Memaparkan catatan dengan label Kematian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kematian. Papar semua catatan

01 Jun 2009

Cerita kegigihan, kisah kecekalan Cikgu Laila

KEZALIMAN ISA sebenarnya tidak perlu diceritakan lagi. Ia bukan sekadar kisah tahanan borong tanpa bicara, tidak hanya gumpalan hikayat lama tentang penyeksaan zahir batin.

Ia turut mampu memisahkan suami dengan isteri, ayah dan putera-puterinya, juga anak dari ibu bapa. Ada keluarga berantakan, cerai-berai dek racun berbisa penahanan tanpa bicara yang perlu terus dikutuk dan ditentang ini.

Ada anak jatuh nazak secara tiba-tiba, seperti kes Aina Mardhiah Shahrial, 17, setahun lalu, dan si ayah, tahanan ISA tujuh tahun, sengaja dilewat-lewatkan kepulangannya. Shahrial hanya sempat menatap wajah jernih jasad kaku puteri sulungnya tanpa sebarang salam perpisahan.

Melakar kisah duka

Dan hening pagi Rabu, 27 Mei lalu, ISA sekali lagi melakar kisah duka. Tahanan ISA sejak dikurung 18 April 2002, Mat Sah Mohd Satray, 46 tahun, kehilangan bonda tercinta, Saoda Abdul.

ISA yang menjarakkan mereka sejak 2,600 hari lalu rupanya bertindak lebih kejam apabila menghalang Mat Sah untuk bersama ibu di waktu tua, sakit dan saat-saat yang amat memerlukan kehadirannya.

Saoda, 71, sebelum itu selama tiga minggu terlantar di HUKM. Selain kencing manis, dia menderita sakit jantung dan kegagalan buah pinggang. Dua hari sebelum Saoda meninggal, Mat Sah, anak ketujuh daripada 12 adik beradik dibenarkan pulang ziarah oleh pihak Kem Kamunting, dengan kawalan keselamatan peringkat tinggi. Hanya sejam Mat Sah dibenarkan menyantuni ibu tersayang.

Walaupun terbaring lemah, Saoda bingkas bangun bila mengetahui Mat Sah balik. Tampak segar sekali. Saoda minta duduk di sebelah dan makan bersama Mat Sah yang begitu sabar menyuapkan makanan ke mulutnya. Mata yang memerhati cukup terharu. Kasih ibu tiada penghujungnya, tulus dan kudus.

Dan itulah pertemuan terakhir mereka. Bayangkan, ketika episod tujuh tahun malam memanjang gelap gelita buat Mat Sah dan keluarganya masih tamat, beliau kehilangan ibu dalam suasana tragis.

Norlaila penggerak kempen mansuh ISA

Mungkin tidak ramai yang biasa dengan nama Mat Sah, tetapi jika disebut isterinya, Norlaila Othman, penggerak kempen mansuhkan ISA di medan depan, saya yakin hampir semuamengenali wanita berhati waja dan berjiwa kental itu.

Dia bukan sekadar berusaha keras membebaskan suami, tetapi padu tekadnya bagi membangkitkan kesedaran rakyat di segenap pelosok negara untuk merobek paksi-paksi kezaliman itu.

Ternyata Cikgu Laila merupakan ikon baru, simbol penentangan secara terbuka ke atas ISA yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. Walaupun dimaklum kepada polis Cawangan Khas (SB) sejak subuh tentang kematian Saoda, Mat Sah hanya tiba jam 3.15 petang, 45 minit selepas jenazah ibu disembahyangkan. Dan beliau tetap dikawal bagai seorang penjenayah paling berbahaya ketika menziarahi jasad kaku ibunya!

Laila dalam blognya, mencatatkan: "Ketika Abah (Mat Sah) menjejakkan kaki ke ruang tamu di mana jenazah nenek (Saoda) diletakkan, suasana senyap seketika. Semua memberi ruang untuk Abah mendekati nenek yang ditutupi kain batik hijau.
"Abah duduk berteleku di sebelah jenazah, perlahan-lahan tunduk dan mencium pipi sejuk nenek. Abah mencium pipi kiri dan kanan, itulah ciuman terakhir Abah untuk nenek. Kuperhatikan Abah agak lama melekapkan hidungnya di pipi itu.

