21 Julai 2009

Persepsi Perkauman Dalam Kes Kematian Teoh

BERULANG kali pemimpin kanan kerajaan dan pegawai tinggi polis menasihati (sebenarnya memberi amaran) orang ramai agar tidak membuat pelbagai andaian dan spekulasi tentang kematian misteri Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, anggota exco kerajaan negeri Selangor, 16 Julai lalu.

"Kami bukan mahu menyembunyikan sesuatu. Kami mahu perkara ini disiasat secara telus. Polis sedang menyiasat dan kita patut tunggu sehingga mereka menyiapkan siasatan mereka," janji Timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Teoh - yang sepatutnya mendaftarkan perkahwinan dengan tunangnya, Soh Sher Wei, 28, pada 17 Julai, sebelum melangsungkan perkahwinan mereka pada Oktober - ditemui mati, di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas disoal siasat selama kira-kira 10 jam, bermula jam 5 petang sehingga pukul 3.45 pagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Pejabat SPRM terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Bagai penjenayah tegar

Lagak siasatan SPRM seolah-olah Teoh penjenayah tegar sehingga perlu dipaksa kenyataan yang kelur dari mulutnya selari dengan kehendak pihak berkuasa. Beliau disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan Dun membabitkan beberapa Adun Pakatan Rakyat Selangor, kebanyakannya DAP. Ramai mempersoalkan, mengapa taktik ugut-ancam (yang lapuk dan kuno itu) yang masih dipakai pegawai penyiasat SPRM?

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mengecam tindakan SPR menyoal siasat dalam tempoh yang panjang dan hingga ke awal pagi, yang disifatkannya sebagai satu penderaan mental yang menyebabkan fizikal menjadi lemah dan tertekan dari segi psikologi. Tindakan itu adalah menyalahi etika, amalan dan prinsip hak asasi manusia.

Selain itu, ramai tidak puas hati dengan penjelasan Pengarah Siasatan SPRM, Dato' Mohd Shukri Abdull, apatah lagi apabila beliau seperti mahu mengandaikan (malah membuat kesimpulan) Teoh mungkin telah membunuh diri. Shukri berkata, "Kita tak pasti dia terjatuh atau lompat atau apa."

Lebih ramai lagi yang marah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Abdul Aziz. "Saya dapat laporan awal dari SPRM mengatakan dia dah dilepaskan selesai soal siasat semalam. Jadi, dia patut balik rumah. Kita pun tak tahu dia nak terjun bangunan itu ...," kata Nazri. Beliau turut dilihat seolah-olah menuduh Teoh membunuh diri.

Muhyiddin atau Nazri, begitu juga dengan pihak polis dan SPRM, harus menyedari bahawa rasa ingin tahu rakyat terhadap peristiwa sebenar kes kematian Teoh begitu membuak-buak sekali. Keghairahan itu tidak akan padam hanya dengan nasihat (atau arahan) agar menunggu siasatan polis selesai. Apatah lagi dalam keadaan integriti pihak polis dan SPRM berada pada kedudukan terendah.

Proses siasatan SPRM dicurigai

Agak mudah untuk mencari contoh tentang kes-kes bagaimana proses siasatan pihak polis dicurigai ketelusannya. SPRM yang baru bertukar nama daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR)dan diberikan kuasa lebih luas pada Disember lalu turut menyimpan kes-kes yang merendahkan martabat dirinya sendiri.

Kerajaan BN juga tidak dapat menghalang rakyat daripada membuat andaian demi andaian, khususnya apabila banyak persoalan yang mencurigakan timbul dalam kes kematian Teoh. Suara hati dan gelodak rasa rakyat tidak mudah untuk ditundukkan hanya dengan perintah dan amaran pihak berkuasa.

Sememangnya pemerintah atau penguasa di Malaysia, khususnya sejak 1998, tidak mempunyai wibawa untuk mempengaruhi pandangan majoriti rakyat terhadap beberapa isu kritikal, apa lagi membabitkan institusi, seperti polis dan SPRM, yang dilihat jarang berlaku adil kepada setiap rakyat tanpa mengira latar belakang pegangan politik.

Kedua-dua badan yang sepatutnya bebas itu menjadi kuda tunggangan kepada Umno- BN bagi melumpuhkan kekuatan seteru politik mereka. Jika dirujuk aduan orang ramai, SPRM sepatutnya segera menyiasat tokoh-tokoh kenamaan dari BN, malangnya tumpuan lebih diberikan kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Ya, kita lebih mudah mengingati kes-kes salahguna kuasa bertaraf mega yang membabitkan para pemimpin tertinggi BN. Sebut saja skandal kewangan terbesar PKFZ bernilai belasan bilion rimggit, juga istana puluhan juta ringgit bekas Menteri Besar Selangor.

