI) Malaysia, N Balasubramaniam yang ternyata bersemangat membantu kempen Pakatan Rakyat. Sebelum hari penamaan calon lagi beliau sudah dua kali turun ke kawasan Dun yang mempunyai pengundi India sekitar 20 peratus itu.

"Kalau dulu kira-kira 65 peratus pengundi India sokong PAS, kali ini kita cuba meningkatkannya hingga 80 peratus," katanya, sambil menjelaskan banyak isu memihak PAS, seperti perarakan kepala lembu di Shah Alam, kenyataaan pemimpin Umno yang merendahkan kaum India dan janji MIC semasa kempen pilihan raya 2008 yang tidak tertunai. Beliau memberitahu lebih 200 aktivis KPPI hadir semasa hari penamaan calon dan 20 daripadanya akan berkampung untuk berkempen sehingga hari mengundi.

"MIC janji nak bagi tanah satu hektar kepada setiap keluarga di Estet Sua Betong, tapi mereka perlu dapatkan dulu bangunan sekolah Tamil yang kini ditempatkan di atas rumah kedai di Lukut," ujarnya sambil tersenyum.

Ditanya bagaimana mula beliau tertarik dengan Parti Islam, Bala yang juga pernah menjadi sami, percaya sesiapa saja yang patuh kepada ajaran agama, dan dalam Islam mengikut al-Quran seperti diamalkan penyokong dan pemimpin PAS, maka ia akan membawa kebaikan dan perlu disokong.

Bala juga tidak bimbang dengan kempen MIC di kawasan ladang, begitu juga dengan pemilihan Isa sebagai calon BN. "Selama lebih 20 tahun jadi MB, ISA tak rapat pun dengan akar umbi. Dalam masa 50 tahun BN memerintah, kami dilupakan dan tiada usaha serius untuk membangunkan masyarakat India," tegasnya.

Mengulas kehadiran agak ramai mereka yang mendakwa anggota Kelab Penyokong BN semasa hari penamaan calon, Bala berkata, kebanyakannya adalah pelajar Kolej Tafe milik MIC yang belum pun 'cukup umur untuk menjadi pengundi'. "Apa pun, kami akan bersungguh-sungguh berkempen memenangkan PAS," tambahnya.

Turut dalam pertemuan itu, R Kumutha, Ketua Wanita KPPI Malaysia, yang tidak lokek dengan senyuman manisnya. Beliau yang pernah mewakili PAS, tetapi atas simbol KeADILan, dalam pilihan raya umum 2008 di Johor, cukup yakin masyarakat India sukar untuk kembali menyokong BN.

"Sepanjang kami berkempen dari rumah ke rumah, penerimaan masyarakat setempat cukup menggalakkan. Saya menjelaskan tujuan kami datang ke rumah mereka, mendedahkan isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka, seperti pendidikan dan kerjaya anak-anak. Dan jika mahukan perubahan, kita harus sokong PAS," jelas Kumutha, yang juga seorang peguam.

Beliau yang arif tentang perlembagaan PAS mudah menjelaskan sebarang salah faham yang ditimbulkan pengundi: "Selain isu hudud yang saya jelaskan berdasarkan perlembagaan parti, contoh kesederhanaan hidup Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dibandingkan gaya hidup pemimpin BN, misalnya Dr Khir Toyo yang mempunyai istana mewah, begitu menarik minat mereka. Begitu juga dengan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat."

Lebih menarik apabila wanita muda yang berasal dari Johor Bahru ini menceritakan pengalamannya bertanding dalam pilihan raya umum, Mac 2008. Kumutha yang hanya balik dari United Kingdom pada Julai 2007 selepas menamatkan pengajian undang-undangnya tertarik dengan PAS selepas mengikuti ceramah pada awal 2008.

"Saya tidak dapat lupa sokongan tulus ikhlas orang PAS, mereka begitu ringan tulang membantu saya," ujarnya.

Bagi Kamutha dan Bala, masa depan PAS di negara ini "begitu menjanjikan". Tembok perkauman yang roboh, selaras dengan motto "PAS for All", perlu disusuli dengan sikap yang konsisten demi membebaskan Malaysia daripada segala bentuk penganiayaan, kezaliman dan ketidakadilan.

"Bagan Pinang memang penting buat PAS, Pakatan dan juga BN, namun apa jua keputusannya nanti, momentum perubahan politik ke selatan tanahair sudah tidak dapat disekat lagi," kata Kumutha.

