14 September 2009

Jerit, bantah sekuatnya undi pos di Bagan Pinang

SEPERTI tahun lepas, sudah ada agenda ziarah pada penghujung Ramadan kali ini, iaitu mengagihkan sumbangan buat keluarga tahanan ISA. Ketika orang Sandakan, Sabah yang menetap sekitar Kuala Lumpur mulai pulang ke kampung halaman untuk beraya, kami turut sama berkunjung ke sana menyampaikan amanah pembaca Harakah yang cukup prihatin.

Di Semenanjung, kami cuba mengesan keluarga yang perlu ditolong, terutama yang tinggal di luar Lembah Klang. Rupanya ramai yang menanggung derita sendiri. Saya membayangkan, kalau operasi tangkapan borong yang baru dilancarkan pemerintah, nasib keluarga yang ditinggalkan terutama dari segi moral, kewangan dan kebajikan, tidaklah begitu buruk. Sekurang-kurangnya ada bantuan asas yang boleh segera dikeluarkan.

Mungkin motivasi luar biasa akhir Ramadan mendorong begitu ramai dermawan ringan tangan menghulur bantuan. Semoga Allah membalas segala ingatan ikhlas kalian dan memberkati rezeki yang diperolehi. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya lega sedikit bebanan keluarga yang dipisahkan secara paksa itu.

Meskipun sudah agak ramai yang dibebaskan dari Kamunting, namun tidak semudah itu untuk bekas tahanan memulakan hidup baru. Justeru, mereka tetap memerlukan sokongan.

Kami faham, ramai bekas tahanan tidak mahu dilihat sebagai menagih ehsan, apatah lagi merintih untuk dikasihani. Namun, di pihak Harakah, menurut rekod, sebahagian besar sumbangan yang kami terima adalah pada masa mereka belum dibebaskan, dan masih dikurung di kem tahanan.

11.

Pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan memberi makna besar dan implikasi penting kepada landskap politik tanahair dan boleh mempengaruhi trend pengundian dalam pilihan raya umum ke-13. Pola pengundian dalam tempoh dua tahun akan datang banyak ditentukan oleh perkembangan politik hari ini.

Rakyat memerhati dengan penuh minat apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat. Bila tiba masanya, mereka akan membuat penghakiman di atas penilaian mereka terhadap prestasi kedua-dua gabungan parti berkenaan.

Era BN akan menang biarpun meletakkan 'tunggul kayu' sudah berakhir. Begitu juga dengan kawasan tradisi kubu kuat pembangkang; ia boleh berubah jika calon dan parti bersikap sambil lewa, mengambil mudah terhadap sokongan selama ini.

Umum maklum bahawa Umno-BN sememangnya akan menggunakan apa jua taktik dan sumbernya yang tidak terbatas itu untuk menang di Bagan Pinang. Momentum kemenangan 7-0 mesti disekat.

Membiarkan Bagan Pinang tumbang bermakna membentangkan karpet merah untuk kemenangan seluruhnya Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan. Jatuhnya Bagan Pinang dapat melorongkan kekalahan Melaka (yang kini Umno di sana berbangga kerana tiada Adun Melayu dalam sidang Dunnya).

Johor yang dulunya pekat dengan Umno, kini sudah cair. Pengundinya makin rapat dengan PAS dan bersikap lebih terbuka. PAS pun sudah ada dua wakilnya di negeri berkenaan.

Sekiranya Pakatan dapat melebar-luaskan pengaruhnya di negeri-negeri di selatan Semenanjung, khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu, dominasi Umno-BN di peringkat pusat automatik akan berakhir.

Apa pun, secara peribadi, saya melihat laluan di Bagan Pinang cukup sukar. Majoriti kemenangan BN sebanyak 2,333 untuk pengundi seramai kira-kira 14,000 orang boleh dianggap besar apatah lagi ia mempunyai lebih kurang 5,000 pengundi pos.

Usah tersilau dengan lakaran bersejarah pada tujuh pilihan raya kecil yang lain. Lain padang lain belalang.

Ketua Umno Telok Kemang, Isa Samad turut mengingatkan, sekali gus memberi amaran, bahawa mereka sudah biasa dengan laut di Port Dickson dan tidak takut dengan ombak. Beliau merujuk kenyataan Anwar Ibrahim yang meramalkan tsunami politik mungkin melanda Bagan Pinang.

Benar, benteng BN Negeri Sembilan hampir dirobohkan dalam pilihan raya lalu, tetapi senario kali ini mungkin jauh berbeza terutama dengan manipulasi undi pos.

Dalam pilihan raya kecil yang menjadi tumpuan ramai, dan dilihat sebagai kayu ukur 'penentu hidup mati Umno-BN', maka dibimbangi pengundi pos yang dahulunya menyokong PAS pun sudah tidak selesa untuk berbuat demikian.

Bukankah di Permatang Pasir baru-baru ini juga timbul 'salah guna' pasukan tentera dalam kempen BN di sana? Harus maklum bahawa Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Naib Presiden Umno, begitu rapat dengan Najib Razak dan sudah pasti cuba sedaya mungkin memperalatkan pihak tentera untuk kepentingan politik dirinya, selain melangsungkan survival partinya.