"Mungkin Abah tidak pernah terfikir, penahanan ISA akan menyebabkannya dan ibu kandung kesayangan terus menerus terpisah hingga ke akhir nyawa. Terlalu zalim ISA ini."

Tidak sempat bersalam

"... Abah tidak lama berada di sisi jenazah nenek. Sebaik mayat dimasukkan ke dalam keranda untuk dibawa ke kereta jenazah, sepantas kilat, sekumpulan polis berpakaian biasa mengepung Abah untuk dibawa ke dalam kenderaan khas dan terus bertolak ke tanah perkuburan di Segambut.
'Aku sendiri tidak sempat untuk bersalam ataupun bertanya khabar. Abah begitu cepat hilang dari pandangan."

Seterusnya Laila mencatatkan: "Aku memandu sendiri ditemani Suhaib (anak) ke Segambut. Abah lama tiba di sana dan dibenarkan keluar dari van untuk membantu pengkebumian itu. Semua polis brpakaian biasa turut berada di sekitar lahad.

"... Sebaik siap siraman air mawar terakhir, Abah diberi masa beberapa minit bersalaman dengan adik-beradik dan saudara-mara, termasuk aku dan Suhaib. Aku tidak sempat bercakap dengan Abah. Aku hanya sempat mencium tangannya.

"Pegangan itu terlepas dan bila kepala kuangkat, Abah berada beberapa meter jaraknya dariku, berjalan pantas di kerumuni sekumpulan lelaki menuju sebuah van bercermin hitam pekat yang diparkir betul-betul di hadapan kawasan perkuburan.

"Selepas itu, aku tidak tahu di mana Abah dibawa pergi, bermalam di salah satu balai polis di Kuala Lumpur, atau terus dibawa pulang ke Kamunting."

Kepiluan yang menghiris
Bagi Laila pastinya kepedihan dan kepiluan yang menghiris itu sudah sebati dengannya. Tujuh tahun menanggung derita tidak pernah mematahkan semangatnya untuk tetap bersuara. SB cukup mengerti komitmen tingginya itu hinggakan ramai beranggapan Mat Sah sukar dibebaskan selagi Laila aktif berkempen mendedahkan kebusukan dan kehodohan ISA.

Malah ketika Laila sibuk menelefon pihak polis untuk mengetahui di mana suaminya berada selepas hilang dari kawasan perkuburan, panggilannya langsung tidak dijawab.

Ia seperti mahu memanjangkan lagi deraan yang sudah cukup lama itu. Tidak cukup dengan tulisannya dalam blog, Laila giat rencana dan menghadiri program menentang ISA.
Sepanjang berurusan dengannya, termasuk ketika mengagihkan sumbangan pembaca Harakah kepada keluarga tahanan ISA, saya sering kali terlupa bahawa Laila juga sebahagian dari mereka yang teraniaya.

Laila lebih banyak bercerita tentang kesengsaraan orang lain, mengatur ziarah ke seluruh Semenanjung, juga hingga ke Sandakan dan Tawau, dan dirinya sendiri bagai terabai ....

17 Mac 2009

Kisah Yang Bertamu

Sejak Harakah diterbitkan setiap Jumaat dan Isnin, bermula Ogos 2008, saya hanya dapat
tidur di rumah tiga kali dalam seminggu. Selebihnya terpaku di pejabat, selalunya sampai
azan Subuh. Kalau bernasib baik, apabila bahan-bahan dapat disiapkan lebih awal, bolehlah pulang seawal jam 3 pagi.


Bagi orang surat kabar fenomena seperti itu bukannya pelik, malah lumrah. Setiap hari bagi wartawan adalah hari kerja, apatah lagi bagi mereka yang bertugas dengan akhbar dalam talian (internet). Bayangkan, kita bertungkus-lumus mencari bahan, mengeditnya berjam-jam tetapi pembaca hanya melintasinya untuk beberapa minit, dan lebih ramai yang "tidak pandang" pun.


Seringkali apabila mengejar deadline, penat dan letih tidak terasa. Mata pula sentiasa segar, langsung tidak terasa mengantuk. Sedar-sedar sudah hampir Subuh. Dalam kesunyian pagi yang hening ini, otak berputar dan disusuli kenangan lama menerpa dalam kotak fikiran.


