23 April 2009

Hantu Altantuya menunggu Najib di Penanti

WALAUPUN baru tidak sampai 20 hari Dato' Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, namun sudah banyak petanda awal yang menunjukkan era pemerintahannya belum dapat menggamit keyakinan rakyat. Retorik perubahan yang diuar-uarkannya nampak dangkal dan bersifat kosmetik, hanya sekadar mahu mengelabui pandangan orang ramai.

Mungkin Najib menjangkakan rakyat mudah tersilau dengan beberapa pengumuman yang dilafazkan di hari pertama menadi PM, seperti membebaskan 13 tahanan ISA, menarik balik penggantungan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan, selain cebisan tindakan populis mendekati golongan bawahan, seperti ditunjukkan dalam lawatan mengejut ke Jalan Petaling ("China Town"), Kampung Kerinchi (majoriti Melayu) dan Jalan Tun Sambanthan, Brickfields ("Little India").

Sampai bila dapat bertahan tanpa permaidani merah?

Akhbar harian, seperti biasa, memuja-muji kunjungan Najib yang dibuat tanpa protokol itu: "Tanpa permaidani merah dan tanpa bunga manggar, Perdana Menteri, Najib Razak membuat lawatan mengejut di sekitar ibu negara bagi bertemu dan mengetahui masalah rakyat biasa. Beliau yang memakai baju khaki lengan pendek hijau cair dan seluar khaki coklat cair meluangkan masa kira-kira dua jam di kawasan perniagaan di Jalan Petaling, kawasan perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields."

Ternyata pancingan Najib tidak mengena walaupun "umpan dimakan ikan" apabila calon BN tewas dengan lebih teruk lagi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, lima hari selepas beliau menggantikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi - yang hanya sempat menerajui kerajaan selama lima tahun lima bulan - berbanding keputusan pilihan raya umum, Mac 2008. Rakyat sukar "disihirkan" lagi, tidak sepertimana pilihan raya umum ke-11 apabila mandat terbesar dalam sejarah diberikan kepada Abdullah yang baru enam bulan menerajui negara, juga dengan pelbagai janji dan jaminan retorik.

Meneruskan tradisi perdana menteri terdahulu, Najib turut mengemukakan slogan untuk memukau rakyat, "Satu Malaysia", pastinya sebagai percubaan untuk menarik kembali sokongan kepada Umno-BN, yang sejak Mac 2008 mengalami kemerosotan yang cukup ketara. Namun, bagi seorang profesor sains politik, segala "pembaharuan" yang cuba ditonjolkan Najib "serba tidak menjadi".

"Bagi saya konsep One Malaysia lebih teruk retoriknya, hatta berbanding dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Abdullah Badawi. Ya, cuba saudara sebutkan dengan saya, apa yang Najib hendak tekankan dalam konsep barunya itu?

"Apa yang barunya dalam nilai-nilai One Malaysia itu, seperti ketabahan, rendah diri, kesetiaan dan sebagainya? Hal-hal seperti itu, bagi saya, tidak perlu diceritakan lagi. Najib nampaknya terperangkap dalam satu benda yang dia sendiri tak boleh buat demi kepentingan rakyat. Ini semua kerana beliau mendapat salah nasihat," tegas pensyarah muda yang petah berkata-kata itu.

"Rakyat Malaysia mahu tindakan segera menyelesaikan pelbagai masalah harian yang menyesakkan hidup. Mereka sudah jelak dengan macam-macam slogan yang akhirnya tidak membawa makna apa-apa kepada kehidupan mereka," tambahnya lagi.

Retorik kosong

Beliau turut mengkritik Najib yang pada awalnya, seperti ditunjukkan di Petaling Street, tidak mahu disambut dengan perarakan bunga manggar atau permaidani merah, tetapi dalam kunjungannya selepas itu tetap diraikan sebagai pembesar.

"Semuanya retorik kosong sahaja, daripada seorang perdana menteri baru," ujar profesor sains politik itu lagi.

Kenyataan Najib yang hanya mendedahkan rasa takutnya kepada suara rakyat terbongkar apabila beliau tidak bersetuju pilihan raya kecil diadakan, ekoran perletakan jawatan Adun Penanti, Pulau Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin. Baginya, pilihan raya kecil tanpa didahului oleh kematian wakil rakyat hanya membuang masa, tenaga dan wang rakyat.

Ya, sejak bila pula Umno-BN prihatin dengan dana awam yang dibazirkan melalui pilihan raya kecil? Wow, sejuk hati mendengar pemimpin utamanya mula berbicara soal perbelanjaan berhemat sehingga sanggup tidak mahu turut serta dalam pilihan raya kecil demi menyelamatkan wang pembayar cukai. Bermimpikah kita? Saya teringin juga mendengar pandangan, sahabat lama saya, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo mengenai isu pembaziran duit rakyat ini.

