07 November 2009

Mencari alasan, motif sebenar penahanan Dr Asri dan cabaran buat Dr Hasan Ali

Malam Ahad lalu saya agak uzur dan tertidur awal. Walaupun telefon bimbit diletakkan di bawah bantal, SMS wartawan Harakahdaily, Azamin Amin, lebih kurang jam 12 tengah malam gagal mengejutkan saya. Sehinggalah saya terjaga bila terdengar isyarat SMS kedua Azamin, sekitar jam 4 pagi, membawa berita yang esoknya menggemparkan negara: Bekas mufti ditahan kerana mengajar agama tanpa tauliah.


Sebenarnya isu tauliah bukanlah perkara baru. Di Selangor sendiri, pada zaman BN, rasanya ramai tokoh-tokoh pendakwah terkemuka juga tidak mendapat tauliah, antaranya Dato' Ishak Baharom, bekas Mufti Selangor sendiri. Tokoh-tokoh agama tersohor, termasuk yang pernah terbabit dalam proses pentauliahan kepada pendakwah lain, seperti Ustaz Ismail Kamus dan Dr Haron Din juga tidak terkecuali dilarang mengajar agama di negeri termaju itu.

Malah, rasanya, Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria turut tidak dibenarkan berceramah agama di negeri tertentu.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ditahan JAIS itu memang boleh dianggap tokoh yang sering mencetuskan minat media, terutama selepas dilantik menjadi Mufti Perlis.

Meskipun perwatakan seseorang mufti selalunya jarang diteropong media, namun sosok Dr Asri dilihat berbeza. Banyak ideanya mengundang kontroversi berpanjangan. Khabarnya kolum beliau dalam Mingguan Malaysia diminati bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada pagi Isnin, 2 Nov, di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur, Marina Mahathir turut memberikan sokongan buat Asri, selain Pengarah Sisters in Islam, Zainah Anwar.

Lebih menarik apabila ada wakil rakyat PAS dan KeADILan bersama Dr Asri, bukan saja di mahkamah pagi itu, tetapi juga semasa kuliahnya.

Serentak itu, banyak persoalan berbangkit. Ramai tertanya-tanya apakah alasan (baca motif) sebenar Dr Asri ditahan? Pihak JAIS, melalui Pengarahnya, Mohammed Khusrin Munawi memberikan alasan mendatar, iaitu Dr Asri melakukan kesalahan mengajar tanpa tauliah.

Mencurah-curah sanggahan yang mempertikai alasan berkenaan termasuk daripada Perdana Menteri Najib Razak.

"Saya tahu banyak lagi orang yang buat macam-macam ceramah, tak didakwa pula, tetapi bila Dr Asri, dia ditahan," tegas Najib sambil menekankan penahanan itu dibuat oleh kerajaan negeri dan tiada kena mengena dengan kerajaan pusat.

Mungkin Najib, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangpr, sudah dapat menelah bahawa ada tuduhan tangan-tangan ghaib yang mendalangi penangkapan itu akan dilemparkan kepada Umno.

Bukankah Umno sentiasa cuba mencari jalan pintas menawan negeri itu atau sekurang-kurangnya untuk memburuk-burukkan pemerintahan Pakatan Rakyat Selangor? Sukar diterima akal bahawa tiada motif terselindung di sebalik operasi penangkapan yang mengejutkan itu, malah ada pihak yang begitu gemar mengaitkannya dengan teori konspirasi. Dan mereka tentu ada alasan tersendiri.


"Cuma yang peliknya, kenapa Umno bersungguh-sungguh membantah dakwaan terhadap Dr Asri," kata Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau menjangkakan jika hal sama berlaku di negeri bukan Pakatan, misalnya Johor, mungkin kenyataan yang dikeluarkan Umno berbeza. Sedangkan, tambahnya, sikap PAS sentiasa konsisten dalam hal 'mengajar tanpa tauliah' ini. Kata Tuan Ibrahim, mana-mana tokoh agama sepatutnya mempunyai autoriti atau hak dan tidak perlu tauliah daripada Jabatan Agama untuk menyampai kuliah atau ceramah.

Ada juga yang menghubungkan peristiwa tangkapan itu dengan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia, pada 30 Oktober lalu agar baginda menarik balik perlantikan Dr Asri sebagai Yang Dipertua Yadim.