Itu belum disebut kes-kes lama, yang kebanyakannya sudah senyap sepi tidak diperkatakan lagi, apalah sangat dengan dakwaan berlaku penyelewengan dalam pengagihan dana Adun-Adun Selangor itu, misalnya membabitkan RM2,400 bekalan bendera Malaysia!

Cara pegawai-pegawai SPRM melakukan serbuan ke pejabat Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Adun-Adun Pakatan Rakyat seolah-olah mahu membentuk satu persepsi umum bahawa Kerajaan Pakatan juga korup dan tidak terlepas dari elemen salahguna kuasa seperti yang sering dikaitkan dengan Kerajaan Umno-BN.

SPRM hanya mahu tahu sumber

Pengalaman saya turun naik pejabat BPR, di Shah Alam dan juga ibu pejabat di Putrajaya, pada tahun 2001, bagi melaporkan kes Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, cukup memeritkan. BPR lebih berminat untuk mengetahui siapa sumber yang mendedahkan kes salahguna kuasa kuasa bekas Menteri Besar Selangor itu daripada mendapatkan bukti-bukti bagi membantu penyiasatan.

Malah, belum pun keluar dari pejabat BPR, saya yakin laporan saya itu sudahpun berada di atas meja Khir! Demikian eratnya hubungan pegawai kanan BPR dengan pimpinan tertinggi Umno-BN, masing-masing saling 'bertukar-tukar maklumat', mempertahankan 'maruah' kawan-kawan!

Kematian Teoh, apa pun rumusannya nanti, dijangka memberi kesan besar terhadap percaturan politik menjelang pilihan raya ke-13 yang dilihat begitu kritikal buat semua parti. Harapnya Pakatan Rakyat semakin erat selepas nampak agak 'berselisih faham' baru-baru ini.

Daripada tragedi Teoh ini - dan sebelumnya episod rampasan kuasa di Perak - saya rasa pengundi bukan Melayu semakin jauh daripada BN manakala pemimpin PAS mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mengalihkan sokongan pengundi Melayu kepadanya. Rakyat dapat melihat sendiri bagaimana sikap pilih kasih, diskriminasi dan pendakwaan terpilih yang begitu menjolok mata.

Wibawa SPRM yang jatuh merudum sukar dipulihkan jika pegawai tertingginya, terutama Ketua Pesuruhjaya dan Pengarah Siasatan serta Pengarah Selangor digantung tugas bagi menjamin ketelusan dalam siasatan.

Dan, usah biarkan persepsi perkauman semakin galak dalam mentafsirkan situasi politik semasa termasuk dalam kes kematian Teoh ini. Ini soal keadilan yang mesti diberikan kepada setiap rakyat, tidak kira agama, bangsa dan pegangan politiknya.

Dalam pada itu, propaganda Umno tentang ketuanan Melayu mesti disanggah secara berkesan, terutama oleh PAS.

13 Julai 2009

Umno-BN Hanya Faham Bahasa Demonstrasi!

Sejak awal PPSMI dilaksana secara gopoh-gapah, tanpa didahului kajian menyeluruh, tanda singkat fikiran. Idea Dr Mahathir Mohamad itu tidak berani disanggah terutama oleh pemimpin Umno-BN (yang kini mahu mengubah persepsi rakyat bahawa pemansuhannya atas inisiatif Umno) walaupun ada bantahan kecil di sana-sini ketika mula diperkenalkan.

Kerajaan BN ternyata sukar untuk mengerti bahasa perbincangan dan perundingan. Ia hanya tersentak apabila suasana menjadi riuh-rendah, ramai tokoh bahasa turun padang menentang, manakala pimpinan Pakatan Rakyat dan NGO mengatur road-show untuk menarik seramai mungkin rakyat prihatin menunjuk marah dan protes di jalan-jalan raya.

Percayalah, jika hanya bersandarkan alasan rasional yang dikemukakan dalam bilik berhawa dingin, PPMSI pasti tidak akan dimansuhkan. Tembakan gas pemedih mata dan pancuran air kimia juga menjadi saksi bagaimana penguasa bebal akhirnya dapat dijinakkan, sekurang-kurangnya buat sementara waktu. Ya, asakan dan tekanan politik juga yang digeruni dan difahami penguasa.