Pemilihan Isa Samad dan kontroversi Hasan Ali

PEMILIHAN Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefley Omar sebagai calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang memang sudah diduga, namun pengumuman lebih awal Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN agak mengejutkan.

Memang Bagan Pinang cukup kritikal buat Umno-BN. Ia pertarungan hidup dan mati. Momentum kemenangan 7-0 Pakatan Rakyat dalam semua pilihan raya kecil di Semenanjung selepas tsunami politik 8 Mac 2008 mesti dihentikan.

Ya, walau dengan apa cara sekalipun, apatah lagi jika kemenangan PAS di Bagan Pinang, seperti ditegaskan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dianggap petanda penguasaan Pakatan di selatan tanahair, yang membolehkan kerajaan pusat yang baru dibentuk selepas pilihan raya umum ke-13.

Ternyata Umno-BN masih belum selesa dengan jumlah pengundi pos yang cukup besar di Bagan Pinang. Apa jua faktor yang dilihat dapat menambah undi tidak akan disesiakan meskipun dari segi jangka panjang ia boleh memudaratkan prestasi BN.

Boleh selamatkan 'maruah' BN

Walaupun Isa - Ketua Umno Telok Kemang dan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun - pernah disabitkan dengan rasuah politik dan digantung keahlian Umnonya selama tiga tahun mulai 24 Jun 2005, namun beliau adalah satu-satunya calon yang diyakini boleh menyelamatkan maruah BN. Satu hakikat yang pelik tetapi bagi Umno yang "tercungap-cungap kelemasan", pilihan talian hayatnya begitu terbatas.

BN tidak boleh kalah di Bagan Pinang, malah ia perlu menang dengan majoriti lebih besar, bagi memulihkan imejnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dalam pilihan raya umum 2008, Negeri Sembilan adalah benteng terakhir yang menghalang kemaraan Pakatan ke selatan.

Sebaliknya, dengan memilih orang seperti Isa, yang mungkin boleh membantunya mencapai misi di Bagan Pinang, tetapi keseluruhan wajah Umno-BN akan menjadi lebih hodoh dan gelap. Dr Mahathir Mohamad menyedari hakikat ini namun ia seperti tidak dihiraukan Najib.

Presiden Umno itu juga melanggar tradisi apabila tiba di lokasi majlis pengumuman calon selepas Muhyiddin mengisytihar Isa sebagai lawan Zulkefley.

Tidak pernah berkempen

Sejak 20 tahun lalu, apabila Shahrir Samad memalukan Dr Mahathir di Johor Bahru, Presiden Umno hampir tidak pernah berkempen dalam pilihan raya kecil.

Apakah BN begitu terdesak menghantar pengerusinya menemui pengundi terutama selepas ada desakan masyarakat India agar Najib sendiri turun padang? Isteri Najib, Rosmah Mansor pun turut mengatu program di Bagan Pinang

Memilih Isa seolah-olah bermakna Umno begitu ghairah mencari untung seringgit dua hari ini tetapi bersedia untuk rugi ratusan ribu nanti. Soalnya, Umno lebih takutkan kalah di Bagan Pinang dan mahu memadamkan segera obor semangat pendokong Pakatan.

Dalam masa sama, ada pihak mengingatkan, jentera Pakatan tidak wajar hanya menumpukan kempen menyerang personaliti calon BN, malah dibimbangi ia menjadi "perangkap" kepada PAS.

Agak sukar menelah sikap pengundi Melayu di pinggir bandar dan kawasan kampung dalam isu-isu berkaitan rasuah. Misalnya, ada calon yang sinonim dengan salahguna kuasa, seperti Khir Toyo, boleh menang lebih besar dalam pilihan raya! Dan saya rasa kes calon BN di Permatang Pasir mungkin berbeza dengan kes Isa.

Usah berasa selesa dengan andaian bahawa kita sudah mendapat 'bonus' dengan pemilihan Isa. Belum tentu lagi. Selain itu, isu undi pos hendaklah dibangkitkan secara berterusan; jangan berhenti di Bagan Pinang sahaja. Talian hayat Umno ini mesti dicantas sebelum pilihan raya umum ke-13 dijalankan.

II.

Berbicara hampir sejam dengan Dato' Dr Hasan Ali, di pejabatnya, petang 29 September lalu, memang mengasyikkan. Meskipun dibebani dengan isu-isu yang tentu berat untuk ditanggungnya, apatah lagi 'serangan' dari rakan-rakan dalam parti dan Pakatan Rakyat sendiri, saya perhatikan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor itu tetap ceria bercerita dan menjelaskan pelbagai isu, terutama berkaitan Selcat.

