16 Oktober 2009

Ada yang lebih penting dari keputusan Bagan Pinang

CATATAN ini disediakan pada malam Sabtu. Masih berbaki masa berkempen tidak sampai 24 jam di Bagan Pinang, satu tempoh yang mungkin dianggap kritikal bagi kedua-dua calon.

Menerusi media baru, pelbagai pendedahan tentang insiden keganasan ke atas jentera kempen PAS didedahkan, beserta bukti gambar dan laporan polis. Sudah tentu akhbar dan televisyen "tali-barut BN" mengamalkan taktik lapuk dan usang - bukan sahaja memperlekehkan tragedi yang memalukan dunia demokrasi itu - malah melalui lidah pemimpin Umno, khususnya para menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, melemparkan tuduhan melulu.

Bersilat kata-kata

Kempen pilihan raya sepatutnya berjalan dengan matang, terbuka dan penuh persefahaman. Boleh saja bersilat kata-kata, berperang mulut, bertikam lidah hatta mendedahkan kelemahan calon dan parti saingan, namun tidaklah sampai bergolok-berparang, tumbuk-menumbuk.

Siapa pun yang menang atau kalah, ia adat biasa dalam pertandingan. Ia bukan bererti petanda kiamat yang menutup peluang untuk menawarkan diri berkhidmat buat rakyat.

Sejarah pendek pilihan raya kecil di negara ini menunjukkan tidak semestinya keputusan sama akan berulang dalam pilihan raya umum yang jauh lebih penting.

Mungkin banyak hikmahnya buat Pakatan Rakyat jika calon PAS belum ditakdirkan menang di Bagan Pinang selepas gabungan tidak rasmi tiga parti itu mencatat rekod kemenangan 7-0 melalui siri pilihan raya kecil di Semenanjung yang diadakan selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Ya, tidak elok juga jika "asyik menang dan tidak kalah-kalah" sehingga menyelinap rasa ego-sombong buat Pakatan, atau menyuntik rasa cemas keterlaluan buat Umno-BN sehingga mencetuskan aksi di luar dugaan yang tidak menguntungkan sesiapa.

Bagi saya, Pakatan perlu "masa bertenang" untuk mempertingkat keupayaan setiap parti untuk menyerap segala masalah berbangkit sekali gus mempamerkan solidariti yang "tidak dibuat-buat" agar keyakinan rakyat dapat ditambat seutuhnya.

Umum mengetahui bahawa BN tidak mampu lagi menarik kepercayaan rakyat, namun sokongan tidak semestinya automatik berpaut kepada Pakatan jika kesepaduan antara PAS-DAP-KeADILan nampak goyah, apatah lagi sekiranya persefahaman mantap di negeri-negeri memerintah khususnya Selangor, Pulau Pinang dan Kedah gagal dizahirkan.

Image Rakyat menyokong ketiga-tiga parti alternatif itu dalam pilihan raya umum lalu bukan sangat disebabkan mereka tertarik dengan polisi atau dasar baru tetapi lebih berpunca daripada "rasa meluat yang amat sangat" terhadap gelagat negatif dan kerakusan pemimpin BN yang berkuasa sejak 50 tahun lalu.

Sokongan itu bersyarat ketat dan sentiasa diperbaharui 'kontraknya'. Jika penyakit 'orang atau parti berkuasa' yang melemaskan Umno-BN turut menimpa Pakatan, tidak mustahil tempoh memerintah beberapa negeri itu hanya sekadar satu penggal.

Rakyat semakin bijak menilai-menghakimi prestasi pemerintah 9Pakatan dan juga Barisan) dan kesetiaan mereka kepada mana-mana parti kian longgar.

Inisiatif berterusan

Dalam pada itu, Pakatan harus meningkatkan inisiatif berterusan dan bersifat sistematik agar proses pilihan raya di negara ini lebih telus, bebas dan adil. Usah menunggu pilihan raya kecil untuk menuntut usaha reformasi menyeluruh terhadap sistem yang sememangnya berat sebelah.

Pemansuhan undi pos, akses berkempen dalam media dan tanda cat pada jari bagi mengelak undian berganda misalnya, memerlukan penggemblengan tenaga secara konsisten mendesak SPR agar tidak berdolak-dalih lagi menyediakan "padang permainan yang sama rata".