Dr Asri, menurut kandungan memorandum itu, didakwa sentiasa bertentangan pandangan dengan para ulama dan mufti negeri-negeri lain. Semasa menjadi Mufti Perlis, beliau didakwa kerap kali membelakangkan pandangan jawatankuasa Mufti Kebangsaan dan "sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media".

Dr Asri turut dituduh tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari empat mazhab fiqh. Beliau bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Memorandum yang turut disokong 13 NGO Muslim itu juga mendakwa, "sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Ialam di Malaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, ekstrim serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain". Namun, ramai terkejut apabila mendapat tahu bahawa antara NGO terbabit adalah ABIM, Persatuan Alumni Kolej Islam, JIM, Persatuan Ulamak Malaysia, Persatuan Ulamak Kedah dan Teras.

"Tidak semestinya NGO yang menyokong memorandum itu bersetuju dengan tangkapan JAIS," kata seorang pemimpin sebuah badan Islam, "ia isu berbeza sama sekali, malah mungkin ada pemimpin NGO tersebut tidak membaca sepenuhnya kandungan memo berkenaan. Tapi, yang lebih penting, perbezaan pendapat dan pendekatan dalam hal agama mesti diselesaikan secara bijaksana, bukannya tangkap dan dakwa di mahkamah."

Hampir semua SMS dan emel yang saya terima mempunyai nada hampir sama, dan membantah keras penahanan Dr Asri tetapi turut mengaitkannya dengan tangan-tangan ghaib kuasa politik. Mereka menjangkakan ada motif lain yang lebih besar dan tidak percaya JAIS bertindak atas pertimbangan sendiri hanya atas alasan "tiada tauliah".

Dalam pada itu, Presiden JIM (salah satu pertubuhan yang menyokong memorandum Dr Asri tidak dilantik Yang Dipertua Yadim), Zaid Kamarudin mencadangkan agar JAIS mengambil ksempatan daripada krisis keyakinan terhadapnya ekoran penahanan Dr Asri untuk meneliti semula enakmen-enakmen pentadbirannya. Selain menyuarakan rasa terkejut di atas cara tangkapan yang mengaibkan, Zaid menegaskan: "JIM berharap JAIS akan bersikap amanah, jujur dan profesional dalam melaksanakan siasatan yang bebas, adil dan telus ke atas Dr Asri. Pemeliharaan keadilan dan hak asasi serta karamah insan haruslah menjadi pegangan."


Semasa ramai mempertikai kebijaksanaan JAIS menangani isu ini, timbul saranan agar proses pentauliahan di negeri-negeri Pakatan Rakyat dikaji semula. Penguat kuasa pula usah bertindak sembrono semata-mata atas alasan menurut undang-undang.

Apa pun, bukan segalanya buruk buat JAIS. Bulan puasa lalu mengingatkan kita betapa meriah dan kudusnya penghayatan Ramadan di Selangor, begitu juga dengan majlis tazkirah, tadarus, kuliah-kuliah agama dan khutbah Jumaat. Begitu ramai tokoh agama yang selama ini tersisih dapat menyumbang ilmu mereka di Darul Ehsan ini.

Exco Agama, Dr Hasan Ali, yang menjadi perhatian (dan sasaran) utama menjelang seminar khas PAS 7 Nov, pastinya terbeban dengan isu ini. Banyak soalan yang perlu dijawabnya sendiri. Orang ramai tidak mahu mendengar penjelasan Pengarah JAIS. Mahu tidak mahu ia sudah menjadi isu politik dan orang politik seperti Dr Hasan sajalah boleh menjernihkannya walaupun kuasa dalam hal agama ini pun banyak sekatannya.

Pakatan Rakyat harus 'memanfaatkan' isu ini bagi memperkukuh gabungan, begitu juga PAS, dan jangan pula ia tambah mengusutkannya dengan menjadikan isu ini untuk mengeruhkan lagi keadaan dalaman parti.

Diakui Dr Hasan memang dalam keadaan sukar, terutama menguruskan karenah JAIS yang khabarnya masih "menjadi lubuk Umno", di samping menjaga sensitiviti pihak istana. Bagaimanapun, krisis selalunya akan mempamerkan kehebatan seseorang tokoh dalam mengendalikan konflik berbangkit.

