08 April 2009

Era baru tsunami politik kedua

Kemenangan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau bagaikan tsunami kedua melanda lanskap politik Malaysia, selepas gegaran pertama, Mac 2008. Ia cukup indah. Segala kepedihan ekoran rampasan kuasa BN, yang didalangi Najib Razak, ke atas kerajaan Pakatan Rakyat Perak, meskipun tidak terubat sepenuhnya tetapi sudah cukup untuk membuatkan kita menarik nafa lega.

Dato' Seri Nizar Jamaluddin yang berhempas-pulas mengangkat maruah Pakatan, khususnya berdepan dengan segala fitnah dan tohmah, akhirnya memperolehi kemenangan yang pastinya cukup manis itu. Perjuangan untuk memartabatkan suara dan kehendak rakyat Perak menempuh satu fasa baru. Tidak pasti pula bagaimana tanggapan pihak Istana Perak terhadap referendum rakyat yang secara jelas mahu budaya politik lama, seperti yang ditunjukkan oleh Najib Razak dan konco-konconya dibenamkan sedalam-dalamnya.

Dari awal semua maklum bahawa pilihanraya kecil Bukit Gantang bukan semata-mata mahu mencari pengganti kepada Almarhum Roslan Shaharom. Ia medan istimewa bagi memenangkan idealisme politik luhur, sekaligus mengatasi budaya politik hodoh, yang selama lebih 50 tahun bermaharajela di bumi Malaysia tercinta ini. Pengundi Bukit Gantang wajar diberi anugerah kerana berani membuat pilihan setepatnya. Mereka sudah menyampaikan mesej yang jelas, tegas dan cukup lantang. Juga memberi amaran, sekiranya Umno-BN terus tidak mahu berubah, apatah lagi mahu berpatah balik ke belakang apabila bersedia memberi tempat kepada Dr Mahathir Mohamad, maka masa depan parti itu sememangnya suram dan kelam.

Bukit Gantang juga mempamerkan pendekatan lapok dan kuno Umno-BN. Walaupun Najib memberi jaminan tiada lagi rasuah politik dalam bentuk projek mee segera, tetapi realitinya bumi Bukit Gantang dan Bukit Selambau menjadi bukti sikap lidah bercabang mereka. Segala projek mahu dilonggokkan di sana, belum dikira umpan wang ringgit dan ugutan-ancaman buat pengundi yang sukar dilunakkan dengan cara halus. Tabik buat pengundi Melayu yang tidak termakan dengan fitnah Umno-BN yang mendakyahkan bahawa Nizar itu boneka DAP, orang yang menjual tanah kepada Cina dan Menteri Besar yang derhaka kepada rajanya sendiri.

Pengundi Melayu yang menjadi taruhan Umno-BN untuk merampas kembali Bukit Gantang sudah berfikiran matang dan dapat menilai fakta yang dikemukakan Nizar dan jentera kempen PAS-Pakatan Rakyat. Sentimen perkauman sempit ditolak mentah-mentah petanda positif rakyat berbilang kaum di negara kita masih dapat berfikir dan menimbang sesuatu secara rasional, walaupun dalam situasi sulit dan genting semasa kempen pilihan raya. Mereka juga menolak propaganda murahan Umno-BN yang disebarkan secara meluas melalui RTM (Radio Televisyen Mahathir). Rakyat lebih percayakan sumber berita alternatif termasuk melalui media baru di alam siber.

Era baru tsunami politik yang kedua ini harus diwarnai sebaiknya oleh Pakatan Rakyat. Gerak kerja perlu diatur segera bagi memastikan harapan tinggi rakyat itu tidak disesiakan. Peluang untuk menawarkan kerajaan alternatif dalam pilihan raya akan datang begitu cerah. Peralihan kuasa dalam kerajaan dan Umno-BN tidak sewajarnya menganggu pelan peralihan kuasa sebenarnya, iaitu daripada BN kepada Pakatan Rakyat. Anwar Ibrahim, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang serta barisan kepimpinan Pakatan di semua peringkat tidak seharusnya membazirkan peluang keemasan ini. Siap sedia memacu perubahan dan membentuk kerajaan alternatif dalam pilihan raya akan datang, insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Silakan memberi komentar anda. Moga ianya akan terus bersama membina keyakinan untuk perjuangan.