Saya kira kebimbangan yang disuarakan terhadap undi pos harus diterjemahkan dalam bentuk penentangan yang lebih agresif. Biar rakyat jelas dengan operasi atau mekanisme bagaimana undi pos itu boleh dimanipulasi oleh BN - dan mendapat restu dan kawalan sepenuhnya oleh SPR - hingga menimbulkan simpati kepada Pakatan bahawa 'padang permainan sememangnya tidak sama rata'.

Asakan kepada SPR mesti dilipatgandakan. Borang Lampiran 2 yang mengandungi butiran peribadi pengundi pos termasuk nama, Mykad dan nombor siri kertas undi mesti dimansuhkan, manakala proses bilang undi harus dijalankan sebaik saja pengundian selesai.

Seperti saya tekankan sebelum ini, "pihak Pakatan Rakyat mesti menjerit dan memekik sekuatnya, biar dunia berhenti sekejap untuk meneliti undi pos di Malaysia"

10 September 2009

Elak persepsi salah pada tindakan yang betul

RAMADAN makin menipis. Hanya tinggal berbaki 10 hari. Bagaimanapun, inilah peluang yang ditunggu-tunggu. Di dalamnya ada malam agung yang paling istimewa; beribadat pada malam itu lebih baik daripada 1,000 bulan atau 83 tahun, satu tempoh melebihi usia kebanyakan manusia zaman ini.

Berusahalah kita mencari malam penuh keberkatan itu. Ya, masih belum terlewat ...

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusan akhir Ramadan kepada akhbar Harakah mengingatkan: "Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak. Rasulullah pada 10 hari terakhir Ramadan iktikaf di masjid.

"Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak, setiap kali masuk masjid hendak sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf. Bila niat iktikaf kita merasakan diri kita dikurung di hadapan Allah Taala. ... saya nasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al Quran yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, pejabat dan rumah."

Melalui tabung HARAKAHDAILY DOT COM (AKAUN MAYBANK 564070000336) yang kami lancarkan sejak dua tahun lalu, khususnya bagi membantu keluarga mangsa tahanan ISA dan mereka yang memerlukan, Alhamdulillah, setiap Ramadan, derma datang mencurah-curah. Segalanya akan kami manfaat dan salurkan kepada sasaran yang telah dikenal pasti.

Insya-Allah, minggu depan, saya sendiri akan turun ke Sabah mengagihkan sumbangan berkenaan. Meskipun kebanyakan tahanan sudah dibebaskan, namun berdepan realiti baru, kami rasakan mereka masih perlu dibantu. Justeru, terima kasih atas segala sokongan kepada tabung berkenaan.

Sesungguhnya, terbukti majoriti masyarakat kita cukup prihatin dengan kesengsaraan dan penderitaan orang lain khususnya di bulan puasa ini.

II.

Umno memang tidak boleh kalah di Bagan Pinang. Secara tradisinya itu kubu kuat Umno. Pakatan Rakyat mungkin boleh dibiarkan menang pada semua enam pilihan raya kecil di kerusi yang penyandangnya PAS atau KeADILan.

Tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pun agaknya tidaklah sangat memedihkan. Tetapi jika Umno terlungkup di Bagan Pinang nanti, parti itu dilihat terkepung dan dijangka lemas perlahan-lahan.

Di pihak Pakatan pula, usah tertipu dengan kemenangan 7-0 sebelum ini. Medan baru di Telok Kemang pasti berbeza. Momentum Pengkalan Pasir boleh terbenam sebelum menyeberang sempadan Negeri Sembilan.

Najib Razak dan Muhyiddin Yassin pastinya sedang ligat mencari formula mempertahankan kemenangan 2008.

Undi pos yang begitu banyak itu tentu dapat membantu BN, tetapi ia bukan bekalan yang 100 peratus selamat buat parti yang makin mereput itu.

Di pihak Pakatan, lebih 5,000 undi pos itu mesti dijadikan isu besar. Jerit dan pekik sekuatnya, biar dunia berhenti sekejap untuk meneliti undi pos.

Selain itu, walaupun komposisi pengundi campuran nampak menyebelahi Pakatan, namun dalam politiknya segalanya bisa berlaku. Lena dalam zon selesa hanya mengundang padah.

Cabaran Najib dalam mengemudi BN nyata kian dahsyat.

Di permukaan, Umno nampak tidak bergolak tetapi kes di Terengganu membuktikan air tenang jangan disangka tiada buaya. Bukan saja pengerusi perhubungan Umno negeri, yang juga Menteri Dalam Negeri, tidak dihormati pemimpin Umno bahagian, malah TPM Muhyiddin Yassin turut ditolak.

Ini belum diambil kira pergolakan dalam MCA yang tambah meruncing dan memalukan. Bagai ikan, ia membusuk bermula dari kepala.

MIC pula seperti retak menunggu belah. Presiden Samy Vellu masih mahu berkuku walaupun tentangan dari bawah makin menyeluruh.