Berdepan cemuhan seteru politik Umno-BN pastinya sesuatu yang lumrah tetapi bersemuka kritikan kawan-kawan seperjuangan tentu Dr Hassan terasa lebih perit.

Pertemuan hari itu mulanya hanya untuk sembang-sembang, terutama untuk menyelami isu sebenar yang ghairah dimanipulasi media. Saya tidak bercadang mengadakan wawancara khas dengan Pesuruhjaya PAS Selangor itu, bimbang ia makin mengeruhkan lagi suasana.

Tidak segenting Perak

Memang kedudukan Selangor tidak segenting Perak (ketika diperintah Pakatan dulu) ataupun Kedah, tetapi untuk memberikan lebih banyak bahan kepada seteru politik bagi menyerang negeri termaju itu tentulah langkah tidak bijaksana.

Sebagai akhbar rasmi parti, Harakah harus lebih berhati-hati. Malangnya sikap terlalu cermat itu mungkin ditanggapi secara negatif oleh pembaca yang sentiasa dahagakan maklumat dan perkembangan terbaru.

Dr Hasan, yang saya kenal agak rapat ketika tercetusnya isu salahguna kuasa dua Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo, mulanya agak keberatan untuk berbicara secara khusus tentang Selcat.

Beliau mahu menjelaskan topik yang lebih umum dan menyeluruh khususnya berkaitan pembabitan PAS dalam kerajaan negeri: "Sesekali berjumpa ... kita elok bercakap hal-hal yang lebih besar."

Ditanya sikapnya terhadap dakwaan Speaker Dun Selangor, Teng Chang Khiim (yang disiarkan sebagai tajuk utama hampir semua akhbar 29 September) bahawa beliau berbohong, Dr Hasan enggan menjawab. "Biarlah, kita tengok dulu," katanya.

Saya segera teringat hubungan baik dan intim mereka khususnya semasa sama-sama membongkar kes Khir dalam sidang Dun Selangor tujuh tahun lepas.

Ketegasan Teng

Kepada wartawan Saidah Hairan yang turut hadir dalam pertemuan itu, Dr Hasan mengajukan: "Saidah pun tahu ketegasan Teng semasa mengendalikan sidang Dun sekarang. Memang dia ada kehebatan tersendiri, sukar wakil rakyat lain menyainginya."

Memang, khabarnya sesama rakan Adun Pakatan pun, sebagai Speaker, Teng bersikap tegas, termasuk anggota Exco. Malah Dr Hassan pun ditegurnya jika menjawab berjela-jela!

Nampak Dr Hasan mempunyai pandangan tersendiri untuk memperkukuhkan Pakatan di Selangor, terutama di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Cadangannya untuk menambahbaikkan Selcat juga dilihat memberi keuntungan kepada semua pihak dan langsung tidak merugikan mana-mana parti dalam Pakatan.

Dijolok pertanyaan bahawa ada kalanya suara beliau senada dengan kritikan Umno terhadap kerajaan Pakatan, beliau tidak melatah. "Hal ini tak timbul sama sekali," katanya tersenyum.

"Walaupun PAS hanya ada lapan kerusi Dun, tetapi saya tidak pernah berasa kecil untuk memikul amanah, khususnya memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu. Tetapi tidak pula saya meminggirkan rakan-rakan bukan Melayu yang perlukan pertolongan. Biar sesiapa pun, bangsa, agama atau parti mana pun, saya akan cuba membantu," tambahnya.

10 September 2009

Elak persepsi salah pada tindakan yang betul

RAMADAN makin menipis. Hanya tinggal berbaki 10 hari. Bagaimanapun, inilah peluang yang ditunggu-tunggu. Di dalamnya ada malam agung yang paling istimewa; beribadat pada malam itu lebih baik daripada 1,000 bulan atau 83 tahun, satu tempoh melebihi usia kebanyakan manusia zaman ini.

Berusahalah kita mencari malam penuh keberkatan itu. Ya, masih belum terlewat ...

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusan akhir Ramadan kepada akhbar Harakah mengingatkan: "Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak. Rasulullah pada 10 hari terakhir Ramadan iktikaf di masjid.

"Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak, setiap kali masuk masjid hendak sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf. Bila niat iktikaf kita merasakan diri kita dikurung di hadapan Allah Taala. ... saya nasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al Quran yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, pejabat dan rumah."

