13 April 2009

Najib Tiada Pilihan Selain Segerakan Pembaharuan

Di Semenanjung, Pakatan Rakyat - yang dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 - telah memenangi semua kerusi dalam empat pilihan raya kecil yang diadakan, bermula di Permatang Pauh, kemudiannya di Kuala Terengganu dan terakhir di Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Maknanya, Pakatan Rakyat belum pernah tewas dalam semua pilihan raya yang disertainya, kecuali di Batang Ai, Sarawak. Dan ini satu kejayaan gemilang yang menjanjikan gelombang perubahan cukup besar dalam pilihan raya umum akan datang.


Perjalanan kempen sehingga hari mengundi 7 April lalu juga membuktikan bahawa usaha memperjuangkan sistem pilihan raya yang bersih, adil dan bebas perlu digiatkan lagi. SPR masih dikongkong dan menurut telunjuk serta kemahuan Umno-BN. Tarikh pilihan raya dan hari penamaan calon juga menunjukkan ia dipengaruhi kepentingan Umno.

Era pemerintahan Dato' Seri Najib Razak - mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri empat hari sebelum pilihan raya - yang mahu dilihat lebih terbuka, tidak lebih daripada gimik politik semata-mata. Media massa, khususnya RTM dan TV3, diperalatkan semahunya untuk kempen BN, sekali gus memburukkan Pakatan Rakyat, termasuk Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pihak polis masih menjadi 'perkakas' untuk menekan seteru politik BN. Janji pembangunan 'mi segera' tetap menjadi umpan walaupun sudah tidak berkesan lagi.

Bersih, gabungan pelbagai parti politik dan NGO yang memperjuangkan pilihan raya bersih dan telus harus diaktifkan kembali. Banyak tuntutannya yang belum dipenuhi. Usah terleka dengan pola pengundian masa kini yang memihak Pakatan Rakyat. Umno-BN yang menerajui kerajaan pusat akan mengeksploitasi apa jua demi mempertahankan sisa-sisa kuasa mereka.Sehubungan dengan itu, demokrasi di Malaysia mesti bertambah matang dan tahan uji. Bagaimanapun, ia tidak datang menggolek jika tidak didesak secara sistematik dan berterusan.

Persepakatan parti-parti Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau juga cukup mengkagumkan. Biarpun terpaksa mengagihkan sumber yang terhad untuk dua pilihan raya yang dijalankan serentak, tidak termasuk Batang Ai, masing-masing berganding bahu memerah keringat turun ke lapangan berkempen.

"Saya kagum dengan ramai pimpinan DAP yang aktif berkempen, siang dan malam, seolah-olah mereka yang bertanding di Bukit Gantang," kata seorang pemimpin kanan PAS.

"Walaupun akhbar Cina memberi ruang agak saksama kepada semua pihak yang bertanding, DAP tetap agresif berceramah dan berkempen dari rumah ke rumah. Pada hari mengundi, saya lihat mereka gigih bekerja sampai tempoh mengundi tamat. Memang berbaloi majoriti undi Cina memihak calon kita," tambahnya.

Dengan kemenangan besar Dato' Seri Nizar Jamaluddin itu, gesaan agar Dun Perak dibubarkan - bagi mendapatkan semula mandat rakyat - pastinya bertambah kuat. Kemelut berpanjangan ini tidak akan dapat diselesaikan di mahkamah. Pemimpin BN, termasuk Dato' Zambry Abdul Kadir sendiri mengakui, dalam sidang akhbar bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa antara faktor kekalahan BN di Bukit Gantang adalah penolakan pengundi terhadap cara kerajaan Pakatan Rakyat Perak ditumbangkan.

Rakyat juga menolak pendekatan politik lama BN, yang memainkan sentimen perkauman, berdasarkan audien yang berbeza-beza. Nizar sepanjang kempen ditohmah sebagai penderhaka, boneka Cina, sanggup serah tanah Melayu kepada orang asing, dan pelbagai label negatif lainnya. Kematangan pengundi teruji walaupun disedari PAS sepatutnya sokongan lebih besar daripada masyarakat Melayu. Harus dibedah-siasat kelemahan jentera kempen sehingga masih ramai pengundi Melayu yang terus terkeliru dengan dakyah jahat Umno-BN.