Gerakan pimpinan Koh Tsu Koon mungkin agak stabil tetapi selagi peluangnya untuk merebut Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng belum berhasil, parti itu juga terdedah kepada krisis dalaman.

Apakah BN hanya mengharapkan 'simpanan tetap' di Sabah dan Sarawak untuk kekal memerintah Pusat dan negeri-negeri tertentu? Najib tentu mengetahui, darjah kesetiaan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak bukan boleh diharapkan sangat terutama bila nampak kecenderungan rakyat memihak lawan.

Tidak mustahil Najib sedang mengintai tarikh sesuai untuk pilihan raya umum ke-13. Syaratnya, ekonomi tambah baik dan BN tidak kalah di Bagan Pinang!

III.

Isu pemindahan kuil di Shah Alam hanya menyerlahkan Umno ghairah memarakkan api perkauman. Sedih dan memalukan melihat rakaman orang Melayu bersikap kurang ajar dan biadap dalam majlis dialog dengan Menteri Besar Selangor dan wakil rakyat Pakatan.

Biarpun profil pengundi dan penduduk Shah Alam sepatutnya lebih berpendidikan, matang dan terdedah dengan simpang-siur maklumat, namun ada kalanya sentimen dan emosi boleh membakar-hangus segala rasional.

Kesediaan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk turun berdialog wajar dipuji dan harus menjadi tradisi kerajaan Pakatan walaupun berdepan risiko dicemuh dan dimaki.

Membicarakan soal majoriti dan minoriti dalam isu pembinaan rumah ibadat harus dilihat dalam konteks lebih meluas. Rujuklah khazanah sejarah Islam. Bersedialah untuk menawarkan keadilan, termasuk kepada bukan Islam, meskipun mungkin pahit untuk ditelan.

Pakatan Rakyat mesti konsisten dengan prinsip luhur yang dipegang bersama dan biarkan sahaja Umno tenggelam dalam lautan perkaumannya yang tidak bertepi itu.

Apa pun, cermat dan berhati-hati ... langkah politik tetap ada seninya terutama bagi mengelak persepsi yang salah terhadap tindakan yang betul.

09 September 2009

Sedekah akhir Ramadhan, kekecohan di Ipoh dan PRK Bagan Pinang

PANTAS sungguh Ramadan beredar. Kini hampir memasuki fasa ketiga dan terakhir, yakni pembebasan dari api neraka. Tahniah buat mereka yang dapat merangkul penuh nikmat hari-hari yang berlalu itu.

Ramadan dan al-Quran bagai terpisah tiada. Dr 'Aid Abdullah Al-Qarni menulis: "Rasulullah mempelajari al-Quran bersama Jibril pada bulan Ramadan. Baginda mendengarkan bacaan al-Quran, menghayati, membaca, melaksanakan kandungannya, melapangkan hatinya dan menggali cinta dalam muitara hikmah al-Quran."

Seorang teman bertanya, melewati 15 hari puasa, sudah berapa kali khatam Quran? Terkedu juga dibuatnya!

Ramadan juga sepatutnya mendekatkan kita dengan golongan fakir miskin, mereka yang kesempitan dan memerlukan bantuan segera. Hati dapat dijernih-lunakkan apabila mendampingi dan menyantuni saudara seagama yang tidak bernasib baik ini. Didiklah diri dengan bersedekah di bulan yang amalan sunat menyamai tuntutan wajib.

Insya-Allah segala ketamakan dan kerakusan yang memenjara diri perlahan-lahan reda. Di tengah gejolak budaya hidup materialisme menggila ini, Ramadan bisa mengasuh jiwa agar bersederhana dan tidak menunjuk-nunjuk kekayaan. Ayuh ... segeralah menyumbang, sekurang-kurangnya menjamu makan kepada mereka yang berpuasa.

II.

Semasa pergolakan yang dirancang di Shah Alam belum kendur (saya begitu terkesan dengan penghinaan yang mengaitkan 'Takbir' dengan 'Take Beer'; ia sebenarnya memperolokkan agama, bukan sekadar menyindir PAS), bandaraya Ipoh sekali lagi menjadi tumpuan.

Sidang Dun Perak terpaksa diadakan di sebuah hotel apabila Adun-Adun Pakatan Rakyat dihalang dari memasuki Bangunan SUK. Malang dalam sebuah negara demokrasi, polis terus diperalat. Dalam usaha menyuraikan perhimpunan, baik di Shah Alam mahupun di Ipoh, jelas nampak diskriminasi.

Seperti biasa, media talibarut memperleceh usaha Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan rakan-rakannya. Pelbagai label buruk dihambur, dan pastinya yang tidak ditinggalkan adalah tuduhan bahawa Menteri Besar yang dipilih rakyat itu derhaka kepada Sultan kerana tidak mendapat perkenan untuk adakan sidang Dun.