Namun, seperti rungutan Pak Samad Said, bahawa yang tetap diutamakan masih bahasa Inggeris apabila diperuntukkan RM5,000 juta untuk memperkukuhkan pengajaran dan pembelajarannya. Nasib bahasa Melayu terus terpinggir. Ramai lupa, tanpa PPSMI pun, kedudukan bahasa Melayu sudah begitu rendah dan tidak dipedulikan dalam banyak sektor penting. Apatah lagi jika pemansuhan PPSMI hanya setakat Tingkatan Lima, dan kemudiannya bahasa Melayu dipandang sepi di peringkat pengajian tinggi.

Pada 1 Ogos nanti, satu lagi himpunan raksasa (yang dijangka lebih besar daripada demonstrasi Bersih dan PPSMI) mendesak mansuhkan ISA bakal berlangsung. Ramai salah faham bahawa ISA hanya musuh kepada aktivis yang tidak selari dengan kerajaan. Rakyat seluruhnya teruk menderita (walaupun mungkin ramai tidak menyedarinya) dikongkong akta puaka ini.

Harakah cuba bersama-sama untuk memastikan himpunan Sabtu 2 petang itu dapat dijayakan dan Najib Razak sendiri akan lebih faham apa yang perlu diutamakannya.

09 Julai 2009

Ustaz Azizan Dan Warna Warni Politik Kedah


Pergolakan politik di Kedah baru-baru ini memang menarik perhatian ramai. Sebagai salah sebuah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat dalam tsunami politik Mac 2008, apa jua perkembangan di Kedah dilihat berupaya mempengaruhi kecenderungan pengundi di peringkat nasional, seterusnya boleh membayangkan keputusan pilihan raya umum akan datang.

Hasrat untuk melihat Pakatan retak dan berpecah tidak kesampaian. Pemimpin Umno-BN terpasa menggigit jari kempunan. Isu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar, mungkin bagai tiupan angin kencang yang hanya meneguhkan lagi akar mengikat bumi.

Pertemuan dan perbincangan dari hati ke hati antara pimpinan PAS, KeADILan dan DAP diharap dapat merumuskan gerak langkah yang lebih mantap, di samping mengenal pasti wilayah sensitif yang adakalanya mudah dilupakan.

Negeri yang pernah melahirkan dua perdana menteri dan seorang presiden PAS - yang dikagumi kawan dan lawan itu - disifatkan agak terlewat jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, sebelumnya dikenali sebagai Barisan Alternatif, Angkatan Perpaduan Ummah dan PAS secara solo.

Pemerhati politik menyifatkan sejak kebangkitan PAS dalam pilihan raya umum 1969, yang menyaksikan antara lain calon Perikatan, Dr Mahathir Mohamad dan Senu Abdul Rahman tewas mengejut, majoriti pengundi Melayu dianggap sentiasa lebih memihak parti Islam itu. Penyelamat BN hanyalah pengundi bukan Melayu.

Keadaan berubah dalam pilihan raya umum ke-12. Kemenangan awal calon PAS mula dikesan di kawasan yang jumlah pengundi bukan Melayunya agak signifikan. Ada kerusi majoriti Melayu yang dimenangi PAS pada 1999 tetapi kali ini tewas. Akhirnya PAS membentuk kerajaan bersama KeADILan dan kemudiannya DAP turut dilibatkan, walaupun tidak mendapat peruntukan kerusi Exco.

Hal sama berlaku di Pulau Pinang apabila DAP menerajui kerajaan dengan majoriti lebih selesa dan Adun tunggal PAS juga tidak diberi jawatan Exco. Bagaimanapun keadaan itu tidaklah sampai menggugat persefahaman dalam Pakatan.

Keunikan politik Kedah

Kebijaksanaan PAS mengemudi kerajaan negeri teruji di Kedah, sebuah negeri yang berbeza dari segi komposisi penduduknya berbanding Kelantan dan juga Terengganu.

Justeru, MenteriBesar Ustaz Azizan Abdul Razak, seperti pernah diakui oleh Dr Mahathir sendiri, begitu cermat dan berhati-hati untuk melakukan perubahan, dan bagi bekas PM itu, ia menyukarkan peluang BN untuk menawan semula Kedah.

Mungkin sesetengah kalangan agak tidak sabar untuk melihat pembaharuan, atau sekurang-kurangnya suatu kelainan ketara berbanding pemerintahan BN. Namun, Ustaz Azizan pastinya sudah merencana pendekatan terbaik agar kepentingan rakyat tidak terjejas, kestabilan politik terus utuh dan kemenangan dapat dipertahan. Apatah lagi ada pihak meramalkan, selepas 'rampasan kuasa' di Perak, ia mungkin berjangkit ke negeri Kedah.