Tempoh dua tahun terakhir menjelang pilihan raya umum ke-13 memang cukup kritikal untuk Pakatan dan juga BN. Sama ada ia bakal menemukan kita dengan rantaian pilihan raya kecil lagi bukan isu besar, namun yang penting, segenap peluang dan potensi mesti dimanfaatkan untuk menghadapi cabaran dan gugatan yang lebih sengit dan sofistikated.

Usah biarkan keputusan di Bagan Pinang melalaikan kita daripada membuat persiapan dan penambahbaikan yang lebih real.

Semasa kita berdiri gagah di kawasan bandar dan semi-urban, jangan lupa memugar kekuatan di wilayah pendalaman. Ketika yakin anak muda tetap bersama kita, jangan memandang rendah golongan ini boleh berubah citarasa jika kita kerap alpa menyantuni mereka.

Sewaktu hebat berdegar-degar berbicara soal globalisasi dan liberalisasi ekonomi dunia, jangan abaikan derita petani, nelayan dan buruh kasar. Di kala petah berhujah soal isu-isu besar korupsi dan nepotisme, jangan pandang enteng masalah tuntutan kebajikan memenuhi kehidupan seharian.

Integriti, Bala dan Kumutha di Bagan Pinang

PENGUNDI di Malaysia, melalui pilihan raya umum 8 Mac 2008 dan siri pilihan raya kecil selepas itu, semakin bijak memilih dan mementingkan calon yang berintegriti.

Di Permatang Pasir, personaliti calon BN yang bermasalah menjadi tumpuan dan kritikan, hinggakan pemimpin atasan parti pun tidak mampu mempertahankannya. Begitu juga di Kuala Terengganu, walaupun penyandangnya BN, sejak awal wibawa calon PAS jauh meninggalkan ayam tambatan Umno, yang juga timbalan menteri yang baru meletakkan jawatan.

Malah, Dr Mahathir Mohamad sendiri mengingatkan agar jangan memandang rendah keupayaan intelektual pengundi hari ini. Bekas Perdana Menteri itu langsung tidak bersedia berkempen untuk Isa, yang dilihatnya bakal menyebabkan Umno secara keseluruhannya akan menghadapi lebih banyak masalah, walaupun mungkin boleh membawa kemenangan mudah buat Bn.

Memilih Isa Samad, yang sudah disabitkan amalan rasuah semasa berkempen merebut Naib Presiden Umno 2004 dan digantung selama enam tahun tetapi dikurangkan tiga tahun selepas rayuan, akan meninggalkan kesan buruk yang mendalam ke atas usaha Umno dan kerajaan untuk membanteras korupsi yang semakin membudaya dalam masyarakat.

Di atas kertas, Isa mungkin sukar dikalahkan, tetapi kemenangannya itu bakal membawa persepsi salah terhadap kecenderungan mengundi rakyat Malaysia. Seolah-olah pengundi kita - seperti juga pemimpin BN (dan sebelumnya perwakilan Umno) - langsung tidak mementingkan soal integriti calon jika mereka memenangkan Isa.

Apa pun saya percaya, jika masyarakat kita didedahkan dengan kefahaman sebenar tentang kejijikan rasuah dan kebaikan memilih kepimpinan berintegriti, serta hubungannya dengan penghayatan hidup beragama, maka orang yang terbukti korup seperti Isa bukan sahaja akan ditolak rakyat, malah tidak ada mana-mana parti yang bersedia mencalonkannya. Bukan itu sahaja, tokoh rasuah yang dicalonkan juga berasa malu dan menarik diri dari awal-awal lagi.

Justeru, ramai menunggu keputusan di Bagan Pinang, sebuah kawasan semi-urban di selatan Semenanjung, bagi menjangkakan pola pengundian dalam pilihan raya umum paling kritikal buat BN dan juga Pakatan, sekitar 2-3 tahun akan datang.

Menang atau, apatah lagi, kalah dalam pilihan raya kecil ini, buat BN, ia langsung tidak boleh disandarkan harapan untuk kita mengembalikan satu budaya politik yang berintegriti, beretika dan bermaruah.

II.