Umno-BN yang merampas kuasa di Perak awal tahun ini sentiasa mengelak dari membicarakan isu sebenar. Lagi-lagi dakwaan palsu PAS menjadi boneka DAP dan Nizar tunduk kepada kepentingan bukan Melayu. Walhal isu BN 'membeli' tiga Adun Pakatan dan sidang Dun - di bawah pokok atau di dewan hotel - yang sah itu cuba disembunyikan.

Jalan keluar hanya satu, dan itulah yang turut disuarakan Suhakam, Majlis Peguam dan veteran Umno seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Dun Perak mesti dibubarkan. Tiada pilihan lain!

III.

Siapa menduga, selepas SPR (yang jelas dipengaruhi kepentingan Umno-BN) menolak keperluan mengadakan pilihan raya kecil di Kota Siputeh, Kedah, fokus kini tertumpu ke Negeri Sembilan.

Kalau dahulu, politik di negeri berkenaan jarang diperhatikan. Pada 1990, Dato'Seri Dr Rais Yatim, bekas Timbalan Presiden Semangat 46 cuba mengocak ketenangan di Jelebu tetapi tidak berjaya.

Kini, pengaruh Pakatan Rakyat Negeri Sembilan, jika dilihat penguasaan kerusi Dun, malah jauh lebih hebat daripada Terengganu (yang turut bergolak hebat antara kem Ahmad Said dan Idris Jusoh). Majoriti dua pertiga BN dinafikan dalam pilihan raya Mac 2008.

Dun Bagan Pinang menarik kerana ia kerusi tradisi BN walaupun terletak di bawah Parlimen Teluk Kemang yang dikuasai KeADILan (dua dari lima Dun di bawahnya milik KeADILan dan satu DAP).

Sebelum ini, semua kerusi pilihan raya kecil di Semenanjung - kecuali di Kuala Terengganu - penyandangnya dari Pakatan. Di KT, PAS beradu pengaruh dan menang.

Memang cukup manis kemenangan itu dan perit buat Umno. Inilah yang digeruni Dato' Seri Najib Razak - kalah di gelanggang sendiri.

Dalam pilihan raya umum ke-12, Negeri Sembilan menjadi penampan arus kebangkitan rakyat dari merebak ke selatan. Pakatan hanya perlukan empat (4) Dun untuk memerintah. MB Mohamed Hassan (Dun Rantau) dan lebih-lebih lagi Khairy Jamaluddin (Parlimen Rembau) tentu mahu 'tunjuk jasa' kepada Najib.

Adun tunggal PAS sudah ada di Paroi, dan yang pastinya cabaran sengit menunggu di Bagan Pinang. Peluang terbuka, namun yang dipertaruhkan adalah maruah Najib dan potensi Umno-BN menjelang pilihan raya ke-13. Warga Lembah Klang tidak perlu pergi jauh untuk memeriahkannya!

07 September 2009

Umno kian terbelit dengan lingkaran sentimen perkauman

LOGIKNYA, apabila kita diberi petunjuk jelas tentang kehadiran Lailatulqadr - malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan - pada malam-malam ganjil di hari-hari sepuluh terakhir Ramadan, tentu tiada siapa yang akan meremehkannya.

Ya, apa sukarnya untuk menghidupkan malam dengan melakukan ibadah sepenuhnya hanya pada beberapa malam tertentu itu, tetapi ganjarannya cukup luar biasa?

Namun realitinya, insan begitu mudah alpa dan leka, tawaran sehebat mana pun, jika tidak didahului dengan jiwa tauhid yang mantap dan latihan yang konsisten, maka pada saban tahun, segalanya akan berlalu begitu sahaja.

Saya cuba mengingatkan diri yang kerdil ini - berkali-kali - bahawa kita masih belum terlambat untuk merebut tawaran Ilahi itu. Ramadan, bulan di mana nafas orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada wangi kasturi. Bulan di mana setiap malamnya Allah akan membebaskan seratus ribu orang yang sebelumnya diwajibkan ke atas mereka neraka.

Justeru, penuhkanlah malam dan siangnya dengan al-Quran, istighfar, zikir, taubat, sedekah, solat sunat dan beribadah dengan khusyuk. Sucikanlah hati, mohonlah keampunan seikhlasnya, cantas segala keinginan syahwat, moga-moga Allah menerima amalan kita yang sedikit ini.

II.

Hari Jumaat bulan Ramadan adalah hari baik di bulan yang baik. Tapi pada hari itulah juga sekumpulan penduduk di Shah Alam mengarak kepala seekor lembu sambil melaungkan slogan provokatif dan mempamerkan ungkapan menghina.

Mereka membantah proses pemindahan kuil Hindu dari Seksyen 19 ke Seksyen 21. Rupanya Ramadan 'tidak cukup' untuk melatih mereka agar bersifat sabar, menundukkan nafsu amarah dan melihat isu kontroversi itu dari gambaran lebih menyeluruh serta terpisah dari sentimen perkauman sempit yang ternyata cuba diapi-apikan pihak tertentu.