Melalui tabung HARAKAHDAILY DOT COM (AKAUN MAYBANK 564070000336) yang kami lancarkan sejak dua tahun lalu, khususnya bagi membantu keluarga mangsa tahanan ISA dan mereka yang memerlukan, Alhamdulillah, setiap Ramadan, derma datang mencurah-curah. Segalanya akan kami manfaat dan salurkan kepada sasaran yang telah dikenal pasti.

Insya-Allah, minggu depan, saya sendiri akan turun ke Sabah mengagihkan sumbangan berkenaan. Meskipun kebanyakan tahanan sudah dibebaskan, namun berdepan realiti baru, kami rasakan mereka masih perlu dibantu. Justeru, terima kasih atas segala sokongan kepada tabung berkenaan.

Sesungguhnya, terbukti majoriti masyarakat kita cukup prihatin dengan kesengsaraan dan penderitaan orang lain khususnya di bulan puasa ini.

II.

Umno memang tidak boleh kalah di Bagan Pinang. Secara tradisinya itu kubu kuat Umno. Pakatan Rakyat mungkin boleh dibiarkan menang pada semua enam pilihan raya kecil di kerusi yang penyandangnya PAS atau KeADILan.

Tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pun agaknya tidaklah sangat memedihkan. Tetapi jika Umno terlungkup di Bagan Pinang nanti, parti itu dilihat terkepung dan dijangka lemas perlahan-lahan.

Di pihak Pakatan pula, usah tertipu dengan kemenangan 7-0 sebelum ini. Medan baru di Telok Kemang pasti berbeza. Momentum Pengkalan Pasir boleh terbenam sebelum menyeberang sempadan Negeri Sembilan.

Najib Razak dan Muhyiddin Yassin pastinya sedang ligat mencari formula mempertahankan kemenangan 2008.

Undi pos yang begitu banyak itu tentu dapat membantu BN, tetapi ia bukan bekalan yang 100 peratus selamat buat parti yang makin mereput itu.

Di pihak Pakatan, lebih 5,000 undi pos itu mesti dijadikan isu besar. Jerit dan pekik sekuatnya, biar dunia berhenti sekejap untuk meneliti undi pos.

Selain itu, walaupun komposisi pengundi campuran nampak menyebelahi Pakatan, namun dalam politiknya segalanya bisa berlaku. Lena dalam zon selesa hanya mengundang padah.

Cabaran Najib dalam mengemudi BN nyata kian dahsyat.

Di permukaan, Umno nampak tidak bergolak tetapi kes di Terengganu membuktikan air tenang jangan disangka tiada buaya. Bukan saja pengerusi perhubungan Umno negeri, yang juga Menteri Dalam Negeri, tidak dihormati pemimpin Umno bahagian, malah TPM Muhyiddin Yassin turut ditolak.

Ini belum diambil kira pergolakan dalam MCA yang tambah meruncing dan memalukan. Bagai ikan, ia membusuk bermula dari kepala.

MIC pula seperti retak menunggu belah. Presiden Samy Vellu masih mahu berkuku walaupun tentangan dari bawah makin menyeluruh.

Gerakan pimpinan Koh Tsu Koon mungkin agak stabil tetapi selagi peluangnya untuk merebut Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng belum berhasil, parti itu juga terdedah kepada krisis dalaman.

Apakah BN hanya mengharapkan 'simpanan tetap' di Sabah dan Sarawak untuk kekal memerintah Pusat dan negeri-negeri tertentu? Najib tentu mengetahui, darjah kesetiaan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak bukan boleh diharapkan sangat terutama bila nampak kecenderungan rakyat memihak lawan.

Tidak mustahil Najib sedang mengintai tarikh sesuai untuk pilihan raya umum ke-13. Syaratnya, ekonomi tambah baik dan BN tidak kalah di Bagan Pinang!

III.

Isu pemindahan kuil di Shah Alam hanya menyerlahkan Umno ghairah memarakkan api perkauman. Sedih dan memalukan melihat rakaman orang Melayu bersikap kurang ajar dan biadap dalam majlis dialog dengan Menteri Besar Selangor dan wakil rakyat Pakatan.

Biarpun profil pengundi dan penduduk Shah Alam sepatutnya lebih berpendidikan, matang dan terdedah dengan simpang-siur maklumat, namun ada kalanya sentimen dan emosi boleh membakar-hangus segala rasional.

Kesediaan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk turun berdialog wajar dipuji dan harus menjadi tradisi kerajaan Pakatan walaupun berdepan risiko dicemuh dan dimaki.