Semasa membuat tinjauan persiapan Harakah di markas besar jentera kempen PAS Bagan Pinang, Ahad lalu, saya sempat berbual-bual dengan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India (KPPI) Malaysia, N Balasubramaniam yang ternyata bersemangat membantu kempen Pakatan Rakyat. Sebelum hari penamaan calon lagi beliau sudah dua kali turun ke kawasan Dun yang mempunyai pengundi India sekitar 20 peratus itu.

"Kalau dulu kira-kira 65 peratus pengundi India sokong PAS, kali ini kita cuba meningkatkannya hingga 80 peratus," katanya, sambil menjelaskan banyak isu memihak PAS, seperti perarakan kepala lembu di Shah Alam, kenyataaan pemimpin Umno yang merendahkan kaum India dan janji MIC semasa kempen pilihan raya 2008 yang tidak tertunai. Beliau memberitahu lebih 200 aktivis KPPI hadir semasa hari penamaan calon dan 20 daripadanya akan berkampung untuk berkempen sehingga hari mengundi.

"MIC janji nak bagi tanah satu hektar kepada setiap keluarga di Estet Sua Betong, tapi mereka perlu dapatkan dulu bangunan sekolah Tamil yang kini ditempatkan di atas rumah kedai di Lukut," ujarnya sambil tersenyum.

Ditanya bagaimana mula beliau tertarik dengan Parti Islam, Bala yang juga pernah menjadi sami, percaya sesiapa saja yang patuh kepada ajaran agama, dan dalam Islam mengikut al-Quran seperti diamalkan penyokong dan pemimpin PAS, maka ia akan membawa kebaikan dan perlu disokong.

Bala juga tidak bimbang dengan kempen MIC di kawasan ladang, begitu juga dengan pemilihan Isa sebagai calon BN. "Selama lebih 20 tahun jadi MB, ISA tak rapat pun dengan akar umbi. Dalam masa 50 tahun BN memerintah, kami dilupakan dan tiada usaha serius untuk membangunkan masyarakat India," tegasnya.

Mengulas kehadiran agak ramai mereka yang mendakwa anggota Kelab Penyokong BN semasa hari penamaan calon, Bala berkata, kebanyakannya adalah pelajar Kolej Tafe milik MIC yang belum pun 'cukup umur untuk menjadi pengundi'. "Apa pun, kami akan bersungguh-sungguh berkempen memenangkan PAS," tambahnya.

Turut dalam pertemuan itu, R Kumutha, Ketua Wanita KPPI Malaysia, yang tidak lokek dengan senyuman manisnya. Beliau yang pernah mewakili PAS, tetapi atas simbol KeADILan, dalam pilihan raya umum 2008 di Johor, cukup yakin masyarakat India sukar untuk kembali menyokong BN.

"Sepanjang kami berkempen dari rumah ke rumah, penerimaan masyarakat setempat cukup menggalakkan. Saya menjelaskan tujuan kami datang ke rumah mereka, mendedahkan isu-isu yang dekat dengan kehidupan mereka, seperti pendidikan dan kerjaya anak-anak. Dan jika mahukan perubahan, kita harus sokong PAS," jelas Kumutha, yang juga seorang peguam.

Beliau yang arif tentang perlembagaan PAS mudah menjelaskan sebarang salah faham yang ditimbulkan pengundi: "Selain isu hudud yang saya jelaskan berdasarkan perlembagaan parti, contoh kesederhanaan hidup Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz dibandingkan gaya hidup pemimpin BN, misalnya Dr Khir Toyo yang mempunyai istana mewah, begitu menarik minat mereka. Begitu juga dengan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat."

Lebih menarik apabila wanita muda yang berasal dari Johor Bahru ini menceritakan pengalamannya bertanding dalam pilihan raya umum, Mac 2008. Kumutha yang hanya balik dari United Kingdom pada Julai 2007 selepas menamatkan pengajian undang-undangnya tertarik dengan PAS selepas mengikuti ceramah pada awal 2008.

"Saya tidak dapat lupa sokongan tulus ikhlas orang PAS, mereka begitu ringan tulang membantu saya," ujarnya.

Bagi Kamutha dan Bala, masa depan PAS di negara ini "begitu menjanjikan". Tembok perkauman yang roboh, selaras dengan motto "PAS for All", perlu disusuli dengan sikap yang konsisten demi membebaskan Malaysia daripada segala bentuk penganiayaan, kezaliman dan ketidakadilan.