Lebih berbahaya apabila tindakan mengusung kepala lembu yang masih berdarah itu boleh ditafsirkan dari sudut penghinaan kepada amalan agama tertentu. Sebenarnya tidak sukar untuk menelah siapa dalang di belakang peristiwa yang sarat dengan agenda politik itu.

Malah jika diteliti perancangan Umno - dengan restu Presidennya, Najib Razak sendiri - untuk merampas kerajaan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun, banyak pihak bimbang jika sentimen keagamaan dieksploit semahu mungkin untuk menjayakan misi berkenaan. Umno di negeri termaju itu kian kelemasan selepas bertaraf pembangkang.

Umno sebenarnya dalam keadaan terhimpit. Malah pemimpin dan para strategisnya juga keliru untuk mencari jalan keluar. Selama ini Umno merasakan ia berjaya melalui propaganda perkaumannya, seperti selalu dikumandangkan dalam program-program anjuran BTN. Zaman sudah berubah. Senjata perkauman menikam dirinya sendiri.

Tetapi Umno ternyata begitu sukar untuk mengambil iktibar dan belajar dari sejarah kegagalannya dalam pilihan raya umum 2008. Bekalan intelektual dan kematangan fikiran pimpinannya boleh dipersoalkan.

Dalam keadaan pengundi Cina dan India semakin menjauhi BN terutama selepas kes kematian Teoh Beng Hock dan perarakan kepala lembu, ditambah jika 'permainan perkauman' Umno kali ini membelit dirinya, riwayat Umno-BN sebagai parti pemerintah dijangka berakhir dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun, seperti yang selalu saya tekankan juga, pengundi Melayu harus seberapa segera disedarkan daripada terus dibuai keyakinan palsu terhadap Umno. Jelas terdapat kempen besar-besaran mahu meniupkan sentimen perkauman Melayu melalui beberapa isu di Selangor.

Pendedahan maklumat dan pengedaran berita yang lebih cepat dan tepat melalui media baru diharap dapat membantu menjernihkan tanggapan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat.

III.

Memang ia satu kejutan dan hadiah hari merdeka yang tidak sepatutnya. Kenaikan harga minyak biar sekecil mana pun pasti mempunyai kesan berantai yang cukup negatif kepada pengguna. Apatah lagi ia diumumkan menjelang hari perayaan dalam suasana kelembapan ekonomi yang masih ketara.

Sekali lagi, apakah Najib tidak mengambil iktibar daripada eksperimen buruk Abdullah Ahmad Badawi dahulu? Rakyat yang cukup perit dengan bebanan kenaikan kos sara hidup mengajar Abdullah melalui peti undi.

Keuntungan besar Petronas ternyata tidak dimanfaatkan untuk meningkatkan keperluan asas. Banyak projek (lihat saja di Terengganu) hanya untuk mengisi tembolok para kroni dan membawa masalah selepas disiapkan.

Semasa rakyat masih termangu-mangu dengan skandal PKFZ berbelas bilion ringgit, istana bekas menteri bernilai puluhan juta, projek membazir yang menghanguskan dana awam, tiba-tiba mereka hendak dibebankan lagi.

Saya menjangkakan rentetan slogan muluk Najib boleh menjerat lehernya sendiri, mengulangi mimpi ngeri Abdullah. Kini, rakyat berhak bertanya, siapa yang didahulukan dan siapa pula yang diutamakan?

01 September 2009

Catatan fasa dua Ramadan dan permainan perkauman BN yang berbahaya

RAMADAN sudah melewati fasa 10 hari kedua, yang dijanjikan keampunan (maghfirah), selepas Allah melimpahkan rahmat, sebelum "pembebasan dari api neraka".

Bagi yang alpa-leka dan mensesiakan tempoh satu pertiga Ramadan yang berlalu itu, masa belum terlambat untuk kembali merebut peluang keemasan, yang tentunya tidak dapat dipastikan akan berulang pada tahun depan.

Perhatikan di sekeliling, mungkin ada anggota keluarga atau rakan taulan yang bersama-sama menikmati juadah berbuka tahun lalu, bertarawikh dan bertadarus, tetapi kini sudah menghadap Ilahi.

Madrasah Ramadan, pusat latihan mendidik diri menundukkan nafsu, bulan penuh keberkatan menemui diri di malam-malamnya, sambil beristighfar, bermunajat dan bertaubat penuh keinsafan.

Ramadan juga mendidik jiwa menjernihkan hati, menyantuni golongan fakir, mengasihi orang tua, menyuburkan sifat pemurah, meluhurkan tekad, mengikis budaya tamak-haloba.

Ramadan turut mendorong dan menyemarakkan semangat jihad, mengangkat martabat umat, meninggikan darjat agama dan bersedia mengorbankan kepentingan diri.

Masya-Allah, sungguh luarbiasa bulan istimewa ini. Pastikan anda dan saya dapat memanfaatkan setiap detik di dalamnya untuk beribadah setulus dan seikhlasnya.

II.

Agak berang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Seri Ahmad Said Hamdan dengan pelbagai kritikan yang dihamburkan kepada badan berkenaan terutama berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock.

