Memaparkan catatan dengan label SPRM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SPRM. Papar semua catatan

01 September 2009

Catatan fasa dua Ramadan dan permainan perkauman BN yang berbahaya

RAMADAN sudah melewati fasa 10 hari kedua, yang dijanjikan keampunan (maghfirah), selepas Allah melimpahkan rahmat, sebelum "pembebasan dari api neraka".

Bagi yang alpa-leka dan mensesiakan tempoh satu pertiga Ramadan yang berlalu itu, masa belum terlambat untuk kembali merebut peluang keemasan, yang tentunya tidak dapat dipastikan akan berulang pada tahun depan.

Perhatikan di sekeliling, mungkin ada anggota keluarga atau rakan taulan yang bersama-sama menikmati juadah berbuka tahun lalu, bertarawikh dan bertadarus, tetapi kini sudah menghadap Ilahi.

Madrasah Ramadan, pusat latihan mendidik diri menundukkan nafsu, bulan penuh keberkatan menemui diri di malam-malamnya, sambil beristighfar, bermunajat dan bertaubat penuh keinsafan.

Ramadan juga mendidik jiwa menjernihkan hati, menyantuni golongan fakir, mengasihi orang tua, menyuburkan sifat pemurah, meluhurkan tekad, mengikis budaya tamak-haloba.

Ramadan turut mendorong dan menyemarakkan semangat jihad, mengangkat martabat umat, meninggikan darjat agama dan bersedia mengorbankan kepentingan diri.

Masya-Allah, sungguh luarbiasa bulan istimewa ini. Pastikan anda dan saya dapat memanfaatkan setiap detik di dalamnya untuk beribadah setulus dan seikhlasnya.

II.

Agak berang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Seri Ahmad Said Hamdan dengan pelbagai kritikan yang dihamburkan kepada badan berkenaan terutama berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock.

Wibawa SPRM dipersoal oleh setiap lapisan masyarakat. Ia bagai diasak kiri dan kanan, depan dan belakang, atas dan bawah. Malah, dalam inkues yang berjalan, publik didedahkan dengan gelagat pegawainya yang mencurigakan.

Sebagai orang yang pernah berurusan dengan SPRM (dulunya BPR), ia tambah meneguhkan keyakinan saya bahawa badan itu perlu direformasi besar-besaran sebelum dapat melaksanakan misi unggul membanteras rasuah.

Syarat utama, pecat semua pegawai kanannya yang bukan saja dilihat bersekongkol dengan pemerintah tetapi lebih buruk lagi, "memperdagangkan" laporan rasuah demi mengejar habuan lumayan.

Mana mungkin korupsi dapat dibanteras jika, misalnya, SPRM hanya ghairah dengan kes peruntukan Dun Selangor tetapi berdiam diri apabila TPM mengaku menggunakan helikopter Nuri milik TUDM untuk merasmikan mesyuarat agung Umno Penampang, 16 Ogos lalu. Senarai kes "pilih bulu" ini terlalu panjang untuk dibutirkan.

Seperti ditegaskan Prof Abd Rahman Embong dalam Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas, semua jenayah seperti membunuh, merompak, mencuri dan merogol mempunyai mangsa yang jelas, kecuali rasuah. Ia suatu jenayah yang cukup kompleks dan usaha menanganinya rumit sekali.

Justeru, bagi Alatas, sebarang perubahan struktural dan perundangan dalam pentadbiran pemerintah bagi tujuan menangani rasuah hanya akan berjaya sekiranya terdapat sekumpulan individu yang berprinsip tinggi dan teguh menduduki jawatan utama yang penting bagi kejayaan misi pencegahan rasuah.

III.

Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir memang mengecewakan Umno pimpinan Najib Razak. Harapan untuk melihat momentum Manek Urai berjangkit ke Permatang Pauh, kubu Anwar Ibrahim, berkecai.

Trend mengundi Mac 2008 masih tidak berubah. Meskipun Umno bermain dengan bahaya api perkauman, seperti ditonjolkan melalui Utusan Malaysia, pengundi Melayu di kawasan bandar dan pinggir kota khususnya, tetap menolak BN, manakala masyarakat bukan Melayu makin menjauhkan diri, apatah lagi parti komponen seperti MCA bergolak dahsyat.

Terbaru isu kuil Hindu dan perarakan kepala lembu di Shah Alam pasti membuatkan pengundi India (yang pada awalnya seperti ada sebahagian daripadanya mahu kembali kepada BN) semakin dekat dengan siapa saja yang berseteru politik dengan Umno-BN.