Dari segi lain, konsep Satu Malaysia menekankan "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Soalnya, mengapa Najib terlalu takut untuk berdepan dengan suara rakyat apabila keadaan memaksanya bertindak begitu? Kenapa perlu direka alasan yang tidak masuk akal, yang hanya menyebabkan orang ketawa atau geli hati mendengarnya?

Harus rujuk mandat baru rakyat

Bukankah menganjurkan pilihan raya kecil itu juga satu amalan lazim demokrasi, yang apabila sampai waktunya pemimpin dan parti politik harus turun mendapat mandat semula daripada rakyat?

"Apakah Najib takut berdepan soalan rakyat yang mahu bukti apakah benar rakyat yang didahulukan?" soal profesor yang ternyata menyimpan banyak persoalan yang belum terjawab. "Jika Abdullah Badawi salah besar kerana menaikkan harga petrol dahulu, mengapa Najib tidak boleh turunkan sehingga RM1.30 seliter? Mengapa perlu berbulan-bulan untuk mengkaji kadar tol dan pemansuhan ISA? Bukankah itu semua perkara mudah yang boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai dua minggu?"

Namun, yang lebih menjolok mata, masakan Najib sudah lupa, pada 29 Mei 1997, dua pilihan raya kecil terpaksa diadakan serentak bagi meletakkan Dato' Seri Abu Hassan Omar, ketika itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Dengan itu Abu Hassan mengosongkan kerusi Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding di kerusi Dun Permatang, yang juga dikosongkan Jamaluddin Adnan. Mengapa tidak timbul soal membuang masa dan tenaga, apatah lagi membazirkan dana awam?

Malah, jika diteliti laporan muka depan The Star, 18 April lalu, perbelanjaan SPR mengendalikan lima pilihan raya kecil, di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, jauh lebih rendah berbanding dengan peruntukan pasukan polis (PDRM).

Pembaziran wang rakyat untuk polis

Menurut laporan akhbar berkenaa, semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, SPR membelanjakan RM409,000, manakala pihak polis, RM2.5 juta; di Kuala Terengganu, SPR (RM580,000), polis (RM11.5 juta); di Bukit Gantang, SPR (RM600,000), polis (RM7 juta); di Bukit Selambau, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta); dan Batang Ai, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta). Jumlah kesekuruhan, SPR membelanjakan RM2.4 juta, sementara pihak polis, RM31 juta.

Bagaimanapun, sidang Parlimen pada 18 Februari lalu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Chor Chee Heung bahawa polis telah membelanjakan sebanyak RM15.53 juta di Kuala Terengganu, iaitu RM4 juta lebih tinggi daripada anggaran kos dalam jadual di atas.

Ramai pemimpin Pakatan Rakyat mengkritik kehadiran begitu ramai anggota polis, sehingga ada yang menganggarkan jumlahnya melebih 10,000 orang, seolah-olah Kuala Terengganu menjadi zon perang. Di mana saja anda akan bertemu polis dan khemah putih tempat penginapan mereka jelas menarik perhatian masyarakat setempat.

Belanja polis jauh lebih besar

Di Parlimen juga, Chor memaklumkan bahawa perbelanjaan pasukan polis untuk mengawasi pilihan raya kecil Permatang Pauh hanya kurang sedikit daripada Kuala Terengganu. Ini bermakna kos di Permatang Pauh juga sekitar RM15 juta, jauh lebih besar daripada anggaran seperti ditunjukkan dalam jadual.

(Kalau benar kita memerlukan pengawasan daripada pihak polis seramai itu, mungkin kos sebesar itu boleh diterima. Tetapi, semua orang tahu, rakyat kita bukan perusuh atau penjenayah, yang meletakkan undang-undang dalam tangan mereka. Kita tidak memerlukan kawalan ketat sebegitu rupa. Banyak pihak melihat kehadiran pasukan keselamatan itu adalah satu strategi BN (tidak pasti sama ada pendekatan itu akhirnya memakan diri BN sendiri) untuk mencapai kemenangan).

Perbelanjaan itu belum termasuk yang dihanguskan jentera kempen BN, yang bukan sahaja menggunakan peruntukan parti, malah membazirkan bukan sahaja wang rakyat tetapi juga kemudahan dan jentera kerajaan.

Bayangkan berapa ramai menteri yang turun berkempen menggunakan dana awam? Ada kementerian yang mengadakan hari bertemu pelanggan di kawasan pilihan raya, yang langsung tidak ada kena mengena, selain untuk turut berkempen memenangkan BN. RTM yang membuat liputan langsung, misalnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Bukit Gantang, tentunya menghabiskan wang yang bukannya sedikit.

Saya pernah mendedahkan ratusan ribu ringgit wang universiti digunakan untuk perbelanjaan pemantau pilihan raya oleh urusetia Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi mengesan mahasiswa yang berkempen untuk pembangkang, antaranya di Machap, Melaka dan Ijok, Selangor.