Bukan sedikit usaha dan gerak diatur bagi memburukkan kerajaan Kedah. Isu babi dan hubungan PAS-DAP hanya senarai hujung daripadanya. Mungkin melalui media, ia seperti bergegar tetapi di peringkat akar umbi rakyat tidak mudah dipengaruhi tuduhan sensasi.

Malah, difahamkan pengarang akhbar-akhbar milik Umno-BN di Kuala Lumpur hadapi kesukaran untuk 'memaksa' wakil mereka di Alor Setar untuk memanipulasi berita Kedah, khususnya yang membabitkan menteri besar. Ini disebabkan wartawan-wartawan negeri 'malu alah' dengan Ustaz Azizan sendiri.

Bagi PAS, Kedah adalah pengalaman terbaik untuknya menunjuk teladan merintis kejayaan di negeri-negeri yang lain. Petugas PAS Kedah misalnya dikenali sebagai pekerja terbaik dalam hal-ehwal pilihan raya. Komitmen mereka juga sudah teruji dalam beberapa insiden tragis yang menelan korban nyawa. Semoga kemenangan tidak merencatkan istiqamah mereka.

Dan, jika sokongan pengundi bukan Melayu dapat dipertahan terutama melalui urustadbir kerajaan yang antirasuah dan mesra rakyat, serta kepemimpinan Ustaz Azizan dapat menambat hati lebih ramai masyarakat Islam, maka impian BN untuk merebut kembali Kedah, seperti dibayangkan Dr Mahathir, tentu bertambah sukar dan kelam.

Jika institusi menteri besar dalam BN sarat dengan daki rasuah (ya, dengan mudah kita dapat menamakan daripada Rahim Tamby Chik, Ali Rustam, Muhammad Muhd Taib, Isa Samad, Khir Toyo, Khalil Yaakob dan banyak lagi) tetapi dalam PAS, seperti ditunjukkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Abdul Hadi Awang dan kini Ustaz Azizan (juga tidak lupa Ir Mohamad Nizar Jamaluddin), ia tetap tidak tercemar.

07 Julai 2009

Catatan Belum Berakhir


MEMANG terasa begitu rimas dengan asakan pembaca mengapa kolum ini terhenti begitu lama. Keuzuran ternyata membataskan pergerakan, imiginasi dan juga khayalan.

Sedangkan dunia politik terus bergolak, pelbagai isu timbul sambut-menyambut, malah debarnya tambah kencang dan mencetuskan polemik yang cukup menarik.

Ya, bukankah pentas siasah begitu fitrahnya, sehingga memerlukan pemainnya yang tangkas dan cergas, yang mendahului dan mendefinisi, bukannya yang mengekori atau sekadar pasif memerhati?

Sifat semulajadi iklim politik memang mudah membahang dan meruap. Namakan apa jua isu, tentu ada pro dan kontranya. Daripada isu Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Menanti, debat PAS-Umno, hubungan parti-parti komponen Pakatan Rakyat, cadangan Biasiswa Nasional, kontroversi peribadi Rosmah Mansor, isu pusat penyembelihan babi di Alor Setar, perbicaraan Anwar Ibrahim, ketelusan perbelanjaan Petronas, sehingga himpunan mansuh ISA 1 Ogos.

Rakyat memerhatikan dari dekat gelagat ahli-ahli politi, sejauh mana amanah ditunaikan dengan penuh rasa tanggungjawab, atau lebih sibuk memperkayakan diri dan kroni, serta ghairah mempertahankan kedudukan dan jawatan?

Selepas 16 bulan tsunami pilihan raya ke-12, mampukah budaya politik Malaysia berubah menjadi lebih matang dan terbuka, atau terus panas membara dengan isu-isu sensitif yang disapu ke bawah karpet?

Apa pun, tulisan pendek ini hanya untuk membawa mesej bahawa Catatan Hujung belum berakhir.

Insya-Allah kolum ini akan menemui pembaca seperti biasa selepas ini

03 Julai 2009

Henti provokasi Kerajaan Perpaduan atau sedia diambil tindakan!

Oleh Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti
Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Seluruh pimpinan di semua peringkat parti diingatkan agar mematuhi keputusan yang telah
dibuat oleh Mursyidul Am dan Presiden parti, iaitu menghentikan serta merta sebarang polemik mengenai isu Kerajaan Perpaduan. Penegasan ini hendaklah dipatuhi oleh semua peringkat kepimpinan parti.