Presiden PAS menyifatkan pengundi bermaklumat, seperti di Permatang Pasir, lebih cenderung untuk bersama Pakatan Rakyat. Mereka membuat keputusan untuk mengundi seseorang calon berdasarkan ilmu dan kefahaman.

Namun segalanya tidak mudah buat Pakatan. Pengundi Melayu harus lebih dijinakkan, terutama untuk mendekati PAS. Selagi PAS belum dapat menembusi kubu Umno, agak sukar BN ditumbangkan di peringkat pusat.

Dalam negara yang majoriti penduduknya Melayu-Muslim maka peneraju Pakatan harus datang dari parti Melayu-Muslim juga. Sentimen perkauman sempit yang dimarakkan sekarang memang boleh menjerat Umno, namun PAS harus segera bingkas memperlihatkan keupayaannya untuk memimpin perubahan.

Pengundi Melayu bukannya terlalu sukar untuk menolak Umno tetapi mereka mungkin lebih selesa untuk menunggu isyarat jelas daripada PAS dahulu

24 Ogos 2009

Bila pegawai SPRM perdagangkan laporan rasuah ...

Surat misteri yang dikatakan ditulis sendiri oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock dan rumah mewah Dr Khir Toyo tidak boleh dipandang ringan. Banyak misteri yang perlu diselongkar dan dibentangkan kepada umum, bagi mendedahkan konspirasi jahat di sebaliknya

Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim didakwa menjadi aktor penting, bukan saja dalam proses soal siasat Beng Hock, malah membuat pakatan dengan Khir untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Khir dikatakan rapat dengan Hishamuddin selepas pegawai kanan SPRM itu "menyelamatkannya" daripada pelbagai tuduhan rasuah dan salahguna kuasa, termasuk aduan yang pernah saya laporkan pada 23 Oktober 2001.

Dakwaan terhadap Hishamuddin memang cukup berat lagi mengejutkan. Integriti SPRM yang sebelum ini sudah pun dipersoalkan kini menjadi taruhan yang paling kritikal. Beliau perlu segera membersihkan namanya dan memulihkan imej SPRM.

Tidak wajar berdiam diri

Oleh kerana surat itu sudah tersebar dengan meluas terutama dalam internet, dan menarik perhatian umum, Hishamuddin tidak wajar berdiam diri dengan hanya menunggu siasatan polis.

Bayangkan, bos no. 2 SPRM Selangor itu dituduh menghilangkan semua bukti yang boleh dikaitkan, antaranya dengan mencari helah untuk tidak memberikan sampel DNA, meninggalkan pejabat pada jam 6.10 pagi 16 Julai 2009 tanpa mengetuk kad perakam waktu selepas menjadi orang terakhir menemui Teoh, dan mengarahkan pegawai bawahannya mengelap kesan cap jari pada tingkap yang dipercayai tempat Teoh jatuh.

Beliau juga dikatakan mempunyai teknik soal siasat tersendiri, dengan cara memegang di bahagian hadapan tali pinggang saksi atau suspek dan mengangkatnya beberapa kali serta menggoncangnya!

Saya terpaksa menyebut beberapa dakwaan dalam surat berkenaan -- walaupun belum dapat dipastikan kesahihannya -- bagi menggambarkan betapa seriusnya imej dan integriti SPRM kini. Tanpa integriti SPRM hanya menjadi sendaan awam dan sia-sia sahajalah usaha kerajaan melakukan penambahbaikan kepada BPR dahulu.

Gerun untuk saya mimpikan ... ya, bagaimana jika benar, ada pegawai-pegawai SPRM "memperdagangkan" laporan rasuah yang kita adukan kepada mereka.

Maknanya, segala dokumen yang dikemukakan kepada SPRM dijadikan modal untuk pegawainya "memeras-ugut" secara halus tokoh-tokoh politik terkemuka yang begitu berkuasa khususnya untuk mengagih-agihkan khazanah kekayaan negara. Kes didiamkan jika habuan munasabah dihulur kepada pegawai SPRM berkenaan.

Dokumen dan bukti yang kita serahkan kepada SPRM sepatutnya dijadikan asas untuk satu siasatan lebih profesional, telus dan bertanggungjawab, bukannya untuk dieksploit untuk kepentingan diri. Alangkah hina dan jijiknya jika ada pegawai SPRM yang bertindak sedemikian rupa.

Pengadu bersusah payah mencari bahan bukti, membelanjakan wang dan menghabiskan begitu banyak masa, selain menanggung risiko berat, tetapi ada segelintir pegawai SPRM yang menjadi musuh dalam selimut, gunting dalam liputan ...