Adakah jalan pintas buat Pakatan cipta sejarah PRU13

Mempersiapkan segala persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, dan semestinya bermula dari sekarang, dengan andaian ia tidak semudah Mac 2008, rasanya diterima semua pihak. Malah ada yang membayangkan kemungkinan pilihan raya diadakan lebih cepat daripada biasa, sebaik saja melepasi tempoh tiga tahun pertama sekiranya Najib Razak merasakan suasana dan persekitaran politik lebih memihak BN dan menyerkup Pakatan Rakyat.


Dalam situasi dan posisi Pakatan dilihat agak sukar, persiapan seharusnya lebih rapi dan sistematik, didahului kajian mendalam di lapangan, dan mengambil kira segala sumber kekuatan dan punca kelemahan. Harus diingat, mood pengundi bukan dibentuk sekelip mata. Ia dibina, diperkukuh dan disuburkan melalui faktor sekeliling, juga sentimen serta 'gelombang' semasa, dan pastinya prestasi dan track record setiap calon atau parti yang bertanding. Setiap pihak berpeluang untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya, biarpun ruang demokrasi sengaja disempitkan. Apatah lagi dalam keadaan masyarakat yang semakin cerdik-pintar berpolitik,

Justeru, aktivis Pakatan tidak harus pesimis atau terlalu bimbang - walaupun tetap bersikap waspada dan hati-hati - dengan jangkaan bahawa rakyat akan kembali menyokong BN, selaras dengan hiruk-pikuk kononnya berlaku perubahan dalam Umno dan parti-parti komponen lain. Teori pendulum bukan kemestian, ia sekadar mahu merumuskan fenomena terdahulu, itu pun jauh dari kesempurnaan, sedangkan kini masyarakat sudah berubah dan semakin bijak menilai.

Kemenangan mudah BN tanpa dicabar sudah berakhir 10 tahun lalu, dan mungkin tidak berulang lagi, termasuk kepada apa jua parti pemerintah selepas ini. Pengundi menghayati konsep mereka sebagai raja dan tidak melepaskan peluang bagi menghukum siapa jua yang alpa. Rakyat juga seperti sudah memahami manfaat kebaikan sistem dua parti (biarpun ia belum terlaksana sepenuhnya), dan dijangka mereka akan memberikan peranan lebih besar buat pembangkang, tidak kira di Dun mahupun Parlimen. Semakin sengit parti-parti bersaing meraih sokongan dan berusaha menabur bakti sehebat mungkin, keuntungan akhirnya buat rakyat jua.

"Bagi saya mudah saja," kata seorang pensyarah sains kemanusiaan di sebuah IPTA bagi meredakan kerisauan saya dan menyangkal dakwaan PAS mungkin hilang sokongan dalam PRU13, "wakil rakyat Pakatan, khususnya PAS, mesti tunjuk teladan unggul, rajin menjenguk kawasan, kerap berdialog dengan masyarakat, selesaikan segera isu berbangkit terutama berkaitan kemudahan awam, tidak menumpukkan kekayaan peribadi, mudah didampingi, proaktif, memeriahkan kegiatan surau-masjid dan tidak bertangguh menangani masalah. Rakyat memerhatikan kita, dan tentunya tidak mudah termakan propaganda murahan jika kita sentiasa bergerak cergas bersama mereka, bukannya terpencil dalam kelompok elit." (Memang ungkapannya nampak mudah tapi tidak semestinya mudah untuk dilaksanakan terutama bagi mereka yang hanya mahu meraih keuntungan peribadi).

Tambahnya lagi, "Dan di negeri Pakatan, buktikan kita lebih bersih daripada negeri lain di bawah BN, sekurang-kurangnya lampu jalan menyala terang, jalan berlopak diturap cepat dan cantik, sampah diangkut ikut jadual, longkang tidak tersumbat, kawasan permainan terjaga. Jangan remehkan aspek-aspek itu." Dan, serentak dengan itu, ujar pensyarah berkenaan lagi, Pakatan akan lebih dipercayai, diakui tidak khianati amanah, sebaliknya berlaku adil, benci rasuah, membela orang susah dan memiliki sifat-sifat luhur lain. Oleh itu, katanya, usah risau sangat kita akan kalah sekiranya sudah cukup amal bakti kita kepada rakyat.


