24 Mac 2009

Bagaimana kalau Mat Rempit yang ditahan....


SERBUAN Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kesebuah pusat hiburan,The Zouk, di Jalan Ampang, 13 Januari lalu, mengingatkan saya kepada beberapa isu yang timbul daripada operasi mencegah kemungkaran beberapa tahun lalu, yang akhirnya mengakibatkan pihak berkuasa agama mengaku kalah.

Yang paling diingati tentulah operasi Jabatan Agama Islam Selangor(Jais), membabitkan penahanan tiga orang gadis Melayu, yang menyertai Miss Malaysia Petite 1997. Kesannya amat memilukan, Mufti Selangor Dato' Ishak Baharom, yang langsung tidak ada kena mengena dengan operasi malam 13 Jun 1997(diClassic Ballroom, Hotel Holiday Villa, Subang Jaya) itu dipecat, selepas "bertembung satu lawan satu" dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dato' Ishak yang ketika itu telah pun dilanjutkan tempoh perkhidmatan, selama dua tahun lagi, berkuatkuasa 16 Ogos 1997 hingga 15 Ogos 1999, diminta meletakkan jawatan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Abu Hassan Omar, pada awal Oktober 1997.

Ini dipercayai ekoran kecaman keras Dr Mahathir pada 19 Julai 1997. Ishak hanya dibayar satu bulan gaji sebagai ganti notis, selepas diberi masa sepuluh hari untuk mengosongkan pejabatnya.
Saya sempat merakamkan peristiwa tersebut dalam dua buah buku, bertajuk "Mufti Lawan Mahathir?"(September 1997) dan "Menyanggah Fatwa-Fatwa Mahathir"(Mac 1998).

Tragedi kedua berlaku pada 10 Jun 2000, di sebuah pub "The Ship", Damansara Utama, membabitkan lebih 30 penguatkuasa Jais Petaling,Rela, Badar dan polis.

Seramai 53 orang ditahan,termasuk di beberapa premis lain di Petaling Jaya, ekoran lebih daripada 12 aduan yang dibuat masyarakat sekitar. seperti biasa, banyak kritikan dilemparkan, selain dakwaan pihak yang ditangkap yang mengatakan mereka hanya minum air suam dan "fresh orange".

Ketua operasi, yang juga pengerusi Badar(Badan Amal Makruf Nahi Mungkar), Puchong, Mohd Sharif Iskandar, tampil membuat pendedahan kepada akhbar tidak berkala yang saya terbitkan "Protes", sambil menyerahkan lebih sedozen gambar foto yang jelas menunjukkan gelas-gelas dan jag-jag arak, serta wanita dan pondan yang berpakaian tidak sopan.

Tangkapan dibuat berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor, antaranya di bawah Seksyen 10(Kesalahan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam), Seksyen 18(kesalahan minum arak) dan Seksyen 21(kesalahan melakukan perbuatan tidak sopan ditempat awam).

Akhirnya, bekas Menteri Besar Selangor, juga atas tekanan pihak lebih atas, membatalkan tuduhan ke atas mereka yang terbabit.

Sharif bertanya: "Apakah tindakan itu diambil kerana terdapat di antara mereka yang ditahan itu orang-orang yang mempunyai hubungan keluarga dengan pihak yang berkuasa?"
Ada pihak yang berhujah bagi membela mereka yang ditahan di The Ship itu dengan dalih bahawa peruntukan "menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam" tidak jelas dan mengelirukan kerana tidak ada "precedent" sebelumnya.

Memang diakui tiada peruntukan khas mengenai kesalahan itu, sebagaimana peruntukan khas mengenai kesalahan berkaitan arak dalam Seksyen 18(1) dan 18(2) merujuk kesalahan menjual,membuat dan mengedar minuman memabukkan.

Soalnya, kita terlepas peluang untuk membuat "precedent" terhadap kes yang boleh dikaitkan dengan penghinaan terhadap Islam.

Sepatutnya, apabila kes "The Ship" itu dibiarkan berjalan menurut peraturan di mahkamah, barulah kita tahu apakah benar-benar peruntukan itu kabur atau sebaliknya.

Jika didapati peruntukan itu tidak jelas, maka pihak yang patut dipersalahkan ialah pihak yang menggubal dan meluluskannya, yakni kerajaan negeri Selangor yang diketuai Umno!

Hairan sekali, kalau kes membabitkan "kesalahan agama", di mana operasi tangkapan di buat ke atas kelab-kelab malam misalnya, ada-ada saja pihak atasan yang beria-ia mahu mempertahankan orang yang ditangkap itu, kononnya kerana anggota penguatkuasa berkelakuan tidak sopan, atau pun mereka yang ditangkap jahil tentang kesalahan itu.