Sebarang huraian dan kenyataan yang cuba memprovokasi isu ini akan mengundang pelbagai reaksi dan membuka semula ruang fitnah dalam jamaah. Sekiranya fenomena ini berlaku, Jawatankuasa Disiplin Parti akan bertindak bagi menyelamatkan parti dari pergolakan yang sangat merimaskan ahli ini.

Ingatan ini hendaklah dilihat secara serius oleh pimpinan parti disemua peringkat. Kita sebenarnya telah terlepas dari satu ribut yang boleh menggoncang keutuhan dan setiakawan kita. Atas sifat Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti, ingatan ini perlu dikeluarkan bagi menjamin isu ini tidak dibangkitkan lagi.

Sebarang pandangan yang berbeza boleh disalurkan melalui saluran dalaman parti, bagi mengelak ia disalah ertikan oleh media arus perdana. Saya peringatkan semua apa yang diingatkan oleh Rasulullah ‘Fitnah ialah sesuatu yang sedang tidur, jangan ada sesiapa yang mengejutkannya’.

19 Jun 2009

Yakin kekusutan isu kerajaan perpaduan mampu dilerai

Ya, memang agak lama saya tidak menjenguk blog sendiri. Dalam Harakah pun sudah hampir 15 hari tidak mencoret apa-apa. Tentu parah 'kan bila seorang penulis seolah-olah kehilangan sentuhan untuk melakar idea sedangkan persekitaran seperti kian gawat dengan pelbagai isu. Ya, macam-macam isu.
Ada pembaca yang mendakwa saya tidak tahu ke mana harus dihalakan sasaran penulisan saya terutama bila mereka melihat isu kerajaan perpaduan sudah menjadi polemik berpanjangan dalam PAS. Ia bukan lagi membabitkan penyokong akar umbi tetapi merebak dengan serius di peringkat pimpinan tertinggi, ya ... pimpinan tertinggi.
Saya tidak mahu mengiyakan atau menafikan. Cuma memang kesihatan saya agak uzur, dan bimbang dalam keadaan begitu saya tidak dapat menghadam dengan baik apa yang berlaku sebenarnya. Biarlah kita melihat dan merenung daripada terus mencatat. Insya-Allah saya cuba untuk menekuni isu ini walaupun saya yakin ia tidak akan meretakkan PAS. Memang ia nampak agak gawat dan sudah terkeluar bidasan yang kurang sihat sesama sendiri, namun saya percdaya ia tidak mampu memecah-belahkan kesatuan dalaman PAS, insya-Allah.
Ikuti tulisan Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Ab. Latif
Pengarah, Pusat Penyelidikan PAS Pusat berkaitan isu kerajan perpaduan ini:

Pengenalan

Sejak Tuan Guru Presiden memperkenalkan konsep kerajaan perpaduan, ia telah menimbulkan satu polemik seolah-olah terdapat perbezaan pemikiran yang serius antara Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Mursyidul Am. Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/Bn.
Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/Bn kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/Bn telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Trengganu . Tuan Guru Nik Abd.Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.
Tuan Guru Abd. Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan. Umno menyindir begitu hebat sekali seolah-olah kerajaan negeri Trengganu pimpinan Tuan Guru Abd.Hadi adalah begitu miskin sekali sampai peringkat meminta sadaqah kepada Kerajaan Pusat. Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar.
Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah. Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting.
Keengganan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya. Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.
Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am. Tuan Guru Presiden adalah ikhlas dalam mengetengahkan idea kerajaan perpaduan.
Sekiranya Umno ikhlas dalam hal ini, tindakan segera yang Umno perlu lakukan ialah jangan bertanding dalam pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai 2009 nanti. Sekiranya Umno terus bertanding, maka Umno yang sebenarnya berpura-pura mengenai kerajaan perpaduan dan bukannya kedua-dua Tok Guru yang mereka ingin lagakan.