Dalam pada itu, surat dari Mohd Noor Jamil, Sg Siput (U) Perak kepada saya mengingatkan pemimpin Pakatan: "Tolong tonjolkan imej positif, tunjukkan persefahaman dan kerjasama erat kepada rakyat. Tolong buang sifat ego dan merasakan diri lebih baik daripada pihak lain. Dan tolong bantu rakyat dengan lebih berkesan, terutama di negeri Pakatan. Misalnya dari segi pemilikan aset, masih ramai rakyat hidup menumpang terutama di luar bandar dan estet. Usahakan pemberian tapak-tapak rumah jika tidak mampu menyediakan rumah ..."

Terselit juga SMS tanpa penama di telefon bimbit saya: "Antara aktor besar 2008 adalah Mahathir, kini beliau tak bersama kita lagi. Umno juga akan pastikan Anwar tidak berada di medan dalam PRU13 nanti. Bersedialah ..."

II.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mahu Harakah berperanan secara lebih berkesan bagi menepis dan menangkis tohmahan Umno-BN bahawa Pakatan Rakyat dan PAS mengetepikan, atau meminggirkan, Islam dan Melayu dalam pemerintahan dan perjuangannya. Umum mengetahui bagaimana hebatnya Umno mencanangkan - dengan mengemukakan 'fakta' palsu berkaitan kerajaan Pakatan di Perak dan Selangor - komitmen Islam PAS makin cair dalam usaha mengambil hati pemimpin DAP dan KeADILan. Dikhuatiri jarum halus Umno itu berjaya membuatkan pengundi Melayu hilang pertimbangan.

"Umno," kata Idris, "menegaskan Islam dan Melayu akan tergugat jika kuasa mereka hilang. Bagi mereka PAS-Pakatan tidak boleh melindungi Islam dan Melayu di negara ini. Hakikatnya, berdasarkan fakta, pemimpin Umnolah yang mengkhianati Islam dan Melayu. Lihat bagaimana Umno merobohkan masjid di Bujal, Kemaman. Kemudian menutup Surau Jubli Perak di Bangi, menutup surau di Seksyen Lapan dua mingggu sebelum Ramadan 2007 dan merobohkan surau di Kampung Berembang. Timbalan Presiden Umno kini, ketika itu Menteri Besar Johor mengubah cuti hujung minggu daripada Jumaat kepada Ahad, tapi sekarang masuk kampung menuduh PAS-Pakatan mengkhianati agama Islam."

Insya-Allah, secara bersiri Harakah bukan saja berusaha menyanggah tohmahan jahat itu, malah cuba menonjolkan 'jenayah' Umno terhadap agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini, selama lebih 50 tahun memerintah. Sikap hipokrasi Umno, yang cuba berlagak sebagai juara agama, pembela bangsa dan pendokong raja mesti didedahkan secara meluas. Banyak fatwa yang diputuskan mufti, seperti larangan bertafakur dan meletakkan kalung bunga di Tugu Negara serta peraturan Jakim tentang panduan hiburan diketepikan begitu saja. Pemimpin Umno perlu bertanggungjawab atas kesalahan berganda itu, dan bukannya menyorok di sebalik lalang dengan memainkan sentimen dan emosi perkauman yang cukup berbahaya.

III.


Polis berkeliaran di sekitar 'zon perang' sidang Dun Perak, 28 Oktober lalu. Jumlahnya cukup ramai. Speaker V Sivakumar diperlakukan lebih kejam berbanding insiden 7 Mei lalu; kali ini jubah dan songkoknya dirampas, selain perutnya dihentak dan lehernya dicekik. Ganas dan memalukan. Adun Pakatan terpaksa melalui lima sekatan. Helah agar tidak dapat sampai sebelum jam 10 pagi. Bajet negeri Perak 2010 diluluskan secara tergesa-gesa, paling singkat dalam sejarah.

Aksi BN yang kemaruk kuasa itu belum berakhir. Begitu juga dengan usaha membubarkan Dun. Lebih penting, rakyat harus mendapat maklumat benar dan faham realiti termasuk dari sudut perundangan. Jaringan informasi harus lebih efisyen. Dan usah lupa, sentimen kaum cukup marak dalam pergolakan politik Perak. Nizar dan teman-teman harus mengharunginya dengan tabah, bijaksana dan berbekalkan stamina panjang. Aktivis Pakatan mesti lebih bersiap siaga. "Saya takut jika Dun betul-betul dibubarkan nanti, momentum kita sudah luntur," bisik seorang wartawan sambilan di Ipoh.