Wibawa SPRM dipersoal oleh setiap lapisan masyarakat. Ia bagai diasak kiri dan kanan, depan dan belakang, atas dan bawah. Malah, dalam inkues yang berjalan, publik didedahkan dengan gelagat pegawainya yang mencurigakan.

Sebagai orang yang pernah berurusan dengan SPRM (dulunya BPR), ia tambah meneguhkan keyakinan saya bahawa badan itu perlu direformasi besar-besaran sebelum dapat melaksanakan misi unggul membanteras rasuah.

Syarat utama, pecat semua pegawai kanannya yang bukan saja dilihat bersekongkol dengan pemerintah tetapi lebih buruk lagi, "memperdagangkan" laporan rasuah demi mengejar habuan lumayan.

Mana mungkin korupsi dapat dibanteras jika, misalnya, SPRM hanya ghairah dengan kes peruntukan Dun Selangor tetapi berdiam diri apabila TPM mengaku menggunakan helikopter Nuri milik TUDM untuk merasmikan mesyuarat agung Umno Penampang, 16 Ogos lalu. Senarai kes "pilih bulu" ini terlalu panjang untuk dibutirkan.

Seperti ditegaskan Prof Abd Rahman Embong dalam Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas, semua jenayah seperti membunuh, merompak, mencuri dan merogol mempunyai mangsa yang jelas, kecuali rasuah. Ia suatu jenayah yang cukup kompleks dan usaha menanganinya rumit sekali.

Justeru, bagi Alatas, sebarang perubahan struktural dan perundangan dalam pentadbiran pemerintah bagi tujuan menangani rasuah hanya akan berjaya sekiranya terdapat sekumpulan individu yang berprinsip tinggi dan teguh menduduki jawatan utama yang penting bagi kejayaan misi pencegahan rasuah.

III.

Keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir memang mengecewakan Umno pimpinan Najib Razak. Harapan untuk melihat momentum Manek Urai berjangkit ke Permatang Pauh, kubu Anwar Ibrahim, berkecai.

Trend mengundi Mac 2008 masih tidak berubah. Meskipun Umno bermain dengan bahaya api perkauman, seperti ditonjolkan melalui Utusan Malaysia, pengundi Melayu di kawasan bandar dan pinggir kota khususnya, tetap menolak BN, manakala masyarakat bukan Melayu makin menjauhkan diri, apatah lagi parti komponen seperti MCA bergolak dahsyat.

Terbaru isu kuil Hindu dan perarakan kepala lembu di Shah Alam pasti membuatkan pengundi India (yang pada awalnya seperti ada sebahagian daripadanya mahu kembali kepada BN) semakin dekat dengan siapa saja yang berseteru politik dengan Umno-BN.

Presiden PAS menyifatkan pengundi bermaklumat, seperti di Permatang Pasir, lebih cenderung untuk bersama Pakatan Rakyat. Mereka membuat keputusan untuk mengundi seseorang calon berdasarkan ilmu dan kefahaman.

Namun segalanya tidak mudah buat Pakatan. Pengundi Melayu harus lebih dijinakkan, terutama untuk mendekati PAS. Selagi PAS belum dapat menembusi kubu Umno, agak sukar BN ditumbangkan di peringkat pusat.

Dalam negara yang majoriti penduduknya Melayu-Muslim maka peneraju Pakatan harus datang dari parti Melayu-Muslim juga. Sentimen perkauman sempit yang dimarakkan sekarang memang boleh menjerat Umno, namun PAS harus segera bingkas memperlihatkan keupayaannya untuk memimpin perubahan.

Pengundi Melayu bukannya terlalu sukar untuk menolak Umno tetapi mereka mungkin lebih selesa untuk menunggu isyarat jelas daripada PAS dahulu

24 Ogos 2009

Bila pegawai SPRM perdagangkan laporan rasuah ...

Surat misteri yang dikatakan ditulis sendiri oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock dan rumah mewah Dr Khir Toyo tidak boleh dipandang ringan. Banyak misteri yang perlu diselongkar dan dibentangkan kepada umum, bagi mendedahkan konspirasi jahat di sebaliknya

Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim didakwa menjadi aktor penting, bukan saja dalam proses soal siasat Beng Hock, malah membuat pakatan dengan Khir untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Khir dikatakan rapat dengan Hishamuddin selepas pegawai kanan SPRM itu "menyelamatkannya" daripada pelbagai tuduhan rasuah dan salahguna kuasa, termasuk aduan yang pernah saya laporkan pada 23 Oktober 2001.

Dakwaan terhadap Hishamuddin memang cukup berat lagi mengejutkan. Integriti SPRM yang sebelum ini sudah pun dipersoalkan kini menjadi taruhan yang paling kritikal. Beliau perlu segera membersihkan namanya dan memulihkan imej SPRM.

Tidak wajar berdiam diri

Oleh kerana surat itu sudah tersebar dengan meluas terutama dalam internet, dan menarik perhatian umum, Hishamuddin tidak wajar berdiam diri dengan hanya menunggu siasatan polis.