Takrifan dan Latar Belakang Sejarah

Kerajaan Perpaduan dapat didefinisikan sebagai “ satu kerajaan campuran yang besar terdiri dari semua parti politik ( atau semua parti politik yang penting) yang berada dalam satu Dewan Perundangan (legislature) dan biasanya dibentuk dalam masa perang atau lain-lain keadaan dharurat yang dihadapi oleh sesebuah negara” .
Dari takrifan ini ia memperlihatkan bahawa kerajaan perpaduan bukanlah merupakan satu struktur politik yang kekal. Ia bersifat sementara, iaitu ia diwujudkan dalam keadaan-keadaan yang kritikal (seperti semasa perang dan krisis ekonomi yang meruncing) bagi menjamin kelangsungan negara itu sendiri. Ini bermakna perbezaan pandangan antara parti yang memerintah dan pembangkang perlu dikesampingkan.
Atas dasar inilah kerajaan perpaduan adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang. Ia boleh menjadi satu struktur politik dan pentadbiran yang kekal sekiranya Islam dijadikan bahan rujukan dalam segala aspek pentadbiran negara, atas kesedaran bahawa Islam adalah satu sistem yang syumul dan paling sempurna yang diturunkan oleh Allah untuk manusia.
Dari segi sejarahnya, penubuhan kerajaan perpaduan bukanlah sesuatu yang baru. Ia pernah ditubuhkan di negara-negara seperti Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Sebagai contoh, di UK kerajaan perpaduan telah ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George mampu bertahan sehingga 1922. Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression) ekonomi yang menimpa dunia, sebuah kerajaan perpaduan telah ditubuhkan di UK pada tahun 1931 antara Ramsay MacDonald, Perdana Menteri dari Parti Buruh dan Parti Konservatif dan Liberal. Kerajaan ini bertahan sehingga 1945.
Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Sebagai contoh, Afrika Selatan. Antara 27 April 1994 dan 3 Febuari 1997, Kerajaan Afrika Selatan telah ditadbirkan oleh sebuah perlembagaan sementara. Fasal 88 perlembagaan sementara ini mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional (National Assembly) boleh menuntut satu atau lebih portfolio kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan yang memerintah.
Kerajaan yang ditubuh ini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional atau Government of National Unity (GNU). Di bawah pimpinan Presiden Nelson Mandela, GNU berkembang dan berfungsi dengan baik. Pada pilihan raya 27 April 1994, Parti Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress) pimpinan Mandela telah memenangi majoriti kerusi di Dewan Perhimpunan Nasional dan boleh menubuh kerajaan tanpa bantuan parti-parti lain.
Walau bagaimanapun, dua parti lain, Parti Nasional dan Parti Kebebasan Inkatha telah menerima pakai peruntukan GNU dan memperolehi beberapa portfolio kabinet. Presiden Mandela turut mengundang parti-parti lain menyertai kabinet sungguhpun parti-parti ini tidak memperolehi 20 kerusi minima sebagaimana yang diperlukan untuk membolehkan mereka menyertai GNU. GNU bertahan sehingga 1999.
Contoh kedua ialah Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan “kerajaan perpaduan” sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka . Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini.
Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima. Berbeza dengan Afrika Selatan di bawah Mandela, kerajaan perpaduan Israel tidak menjemput parti-parti politik lain yang lebih kecil menyertai kerajaan yang dibentuk. Kerajaan perpaduan yang dibentuk di Israel mempunyai motif politik yang tersendiri iaitu hanya memikirkan survival bangsa Yahudi sahaja.

Halangan Ke Arah Pencapaian

Bukanlah sesuatu yang senang untuk mewujudkan satu kerajaan perpaduan terutamanya dalam sebuah negara seperti Malaysia di mana nilai-nilai politiknya adalah sarat dengan nilai-nilai perkauman. Memahami betapa terdapatnya halangan-halangan yang serius bagi penubuhan sebuah kerajaan perpaduan di Malaysia, maka Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan hanya merupakan satu lontaran idea.
Tidak lebih dari ini. Sekiranya ada pihak-pihak yang berminat, maka penerokaan yang lebih mendalam terhadap idea ini bolehlah diteruskan. Antara perkara yang perlu dibincang ialah bagaimana untuk mengatasi halangan-halangan yang sedia ada bagi membolehkan idea kerajaan perpaduan dipraktikkan.
Di Malaysia, antara halangan yang wujud ialah pertama, peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan dan dasar-dasar kerajaan sedia ada yang dilihat oleh sesetengah pihak (termasuk parti politik) sebagai menghalang perpaduan. Peruntukan-peruntukan yang dimaksudkan ialah: Islam sebagai agama Persekutuan; hak istimewa orang Melayu; Perkhidmatan Awam (termasuk polis dan tentera); DEB, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan lain-lain. Apakah perkara-perkara ini perlu dipinda? Atau di mansuh?
Halangan kedua ialah sistem pilihan raya yang berteraskan first-past-the-post. Dapatlah dihujahkan di sini bahawa sistem pilihan raya yang berteraskan prinsip ‘perwakilan berkadar’ (proportional representation) adalah lebih selari dengan konsep kerajaan perpaduan. Halangan ketiga ialah sistem Federalisme ikutan Malaysia di mana terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Kerajaan Pusat. Apakah ini sesuai dengan perjalanan ‘kerajaan perpaduan’?
Halangan keempat ialah peranan Ketua Whip di Parlimen; ia perlu dipinda. Begitu juga dengan peranan BBC. Ini adalah kerana kewujudan institusi ini menyebabkan ahli-ahli parlimen terpaksa akur kepada keputusan partinya sungguhpun ada ahli-ahli parlimen dari parti ini tidak bersetuju dengan keputusan atau dasar yang dibuat oleh parti mereka sendiri.