EGM PAS, Tok Mat, Mahathir dan Ketua Audit Negara

Sehari dua ini (27 Oktober) , ke mana saja pergi, saya pasti disapa dengan persoalan sama, mengenai tulisan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam blognya. Teman-teman dari jauh juga, sebahagiannya tidaklah sangat berminat dengan politik, melalui SMS, bertanyakan hal serupa: "Awat ni Lutfi, dua Tok Guru dalam PAS dah bergaduh? Nampak macam serius aja." Seorang pembaca setia Harakah di Bukit Indah, Ampang mengusik: "Kita dah pecah dua ke? Tapi mereka sudah pecah lima!"



Beliau mungkin merujuk 'mereka' kepada Umno yang tidak asing dengan masalah perpecahan dalamannya yang cukup serius.

Keprihatinan masyarakat terhadap PAS memang semakin tinggi. Kewibawaan Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Abdul Hadi Awang diakui semua pihak, termasuk dari golongan yang berbeza pegangan politik.

Sebagai parti Islam yang cukup berpengalaman, merasai suka-duka jatuh dan bangun, serta dilihat paling berpotensi untuk menggantikan Umno sebagai teras kepada gabungan parti pemerintah, apa juga masalah dalam PAS terutama membabitkan dua Tok Guru akan dipandang serius dan perlu diselesaikan segara.

Berdepan sambutan rakyat yang hebat, khususnya membabitkan pengundi Melayu dalam pilihan raya 1999, seterusnya menembusi sempadan kaum dan agama pada 2008, ada pemerhati menyifatkan bahawa PAS kini berdepan dengan isu menguruskan kejayaan dan menangani cabaran yang kian kompleks, sehingga ada yang mengingatkan: "Sepatutnya tempoh 2008 hingga PRU13, PAS perlu mengukuhkan kedudukan yang belum pun stabil. Usah pandang mudah sokongan luarbiasa bukan Melayu, mereka boleh beralih bila-bila masa. Masa yang sama, pengundi Melayu mesti didekati dan didampingi, suatu perkara yang saya nampak masih terabai."

Dalam pada itu, lebih ramai yang berpesan agar kepimpinan PAS jangan terjerumus dalam "sindrom menafikan" - seperti gejala yang menimpa pemimpin Umno dan merosakkan parti itu - apabila menganggap segalanya mudah untuk diatasi, dan segala sampah disapu di bawah permaidani, di samping terus menyalahkan "permainan jahat media".

Perbezaan pendapat dan percanggahan pendekatan bukannya satu dosa dalam sesebuah parti politik, hatta gerakan Islam, namun ia tentu sekali mesti diurus secara bijaksana dan tidak sampai dilihat sebagai "perpecahan dalaman" yang kronik. Keyakinan masyarakat untuk PAS menerajui perubahan bersama Pakatan Rakyat tidak wajar disia-siakan. Kesatuan dalam parti mesti utuh, selain mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan KeADILan dan DAP.

Bagi saya, gejala yang menimpa PAS merupakan kelaziman buat parti yang semakin berkembang dan membesar. Selama ini terbukti setiap cabaran, pergolakan dan krisis makin mematangkan PAS. Namun ia bukannya dileraikan semudah itu, tanpa komitmen bersungguh-sungguh oleh pimpinan yang bijaksana dan ahli yang sabar-setia. Lebih penting, rakyat yang sentiasa memerhatikan pandai pula memberikan "markah".

II.

Agak menarik juga membelek buku Mohamed Rahmat, bekas Setiausaha Agung Umno, berjudul Umno: Akhir Sebuah Impian. Beliau yang dilihat rapat dengan Dr Mahathir Mohamad terutama ketika bekas Perdana Menteri itu menghadapi krisis keyakinan rakyat dan ahli-ahli Umno pada akhir 1980-an mempunyai tanggapan tersendiri terhadap bekas ketuanya itu.

Mohamed merakamkan bagaimana pada satu hari, dalam tahun 1999, beliau dipanggil ke pejabat Perdana Menteri. Dr Mahathir memberitahunya, "Mat, I nak gugurkan you." Beliau bertanya, "bila?" Jawab Mahathir, "sekarang juga".

Dua minggu kemudian, Mahathir memanggilnya dan meminta Mohamed menulis surat perletakan jawatan. "I dah sanggup berhenti, ada apa-apa ke untuk I?" kata Mohamad.

Seterusnya beliau mencatatkan: "Sebaliknya dengan angkuh dan sombong, dia (Mahathir) menjawab, "Nothing for you!" dan terus berlalu dari situ."