Bayangkan, bos no. 2 SPRM Selangor itu dituduh menghilangkan semua bukti yang boleh dikaitkan, antaranya dengan mencari helah untuk tidak memberikan sampel DNA, meninggalkan pejabat pada jam 6.10 pagi 16 Julai 2009 tanpa mengetuk kad perakam waktu selepas menjadi orang terakhir menemui Teoh, dan mengarahkan pegawai bawahannya mengelap kesan cap jari pada tingkap yang dipercayai tempat Teoh jatuh.

Beliau juga dikatakan mempunyai teknik soal siasat tersendiri, dengan cara memegang di bahagian hadapan tali pinggang saksi atau suspek dan mengangkatnya beberapa kali serta menggoncangnya!

Saya terpaksa menyebut beberapa dakwaan dalam surat berkenaan -- walaupun belum dapat dipastikan kesahihannya -- bagi menggambarkan betapa seriusnya imej dan integriti SPRM kini. Tanpa integriti SPRM hanya menjadi sendaan awam dan sia-sia sahajalah usaha kerajaan melakukan penambahbaikan kepada BPR dahulu.

Gerun untuk saya mimpikan ... ya, bagaimana jika benar, ada pegawai-pegawai SPRM "memperdagangkan" laporan rasuah yang kita adukan kepada mereka.

Maknanya, segala dokumen yang dikemukakan kepada SPRM dijadikan modal untuk pegawainya "memeras-ugut" secara halus tokoh-tokoh politik terkemuka yang begitu berkuasa khususnya untuk mengagih-agihkan khazanah kekayaan negara. Kes didiamkan jika habuan munasabah dihulur kepada pegawai SPRM berkenaan.

Dokumen dan bukti yang kita serahkan kepada SPRM sepatutnya dijadikan asas untuk satu siasatan lebih profesional, telus dan bertanggungjawab, bukannya untuk dieksploit untuk kepentingan diri. Alangkah hina dan jijiknya jika ada pegawai SPRM yang bertindak sedemikian rupa.

Pengadu bersusah payah mencari bahan bukti, membelanjakan wang dan menghabiskan begitu banyak masa, selain menanggung risiko berat, tetapi ada segelintir pegawai SPRM yang menjadi musuh dalam selimut, gunting dalam liputan ...

Lokasi strategik

Justeru, ada pihak mendakwa terdapat penguasa (ahli politik berkuasa)yang bermurah hati "menganugerahkan" tanah di lokasi strategik dan bintang kebesaran kepada pegawai kanan SPRM untuk "menjinakkan" mereka.

Mungkin bagi seorang Perdana Menteri, kes rasuah menteri atau menteri besar di bawahnya boleh dijadikan sandaran untuk memastikan "kesetiaan" mereka berkekalan.

Saya cuba mengelak daripada mengemukakan pengalaman saya sendiri ketika berurusan dengan BPR sebagai bukti bahawa badan siasatan itu tidak boleh dipercayai sepenuhnya bagi membanteras rasuah.

Malah dalam banyak keadaan, ia menyemarakkan lagi amalan terkutuk itu; apatah lagi umum mengetahui korupsi merupakan suatu jenayah yang paling sukar dibanteras kerana tidak jelas "siapa mangsanya".

Apa pun, saya mengharapkan kandungan surat misteri itu palsu semata-mata kerana tidak sanggup membayangkan bagaimana masa depan negara ini jika SPRM boleh berkomplot dengan penjenayah rasuah! Hishamuddin perlu tampil menangkis tuduhan itu, jangan biarkan hanya Khir berbuat demikian. Isunya bukan masalah peribadi Hishamuddin tetapi kedudukan SPRM itu sendiri.

Semasa menyiapkan artikel pendek ini, tiba-tiba orang kawan lama yang pernah menolong saya membongkar kegiatan rasuah memaklumkan melalui telefon: "Lutfi, aku boleh tunjukkan lokasi tanah-tanah sebuah agensi kerajaan negeri yang dianugerahkan kepada empat pegawai atasan SPRM, dengan harga murah."

20 Ogos 2009

Sederhana resepi terbaik untuk kelangsungan Pakatan

UNTUK menafikan bahawa Pakatan Rakyat tidak menghadapi sebarang masalah tentulah tidak munasabah, namun untuk mendakwa ketiga-tiga parti komponennya sering berbalah, sehingga menggugat asas-asas persefahaman, lagilah tidak berasas.

Begitulah adat dan kelaziman dalam permuafatan politik, apatah lagi membabitkan parti-parti yang berbeza ideologi, pasti ada yang mudah terguris dan terusik

Di samping ada prinsip utama yang dipersetujui bersama, tentulah masih berbaki perbezaan pendapat yang memerlukan darjah toleransi yang tinggi, sikap berlapang dada dan dingin kepala, keutamaan mematuhi janji, dengan tidak melupakan masih perlu elemen tegur-menegur dan kritikan membina.