Kerajaan Perpaduan: Peranan PAS

Atas sifat Islam amat mementingkan perpaduan, maka secara jangka panjangnya, PAS boleh mempelopori idea kerajaan perpaduan atas usaha dan gagasan berikut: Pertama, bergerak cergas bagi merealisasi prinsip loyal opposition. Kedua, mengemukakan contoh-contoh dari sejarah Islam bagi membenarkan hujah bahawa merealisasi prinsip keadilan yang melangkaui pertimbangan perkauman adalah kaedah terbaik mewujudkan perpaduan nasional. Ketiga, kerajaan perpaduan perlu berpegang kepada prinsip ‘pengislahan sistem politik dan ekonomi secara progresif’. Ke empat, pendekatan Fiqh Keutamaan (Qaradawy) sebagai rujukan asas .

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan “kerajaan perpaduan” memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.
Sekiranya PAS masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan, maka GNU pimpinan Nelson Mandela adalah model terbaik yang boleh dijadikan sebagai Model dan perlu dikaji secara mendalam kesesuaiannya dalam konteks Malaysia. Model ini sudah semestinya diterapkan dengan nilai-nilai Islam. Jangan juga lupa bahawa Sahifah Madinah yang dihasilkan oleh Rasulullah (saw) sendiri merupakan model terbaik Kerajaan Perpaduan.


01 Jun 2009

Cerita kegigihan, kisah kecekalan Cikgu Laila

KEZALIMAN ISA sebenarnya tidak perlu diceritakan lagi. Ia bukan sekadar kisah tahanan borong tanpa bicara, tidak hanya gumpalan hikayat lama tentang penyeksaan zahir batin.

Ia turut mampu memisahkan suami dengan isteri, ayah dan putera-puterinya, juga anak dari ibu bapa. Ada keluarga berantakan, cerai-berai dek racun berbisa penahanan tanpa bicara yang perlu terus dikutuk dan ditentang ini.

Ada anak jatuh nazak secara tiba-tiba, seperti kes Aina Mardhiah Shahrial, 17, setahun lalu, dan si ayah, tahanan ISA tujuh tahun, sengaja dilewat-lewatkan kepulangannya. Shahrial hanya sempat menatap wajah jernih jasad kaku puteri sulungnya tanpa sebarang salam perpisahan.

Melakar kisah duka

Dan hening pagi Rabu, 27 Mei lalu, ISA sekali lagi melakar kisah duka. Tahanan ISA sejak dikurung 18 April 2002, Mat Sah Mohd Satray, 46 tahun, kehilangan bonda tercinta, Saoda Abdul.

ISA yang menjarakkan mereka sejak 2,600 hari lalu rupanya bertindak lebih kejam apabila menghalang Mat Sah untuk bersama ibu di waktu tua, sakit dan saat-saat yang amat memerlukan kehadirannya.

Saoda, 71, sebelum itu selama tiga minggu terlantar di HUKM. Selain kencing manis, dia menderita sakit jantung dan kegagalan buah pinggang. Dua hari sebelum Saoda meninggal, Mat Sah, anak ketujuh daripada 12 adik beradik dibenarkan pulang ziarah oleh pihak Kem Kamunting, dengan kawalan keselamatan peringkat tinggi. Hanya sejam Mat Sah dibenarkan menyantuni ibu tersayang.

Walaupun terbaring lemah, Saoda bingkas bangun bila mengetahui Mat Sah balik. Tampak segar sekali. Saoda minta duduk di sebelah dan makan bersama Mat Sah yang begitu sabar menyuapkan makanan ke mulutnya. Mata yang memerhati cukup terharu. Kasih ibu tiada penghujungnya, tulus dan kudus.

Dan itulah pertemuan terakhir mereka. Bayangkan, ketika episod tujuh tahun malam memanjang gelap gelita buat Mat Sah dan keluarganya masih tamat, beliau kehilangan ibu dalam suasana tragis.