"Bagan Pinang memang penting buat PAS, Pakatan dan juga BN, namun apa jua keputusannya nanti, momentum perubahan politik ke selatan tanahair sudah tidak dapat disekat lagi," kata Kumutha.

Pemilihan Isa Samad dan kontroversi Hasan Ali

PEMILIHAN Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefley Omar sebagai calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang memang sudah diduga, namun pengumuman lebih awal Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN agak mengejutkan.

Memang Bagan Pinang cukup kritikal buat Umno-BN. Ia pertarungan hidup dan mati. Momentum kemenangan 7-0 Pakatan Rakyat dalam semua pilihan raya kecil di Semenanjung selepas tsunami politik 8 Mac 2008 mesti dihentikan.

Ya, walau dengan apa cara sekalipun, apatah lagi jika kemenangan PAS di Bagan Pinang, seperti ditegaskan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dianggap petanda penguasaan Pakatan di selatan tanahair, yang membolehkan kerajaan pusat yang baru dibentuk selepas pilihan raya umum ke-13.

Ternyata Umno-BN masih belum selesa dengan jumlah pengundi pos yang cukup besar di Bagan Pinang. Apa jua faktor yang dilihat dapat menambah undi tidak akan disesiakan meskipun dari segi jangka panjang ia boleh memudaratkan prestasi BN.

Boleh selamatkan 'maruah' BN

Walaupun Isa - Ketua Umno Telok Kemang dan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun - pernah disabitkan dengan rasuah politik dan digantung keahlian Umnonya selama tiga tahun mulai 24 Jun 2005, namun beliau adalah satu-satunya calon yang diyakini boleh menyelamatkan maruah BN. Satu hakikat yang pelik tetapi bagi Umno yang "tercungap-cungap kelemasan", pilihan talian hayatnya begitu terbatas.

BN tidak boleh kalah di Bagan Pinang, malah ia perlu menang dengan majoriti lebih besar, bagi memulihkan imejnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dalam pilihan raya umum 2008, Negeri Sembilan adalah benteng terakhir yang menghalang kemaraan Pakatan ke selatan.

Sebaliknya, dengan memilih orang seperti Isa, yang mungkin boleh membantunya mencapai misi di Bagan Pinang, tetapi keseluruhan wajah Umno-BN akan menjadi lebih hodoh dan gelap. Dr Mahathir Mohamad menyedari hakikat ini namun ia seperti tidak dihiraukan Najib.

Presiden Umno itu juga melanggar tradisi apabila tiba di lokasi majlis pengumuman calon selepas Muhyiddin mengisytihar Isa sebagai lawan Zulkefley.

Tidak pernah berkempen

Sejak 20 tahun lalu, apabila Shahrir Samad memalukan Dr Mahathir di Johor Bahru, Presiden Umno hampir tidak pernah berkempen dalam pilihan raya kecil.

Apakah BN begitu terdesak menghantar pengerusinya menemui pengundi terutama selepas ada desakan masyarakat India agar Najib sendiri turun padang? Isteri Najib, Rosmah Mansor pun turut mengatu program di Bagan Pinang

Memilih Isa seolah-olah bermakna Umno begitu ghairah mencari untung seringgit dua hari ini tetapi bersedia untuk rugi ratusan ribu nanti. Soalnya, Umno lebih takutkan kalah di Bagan Pinang dan mahu memadamkan segera obor semangat pendokong Pakatan.

Dalam masa sama, ada pihak mengingatkan, jentera Pakatan tidak wajar hanya menumpukan kempen menyerang personaliti calon BN, malah dibimbangi ia menjadi "perangkap" kepada PAS.

Agak sukar menelah sikap pengundi Melayu di pinggir bandar dan kawasan kampung dalam isu-isu berkaitan rasuah. Misalnya, ada calon yang sinonim dengan salahguna kuasa, seperti Khir Toyo, boleh menang lebih besar dalam pilihan raya! Dan saya rasa kes calon BN di Permatang Pasir mungkin berbeza dengan kes Isa.