Minimumkan syak wasangka sesama Pakatan

Bagaimanapun rasa syak wasangka dan prejudis sesama sendiri hendaklah diminimumkan. Pakatan bukan seperti BN, yang menutup ruang bicara parti komponen atau pemimpin yang tidak berpuas hati, atas asas keputusan ketua adalah muktamad.

Sejarah penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat menjelang pilihan raya umum 1990 mungkin tidak begitu kompleks berbanding pembentukan Barisan Alternatif pada 1999. Parti yang dikatakan "berlainan kutub", PAS dan DAP, mencipta sejarah ketika itu apabila dapat bersama dalam BA, berkongsi manifesto, namun ia tidak kekal lama apabila DAP menarik diri ekoran isu Negara Islam.

Senario itu mudah difahami memandangkan usia BA masih muda dan pemimpinnya mungkin mudah terangsang dengan provokasi nakal bikinan Umno-BN. Lagipun hanya PAS kelihatan "paling beruntung" dalam pilihan raya umum ke-10 itu, meninggalkan DAP dalam kedukaan dan KeADILan yang belum berjaya mengasaskan tapak yang kukuh.

Tsunami politik Mac 2008 memang mengejutkan. Rakyat yang sebelumnya agak diam - tidak sepertimana riuh-rendah kebangkitan reformasi September 1999 - memanfaatkan sepenuhnya peti undi.

Kemenangan paling gemilang BN dalam pilihan raya umum April 2004 hilang begitu sahaja sehingga memaksa Abdullah Ahmad Badawi berundur lebih awal daripada pelan asal. PAS, KeADILan dan DAP, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat, masing-masing hampir seimbang mencapai kemenangan.

Lebih penting, setiap parti dalam Pakatan berpeluang menerajui kerajaan negeri, misalnya PAS di Kedah, DAP di Pulau Pinang dan KeADILan di Selangor, malah eksperimen 10 bulan di Perak begitu menarik dan mahal harganya terutama dalam konteks hubungan baru PAS-DAP.

Dan semua ini merupakan pengalaman paling berguna untuk memperkukuhkan lagi persefahaman sehingga masalah-masalah dalaman yang timbul tidak mudah untuk meretakkan Pakatan.

Maka, isu-isu seperti arak di Selangor dan babi di Kedah, mungkin di peringkat awal nampak kalut tetapi dengan mudah dileraikan secara bijaksana oleh pemimpin Pakatan. Saya yakin aktivis Pakatan tidak akan memandang remeh kuasa rakyat yang kini sudah mempunyai "pilihan dalam pilihan raya", yang seterusnya memperkukuhkan lagi konstruksi sistem dua parti gabungan di Malaysia.

Anwar Ibrahim dalam wawancara dengan akhbar Harakah ada mengingatkan pemimpin Pakatan: "Tidak perlu terlalu banyak karenah atau perbicaraan di kalangan penyokong yang mudah ditafsir sehingga menimbulkan persepsi negatif."

Usah abaikan janji reformasi

Masyarakat boleh memahami karenah media talibarut (istilah Zulkifli Yahaya) yang cepat menangkap peluang untuk mengadu-domba parti-parti seteru BN, tetapi mereka tidak akan memaafkan jika harapan besar rakyat yang ditunjukkan dalam pilihan raya 2008 dikhianati apabila kepentingan umum diketepikan, hal peribadi dan kelompok pula yang diutamakan.

Janji-janji reformasi harus ditunaikan, selain gaya hidup pemimpinnya, - walaupun sudah berkuasa terutama di peringkat kerajaan negeri - mesti kekal sederhana dan dekat dengan degup jantung rakyat.

Rumusan pensyarah sains politik UKM, Muhamad Nadzri Mohamed Noor dalam bukunya, Politik Malaysia di Persimpangan; Praktik Politik dalam PRU 2008 dan Kontemporari (2009) menarik untuk direnungi: "Pembentukan Pakatan adalah satu respons pragmatik parti oposisi terhadaptrend perilaku pengundi dalam PRU 2008. Yakni, tindakan masyarakatlah yang memungkinkan Pakatan terbentuk. Di kalangan mereka terdapat pengundi yang muak, memprotes cara urus tadbir BN dan mengharapkan persekitaran kehidupan diubah kepada yang lebih kondusif dan lestari.

"Kejayaan Pakatan ... mungkin bukanlah satu sokongan yang benar-benar solid ... tidaklah lahir daripada sokongan pengundi tegar ... sebaliknya dibantu sokongan pengundi atas pagar dan penyokong BN yang memprotes. Sokongan dalam bentuk ini agak mudah dialihkan atau ditarik balik oleh pengundi di kemudian hari."

Oleh itu, bagi Nadzri, Pakatan mestilah benar-benar melaksanakan alternatif yang yang sedia ada, terutama janji-janji pembaharuan dalam pilihan raya umum 2008 dan siri pilihan raya kecil berkenaan dengan keadilan, ketelusan, urus tadbir bersih, bertanggungjawab, responsif dan merakyat. Kedua, parti-parti Pakatan mesti bijak untuk bersederhana dalam merencana dan melaksanakan perjuangan bagi mengekalkan keberlangsungan pakatannya.