Membicarakan soal majoriti dan minoriti dalam isu pembinaan rumah ibadat harus dilihat dalam konteks lebih meluas. Rujuklah khazanah sejarah Islam. Bersedialah untuk menawarkan keadilan, termasuk kepada bukan Islam, meskipun mungkin pahit untuk ditelan.

Pakatan Rakyat mesti konsisten dengan prinsip luhur yang dipegang bersama dan biarkan sahaja Umno tenggelam dalam lautan perkaumannya yang tidak bertepi itu.

Apa pun, cermat dan berhati-hati ... langkah politik tetap ada seninya terutama bagi mengelak persepsi yang salah terhadap tindakan yang betul.

09 September 2009

Sedekah akhir Ramadhan, kekecohan di Ipoh dan PRK Bagan Pinang

PANTAS sungguh Ramadan beredar. Kini hampir memasuki fasa ketiga dan terakhir, yakni pembebasan dari api neraka. Tahniah buat mereka yang dapat merangkul penuh nikmat hari-hari yang berlalu itu.

Ramadan dan al-Quran bagai terpisah tiada. Dr 'Aid Abdullah Al-Qarni menulis: "Rasulullah mempelajari al-Quran bersama Jibril pada bulan Ramadan. Baginda mendengarkan bacaan al-Quran, menghayati, membaca, melaksanakan kandungannya, melapangkan hatinya dan menggali cinta dalam muitara hikmah al-Quran."

Seorang teman bertanya, melewati 15 hari puasa, sudah berapa kali khatam Quran? Terkedu juga dibuatnya!

Ramadan juga sepatutnya mendekatkan kita dengan golongan fakir miskin, mereka yang kesempitan dan memerlukan bantuan segera. Hati dapat dijernih-lunakkan apabila mendampingi dan menyantuni saudara seagama yang tidak bernasib baik ini. Didiklah diri dengan bersedekah di bulan yang amalan sunat menyamai tuntutan wajib.

Insya-Allah segala ketamakan dan kerakusan yang memenjara diri perlahan-lahan reda. Di tengah gejolak budaya hidup materialisme menggila ini, Ramadan bisa mengasuh jiwa agar bersederhana dan tidak menunjuk-nunjuk kekayaan. Ayuh ... segeralah menyumbang, sekurang-kurangnya menjamu makan kepada mereka yang berpuasa.

II.

Semasa pergolakan yang dirancang di Shah Alam belum kendur (saya begitu terkesan dengan penghinaan yang mengaitkan 'Takbir' dengan 'Take Beer'; ia sebenarnya memperolokkan agama, bukan sekadar menyindir PAS), bandaraya Ipoh sekali lagi menjadi tumpuan.

Sidang Dun Perak terpaksa diadakan di sebuah hotel apabila Adun-Adun Pakatan Rakyat dihalang dari memasuki Bangunan SUK. Malang dalam sebuah negara demokrasi, polis terus diperalat. Dalam usaha menyuraikan perhimpunan, baik di Shah Alam mahupun di Ipoh, jelas nampak diskriminasi.

Seperti biasa, media talibarut memperleceh usaha Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan rakan-rakannya. Pelbagai label buruk dihambur, dan pastinya yang tidak ditinggalkan adalah tuduhan bahawa Menteri Besar yang dipilih rakyat itu derhaka kepada Sultan kerana tidak mendapat perkenan untuk adakan sidang Dun.

Umno-BN yang merampas kuasa di Perak awal tahun ini sentiasa mengelak dari membicarakan isu sebenar. Lagi-lagi dakwaan palsu PAS menjadi boneka DAP dan Nizar tunduk kepada kepentingan bukan Melayu. Walhal isu BN 'membeli' tiga Adun Pakatan dan sidang Dun - di bawah pokok atau di dewan hotel - yang sah itu cuba disembunyikan.

Jalan keluar hanya satu, dan itulah yang turut disuarakan Suhakam, Majlis Peguam dan veteran Umno seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Dun Perak mesti dibubarkan. Tiada pilihan lain!

III.

Siapa menduga, selepas SPR (yang jelas dipengaruhi kepentingan Umno-BN) menolak keperluan mengadakan pilihan raya kecil di Kota Siputeh, Kedah, fokus kini tertumpu ke Negeri Sembilan.

Kalau dahulu, politik di negeri berkenaan jarang diperhatikan. Pada 1990, Dato'Seri Dr Rais Yatim, bekas Timbalan Presiden Semangat 46 cuba mengocak ketenangan di Jelebu tetapi tidak berjaya.