Norlaila penggerak kempen mansuh ISA

Mungkin tidak ramai yang biasa dengan nama Mat Sah, tetapi jika disebut isterinya, Norlaila Othman, penggerak kempen mansuhkan ISA di medan depan, saya yakin hampir semuamengenali wanita berhati waja dan berjiwa kental itu.

Dia bukan sekadar berusaha keras membebaskan suami, tetapi padu tekadnya bagi membangkitkan kesedaran rakyat di segenap pelosok negara untuk merobek paksi-paksi kezaliman itu.

Ternyata Cikgu Laila merupakan ikon baru, simbol penentangan secara terbuka ke atas ISA yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Walaupun dimaklum kepada polis Cawangan Khas (SB) sejak subuh tentang kematian Saoda, Mat Sah hanya tiba jam 3.15 petang, 45 minit selepas jenazah ibu disembahyangkan. Dan beliau tetap dikawal bagai seorang penjenayah paling berbahaya ketika menziarahi jasad kaku ibunya!

Laila dalam blognya, mencatatkan: "Ketika Abah (Mat Sah) menjejakkan kaki ke ruang tamu di mana jenazah nenek (Saoda) diletakkan, suasana senyap seketika. Semua memberi ruang untuk Abah mendekati nenek yang ditutupi kain batik hijau.
"Abah duduk berteleku di sebelah jenazah, perlahan-lahan tunduk dan mencium pipi sejuk nenek. Abah mencium pipi kiri dan kanan, itulah ciuman terakhir Abah untuk nenek. Kuperhatikan Abah agak lama melekapkan hidungnya di pipi itu.

"Mungkin Abah tidak pernah terfikir, penahanan ISA akan menyebabkannya dan ibu kandung kesayangan terus menerus terpisah hingga ke akhir nyawa. Terlalu zalim ISA ini."

Tidak sempat bersalam

"... Abah tidak lama berada di sisi jenazah nenek. Sebaik mayat dimasukkan ke dalam keranda untuk dibawa ke kereta jenazah, sepantas kilat, sekumpulan polis berpakaian biasa mengepung Abah untuk dibawa ke dalam kenderaan khas dan terus bertolak ke tanah perkuburan di Segambut.
'Aku sendiri tidak sempat untuk bersalam ataupun bertanya khabar. Abah begitu cepat hilang dari pandangan."

Seterusnya Laila mencatatkan: "Aku memandu sendiri ditemani Suhaib (anak) ke Segambut. Abah lama tiba di sana dan dibenarkan keluar dari van untuk membantu pengkebumian itu. Semua polis brpakaian biasa turut berada di sekitar lahad.

"... Sebaik siap siraman air mawar terakhir, Abah diberi masa beberapa minit bersalaman dengan adik-beradik dan saudara-mara, termasuk aku dan Suhaib. Aku tidak sempat bercakap dengan Abah. Aku hanya sempat mencium tangannya.

"Pegangan itu terlepas dan bila kepala kuangkat, Abah berada beberapa meter jaraknya dariku, berjalan pantas di kerumuni sekumpulan lelaki menuju sebuah van bercermin hitam pekat yang diparkir betul-betul di hadapan kawasan perkuburan.

"Selepas itu, aku tidak tahu di mana Abah dibawa pergi, bermalam di salah satu balai polis di Kuala Lumpur, atau terus dibawa pulang ke Kamunting."

Kepiluan yang menghiris
Bagi Laila pastinya kepedihan dan kepiluan yang menghiris itu sudah sebati dengannya. Tujuh tahun menanggung derita tidak pernah mematahkan semangatnya untuk tetap bersuara. SB cukup mengerti komitmen tingginya itu hinggakan ramai beranggapan Mat Sah sukar dibebaskan selagi Laila aktif berkempen mendedahkan kebusukan dan kehodohan ISA.

Malah ketika Laila sibuk menelefon pihak polis untuk mengetahui di mana suaminya berada selepas hilang dari kawasan perkuburan, panggilannya langsung tidak dijawab.

Ia seperti mahu memanjangkan lagi deraan yang sudah cukup lama itu. Tidak cukup dengan tulisannya dalam blog, Laila giat rencana dan menghadiri program menentang ISA.
Sepanjang berurusan dengannya, termasuk ketika mengagihkan sumbangan pembaca Harakah kepada keluarga tahanan ISA, saya sering kali terlupa bahawa Laila juga sebahagian dari mereka yang teraniaya.

Laila lebih banyak bercerita tentang kesengsaraan orang lain, mengatur ziarah ke seluruh Semenanjung, juga hingga ke Sandakan dan Tawau, dan dirinya sendiri bagai terabai ....