20 Mei 2009

Mengisi Hari Ibu, Jururawat di Hospital Ampang

SEMINGGU menemani anak lelaki saya, Ahmad Ikmal Syafiq, 12, yang dimasukkan ke wad Hospital Ampang bermula jam 4 pagi Selasa, 12 Mei lalu, meninggalkan pelbagai kisah debar dan 1001 cerita kemanusiaan.

Bagi kami sekeluarga, yang pernah kehilangan secara tiba-tiba, puteri jantung hati, Nurul Syafiqah, ketika itu berusia 11 tahun, pada 1 Ramadan bersamaan 5 Oktober 2005, serangan denggi tidak boleh diambil mudah. Sewaktu pelbagai wabak baru menjelma, nyamuk aedes tetap mengintai peluang.

Semasa meninggalkan Ikmal Syafiq untuk ke pejabat, jam 1 pagi Rabu 13 Mei, bagi menyemak kandungan Harakah sebelum dicetak esok, demamnya nampak makin kebah. Ibunya, Siti Hawa, memberitahu, walaupun masih lemah, muntah-muntah, dan hilang selera makan-minum, dia seakan mulai pulih.

Selepas subuh baru saya sampai ke rumah. Rasanya, jam 10 pagi, belum pun sempat untuk lelapkan mata sekejap, telefon bimbit saya bergetar. Mendengar nada cemas Siti, alunan nafas saya jadi tidak menentu. "Syafiq bang ...," suara Siti terputus-putus.

Menyimpan sesuatu

Sebaik tiba di tingkat 6, saya dapati sekumpulan doktor sedang mengerumuni Ikmal Syafiq yang merintih kesakitan. Saya tercari-cari siapa saja yang boleh menjelaskan kedudukan anak ketiga kami itu.

Seorang doktor muda mulanya agak keberatan tapi kemudiannya meminta saya masuk ke sebuah bilik dalam wad 6B itu. Penjelasannya hanya menambahkan kecelaruan dalam minda saya. Saya syak beliau seperti menyimpan sesuatu yang tidak diluahkan secara terus-terang.

Ikmal Syafiq harus segera dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Saya mendengar perbualan jururawat dan doktor bahawa ICU Hospital Ampang penuh tetapi untuk mengejarkannya ke hospital berdekatan, ia mengundang risiko yang cukup tinggi. Degup jantung makin kencang.

Saya saling berpandangan dengan Siti, sambil tidak putus-putus mengharapkan keajaiban, dan pastinya pertolongan Allah. Terbayang wajah kudus Nurul Syafiqah, masya-Allah.

Ikmal Syafiq rupanya diserang "dengue shock syndrome". (Lima hari selepas itu, apabila kami berkemas untuk membawa Ikmal Syafiq pulang, doktor memberitahu, ramai meninggal dunia akibat sindrom ini). Tekanan darahnya menurun mendadak ke paras 100/90. Platlet di bawah 10. Tanda tangan saya diperlukan sebelum bekalan darah dimasukkan. Muka dan badannya "bengkak air". Drip terpaksa dihentikan sebab ada kesan pada paru-paru.

Alhamdulillah, tanpa perlu menunggu lama, ada satu kekosongan di ICU, di tingkat tiga, bangunan sama.

Berteleku di atas sejadah di surau ICU seperti menyuntik pengalaman baru walaupun sudah berkali-kali saya berdepan suasana seperti itu.

Seorang kawan pernah menulis, suasana di mana-mana masjid atau surau hospital terasa kelainannya, sunyi, hening dan syahdu. Pergantungan langsung terus tembus kepada Allah.

Saat-saat genting dan kritikal itu sebenarnya menumbuhkan rasa khusyuk yang "cukup membahagiakan". Ya ... terasa kerdil dan hinanya diri, tiada upaya melawan takdir, saat bagai menanti hakim menjatuhkan hukuman, yang tiada proses rayuan lagi.

Malangnya, rasa kudus itu tidak lama berbekas, ia selalunya cepat hilang sebaik suasana bertukar. Begitu lalai dan lekanya insan sehinggalah direntap kematian, walhal tika itu tiada lagi gunanya sebarang peringatan!

13 Mei, hari Ikmal Syafiq dimasukkan ke wad adalah Hari Jururawat. Sebelum itu, 10 Mei adalah Hari Ibu. Ia berkait rapat dengan wanita, termasuk 16 Mei Hari Guru.

Di hospital anda pasti menemui wanita-wanita berhati mulia, berjiwa besar, sabar menunggu, reda menemani suami dan anak-anak yang terlantar sakit.

Tiada keluhan di wajah

Ada kalanya mereka sudah bertahun-tahun setia membelai, menanggung keperitan, terpaksa mengagihkan masa di wad dan berkejar pula menyiapkan keperluan di rumah, tanpa sebarang keluhan.

Yang pasti, tiada tanda kesal di wajah mereka, walaupun nampak letih-lesu tidur berbantalkan lengan sambil melayani pelbagai karenah suami atau anak-anak.

Begitu juga dengan para jururawat yang menunjukkan dedikasi tinggi. Saya melihat sendiri, 'misi' dari pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India yang sabar menyantuni anak kami, dengan senyuman manis dan pujukan mesra walaupun berdepan wajah mencuka Ikmal Syafiq.

Memang selayaknya mereka mendapat penghormatan luar biasa di atas kerja-kerja mulia itu.

Begitu juga dengan para doktor yang ringan tulang, faham dengan keresahan kami, cepat dan tangkas menangani situasi sulit, serta tidak lokek menasihati dan sempat memberi "kuliah pendek" tentang kesihatan. Tidak terkecuali pengawal keselamatan yang bijaksana menggunakan budibicara mereka.

Jutaan terima kasih buat semua, termasuk yang tidak putus-putus mendoakan, solat hajat, serta menawarkan rawatan alternatif, di samping petua-petua bermanfaat.

Syukur, penyakit yang tidak diundang membawa bersamanya rahmat, mengeratkan persaudaraan, memaknakan kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Silakan memberi komentar anda. Moga ianya akan terus bersama membina keyakinan untuk perjuangan.