Kini, pengaruh Pakatan Rakyat Negeri Sembilan, jika dilihat penguasaan kerusi Dun, malah jauh lebih hebat daripada Terengganu (yang turut bergolak hebat antara kem Ahmad Said dan Idris Jusoh). Majoriti dua pertiga BN dinafikan dalam pilihan raya Mac 2008.

Dun Bagan Pinang menarik kerana ia kerusi tradisi BN walaupun terletak di bawah Parlimen Teluk Kemang yang dikuasai KeADILan (dua dari lima Dun di bawahnya milik KeADILan dan satu DAP).

Sebelum ini, semua kerusi pilihan raya kecil di Semenanjung - kecuali di Kuala Terengganu - penyandangnya dari Pakatan. Di KT, PAS beradu pengaruh dan menang.

Memang cukup manis kemenangan itu dan perit buat Umno. Inilah yang digeruni Dato' Seri Najib Razak - kalah di gelanggang sendiri.

Dalam pilihan raya umum ke-12, Negeri Sembilan menjadi penampan arus kebangkitan rakyat dari merebak ke selatan. Pakatan hanya perlukan empat (4) Dun untuk memerintah. MB Mohamed Hassan (Dun Rantau) dan lebih-lebih lagi Khairy Jamaluddin (Parlimen Rembau) tentu mahu 'tunjuk jasa' kepada Najib.

Adun tunggal PAS sudah ada di Paroi, dan yang pastinya cabaran sengit menunggu di Bagan Pinang. Peluang terbuka, namun yang dipertaruhkan adalah maruah Najib dan potensi Umno-BN menjelang pilihan raya ke-13. Warga Lembah Klang tidak perlu pergi jauh untuk memeriahkannya!

01 September 2009

Catatan fasa dua Ramadan dan permainan perkauman BN yang berbahaya

RAMADAN sudah melewati fasa 10 hari kedua, yang dijanjikan keampunan (maghfirah), selepas Allah melimpahkan rahmat, sebelum "pembebasan dari api neraka".

Bagi yang alpa-leka dan mensesiakan tempoh satu pertiga Ramadan yang berlalu itu, masa belum terlambat untuk kembali merebut peluang keemasan, yang tentunya tidak dapat dipastikan akan berulang pada tahun depan.

Perhatikan di sekeliling, mungkin ada anggota keluarga atau rakan taulan yang bersama-sama menikmati juadah berbuka tahun lalu, bertarawikh dan bertadarus, tetapi kini sudah menghadap Ilahi.

Madrasah Ramadan, pusat latihan mendidik diri menundukkan nafsu, bulan penuh keberkatan menemui diri di malam-malamnya, sambil beristighfar, bermunajat dan bertaubat penuh keinsafan.

Ramadan juga mendidik jiwa menjernihkan hati, menyantuni golongan fakir, mengasihi orang tua, menyuburkan sifat pemurah, meluhurkan tekad, mengikis budaya tamak-haloba.

Ramadan turut mendorong dan menyemarakkan semangat jihad, mengangkat martabat umat, meninggikan darjat agama dan bersedia mengorbankan kepentingan diri.

Masya-Allah, sungguh luarbiasa bulan istimewa ini. Pastikan anda dan saya dapat memanfaatkan setiap detik di dalamnya untuk beribadah setulus dan seikhlasnya.

II.

Agak berang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Seri Ahmad Said Hamdan dengan pelbagai kritikan yang dihamburkan kepada badan berkenaan terutama berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock.

Wibawa SPRM dipersoal oleh setiap lapisan masyarakat. Ia bagai diasak kiri dan kanan, depan dan belakang, atas dan bawah. Malah, dalam inkues yang berjalan, publik didedahkan dengan gelagat pegawainya yang mencurigakan.

Sebagai orang yang pernah berurusan dengan SPRM (dulunya BPR), ia tambah meneguhkan keyakinan saya bahawa badan itu perlu direformasi besar-besaran sebelum dapat melaksanakan misi unggul membanteras rasuah.

Syarat utama, pecat semua pegawai kanannya yang bukan saja dilihat bersekongkol dengan pemerintah tetapi lebih buruk lagi, "memperdagangkan" laporan rasuah demi mengejar habuan lumayan.

Mana mungkin korupsi dapat dibanteras jika, misalnya, SPRM hanya ghairah dengan kes peruntukan Dun Selangor tetapi berdiam diri apabila TPM mengaku menggunakan helikopter Nuri milik TUDM untuk merasmikan mesyuarat agung Umno Penampang, 16 Ogos lalu. Senarai kes "pilih bulu" ini terlalu panjang untuk dibutirkan.

