06 Mei 2009

Bebaskan segera Mat Sabu dan imej Najib terus gelita

Polis buat kacau lagi. Sepatutnya bukan dengan jalan tangkapan tetapi itulah yang selalu polis kita lakukan. Semuanya memberikan mesej salah tentang situasi politik di negara ini. Ya, mengapa Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu perlu diseret polis dengan kasar ketika keluar dari sebuah restoran mamak dekat pejabat Harakah petang tadi.

Sebelum itu jurucakap Bersih, Wong Chin Huat turut ditahan, atas alasan sama, dipercayai kerana menghasut orang ramai untuk berpakaian hitam membantah persidangan Dun Perak. Rupanya di bawah pemerintahan baru Najib Razak, yang begitu ghairah mahu menunjukkan perubahan itu, adalah satu kesalahan besar rayuan kepada publik supaya berpakaian gelap gelita seperti gelitanya ruang demokrasi di negara ini.

Saya tidak nampak mengapa perlu Mat Sabu ditahan dan diseret polis di depan umum, seolah-olah beliau seorang penjenayah tegar ketika rakyat mempertikai cara polis menangani masalah mat rempit. Dan sudah tentu, seperti yang dilakukan pihak polis bagi menghalang perhimpunan Bersih dan bantahan PPSMI tidak lama dulu, iaitu dengan mengadakan sekatan jalan raya di laluan strategik. Dan kemudiannya apabila tidak ramai yang turun berdemonstrasi maka digembar-gemburkan bahawa perhimpunan itu tidak mendapat sokongan.

Jelas, pihak polis yang mendapat arahan terus daripada Najib mengamalkan pendekatan kuno, yang terbukti selama ini menimbulkan amarah rakyat. Menahan Mat Sabu, seorang tokoh yang tidak pernah mengalah dengan perjuangan menuntut perlaksanaan demokrasi yang lebih terbuka dan di negara, hanya membuatkan imej Najib dan kerajaan Umno-BN bertambah gelita seperti hitamnya pakaian orang ramai bagi membantah tindakan rampasan kuasa di Perak itu.

Seharusnya Mat Sabu dibebaskan segera. Beliau langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika mana begitu ramai penjenayah lain bebas di luar sana. Mat Sabu hanya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin rakyat, untuk memberi reaksi sepatutnya kepada amalan tidak bertamadun BN merampas kuasa di Perak, dan hal ini juga diakui oleh Dr Mahathir Mohamad yang jelas tidak bersetuju dengan cara Najib mengambil alih pemerintahan negeri daripada Pakatan Rakyat.

Kita tunggulah perkembangan selanjutnya nanti. Apa pun imej Najib yang sedia kelam itu akan menjadi lebih gelita, dan segala usaha memulihkan imejnya sia-sia berlaku.

Persepsi salah tentang pemilihan PAS boleh bawa padah

BUKAN suatu perkara pelik apabila akhbar-akhbar harian yang dikawal mutlak Umno terus memainkan jarum halus untuk mengadu-domba pemimpin PAS menjelang pemilihan parti awal Jun depan. Bagi Umno-BN, yang kini melewati zaman paling sukar, kesepaduan seteru terdekat mereka itu harus dipecah-belahkan, sambil mempertajamkan lagi apa-apa perbezaan pendapat sesama parti dalam Pakatan Rakyat.

Di zaman media baru seperti laman web dan blog menjadi fenomena, maka segala idea, pandangan dan informasi mudah dikongsi oleh khalayak lebih besar dalam waktu paling singkat. Jika internet berjaya dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggugat hegemoni Umno, tidak mustahil kemudahan yang sama boleh menggegarkan ketahanan dalaman parti Pakatan Rakyat. Justeru, segala "kudis" sukar untuk disembunyikan lagi, malah mungkin akan didedahkan kepada publik oleh anggota parti sendiri.

Seperti saya tekankan dalam tulisan lalu, adalah lumrah untuk rakan-rakan dalam akhbar lain untuk memburu scoop dengan "membongkar" cerita-cerita "ribut dalam cawan", yang mahu disamakan mereka dengan konflik dan komplot serius dalam pemilihan Umno. Sedangkan usaha menawarkan diri atau "berlumba-lumba melakukan kebaikan", dengan bersedia menjadi calon untuk mana-mana jawatan yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti, sepatutnya dilihat daripada kacamata positif.


Meskipun sering dipertegaskan bahawa proses pemilihan dalam PAS - termasuk untuk jawatan no. 2, yang sebenarnya acapkali dipertandingkan sejak tiga penggal lalu - tidak sama sekali melambangkan berlakunya krisis kepimpinan atau pertembungan antara kelompok, namun ia tidak seharusnya membawa mesej salah kepada masyarakat awam.

Harus diingat, PAS kini adalah sebuah parti yang begitu diperhatikan, khususnya selepas menang besar dalam pilihan raya 1999 dan melonjak tangkas dalam pilihan raya 2008. Rakyat yang sudah cukup muak dengan gejala rebutan kuasa dalam Umno tentunya mahukan satu kelainan dan pemurnian dalam amalan demokrasi, yang dimulakan oleh proses pemilihan dalaman parti.

Cukup dibimbangi jika persepsi ramai terhadap gembar-gembur "pertelingkahan golongan ulama-profesional" itu dapat mempengaruhi rakyat untuk memandang negatif parti yang diharap dapat mengungguli budaya "politik baru". Benar, apa yang berlaku dalam PAS hanyalah proses biasa rutin pemilihan yang langsung tidak berupaya merobek kesatuan sesama ahli dan pimpinan, tetapi, seperti ditekankan tadi, kita harus mengelak daripada menyampaikan apa jua mesej yang salah, walaupun secara tidak langsung, kepada publik.

Rakyat sudah lemas dengan budaya rasuah politik, skandal seks, cantas-mencantas, fitnah-umpat dan kehidupan mewah memperaga kesombongan yang berkembang-biak dalam Umno. Sokongan luar biasa, khususnya di kalangan bukan Melayu, terhadap parti-parti pembangkang pada Mac 2008 (ketika itu belum pun dibentuk Pakatan Rakyat) lebih kepada penolakan mereka terhadap keangkuhan Umno-BN yang memperbodohkan rakyat, dengan segala elemen menjijikkan di dalamannya, terutama amalan korupsi, kronisme dan nepotisme.

Ramai beranggapan pengundi tidaklah begitu "menyayangi PAS, KeADILan mahupun DAP"; mereka mahu memberi peluang buat pakatan pembangkang selepas kecewa dengan prestasi lebih 50 tahun BN, dan sebelumnya Perikatan, memerintah. Rakyat yang menjatuhkan BN di empat negeri, selain Kelantan, adalah golongan yang terbukti prihatin dan peka dengan lingkungan politik mereka, yang mana mereka juga akan menggunakan kuasa keramat undi untuk menggugat Pakatan Rakyat jika amanah itu dikhianati.

Dan dalam politik, kadang-kadang ia tidak perlu menunggu isu besar sebelum kuasa bertukar tangan, tetapi cukup dengan persepsi negatif yang dikumpulkan daripada mesej salah yang rakyat terima. Cermat dan berhati-hatilah ....