Usah berasa selesa dengan andaian bahawa kita sudah mendapat 'bonus' dengan pemilihan Isa. Belum tentu lagi. Selain itu, isu undi pos hendaklah dibangkitkan secara berterusan; jangan berhenti di Bagan Pinang sahaja. Talian hayat Umno ini mesti dicantas sebelum pilihan raya umum ke-13 dijalankan.

II.

Berbicara hampir sejam dengan Dato' Dr Hasan Ali, di pejabatnya, petang 29 September lalu, memang mengasyikkan. Meskipun dibebani dengan isu-isu yang tentu berat untuk ditanggungnya, apatah lagi 'serangan' dari rakan-rakan dalam parti dan Pakatan Rakyat sendiri, saya perhatikan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor itu tetap ceria bercerita dan menjelaskan pelbagai isu, terutama berkaitan Selcat.

Berdepan cemuhan seteru politik Umno-BN pastinya sesuatu yang lumrah tetapi bersemuka kritikan kawan-kawan seperjuangan tentu Dr Hassan terasa lebih perit.

Pertemuan hari itu mulanya hanya untuk sembang-sembang, terutama untuk menyelami isu sebenar yang ghairah dimanipulasi media. Saya tidak bercadang mengadakan wawancara khas dengan Pesuruhjaya PAS Selangor itu, bimbang ia makin mengeruhkan lagi suasana.

Tidak segenting Perak

Memang kedudukan Selangor tidak segenting Perak (ketika diperintah Pakatan dulu) ataupun Kedah, tetapi untuk memberikan lebih banyak bahan kepada seteru politik bagi menyerang negeri termaju itu tentulah langkah tidak bijaksana.

Sebagai akhbar rasmi parti, Harakah harus lebih berhati-hati. Malangnya sikap terlalu cermat itu mungkin ditanggapi secara negatif oleh pembaca yang sentiasa dahagakan maklumat dan perkembangan terbaru.

Dr Hasan, yang saya kenal agak rapat ketika tercetusnya isu salahguna kuasa dua Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo, mulanya agak keberatan untuk berbicara secara khusus tentang Selcat.

Beliau mahu menjelaskan topik yang lebih umum dan menyeluruh khususnya berkaitan pembabitan PAS dalam kerajaan negeri: "Sesekali berjumpa ... kita elok bercakap hal-hal yang lebih besar."

Ditanya sikapnya terhadap dakwaan Speaker Dun Selangor, Teng Chang Khiim (yang disiarkan sebagai tajuk utama hampir semua akhbar 29 September) bahawa beliau berbohong, Dr Hasan enggan menjawab. "Biarlah, kita tengok dulu," katanya.

Saya segera teringat hubungan baik dan intim mereka khususnya semasa sama-sama membongkar kes Khir dalam sidang Dun Selangor tujuh tahun lepas.

Ketegasan Teng

Kepada wartawan Saidah Hairan yang turut hadir dalam pertemuan itu, Dr Hasan mengajukan: "Saidah pun tahu ketegasan Teng semasa mengendalikan sidang Dun sekarang. Memang dia ada kehebatan tersendiri, sukar wakil rakyat lain menyainginya."

Memang, khabarnya sesama rakan Adun Pakatan pun, sebagai Speaker, Teng bersikap tegas, termasuk anggota Exco. Malah Dr Hassan pun ditegurnya jika menjawab berjela-jela!

Nampak Dr Hasan mempunyai pandangan tersendiri untuk memperkukuhkan Pakatan di Selangor, terutama di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Cadangannya untuk menambahbaikkan Selcat juga dilihat memberi keuntungan kepada semua pihak dan langsung tidak merugikan mana-mana parti dalam Pakatan.

Dijolok pertanyaan bahawa ada kalanya suara beliau senada dengan kritikan Umno terhadap kerajaan Pakatan, beliau tidak melatah. "Hal ini tak timbul sama sekali," katanya tersenyum.

"Walaupun PAS hanya ada lapan kerusi Dun, tetapi saya tidak pernah berasa kecil untuk memikul amanah, khususnya memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu. Tetapi tidak pula saya meminggirkan rakan-rakan bukan Melayu yang perlukan pertolongan. Biar sesiapa pun, bangsa, agama atau parti mana pun, saya akan cuba membantu," tambahnya.