Seperti ditegaskan Prof Abd Rahman Embong dalam Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas, semua jenayah seperti membunuh, merompak, mencuri dan merogol mempunyai mangsa yang jelas, kecuali rasuah. Ia suatu jenayah yang cukup kompleks dan usaha menanganinya rumit sekali.

Justeru, bagi Alatas, sebarang perubahan struktural dan perundangan dalam pentadbiran pemerintah bagi tujuan menangani rasuah hanya akan berjaya sekiranya terdapat sekumpulan individu yang berprinsip tinggi dan teguh menduduki jawatan utama yang penting bagi kejayaan misi pencegahan rasuah.

III.

Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir memang mengecewakan Umno pimpinan Najib Razak. Harapan untuk melihat momentum Manek Urai berjangkit ke Permatang Pauh, kubu Anwar Ibrahim, berkecai.

Trend mengundi Mac 2008 masih tidak berubah. Meskipun Umno bermain dengan bahaya api perkauman, seperti ditonjolkan melalui Utusan Malaysia, pengundi Melayu di kawasan bandar dan pinggir kota khususnya, tetap menolak BN, manakala masyarakat bukan Melayu makin menjauhkan diri, apatah lagi parti komponen seperti MCA bergolak dahsyat.

Terbaru isu kuil Hindu dan perarakan kepala lembu di Shah Alam pasti membuatkan pengundi India (yang pada awalnya seperti ada sebahagian daripadanya mahu kembali kepada BN) semakin dekat dengan siapa saja yang berseteru politik dengan Umno-BN.

Presiden PAS menyifatkan pengundi bermaklumat, seperti di Permatang Pasir, lebih cenderung untuk bersama Pakatan Rakyat. Mereka membuat keputusan untuk mengundi seseorang calon berdasarkan ilmu dan kefahaman.

Namun segalanya tidak mudah buat Pakatan. Pengundi Melayu harus lebih dijinakkan, terutama untuk mendekati PAS. Selagi PAS belum dapat menembusi kubu Umno, agak sukar BN ditumbangkan di peringkat pusat.

Dalam negara yang majoriti penduduknya Melayu-Muslim maka peneraju Pakatan harus datang dari parti Melayu-Muslim juga. Sentimen perkauman sempit yang dimarakkan sekarang memang boleh menjerat Umno, namun PAS harus segera bingkas memperlihatkan keupayaannya untuk memimpin perubahan.

Pengundi Melayu bukannya terlalu sukar untuk menolak Umno tetapi mereka mungkin lebih selesa untuk menunggu isyarat jelas daripada PAS dahulu

08 April 2009

Terserlahnya Kewibawaan Dato` Seri Ir Haji Nizar

:: Mesej Bukit Gantang ::

Ia bukan sekadar kemenangan berganda (sebenarnya di Semenanjung sudah 4-0, bermula Permatang Pauh, Kuala Terengganu, seterusnya Bukit Gantang dan Bukit Selambau), tetapi kejayaan Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil ini lebih terasa manis dan lazatnya.

Memang cukup mendebarkan. Ya, persaingan yang sengit dan sukar diramal. Malah lebih ramai menjangkakan Nizar bakal kecundang ekoran tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu. Isu-isu seperti tohmahan menjadi "boneka DAP" dan "sembah derhaka" dibimbangi berjaya mempengaruhi pengundi untuk kembali menyokong BN. Tidak sedikit teman-teman yang turun berkempen di Bukit Gantang meluahkan rasa curiga terhadap kemampuan Nizar untuk memenangi hati pengundi Melayu.

"Ada kawasan Melayu yang kita langsung tak dapat masuk untuk berkempen. Malah, banyak rumah yang menaikkan bendera Umno dan BN. Jentera BN juga agak agresif berkempen," lapor wartawan Harakah Perak. "Tak ramai orang yang hadir dalam program ceramah kita," tambahnya lagi.

Di samping itu, kehadiran Dr Mahathir Mohamad di hari akhir kempen pula dikatakan boleh menyebabkan pengundi bukan Melayu memikirkan semula sokongan terhadap calon Pakatan Rakyat. Tidak kurang juga yang membayangkan "situasi terburuk" jika ada pengundi yang terpengaruh dengan beberapa langkah awal Dato' Seri Najib Razak, yang baru empat hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Saya pula memang tidak suka meletakkan harapan tinggi kepada sesuatu impian bimbang kecewa akhirnya.