Misalnya dalam kes tangkapan peserta ratu cantik,mereka yang menyertainya memberi alasan tidak mengetahu bahawa menjadi satu kesalahan berbuat demikian, sedangkan fatwa pengharaman ratu cantik telah diwartakan 25 bulan sebelum tiga gadis itu ditangkap.
Iaitu selepas melalui prosedur perundangan yang teliti, termasuk dibaca tiga kali di Dewan Undangan Negeri Selangor(ahli-ahlinya ketika itu mewakili Umno, Gerakan,MCA, MIC dan juga DAP), dan akhirnya diperkenan Sultan Selangor.

Malah gadis-gadis yang disyaki itu akan dihadapkan dimahkamah dan dibicarakan menurut proses perundangan dan keadilan. Hanya apabila kesalahan disabitkan mengikut undang-undang, maka barulah hukuman dikenakan.

Begitu juga dengan kes "The Ship", kalaupun ramai pemimpin Umno yang bersimpati, mereka boleh mengupah sehingga 20 orang peguam handalan di kuala Lumpur untuk membela pihak yang disyaki, bukan dengan mengganggu proses mahkamah.

JAWI terpaksa tunduk

Pensyarah undang-undang Dr Abd Aziz Bari, ketika mengulas hal berkenaan berkata: "Kejahilan undang-undang bukan satu alasan. Ini bukan "excuse". Mungkin anda boleh mengatakan itu untuk meminta kurang hukuman. Tapi undang-undang tidak pernah mengatakan bahawa bila awak tidak tahu, awak tidak dikenakan hukuman.Kalau macam itu susah jadinya. Semua orang akan mengaku tidak tahu undang-undang."

"Ini saya rasakan," tambahnya," sesuatu yang "double standard". Mengapa dalam soal syariah, itu yang hendak disentuh, padahal dalam undang-undang lain tidak ada."

Justeru, apabila Jawi menarik balik saman terhadap penyanyi dan pelakon, Jeslina Hashim, yang turut ditahan malam 13 Januari lalu, tanpa sebarang penjelasan," lagu lama rupanya diputar kembali". Walaupun pimpinan negara berubah kepada" cucu seorang tok guru", yang kini ghairah melobi projek Islam Hadhari.

Dipercaya Jawi terpaksa tunduk dengan perintah elit politik selepas Jeslina membuat kenyataan terbuka di media berpengaruh, termasuk stesen TV.

Dalam wawancara semuka penuh (dihiasi gambar warna-warni dalam pakaian menjolok mata) dengan Mingguan Malaysia, selepas ditanya "apa kata emak dan ayahnya" ekoran penahanan itu, Jeslina berkata, sambil membuat ugutan:

"Mereka langsung tak marahkan saya. Dan banyak kawan saya yang kena tu kata emak dan bapa dia orang tidak akan diamkan hal ini macam itu sahaja.Mereka bukan anak orang biasa. Orang berpangkat juga. Mereka akan lakukan sesuatu "Kalau saya berdosa, saya berdosa dengan Tuhan.Bukan dengan orang Jawi itu".

Ooop, rupanya ada anak-anak "orang besar" yang turut tertangkap.Patutlah ada seorang Menteri berkata," kita mungkin menjolok sarang tabuan".

Apakah orang seperti Jeslina memerlukan "tsunami" untuk menghukumnya? Saya tertarik dengan surat pembaca yang dikirim kepada sebuah akhbar harian: "Apakah kalau seorang Mat Rempit yang ditahan dalam operasi lumba haram terkencing dalam seluar di balai polis, maka segala operasi berkaitan akan digantung buat sementara dan kesnya dibuang begitu sahaja?"
Saya sendiri, dalam dua kes berasingan pernah mempersoalkan tindakan polis merampas buku-buku dan akhbar politik saya di Medan Idaman Gombak dan kilang percetakan di Shah Alam. Saya bertanya apakah butiran kesalahan sehingga semua 43,000 naskhah akhbar Memo 14 diangkut ke dalam trak sebelum dipasarkan, sambil mencabar pihak polis menunjukkan di bawah peruntukan mana operasi itu dijalankan.

Menyedari dia bertindak tanpa didokong fakta kes dan saya pula" tunjuk pandai", maka saya diarah tangkap dan dibawa ke balai polis Shah Alam!

Manakala apabila saya mencabar pegawai polis yang merampas buku-buku saya di kedai Medan Idaman, saya dipaksa mengikutnya ke balai polis di Jalan Ipoh!

