08 Mei 2009

Ramainya "anak haram" di sidang Dun Perak yang lahir dari perzinaan 5 Februari

7 Mei 2009, satu lagi tarikh gelap gelita bagi demokrasi di Malaysia. Sidang Dun Perak yang haram dan tidak mengikut undang-undang serta perlembagaan itu hanya menyerlahkan sikap rakus (Mahathir sebelum ini menyifatkan tindakan rampasan kuasa BN Perak ke atas kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebagai gopoh) BN yang tidak sabar-sabar untuk mengambil alih kerajaan Perak.

Benar sekali perumpamaan Prof Dr Abdul Aziz Bari bahawa tindakan memalukan di sidang Dun itu boleh disifatkan sebagai persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu, yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu. Ia bermula daripada tindakan rampasan kuasa yang bercanggah dengan peraturan undang-undang dan perlembagaan negeri.

Begitu juga dengan sidang Dun di bawah pokok yang terpaksa diadakan selepas pihak polis dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang masuk campur dalam hal-hal yang tidak sepatutnya mereka terlibat. Ya, bagaimana Speaker V Sivakumar dihalang daripada menjalankan tugasnya.

Begitu juga yang berlaku di Dun Perak 7 Mei apabila Sivakumar diperlakukan dengan begitu biadab dan dibawa keluar daripada dewan dengan cara samseng jalanan. Pelik, dalam keadaan sidang Dun belum bermula tiba-tiba timbalan speaker yang belot itu, Hee Yit Foong, boleh menjalankan tugas-tugas speaker dan kemudiannya melantik speaker baru. Atas peruntukan mana Hee boleh bertindak sejauh itu? Sedangkan Sivakumar masih ada di situ dan belumpun memulakan persidangan Dun pun!

Campur tangan polis pula satu hal serius yang harus diberi perhatian. Sudahlah selama ini pihak polis sanggup menjadi alat dan perkakas untuk BN mempertahankan sakibaki kuasa mereka, kali ini mereka bertindak lebih rakus lagi, dengan menyeret keluar Sivakumar daripada dewan. Walhal dulu, semasa kes Karpal Sing dikasari di Parlimen, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Syed Hamid Albar dan Ketua Polis Negara sendiri mengakui bahawa polis tidak mempunyai kuasa dalam kamar dewan. Walaupun jika berlaku pergaduhan hanya petugas Dewan sahaja boleh mengambil tindakan perlu, termasuk tangkapan. Dalam sidang Dun Perak tak dapat dipastikan berapa ramai anggota polis yang hadir terutama yang berpakaian preman.

Juga yang menjadi tandatanya, bilakah masa sebenar sidang Dun bermula, apakah selepas perasmian oleh Raja Nazrin Shah yang terpaksa ditangguhkan sehingga jam 3 petang atau sebelum itu lagi? Bagaimana pula dengan kesahihan perlantikan Speaker yang baru, Ganesan, yang dibuat secara haram dan bercanggah dengan Perlembagaan? Memang segalanya menjadi cacamarba dan haru-biru apabila begitu ramai anak haram yang lahir daripada persetubuhan haram awal Februari lalu.

Tabik buat rakan-rakan Wong Chin Huat ...

Saya kagum dan teruja dengan semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh teman-teman Wong Chin Huat yang ditahan di bawah Akta Hasutan ekoran kenyataannya mengenai sidang Dun Perak 7 Mei.

Tanpa gentar dengan sebarang tindakan pihak polis, mereka berhimpun di hadapan balai polis Brickfields, menyalakan lilin, melakukan protes senyap dan tetap di situ biarpun diminta beredar oleh polis.

Bagi saya, tidak salah kita beri penghargaan kepada rakan-rakan Tionghua yang menunjukkan komitmen tinggi dan memberikan makna kepada erti persahabatan, ringan sama dijinjing berat sama dipikul.

Saya pasti Wong Chin Huat tentunya berasa bangga dengan kejituan semangat teman-temannya, sekurang-kurangnya sebagai satu sokongan moral buat penggerak NGO Bersih itu. Dalam suasana kita dikurung dalam lokap polis seperti Wong Chin Huat itu, saya kira, tindakan protes menyalakan lilin itu sudah cukup untuk memberikan dorongan lebih kuat untuk terus berjuang menegakkan kebenaran.

Mereka tidak membiarkan Wong keseorangan menempuh saat-saat sukar yang dihadapinya. Saya terharu dengan nilai persahabatan yang ditunjukkan itu. Tahniah ...


Berikut adalah petikan berita malaysiakini itu:

Untuk dua malam berturut-turut, polis Brickfields menahan mereka yang berhimpun menyertai nyalaan lilin sebagai tanda sokongan kepada aktivis Wong Chin Huat yang ditahan di bawah Akta Hasutan Rabu lalu.

vigil and arrest in front brickfield polis station 070509  02Dan seperti malam semalam, 14 orang ditahan malam ini kerana didakwa menyertai satu perhimpunan haram.

Mereka adalah sebahagian daripada kira-kira 20 orang yang berhimpun di balai polis berkenaan pada kira-kira jam 8.50 malam ini.

Mereka berarak menuju ke balai tersebut, sambil membawa lilin, dari sebuah restoran makanan segera yang terletak kira-kira 150 meter dari situ.

Sebaik saha tiba di pintu masuk balai tersebut, seorang pegawai polis mendekati mereka dan mengarahkan mereka supaya bersurai. Sebahagian kecil daripada mereka enggan berbuat demikian dan terus memegang lilin.

Pada kira-kira jam 9.25 malam, ketua balik daerah Brickfields, Wan Bari Wan Abdul Khalid keluar dan mengarahkan mereka sebanyak tiga kali supaya bersurai.

Empat belas daripada mereka - sembilan lelaki dan lima wanita - ditahan selepas enggan bersurai.

Mereka termasuklah exco Angkatan Muda PKR, Ginnie Lim; Ketua Belia KLSCAH, Ng Chong Soon; wartawan The Yi Keong; pekerja parti PKR, Chua Yee Ling dan beberapa orang aktivis pelajar.