Memaparkan catatan dengan label PRU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRU. Papar semua catatan

23 Oktober 2009

"Maaf, saya bimbang mood menjelang PRU13 memihak BN"

AIDILFITRI yang disambut selama sebulan di Malaysia sudahpun berlalu. Diharap ikatan silaturrahim sesama kita semakin tulus dan permohonan maaf yang mudah terucap dari bibir ke bibir menjernihkan lagi perhubungan.

Semoga cabaran kehidupan mampu ditempuh sebaiknya, berbekalkan latihan intensif di bulan Ramadan yang masih terasa syahdunya itu, insya-Allah.

Pengajaran pilihan raya kecil Bagan Pinang dan iktibar 'kekalahan besar' masih diperkatakan. Begitu juga dengan impak perhimpunan Umno dan pergolakan politik semasa, termasuk kemungkinan sidang Dun Perak dibubarkan.

Bedah-siasat kegagalan di Bagan Pinang secara terperinci pastinya berjalan lancar, asalkan tiada tuding-menuding dan niat mahu meletakkan kesalahan ke bahu pihak lain. Sikap berlapang dada menerima kritikan, teguran hatta kecaman di waktu kalah memang tidak mudah, namun ia amat dituntut.

Bersedia bermuhasabah dan mengkoreksi diri harus disusuli keberanian melakukan perubahan. Bukan pula bermakna Bagan Pinang bakal merombak segalanya, tetapi sementara masih ada peluang dan ruang, di kala pilihan raya umum agak jauh tempohnya lagi, renungilah kelemahan dan kealpaan, seterusnya bingkas mencari formula penyelesaian yang disepakati bersama.

Ketika Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Dr Mahathir Mohamad, ramai yang meremehkannya. Abdullah dilihat tidak mempunyai personaliti sekuat Mahathir, mudah dipengaruhi, tidak tegas membuat keputusan, sukar melakukan perubahan, daya tumpuan dan imiginasinya terbatas, dan panjang lagi senarai kelemahannya. Pelbagai slogan yang diciptanya gagal untuk dimaknakan.

Perangi rasuah

Beberapa tindakan awalnya, seperti usaha memerangi rasuah, dengan menyeret tokoh-tokoh ternama, termasuk menteri dan ahli korporat terkemuka ke mahkamah, juga diperkecilkan.

Gerakan pembangkang ketika itu masih tidak berubah temponya bila berdepan Abdullah, berbanding era Mahathir dulu, gaya serangan hampir sama. Tiba pilihan raya 2004, BN mencatat kemenangan paling bersejarah. Kelantan yang dilihat kebal hampir tumbang. Terengganu, yang baru sepenggal dikuasai PAS, luruh mudah.

Memang regim Abdullah hanya bermain retorik, intinya tetap sama, membusuk dan menanah denganrasuah, egois, rakus, pilih kasih dan lupa diri. Namun, masyarakat amat dahagakan pembaharuandan perubahan imej dari 'zaman gelap' Mahathir. Dengan penuh bergaya, Abdullah mengisi kekosongan itu, sedangkan prestasi kerja beliau dalam kabinet Mahathir tidaklah sehebat mana.

Apakah pandangan rakyat Malaysia begitu mudah dikelirukan atau Abdullah terlalu cekap mengatur langkah - dengan bantuan tukang-tukang spinnya - menambat hati rakyat? Bibit-bibit reformasi 1999 bagaikan dicantas. Umno-BN sendirimungkin terkejut, bagaimana dalam masa singkat, pengundi kembali semula kepadanya, sedangkan perubahan hanya kosmetik tipis. Tapi, bukankah politik itu dikuasai persepsi?

Sering saya ulangi, tsunami Mac 2008 cukup mengejutkan semua pihak, hampir tiada siapa menjangkakan hal itu. Pemimpin komponen BN di Semenanjung, terutama MIC, MCA dan Gerakan yang menimpa bencana, kehilangan punca.

Saya masih ingat keluhan seorang Adun Umno Selangor, yang cukup rapat dengan Dr Mohd Khir Toyo: "Lutfi, kau buatlah kajian mengapa pengundi India dan Cina tidak lagi sokong BN. Rasanya,macam di kawasan aku, masyarakat Cina langsung tidak menunjukkan protes, bila aku jamu makan semasa kempen, semua berduyun-duyun datang. Tapi bila tong undi dibuka, hampir lapan darisepuluh pengundi tidak memangkah BN sedangkan calon PAS tidak datang pun berkempen. Ajaib ni!"

Bimbang dengan rentak sokongan

Kini, apabila saya bimbang dengan rentak sokongan pengundi bukan Melayu - yang mungkin terikat dengan teori pendulum - bukanlah bermakna saya menjadikan kes Bagan Pinang sebagai satu-satunya rujukan. Bagan Pinang boleh saja dikatakan kes terasing, tapi saya lebih sukakita menggali iktibar untuk merencanakan gerak kerja lebih tersusun.