Beliau yang popular dengan panggilan Tok Mat menyifatkan tindakan Mahathir kepadanya seperti "sepah setelah habis madu".

Tulisnya lagi: "Saya sedar bahawa Dr Mahathir hanya perlukan kita apabila dia perlukan kita. Asalkan dia dapat apa yang dia mahu, masalah orang lain bukan masalahnya lagi."

Mohamed turut merakamkan pengalamannya sebagai Menteri Penerangan bersama Tun Hussein Onn ketika PM ketiga itu memanggilnya sekitar tahun 1977.

Dalam pertemuan empat mata, Hussein menyatakan: "I ada misi penting untuk you. I mahu tumbangkan kerajaan negeri PAS di Kelantan."

Mohamed mengakui dalam buku itu: "Untuk menjayakan kempen itu, saya telah menempatkan 300 pegawai dan kakitangan Bahagian Khas Kementerian Penerangan ... meyakinkan penduduk Kelantan bahawa masa untuk berubah sudah tiba."

Tok Mat juga mendedahkan bagaimana Kementerian Penerangan dipergunakan untuk meyakinkan kembali rakyat terhadap Umno, khususnya selepas parti itu diharamkan, termasuk melalui kempen Setia dan Semarak.

Begitu juga dengan usaha mengembangkan Umno di Sabah selepas Pairin Kitingan membawa PAS keluar BN: "Sebagaimana di Kelantan pada 1977, saya bawa 500 pegawai dan kakitangan Kementerian Penerangan untuk berkempen bagi pihak Umno ... mempengaruhi rakyat Malaysia di Sabah supaya menyokong Umno dan menolak PBS."

III.

Dalam buku Strategi Membanteras Korupsi, karya Jeremy Pope, sebuah buku panduan Transparency International 2002, ditekankan fungsi Audit Negara. Tumpuan saya melekat kepada ungkapan: "Auditor Negara yang kuat dan efektif adalah teman yang sangat berharga bagi pemerintah dan rakyat untuk mengurangi pemborosan dan penyelewengan. ... Negara memerlukan anjing penjaga kewangan yang pandai menyalah dan menggigit."

Tetapi bagaimana pula dengan kata-kata bekas Presiden TI Malaysia, Tunku Abdul Aziz Ibrahim: "Berdasarkan rekod lepas, saya meragui apa yang akan dilakukan (terhadap Laporan Ketua Audit Negara). Dan tahun depan akan berlaku ulangan serupa. Mereka yang terbabit tidak pernah disiasat. ... tidak ada gunanya mempunyai pejabat Ketua Audit. Ia sepatutnya ditutup."

'Usah terpedaya dengan mukjizat palsu media'

Media memang dianggap berpengaruh besar, malah ada yang melihatnya sebagai penentu, dalam persaingan merebut kuasa. Dalam konteks politik Malaysia, persaingan itu begitu berat sebelah, terutama apabila media tradisi dikawal dan dikongkong sepenuhnya oleh pemerintah.

Pelbagai akta dan peraturan digubal bagi encengkam pemilik media, seterusnya 'memenjarakan' para wartawan dan editor. Seringkali faktor 3M (media, money, machinery) dianggap membantu BN mengekalkan kemenangan "di padang permainan yang tidak pernah sama rata".

Kemunculan media baru bermula dalam pilihan raya 1999 telah memecahkan hegemoni BN terutama apabila ruang maya menyediakan persaingan yang lebih saksama. Pengenalan internet secara besar-besaran pada 1997, seperti penggunaan emel dan laman web, diikuti kemudiannya oleh blog, youtube, Twitter, Facebook dan seumpamanya, bukan saja memberi peluang rakyat Malaysia untuk akses kepada kepelbagaian sumber maklumat, malah mencabar kedudukan BN yang berdekad lamanya hegemonik dalam membentuk pemikiran dan budaya politik masyarakat.

Bagaimanapun, pensyarah sains politik UKM, Mohamad Nadzri Mohamed Noor (Politik Malaysia di Persimbangan, 2009) mengingatkan, merujuk tiga pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008, "kita dapat melihat jatuh bangun pakatan parti oposisi meskipun mereka menggunakan dan menguasai ruang maya secara konsisten dan lebih menyeluruh berbanding BN, dan BN pula agak ketinggalan dalam penggunaan media online, namun BN tetap berupaya mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRU 1999 dan mencapai kemenangan terbesarnya dalam PRU 2004. Oleh itu, kempen efektif dalam ruang siber semata-mata kelihatan tidaklah memadai dalam menarik pola pengundian yang signifikan ..."