Lokasi strategik

Justeru, ada pihak mendakwa terdapat penguasa (ahli politik berkuasa)yang bermurah hati "menganugerahkan" tanah di lokasi strategik dan bintang kebesaran kepada pegawai kanan SPRM untuk "menjinakkan" mereka.

Mungkin bagi seorang Perdana Menteri, kes rasuah menteri atau menteri besar di bawahnya boleh dijadikan sandaran untuk memastikan "kesetiaan" mereka berkekalan.

Saya cuba mengelak daripada mengemukakan pengalaman saya sendiri ketika berurusan dengan BPR sebagai bukti bahawa badan siasatan itu tidak boleh dipercayai sepenuhnya bagi membanteras rasuah.

Malah dalam banyak keadaan, ia menyemarakkan lagi amalan terkutuk itu; apatah lagi umum mengetahui korupsi merupakan suatu jenayah yang paling sukar dibanteras kerana tidak jelas "siapa mangsanya".

Apa pun, saya mengharapkan kandungan surat misteri itu palsu semata-mata kerana tidak sanggup membayangkan bagaimana masa depan negara ini jika SPRM boleh berkomplot dengan penjenayah rasuah! Hishamuddin perlu tampil menangkis tuduhan itu, jangan biarkan hanya Khir berbuat demikian. Isunya bukan masalah peribadi Hishamuddin tetapi kedudukan SPRM itu sendiri.

Semasa menyiapkan artikel pendek ini, tiba-tiba orang kawan lama yang pernah menolong saya membongkar kegiatan rasuah memaklumkan melalui telefon: "Lutfi, aku boleh tunjukkan lokasi tanah-tanah sebuah agensi kerajaan negeri yang dianugerahkan kepada empat pegawai atasan SPRM, dengan harga murah."

21 Julai 2009

Persepsi Perkauman Dalam Kes Kematian Teoh

BERULANG kali pemimpin kanan kerajaan dan pegawai tinggi polis menasihati (sebenarnya memberi amaran) orang ramai agar tidak membuat pelbagai andaian dan spekulasi tentang kematian misteri Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, anggota exco kerajaan negeri Selangor, 16 Julai lalu.

"Kami bukan mahu menyembunyikan sesuatu. Kami mahu perkara ini disiasat secara telus. Polis sedang menyiasat dan kita patut tunggu sehingga mereka menyiapkan siasatan mereka," janji Timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Teoh - yang sepatutnya mendaftarkan perkahwinan dengan tunangnya, Soh Sher Wei, 28, pada 17 Julai, sebelum melangsungkan perkahwinan mereka pada Oktober - ditemui mati, di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas disoal siasat selama kira-kira 10 jam, bermula jam 5 petang sehingga pukul 3.45 pagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Pejabat SPRM terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Bagai penjenayah tegar

Lagak siasatan SPRM seolah-olah Teoh penjenayah tegar sehingga perlu dipaksa kenyataan yang kelur dari mulutnya selari dengan kehendak pihak berkuasa. Beliau disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan Dun membabitkan beberapa Adun Pakatan Rakyat Selangor, kebanyakannya DAP. Ramai mempersoalkan, mengapa taktik ugut-ancam (yang lapuk dan kuno itu) yang masih dipakai pegawai penyiasat SPRM?

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mengecam tindakan SPR menyoal siasat dalam tempoh yang panjang dan hingga ke awal pagi, yang disifatkannya sebagai satu penderaan mental yang menyebabkan fizikal menjadi lemah dan tertekan dari segi psikologi. Tindakan itu adalah menyalahi etika, amalan dan prinsip hak asasi manusia.

Selain itu, ramai tidak puas hati dengan penjelasan Pengarah Siasatan SPRM, Dato' Mohd Shukri Abdull, apatah lagi apabila beliau seperti mahu mengandaikan (malah membuat kesimpulan) Teoh mungkin telah membunuh diri. Shukri berkata, "Kita tak pasti dia terjatuh atau lompat atau apa."

Lebih ramai lagi yang marah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Abdul Aziz. "Saya dapat laporan awal dari SPRM mengatakan dia dah dilepaskan selesai soal siasat semalam. Jadi, dia patut balik rumah. Kita pun tak tahu dia nak terjun bangunan itu ...," kata Nazri. Beliau turut dilihat seolah-olah menuduh Teoh membunuh diri.

Muhyiddin atau Nazri, begitu juga dengan pihak polis dan SPRM, harus menyedari bahawa rasa ingin tahu rakyat terhadap peristiwa sebenar kes kematian Teoh begitu membuak-buak sekali. Keghairahan itu tidak akan padam hanya dengan nasihat (atau arahan) agar menunggu siasatan polis selesai. Apatah lagi dalam keadaan integriti pihak polis dan SPRM berada pada kedudukan terendah.