II.

Selepas gimik politik Najib, dengan menarik balik penggantungan Harakah dan Suara Keadilan, gagal pada hari pertama beliau menjadi Perdana Menteri, maka usahanya untuk membawa pembaharuan melalui pembentukan Kabinet juga tidak disambut baik.

"Kabinet baru ini langsung tidak impresif ... ya, langsung tidak menarik. Muka-muka baru yang entah dari mana, nak dikatakan profesional pun bukan, mahu disebut mewakili parti pun tidak," ujar seorang profesor sains politik.

"Ada yang tidak bertanding dalam Umno terpilih lagi, begitu juga yang kalah, tapi ada tokoh yang menang besar terpelanting. Kata mahu kuatkan parti dalam kerajaan, apakah Umno sudah tiada ahli-ahli Parlimennya yang berwibawa? Melihat kabinetnya, seolah-olah Najib enggan menerima suara rakyat apabila melantik mereka yang kalah dalam pilihan raya, dan tidak bersedia mengiktiraf dokongan parti kerana memilih mereka tewas dalam pemilihan Umno," tegasnya lagi.

"Bagi saya, Umno sudah masuk dalam zaman kepupusan kerana sudah tidak ada lagi pemimpin yang hebat di dalamnya. Malah kita tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan BN sendiri akan runtuh," tambah profesor yang enggan disebut namanya.

"Jika trend sekarang berterusan, iaitu hanya Sabah dan Sawarak sahaja dapat menerima BN dengan baik, tidak mustahil satu hari nanti, ibu kota Malaysia akan berpindah ke sana pula," katanya sambil ketawa.

Ditanya pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri ke-6, beliau berkata, "Najib belum berani untuk menjadi dirinya sendiri, dan dia bermain politik demi menjaga hati Dr Mahathir."

Bagaimanapun pensyarah muda ini sempat merakamkan tahniah kepada Dato' Seri Hishammuddin Hussein, sepupu Najib: "Selaku Menteri Dalam Negeri, tumpuan kini difokuskan kepadanya. KDN harus menjadi kementerian pertama yang melakukan perubahan. Rakyat mahu melihat isu-isu kritikal diselesaikan segera seperti ISA, kebebasan media, dan keganasan polis. Hishammuddin tidak perlu menabur janji, rakyat mahu lihat tindakan konkritnya."

Beliau juga menaruh harapan tinggi kepada Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin: "Selaku Menteri Pelajaran, Muhyiddin harus segerakan penyelesaian isu PPSMI, juga tentang kos pendidikan yang kian terbeban, termasuk yuran sekolah yang cakap lain, buatnya lain." Tidak terkecuali kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Mustapa Mohamed: "Bawa sebanyak mungkin pelabur asing ke Malaysia, atasi masalah kegawatan ekonomi terutama dari segi peluang pekerjaan."

III.

Pada hari semua akhbar melaporkan kemenangan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, saya tertarik dengan berita kaki Utusan Malaysia, Hapuskan Akta Mesin Cetak - Syed Hamid. Menurut Mentari Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 boleh dimansuhkan bagi membolehkan syarikat-syarikat penerbitan bergerak lebih bebas sejajar dengan tuntutan rakyat masa ini. Akta itu disifatkan tidak relevan lagi, termasuk Akta Kediaman Terhad 1953. "Rakyat tidak suka akta itu, syarikat media pun tidak suka akta itu," kata Syed Hamid pada sidang akhbar khas di kediamannya, 7 April.

Saya kira cadangan Syed Hamid itu harus disegerakan perlaksanaannya. Akta Mesin Cetak memang perlu dimansuhkan terus. Di dalamnya banyak peraturan "karut-marut", khususnya yang dikenakan terhadap Harakah, selain kuasa mutlak menteri untuk menolak permohonan, menggantung dan mengharamkan permit penerbitan.

Mungkin idea Syed Hamid ini mahu menebus "dosanya" menggantung penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan, yang mana 11 hari kemudiannya ditarik balik Najib. Selamat bersara Syed Hamid, bersama-sama Abdullah Ahmad Badawi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Silakan memberi komentar anda. Moga ianya akan terus bersama membina keyakinan untuk perjuangan.