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan tindakan Jawi menarik saman itu memberi kesan buruk terhadap kewibawaan jabatan berkenaan.

"Apabila kita tarik balik kes," tambahnya," orang akan pandang rendah. Jika kakitangan melakukan Kesalahan, tindakan perlu diambil terhadap mereka, bukan menyalahkan Jawi. Jangan kerana tidak puas hati terhadap sikap pegawai, prosedur menguatkuasakan undang-undang atau tuan serbuan dibuat juga turut dipertikaikan," katanya.

Ramai pihak mengaitkan penarikan balik saman itu dengan menteri-menteri tertentu, seperti Najib Tun Razak, Shahrizat Jalil, Azalina Othman, Isa Samad, namun saya tetap meletakkan segala-galanya kepada Perdana Menteri. Ketika Mahathir berundur, ramai mengharapkan agar tragedi yang menimpa Ishak Baharom, pegawai Badar dan penarikan balik kes "The Ship" tidak berulang.

Rupanya yang berbeza hanyalah Abdullah Badawi ini pandai menjaga bicaranya-tidak seperti Mahathir yang tidak segan silu meluahkan kejengkelannya-namun kesan akhirnya sama saja. PM sekadar tidak memberi komen, tetapi mampukah dia untuk terus berdalih" saya belum mendapat maklumat mengenainya" bagi mengelak namanya dilumuri imej negatif seperti Mahathir?

Tsunami: Beberapa lamakah 'Keinsafan' ini akan bertahan?