Kebimbangan saya lebih mendalam apabila ada pihak mendakwa kehadiran masyarakat bukan Melayu pada majlis rumah terbuka agak merosot berbanding tahun-tahun lalu, termasuk tahun sebelum pilihan raya umum 2008. Mungkin ia juga kes terasing, tetapi rasanya tidak salah untuk kita turut risau dan cuba menjejaki masalah sebenar, 'kan? (Saya tidak mahu kita mengambil mudah dengan petanda kecil di hadapan kita).

Apabila Najib Razak menjanjikan perubahan dalam Umno, saya lebih suka untuk tidak memandang enteng. Ya, Najib juga seperti Abdullah, segalanya untuk menarik sokongan dan gimik, tetapi bukankah itu satu permainan politik yang lazim?

Majoriti rakyat mungkin melihatnya dari kacamata berbeza, dan mereka dengan mudah dapat dipengaruhi dengan imej-imej palsu itu. Jika faktor populariti Isa Samad berjaya di Bagan Pinang, tidak mustahil sosok Najib mampu meleraikan sokongan buat Pakatan.

Apatah lagi dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, rakyat akan menghakimi dari dekat prestasi Pakatan, cerewet tentang calon-calon yang ditampilkannya, mengungkit janji manfesto yang mungkin belum dapat dilunasi, dan tidak puas hati dengan persefahaman sesama parti.

Saya pernah ditegur kerana membayangkan keputusan muram buat pembangkang pada 2004, lalu saya bersedia untuk dimarahi jika terpaksa menzahirkan rasa bimbang bahawa pusingan berikutnya (PRU13) mungkin memihak BN pula.

Cuma kerisauan ini dicetuskan lebih awal agar persiapan dapat dilipatgandakan. Tanggungjawab besar dipikul oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan dan pemimpin utama pusat yang menjadi simbol dan lambang keupayaan kita untuk menerajui kerajaan persekutuan, bagi memungkinkan terlaksananya satu perubahan mendasar yang diimpikan semua.

Tanpa mengambil alih kerajaan pusat, sekatan dan halangan terhadap kerajaan negeri Pakatan akan terus bertindan-tindih.

16 Oktober 2009

Integriti, Bala dan Kumutha di Bagan Pinang

PENGUNDI di Malaysia, melalui pilihan raya umum 8 Mac 2008 dan siri pilihan raya kecil selepas itu, semakin bijak memilih dan mementingkan calon yang berintegriti.

Di Permatang Pasir, personaliti calon BN yang bermasalah menjadi tumpuan dan kritikan, hinggakan pemimpin atasan parti pun tidak mampu mempertahankannya. Begitu juga di Kuala Terengganu, walaupun penyandangnya BN, sejak awal wibawa calon PAS jauh meninggalkan ayam tambatan Umno, yang juga timbalan menteri yang baru meletakkan jawatan.

Malah, Dr Mahathir Mohamad sendiri mengingatkan agar jangan memandang rendah keupayaan intelektual pengundi hari ini. Bekas Perdana Menteri itu langsung tidak bersedia berkempen untuk Isa, yang dilihatnya bakal menyebabkan Umno secara keseluruhannya akan menghadapi lebih banyak masalah, walaupun mungkin boleh membawa kemenangan mudah buat Bn.

Memilih Isa Samad, yang sudah disabitkan amalan rasuah semasa berkempen merebut Naib Presiden Umno 2004 dan digantung selama enam tahun tetapi dikurangkan tiga tahun selepas rayuan, akan meninggalkan kesan buruk yang mendalam ke atas usaha Umno dan kerajaan untuk membanteras korupsi yang semakin membudaya dalam masyarakat.

Di atas kertas, Isa mungkin sukar dikalahkan, tetapi kemenangannya itu bakal membawa persepsi salah terhadap kecenderungan mengundi rakyat Malaysia. Seolah-olah pengundi kita - seperti juga pemimpin BN (dan sebelumnya perwakilan Umno) - langsung tidak mementingkan soal integriti calon jika mereka memenangkan Isa.

Apa pun saya percaya, jika masyarakat kita didedahkan dengan kefahaman sebenar tentang kejijikan rasuah dan kebaikan memilih kepimpinan berintegriti, serta hubungannya dengan penghayatan hidup beragama, maka orang yang terbukti korup seperti Isa bukan sahaja akan ditolak rakyat, malah tidak ada mana-mana parti yang bersedia mencalonkannya. Bukan itu sahaja, tokoh rasuah yang dicalonkan juga berasa malu dan menarik diri dari awal-awal lagi.

Justeru, ramai menunggu keputusan di Bagan Pinang, sebuah kawasan semi-urban di selatan Semenanjung, bagi menjangkakan pola pengundian dalam pilihan raya umum paling kritikal buat BN dan juga Pakatan, sekitar 2-3 tahun akan datang.