Teringat arwah ibu yang sentiasa berpesan, pilihlah kawan yang apabila kita memandang atau bertemu dengannya, maka kita akan segera teringat Tuhan. Ibu menekankan agar bersahabat dengan orang yang dapat menyejukkan mata apabila memandangnya, serta membuatkan hati kita lembut dan takut kepada Allah.


Kawan yang sedia menegur apabila kita salah, menuntun ke jalan benar bila kita tersilap sasaran, memaafkan apabila kita berkasar, tidak jemu menasihati apabila kita terlanjur. Cukup dengan memandangnya dapat mengingatkan kita terhadap kebesaran Ilahi. Terima kasih atas pesanmu ibu.


Sungguh besar pengorbanan ibu. Semoga Allah merahmati ruhnya dan menempatkannya di kalangan para solehah dan mujahidah. Biarlah segala kenangan teramat indah bersamanya dapat diadun dan diayam bagi mengubati lenguh dan bisa badan akibat tidak cukup tidur. Dah lama tidak menziarahi pusara ibu disebabkan kesibukan untuk pulang ke kampung. Satu alasan yang pastinya dimarahi ibu jika itu yang saya maklumkan bila jarang balik menjenguk saudara-mara di kampung dahulu. Selalunya ibu yang datang ke Kuala Lumpur, menziarahiku yang sering sakit-sakit.


Izinkan saya untuk menukilkan kembali detik-detik ketika saya menerima panggilan telefon di awal Subuh tentang kematian ibu tercinta secara tiba-tiba. Terima kasih ibu atas pesanmu yang cukup berharga itu. Dan daku bersyukur kerana kerap didampingi oleh rakan-rakan yang dapat mendekatkan diri yang sering alpa ini dengan Allah SWT.


Terima kasih ibu... Buat rakan-rakan, tulisan yang dihasilkan pada 1999 ini tercatat secara spontan. Moga cetusan dari ketulusan murni ini dapat dimanfaatkan bersama. Tanpa kusedari air jernih pantas berlari di pipi. Memang, setiap kali tulisan di bawah kutatap, dada terasa sebak, ingatan bersama ibu rupanya cukup indah sekali, tiada tandingan.


Buat rakan-rakan yang masih ada ibu di sisi, usah menunggu untuk menikmati kehidupan bersama ibu. Rebutlah peluang keemasa itu. Dan bacalah ...


Apabila isteri, Siti Hawa Samsam, mengejutkan saya jam 5.20 pagi, Sabtu, 1 Mei 1999, saya rasa ia hanya untuk mengingatkan waktu Subuh telah dekat. Tetapi melihatkan raut mukanya yang pucat, matanya yang berair, bibirnya terketar-ketar, jantung saya berdegup kencang. Saya hanya menunggu, seperti seorang pesalah menanti hukuman.



"Mak ...," katanya terputus-putus. "Liza telefon tadi ... mak dah tak ada, bang." Sepi. Pilu. Sebak. Bagaikan segala pergerakan terhenti. Saya hanya mampu menarik nafas, cuba mententeramkan diri. Tidak perlu lagi saya bertanya, apa sakit mak, bila mak meninggal, di mana mak menghembuskan nafas terakhir.


Segala persoalan bertukar menjadi jawapan. Yang penting, mak sudah tak ada



Saya terpaku di katil hampir lima minit, memandang kosong sekeliling. Terbayang wajah kudus mak, bicara manja mak, nasihat bermakna mak, kelembutan tangan mak, syahdu suara mak mengaji al-Quran, tekunnya mak menjagaku hampir sebulan ketika sakit, gelisahnya mak bila diberitahu SB (polis cawangan khas) selalu menganggu kehidupanku, dan sepinya dunia yang terasa menghimpit dan menggigit


Terdengar isteri sibuk mengejutkan anak-anak. Yang kecil, Umar Mukhtar merengek. Selepas menyusun kembali tarikan nafas, saya turut membangunkan anak-anak lain. Ahmad Luqman Hakim kebingungan bila diminta cepat bersiap balik kampung: "Buat apa balik kampung. Abang nak periksa besok.