SEGALANYA sudah dipaparkan, pelbagai analisis dikemukakan, kisah-kisah sedih, pelik, aneh dan tragis menjadi bualan, limpahan derma dikumpulkan, bantuan dari seluruh pelosok dunia tertumpu ke kawasan bencana.Hendaknya untaian iktibar dan pengajaran dapat dipungut dari peritiwa mengejutkan itu. Soalnya, berapa lama "keinsafan" ini mampu bertahan?
Pada malam tahun baru, saya sengaja menyusur KLCC dari lokasi berdekatan yang dulunya meriah dengan pesta maksiat. Meskipun acara rasmi dibatalkan, namun suasananya tidak jauh berbeza.
Sukar untuk "mendidik dan memurnikan" kalbu dengan bencana sedahsyat itu, apatah lagi yang tidak menjadi saksi mata. Sewaktu kerajaan hanya berduka kerana "penghormatan" mangsa dan akan meneruskan kelaziman bila segalanya kembali seperti biasa."MCA Kedah lebih sensitif apabila membatalkan rumah terbuka Tahun Baru Cina Februari depan, berbanding TV3 yang akan menjayakan pesta anugerah juara lagu beberapa hari lagi," komen seorang kawan, yang cukup tidak puas hati dengan pengagihan bantuan yang lambat dan bersifat pilih kasih.
Tsunami-sedap didengar,halus disebut, namun petaka kiamat kecil itu cukup pedih menikam, sedalam-dalamnya (Ia mengingatkan nama menarik Bosnia-Herzegovina, yang hanya mula dikenali ketika ramai penduduk Muslimnya tergelak disembelih). Sekadar menonton cebisan peristiwa melalui rakaman kamera amatur sudah cukup menggerunkan, tidak terbayang mereka yang bertarung hidup-mati dipukul ombak ganas. Air yang tiba-tiba surut disedut rupanya mengumpul kekuatan untuk memberi pukulan maut.
Ikan dilaut lepas meluru ke pesisir pantai seakan mahu membawa khabar ancaman, namun ia dianggap tidak lebih dari rezeki terpijak. Burung-burung camar putih memenuhi angkasa Bandar Aceh sehari sebelum gelora, tetapi tiada siapa dapat mengesan amaran awal bahaya itu.
Gajah di Thailand mengamuk lari kebukit hanya disedari sebabnya selepas pekikan dan lolongan pengunjung pantai bergema. Taman Negara Yala di Sri Lanka turut dilanda ombak besar namun tiada bangkai gajah, harimau bintang,rusa,anjing liar dan buaya ditemui selepas kejadian.
Sesungguhnya kekerdilan insan terbukti sudah, kecanggihan teknologi tidak dapat menolak bala Ilahi.(Tapi ia bukan dalih untuk kerajaan pasrah kepada takdir selepas tidak membuat persiapan rapi menghadapi bencana tidak terduga, disusuli pengurusan krisis yang buruk, selain asyik memperagakan imej parti di kawasan penempatan mangsa.Menantu PM, Naib Ketua Pemuda Umno mendapat liputan istimewa sebuah harian Melayu semasa berita bekas PM, Mahathir Mohamad digelapkan walaupun beliau turut turun ke Langkawi dan Kuala Muda).
Saban hari dilaporkan angka korban terus meningkat, manakala ramai lagi dipercayai ditelan bumi, sepertimana ada lokasi dan pulau di Aceh yang lenyap begitu saja. Musibah belum berakhir apabila saudara-mara terbunuh, kediaman ranap,mata pencarian terputus, wabak penyakit merebak, bekalan air bersih diburu, trauma menyelubungi diri dan bantuan yang dijanji belum ditepati semasa kuasa penjajah baru Amerika dan sekutunya menunjuk simpati.
Dari sisi lain, bayangkan saja, Banda Aceh yang secara relatifnya mudah dihubungi pun belum terurus pengebumian mayat, bagaimana pula dengan Meulaboh (150 km dari pusat gempa) yang terputus terus dengan dunia luar itu?Entah puluhan ribu lagi jasad reput belum ditemui.
Jenazah yang dulunya disantuni dan dipesan agar tidak disakiti, dimandikan penuh beradab dikafan secara teratur,disembahyangkan, kini ditimbus begitu saja, berlapis-lapis culang-caling, tanpa sebarang penghormatan. Terkedu membaca luahan rasa seorang pekerja kilang elektronik berasal dari Aceh yang kini bekerja di Pulau Pinang selepas mendapat tahu 12 ahli keluarganya di Desa Lhok'nga, terkorban dan kampungnya lenyap ditelan laut. Seorang anak kakaknya yang berusia 10 tahun terselamat apabila ombak setinggi pokok kelapa itu menghanyutkannya ke kubah masjid dan tersangkut di situ. Selepas surut penduduk kampung menurunkan anak yang berpaut pada kubah masjid itu.
Husam Musa, anggota Exco kanan kerajaan Kelantan juga membawa kisah menakjubkan seperti diceritakan penduduk Aceh kepadanya.
Ombak yang meluru deras tiba-tiba menyimpang ke kiri dan kanan masjid, tempat tumpuan mangsa mencari perlindungan.Perdana Menteri turut memaklumkan hal sama, mungkin berlaku kepada masjid berbeza:"Ombak berpatah balik sebelum menghampiri masjid."
Faktor kekukuhan struktur binaan masjid mungkin banyak membantu daripada ia menyembah bumi, tapi apa rasionalnya bila ada masjid kayu terselamat walaupun bangunan lain disekililingnya musnah. Bagi dua warga Aceh yang ditemui di Lautan Hindi selepas seminggu dilambung ombak, seorang daripadanya sedang membina masjid ketika kejadian dan seorang lagi berlari ke arah masjid untuk berlindung. Semasa lapan hari terapung mangsa pertama tidak pernah berhenti membaca doa tahan lapar dan tidak meninggalkan solat.