Dibandingkan dengan debar pilihan raya kecil Kuala Terengganu, saya kira Bukit Gantang lebih mencemaskan lagi. Pertama, ia kerusi yang PAS pertahankan. Kedua, sejak awal kita sudah isytiharkan keputusannya nanti melambangkan referendum seluruh rakyat Perak terhadap krisis politik dan perlembagaan yang tercetus awal Februari lalu. Tidak dapat saya bayangkan apa akan terjadi sekiranya Nizar dikalahkan, seolah-olah ini pertandingan hidup atau mati.

Pendek kata, jika berjumpa sepuluh orang yang balik berkempen dari Bukit Gantang, atau sekadar membuat tinjauan rambang di sana, lebih separuh daripadanya tidak meletakkan harapan tinggi PAS dapat mengekalkan kerusi berkenaan. "Saya hanya menyandarkan impian kepada ketokohan Nizar semata-mata, dari sudut lain, terutama kepada pengundi Melayu, saya benar-benar bimbang," kata seorang kawan.

"Bukankah semasa penamaan calon baru-baru ini, jumlah penyokong Pakatan jauh lebih ramai," saya cuba menduganya. "Itulah masalahnya, kita sudah melepasi kemuncak. Selepas hari penamaan calon, 29 Mac, kita terus merosot," reaksi pantas kawan saya itu menambahkan lagi kerisauan.

"Saya pula tak pasti apakah Nizar kini menjadi asset atau liabiliti kepada kita di Bukit Gantang. Tuduhan dia boneka DAP atau jual tanah kepada orang Cina menyebabkan pengundi Melayu meraguinya," kata seorang lagi kawan.

"Kalau setakat dua isu itu, tak payah susah hatilah, kita ada fakta konkrit yang cukup untuk menyanggahnya," saya pula cuba mententeramkan hati mereka dan sekali gus menenangkan gelodak rasa saya sendiri. "Ini bukan soal fakta, ini soal sentimen dan persepsi," balas seorang daripada mereka.

Rupanya kadang-kadang kita sendiri terkeliru untuk membaca realiti sebenar di lapangan. Pengamat politik juga boleh tersilau sehingga membuat rumusan yang agak terpesong, sedangkan para pengundi, khususnya generasi di bawah 50 tahun, sudah melangkah ke dunia politik baru. Emosi mereka tidak mudah lagi dipancing dengan sentimen perkauman atau dakyah politik lama yang dangkal dan hodoh itu.

Apatah lagi sosok tubuh Nizar yang karismatik dan kini menjadi ikon baru itu sudah cukup untuk mematikan segala tohmahan tidak berasas, sebaliknya menyuntik keyakinan baru yang luar biasa kesannya kepada rakyat Perak. Ketokohan Nizar sudah melangkah melampaui sempadan negeri dan bersedia untuk menawan hati audien yang lebih luas di seluruh pelosok negara.

Kemenangan calon PAS dan KeADILan, masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, dengan majoriti lebih besar, pastinya membuatkan tidur Najib pada malam Selasa lalu terganggu. Ia satu mesej jelas penolakan akar umbi terhadap kepimpinan beliau yang cuba untuk melakukan kejutan dengan beberapa pembaharuan kosmetik pada hari pertama dinobatkan sebagai Perdana Menteri keenam.

Membebaskan 13 tahanan ISA (dan terus mengurung tahanan yang lebih lama tersiksa di Kamunting) serta menarik balik penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan (serta mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, juga peraturan karut-marut yang dikenakan ke atas semua lidah rasmi parti) jelas tidak berupaya untuk mengelirukan rakyat yang semakin benci dan muak dengan pendekatan politik lama. Bukankah orang masih ingat, itulah juga yang dilakukan Dr Mahathir ketika mula-mula dilantik menjadi perdana menteri? Tindakan Najib hanya memperkukuhkan tanggapan umum bahawa era Mahathirisme seolah-olah sekali lagi bakal mencengkam tanahair tercinta.

Apa pun telahan yang dibuat, senario politik Malaysia selepas tsunami pertama pada Mac 2008 menjadi semakin menarik. Ia tidak mungkin berpatah balik ke era lama, seperti yang cuba diusahakan Dr Mahathir. Pilihan Najib semakin terbatas. Peluangnya untuk mewariskan takhta di Seri Perdana kepada pemimpin Umno-BN nampak tipis. Terpulang kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat untuk mengisi kekosongan ini ...