Sengaja saya tekankan hal ini memandangkan ada tanggapan daripada aktivis Pakatan Rakyat bahawa kemenangan mereka untuk pilihan raya akan datang, di zaman langit terbuka ini, agak terjamin disebabkan masyarakat semakin meninggalkan media tradisi seperti akhbar, hatta TV, dan beralih sepenuhnya kepada media baru.

"Jika media benar-benar bebas, atau kita tidak diserang bertubi-tubi oleh media yang dikawal mutlak oleh BN, nescaya rakyat akan menyokong kita," begitulah kira-kira hujah mereka.

Mereka yakin BN jauh ketinggalan dalam usaha memanfaatkan kepesatan teknologi maklumat ini. Dengan itu pengundi akan mendapat maklumat lebih seimbang daripada media alternatif dan tidak mudah tertipu lagi dengan propaganda murahan BN. Mereka juga percaya bahawa sesiapa yang menguasai informasi - kini dilambahkkan dalam media baru - maka automatik ia akan menerajui kuasa.

Maka apabila Pakatan kalah dalam mana-mana pilihan raya misalnya, yang dipersalahkan adalah kegagalan jentera penerangan untuk berfungsi dengan berkesan, terutama bagi menyanggah serangan lawan, sekali gus melakukan pujukan.

Propaganda media BN pula dikatakan begitu berjaya mempengaruhi pengundi seolah-olah mempunyai kuasa luar biasa hebatnya, meskipun parti itu dan calonnya bergelumang dengan rasuah, salahguna kuasa dan terjebak dengan kegiatan tidak bermoral. Tukang spin dilihat berupaya menjadikan "yang hitam itu putih" pada kacamata pengundi dan membuatkan kebenaran terus tertimbus dan tidak dipedulikan.

Tidak dinafikan bahawa media (sama ada tradisi mahupun baru) perlu dikuasai selok-beloknya, bukan saja dari aspek teknikal tetapi juga pengisiannya. Namun yang tidak kurang penting - malah mungkin lebih mustahak - adalah menguasai isu sebenar, merasai penderitaan rakyat, menyelesaikan masalah masyarakat, menjuarai usaha membela golongan bawahan, menampilkan kualiti kepimpinan, serta membentuk keyakinan kita mampu melakukan perubahan dan tidak mengulangi kebobrokan sistem lama. Usah remehkan kemampuan rakyat untuk menilai dan menghakimi pretasi parti dan calon yang telah diberikan kepercayaan dalam pilihan raya lalu.

Benar, politik itu permainan persepsi tetapi media juga semakin sukar memikul tugas sebagai "tukang putar". Hari ini mungkin rakyat terkeliru dan tertipu dengan kelicikan media, namun ia tidak kekal lama. Kebatilan akhirnya terbongkar jua.

Justeru, jika kita tersungkur, ia bukan semata-mata diperangkap media musuh, tetapi juga berpunca dari kelemahan sendiri, yang disaksikan secara nyata oleh pengundi.

Lihat saja pilihan raya 2004 - BN tetap jauh ketinggalan dari segi penguasaan media baru tetapi kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr Mahathir Mohamad berjaya "menyihirkan" tanggapan umum.

Oleh itu, pertama, usah terlalu yakin dengan "sakti" media baru, dan kedua, jangan memandang rendah pihak lain yang cuba mempamerkan diri mereka sebagai "telah berubah".

Malah, dengan dakwaan hegemoni pembangkang di alam siber kian terhakis, ditambah kritikan pengkaji media - merujuk semasa kempen Bagan Pinang - bahawa Pakatan Rakyat gagal memanfaatkan sebaiknya internet untuk menyanggah serangan BN, maka ia menuntut kesungguhan untuk memperbaiki kekurangan dan kealpaan itu.

Sebagai wartawan, saya lebih cenderung untuk mengingati diri tentang kelemahan dalam operasi menjuarai jihad pena ini, selain membetulkan salah tanggap ahli dan pemimpin Pakatan terhadap "mukjizat" media.

"Padang yang sama rata" pun tidak akan membawa kemenangan jika pemain tidak berketrampilan, jurulatihnya tidak kreatif dan pengurus pula tidak hiraukan kebajikan! _