Adiknya, Nurul Syafiqah dan Ahmad Ikmal Syafiq, mengeliat kiri dan kanan, maklumlah, malam tadi mereka tidur selepas 12 tengah malam


Tanpa menunggu anak-anak bangun, saya ke bilik air. Di samping wajah ibu memenuhi ruang rumah, sekilas ingatan buat bapa, yang meninggal dunia hampir 20 tahun lalu, menyentuh kalbu


Pandangan tertumpu kerusi di anjung rumah, tempat mak selalu berehat dan berbual
mesra denganku bila datang KL.


Kesedihan rupanya cukup menyakitkan


Pancuran air panas tidak dapat menghilangkan kedinginan Subuh. Siramannya hanya dari dada ke bawah. Jika bermula dari kepala, terasa lemas dan sesak. Semasa membentang sejadah, sebak di dada memuncak


Pipiku panas menahan larian air mata. Di bilik sembahyang itulah mak selalu mengurut
badanku sambil bercerita pahit manis kisah silam dan gelagat cucu-cucunya di kampung,
memicit kepalaku sambil mengingatkan pantang larang sakit yang kutanggung


Selalunya bila mak datang, mak akan 'melaporkan' segala perkembangan di kampung, siapa yang akan naik haji, siapa yang berkahwin, siapa yang meninggal, apa khabar saudara di kampung, sihatkah Teh, Tok Su, Tok Jam, Wa, Pak Su


Sambil berteleku memohon doa, kurasakan perjalanan hidup ini terlalu singkat. Baru beberapa minggu lalu, mak ceria bersama cucu-cucunya, bergembira bersama menantunya, langsung tidak menampakkan sebarang penyakit serius yang ditanggungnya.


Sejak Umar Mukhtar lahir enam bulan lalu, sudah empat kali mak ke KL, menguruskan isteriku, menemaniku di hospital, dan kali terakhir "nak tengok rumah baru Mad (panggilan untuk diriku)".


Selepas pak meninggal, saya selalu menghayati kata-kata nasihat yang cukup bermakna:
"Selalunya, apabila kita teringat untuk membalas jasa ibu dan ayah, kita sudah terlewat."


Saya genggam sungguh-sungguh tuntutan di sebaliknya. Janganlah ada apa-apa tindakan dan kata-kata yang boleh menumpahkan air mata mak. Berbaktilah semasa mereka masih segar bugar, jangan ditunggu lagi. Menunggu bermakna kita pasti terlewat, percayalah. Mak mungkin tak tahu banyak tentang pergolakan semasa, tetapi maklah yang menjadi pendorong dan sumber inspirasi selama ini. Bermula selepas dipecat UTM, ditangkap ISA, disusahkan kerjaku sebagai penulis, mak amat memahami perasaan dan kehendak anak kelimanya ini.


Kedegilanku untuk terus mencabar, sejak zaman kampus, mungkin menggusarkannya tetapi sedikitpun tidak pernah dihalangnya, dan saya langsung tidak merasakan mak tidak selesa dengan apa yang saya lakukan.


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Raja, Kubang Pasu, cukup lama dan panjang sekali.
Sebelum bertolak, isteri sempat membisikkan, "inilah saatnya yang paling takut ditempuh,
pulang ke kampung, tanpa mak yang menunggu ... akhirnya detik itu datang juga."


Melalui lebuh raya, pandangan dilemparkan di kejauhan mencari makna sisa-sisa hidup di
sebalik wajah mak yang melintas di mana-mana.


Abang sulungku, Dinsman, rupanya masih belum tiba, ketika kami sampai. Dia dalam perjalanan dari Kota Bharu. Kak Ton, Kak Na, Bang Ludin, Adik Ishak nampak jelas menyimpan kesedihan.
Alhamdulillah, mereka di sisi mak ketika mak nazak, kesempatan paling bermakna buat seorang anak


Sambil menahan air mata, wajah syahdu mak kukucup:"Semoga Allah mengasihinya, sebagaimana mak mengasihiku di masa aku kecil hinggalah ke detik ini."


Buat pembaca, mohon maaf kerana catatan ini terlalu bersifat peribadi. Al-Fatihah buat Aishah Megat Hamzah.

* Tulisan ini disiarkan pertama kalinya oleh majalah Detik keluaran 15 Mei 1999 (yang kemudiannya diharamkan KDN). Beberapa nama yang disebutkan dalam artikel ini seperti puteriku, Nurul Syafiqah; nenek, Tok Jam; nenek saudara, Tok Su; dan mak saudara, Wa, juga telah meninggal dunia.