Jiran sekampung saya Anuar Mahmud, yang kehilangan puteri kesayangannya di Pantai Pasir Panjang,memberitahu dia melihat orang yang solat Zuhur di tepi pantai terselamat dari bidasan tsunami. Ditanya perasaannya, melalui SMS, ketika mayat anaknya belum ditemui, Anuar membalas: "Aku reda."Panggilan maut adalah kiamat kecil bagi setiap orang.
Namun suasana kekalutan dan kacau-bilau sewaktu kejadian lebih dahsyat lagi.Presiden Mercy Malaysia, Dr Jemilah Mahmood berkata, beliau seperti melihat gambaran kiamat di depan mata. Apa yang dinukilkan kiamat dalam al-Quran semuanya berlaku orang bertempiaran, anak terlepas dari tangan ibu mengandung melahirkan anak.Ketua misi pertama PAS ke Aceh, Dr Syed Azman mengungkapkan hal yang sama:"Suanti, tidak dapat menyelamatkan isteri, begitu juga sebaliknya, ada yang tertanggal terus pakaian tetapi tidak sempat berasa malu demi menyelamatkan diri." Husam menambah:"Ada wanita tua uzur selamat sedangkan orang muda yang gagah maut."Ada yang mengingatkan Majoriti di Malaysia terselamat dari pukulan gempa tsunami disebabkan ombak besar itu tertahan dengan zon penampan, iaitu kepulauan Sumetera; terutama wilayah di utara Aceh.
Justeru, berbanding warga dunia lain, kita sepatutnya lebih berasa bertanggungjawab untuk bukan saja memberi sumbangan awal, malah memulihkan Serambi Makkah itu, sekurang-kurangnya sebagai tanda terima kasih tidak terhingga "menyelamatkan" kita, selain kelaziman jiran terdekat."Bukan saja Langkawi, Pulau Pinang, pesisir pantai Kedah, Perlis dan utara Perak yang terjejas, tetapi seluruh pantai barat sehingga jauh ke selatan tanah air, termasuk Pelabuhan Klang, akan musnah teruk jika tidak dihadang muncung Aceh," kata seorang teman. Presiden Ikatan Masyarakat Aceh-Malaysia, Sanusi Junid menjolok:"Kita memerlukan gempa bumi untuk membuka Aceh kepada dunia, membebaskan Aceh sehingga orang luar boleh masuk.
Begitu hebatnya, Tuhan "terpaksa campur tangan" untuk membebaskan Aceh." Berdepan kamera TV3, Sanusi sempat melepas geram kepada Jakarta yang selama ini menzalimi Aceh, selepas merampas hasil kekayaan buminya.
Agak malang, selaku Pengerusi OIC, Abdullah Badawi cukup lambat melawat Aceh, itu pun dalam perjalanan pulang ke KL selepas menghadiri mesyuarat khas tsunami di Jakarta.
Selepas 13 hari baru Abdullah meninjau padang jarak di Aceh. Ini mengingatkan kepulangannya ake tanah air juga terlewat; sempatlah Timbalannya, Najib berlagak hero ketika ketuanya bercuti dilur negara! Ramai bertanya-tanya, apa peranan khusus yang dimainkan Malaysia selaku peneraju OIC, ketika masyarakat Islam bingung melihatkan negara-negara Arab yang kaya raya bakhil menawarkan bantuan. Brunei yang dilimpahi nikmat emas hitam itu juga membisu seribu bahasa. Sudahlah negara Islam kekurangan kepakaran teknikal dan logistik, lebihan wang yang adapun terperam di poket pemerintah masing-masing. Lihatlah senarai negara penderma terbanyak, kalau bukan Australia, Jerman, Jepun dan Amerika. Saya tidak pasti berapa negara-negara Islam tersenarai walaupun negara paling terjejas teruk adalah Indonesia, yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia.(Umat Islam di Thailand, Sri Lanka dan India turut menjadi mangsa, selain Malaysia).
Sewajarnya selaku Pengerusi OIC, Malaysia bingkas bertindak meyelaraskan bantuan.Sekurang-kurangnya menemukan semua Menteri Luar bagi merumuskan langkah terbaik.
Pamerkanlah kesungguhan, jangan hanya menunggu inisiatif pihak lain. Bencana di Bam Iran, pada tarikh sama 2003, turut menonjolkan kelemahan Malaysia beraksi sebagai peneraju di pentas dunia, yang ketika itu baru saja dilantik mengetuai OIC. Dari satu sudut, saya tidak bersetuju dengan pendapat PM bahawa negara kita mempunyai prasarana bertaraf dunia tetapi mentaliti rakyat bertaraf dunia ketiga.
Tidak perlu mengungkit begitu banyak projek misalnya MRR2, makmal sekolah, bangunan Matrade pembinaan sekilah satu sessi di bawah PMC yang diselubungi kegagalan, sistem amaran awal pun tidak terbentuk, walaupun pada tahap amatur. Kalau Thailand boleh "memecat" Ketua Jabatan Kaji Cuacanya, apakah tiada cacat cela pengurusan krisis negara ini pada kemampuan sedia ada?Ini belum diselidiki rungutan mangsa yang menghadapi pelbagai karenah pengagihan bantuan. Rakyat Malaysia sudah membuktikan kemurahan hati mereka, malangnya pihak kerajaan seperti sukar sangat untuk memanfaatkan wang hampir RM30 juta itu."Nak mengagihkan derma orang pun teragak-agak, inikan pula kalau nak minta duit dari kantung kerajaan sendiri," rungut seorang pemerhati."
Kalau hanya beri peruntukan daripada derma rakyat, senanglah jadi kerajaan," kata Mahfuz Omar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah. Ingatan pakar motivasi Dr Fadzilah kamsah tentang perlunya diasingkan bantuan dari sumber tidak halal kepada mangsa Muslim wajar dilaksanakan segera. Moga tsunami mengurniakan "syuhada" pada mangsa dan menyuntik rasa gerun terhadap kuasa Allah buat semua, di samping mendorong tekad tanpa bertangguh lagi untuk bertaubat nasuha.
Hendaknya semangat berlumba-lumba membuat kebaikan berterusan dan pihak kerajaan bersedia mengumpulkan semua pihak terbabit, termasuk NGO dan pembangkang, membedah siasat kelemahan menguruskan bencana ini.