Menang atau, apatah lagi, kalah dalam pilihan raya kecil ini, buat BN, ia langsung tidak boleh disandarkan harapan untuk kita mengembalikan satu budaya politik yang berintegriti, beretika dan bermaruah.

II.

Semasa membuat tinjauan persiapan Harakah di markas besar jentera kempen PAS Bagan Pinang, Ahad lalu, saya sempat berbual-bual dengan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India (KPPI) Malaysia, N Balasubramaniam yang ternyata bersemangat membantu kempen Pakatan Rakyat. Sebelum hari penamaan calon lagi beliau sudah dua kali turun ke kawasan Dun yang mempunyai pengundi India sekitar 20 peratus itu.

"Kalau dulu kira-kira 65 peratus pengundi India sokong PAS, kali ini kita cuba meningkatkannya hingga 80 peratus," katanya, sambil menjelaskan banyak isu memihak PAS, seperti perarakan kepala lembu di Shah Alam, kenyataaan pemimpin Umno yang merendahkan kaum India dan janji MIC semasa kempen pilihan raya 2008 yang tidak tertunai. Beliau memberitahu lebih 200 aktivis KPPI hadir semasa hari penamaan calon dan 20 daripadanya akan berkampung untuk berkempen sehingga hari mengundi.

"MIC janji nak bagi tanah satu hektar kepada setiap keluarga di Estet Sua Betong, tapi mereka perlu dapatkan dulu bangunan sekolah Tamil yang kini ditempatkan di atas rumah kedai di Lukut," ujarnya sambil tersenyum.

Ditanya bagaimana mula beliau tertarik dengan Parti Islam, Bala yang juga pernah menjadi sami, percaya sesiapa saja yang patuh kepada ajaran agama, dan dalam Islam mengikut al-Quran seperti diamalkan penyokong dan pemimpin PAS, maka ia akan membawa kebaikan dan perlu disokong.

Bala juga tidak bimbang dengan kempen MIC di kawasan ladang, begitu juga dengan pemilihan Isa sebagai calon BN. "Selama lebih 20 tahun jadi MB, ISA tak rapat pun dengan akar umbi. Dalam masa 50 tahun BN memerintah, kami dilupakan dan tiada usaha serius untuk membangunkan masyarakat India," tegasnya.

Mengulas kehadiran agak ramai mereka yang mendakwa anggota Kelab Penyokong BN semasa hari penamaan calon, Bala berkata, kebanyakannya adalah pelajar Kolej Tafe milik MIC yang belum pun 'cukup umur untuk menjadi pengundi'. "Apa pun, kami akan bersungguh-sungguh berkempen memenangkan PAS," tambahnya.

Turut dalam pertemuan itu, R Kumutha, Ketua Wanita KPPI Malaysia, yang tidak lokek dengan senyuman manisnya. Beliau yang pernah mewakili PAS, tetapi atas simbol KeADILan, dalam pilihan raya umum 2008 di Johor, cukup yakin masyarakat India sukar untuk kembali menyokong BN.

"Sepanjang kami berkempen dari rumah ke rumah, penerimaan masyarakat setempat cukup menggalakkan. Saya menjelaskan tujuan kami datang ke rumah mereka, mendedahkan isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka, seperti pendidikan dan kerjaya anak-anak. Dan jika mahukan perubahan, kita harus sokong PAS," jelas Kumutha, yang juga seorang peguam.

Beliau yang arif tentang perlembagaan PAS mudah menjelaskan sebarang salah faham yang ditimbulkan pengundi: "Selain isu hudud yang saya jelaskan berdasarkan perlembagaan parti, contoh kesederhanaan hidup Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dibandingkan gaya hidup pemimpin BN, misalnya Dr Khir Toyo yang mempunyai istana mewah, begitu menarik minat mereka. Begitu juga dengan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat."

Lebih menarik apabila wanita muda yang berasal dari Johor Bahru ini menceritakan pengalamannya bertanding dalam pilihan raya umum, Mac 2008. Kumutha yang hanya balik dari United Kingdom pada Julai 2007 selepas menamatkan pengajian undang-undangnya tertarik dengan PAS selepas mengikuti ceramah pada awal 2008.

"Saya tidak dapat lupa sokongan tulus ikhlas orang PAS, mereka begitu ringan tulang membantu saya," ujarnya.

Bagi Kamutha dan Bala, masa depan PAS di negara ini "begitu menjanjikan". Tembok perkauman yang roboh, selaras dengan motto "PAS for All", perlu disusuli dengan sikap yang konsisten demi membebaskan Malaysia daripada segala bentuk penganiayaan, kezaliman dan ketidakadilan.

"Bagan Pinang memang penting buat PAS, Pakatan dan juga BN, namun apa jua keputusannya nanti, momentum perubahan politik ke selatan tanahair sudah tidak dapat disekat lagi," kata Kumutha.