Proses siasatan SPRM dicurigai

Agak mudah untuk mencari contoh tentang kes-kes bagaimana proses siasatan pihak polis dicurigai ketelusannya. SPRM yang baru bertukar nama daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR)dan diberikan kuasa lebih luas pada Disember lalu turut menyimpan kes-kes yang merendahkan martabat dirinya sendiri.

Kerajaan BN juga tidak dapat menghalang rakyat daripada membuat andaian demi andaian, khususnya apabila banyak persoalan yang mencurigakan timbul dalam kes kematian Teoh. Suara hati dan gelodak rasa rakyat tidak mudah untuk ditundukkan hanya dengan perintah dan amaran pihak berkuasa.

Sememangnya pemerintah atau penguasa di Malaysia, khususnya sejak 1998, tidak mempunyai wibawa untuk mempengaruhi pandangan majoriti rakyat terhadap beberapa isu kritikal, apa lagi membabitkan institusi, seperti polis dan SPRM, yang dilihat jarang berlaku adil kepada setiap rakyat tanpa mengira latar belakang pegangan politik.

Kedua-dua badan yang sepatutnya bebas itu menjadi kuda tunggangan kepada Umno- BN bagi melumpuhkan kekuatan seteru politik mereka. Jika dirujuk aduan orang ramai, SPRM sepatutnya segera menyiasat tokoh-tokoh kenamaan dari BN, malangnya tumpuan lebih diberikan kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Ya, kita lebih mudah mengingati kes-kes salahguna kuasa bertaraf mega yang membabitkan para pemimpin tertinggi BN. Sebut saja skandal kewangan terbesar PKFZ bernilai belasan bilion rimggit, juga istana puluhan juta ringgit bekas Menteri Besar Selangor.

Itu belum disebut kes-kes lama, yang kebanyakannya sudah senyap sepi tidak diperkatakan lagi, apalah sangat dengan dakwaan berlaku penyelewengan dalam pengagihan dana Adun-Adun Selangor itu, misalnya membabitkan RM2,400 bekalan bendera Malaysia!

Cara pegawai-pegawai SPRM melakukan serbuan ke pejabat Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Adun-Adun Pakatan Rakyat seolah-olah mahu membentuk satu persepsi umum bahawa Kerajaan Pakatan juga korup dan tidak terlepas dari elemen salahguna kuasa seperti yang sering dikaitkan dengan Kerajaan Umno-BN.

SPRM hanya mahu tahu sumber

Pengalaman saya turun naik pejabat BPR, di Shah Alam dan juga ibu pejabat di Putrajaya, pada tahun 2001, bagi melaporkan kes Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, cukup memeritkan. BPR lebih berminat untuk mengetahui siapa sumber yang mendedahkan kes salahguna kuasa kuasa bekas Menteri Besar Selangor itu daripada mendapatkan bukti-bukti bagi membantu penyiasatan.

Malah, belum pun keluar dari pejabat BPR, saya yakin laporan saya itu sudahpun berada di atas meja Khir! Demikian eratnya hubungan pegawai kanan BPR dengan pimpinan tertinggi Umno-BN, masing-masing saling 'bertukar-tukar maklumat', mempertahankan 'maruah' kawan-kawan!

Kematian Teoh, apa pun rumusannya nanti, dijangka memberi kesan besar terhadap percaturan politik menjelang pilihan raya ke-13 yang dilihat begitu kritikal buat semua parti. Harapnya Pakatan Rakyat semakin erat selepas nampak agak 'berselisih faham' baru-baru ini.

Daripada tragedi Teoh ini - dan sebelumnya episod rampasan kuasa di Perak - saya rasa pengundi bukan Melayu semakin jauh daripada BN manakala pemimpin PAS mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mengalihkan sokongan pengundi Melayu kepadanya. Rakyat dapat melihat sendiri bagaimana sikap pilih kasih, diskriminasi dan pendakwaan terpilih yang begitu menjolok mata.

Wibawa SPRM yang jatuh merudum sukar dipulihkan jika pegawai tertingginya, terutama Ketua Pesuruhjaya dan Pengarah Siasatan serta Pengarah Selangor digantung tugas bagi menjamin ketelusan dalam siasatan.

Dan, usah biarkan persepsi perkauman semakin galak dalam mentafsirkan situasi politik semasa termasuk dalam kes kematian Teoh ini. Ini soal keadilan yang mesti diberikan kepada setiap rakyat, tidak kira agama, bangsa dan pegangan politiknya.

Dalam pada itu, propaganda Umno tentang ketuanan Melayu mesti disanggah secara berkesan, terutama oleh PAS.