Had perbelanjaan kempen tidak pernah dipatuhi

Walaupun undang-undang pilihan raya membataskan perbelanjaan kempen setakat RM200,000 untuk pilihan raya kawasan Parlimen dan RM100,000 untuk Adun, tetapi dipercayai jentera BN membelanjakan jauh lebih besar daripada itu. Lim Kit Siang menganggarkan untuk kempen di Batang Ai sahaja - kawasan yang dijangka BN menang mudah - parti itu membelanjakan kira-kira RM70 juta.

Saya tidak mahu anda terperanjat atau "terkejut beruk" jika kita menjumlahkan semua perbelanjaan BN untuk lima pilihan raya kecil itu. Wang rasuah politik itu sebenarnya datang daripada dana awam juga, yang diperolehi melalui salahguna kuasa dan amalan tumbuk rusuk.

Ringkas cerita, kalaupun Najib takut berdepan kempen di Penanti, iaitu salah satu Dun di bawah Permatang Pauh, kita cadangkan carilah daleh lain, alasam yang boleh diterima akal sedikit.

"Mungkin Najib takut dikejar hantu Altantuya kot? Yalah, Penanti adalah kubu Anwar, takkan Najib nak mengulangi sumpahnya lagi sepertimana yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu," soal pensyarah sains politik tadi.

Mendengar saya ketawa di hujung talian, beliau menegaskan, "Lutfi, isu Altantuya bukan soal remeh, Najib betul-betul risau ...."

21 April 2009

Usah lupa manusia kerdil tidak bernama ...

Memang tak tertunai juga janji saya mahu kemaskinikan blog ini, terutama bagi menulis hal-hal bukan politik. Ramai yang tegur mengapa saya harus terikat dengan isu-isu semasa sedangkan saya sudah bertekd mahu jadikan blog ini lain daripada kolum saya dalam Harakah dan Harakahdaily, "Catatan Hujung". Ya, memang tidak mudah untuk menekuni hal-hal di luar skop politik semasa saya diamanahkan untuk menerajui sebuah akhbar politik, Harakah, ketika mana banyak polemik tercetus dalam percaturan politik tanahair.

Saya memulakan bidang penulisan pun dalam bidang politik, malah saya kadangkala lebih dikenali dengan buku-buku politik yang saya nukilkan dengan agak banyak jumlahnya ketika Anwar Ibrahim menjadi bintang bersinar dalam Umno. Hanya setahun selepas Anwar dipecat daripada Umno, kalau tak silap saya, maka saya tidak lagi berminat untuk mendekati politiking dalaman Umno. Tokoh-tokoh seperti Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak ... dan siapa lagi ya, tidak berjaya meruntun minat saya untuk terus menjadikan Umno sebagai subjek utama penulisan saya. Perlahan-lahan saya meminggirkan diri, kecuali dalam kes membabitkan dakwaan rasuah Dr Mohd Khir Toyo, apabila saya bertindak bukan lagi sebagai pelapor tetapi juga sebagai aktor penting dalam membongkar kes salahguna kuasa bekas Menteri Besar Selangor itu.

Saya pada asalnya cuba mencatatkan apa sahaja yang terlintas dalam pemikiran dan benak rasa ... ya, yang lain daripada pergolakan politik, misalnya rencam kehidupan anak muda kini, permasalahan mahasiswa di kampus universiti tempatan, atau keluarga tahanan ISA yang dilupakan, atau mungkin tidak perlu terlalu serius dengan orang-orang besar, ya ... banyak lagi insan biasa yang terpinggir di celah-celah kehidupan yang jarang diberikan fokus oleh media. Kekadang ada rasa bersalah apabila Harakah lebih kerap menumpukan laporannya kepada cerita-cerita yang mendapat perhatian luar biasa, yang dicetuskan oleh tokoh-tokoh penting. Misalnya dalam liputan pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang, pastinya ada watak-watak penting tetap sering terlindung dengan nama-nama besar, namun mereka juga pemain utama yang menghidupkan jalan cerita, malangnya tiada wartawan atau penulis yang mahu berkongsi cerita dengan mereka.

Apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan misalnya, tentulah hanya pelajar yang berjaya dengan cemerlang, dengan mengutip puluhan A menjadi serbuan akhbar, tetapi bagaimana pula dengan pelajar yang tercicir dan ketinggalan, sedangkan mereka juga mungkin sudah berusaha sebaik mungkin, ya dengan kemampuan yang terbatas, dengan halangan tertentu ... siapa yang mahu peduli dengan pelajar malang ini. Bukan bukan kerana mereka tidak berusaha tetapi lingkungan yang membelit memaksa mereka jauh menapak di belakang. Faktornya kalau mahu disenaraikan, mungkin banyak ... yang sebahagiannya bukan atas kesalahan atau dosa mereka sendiri. Dan mereka terus tercicir dan tertinggal jauh ... sedangkan media dan kerajaan terus memberi fokus kepada golongan yang cemerlang, dengan tawaran biasiswa dan tempat pengajian yang hebat-hebat.

Banyak lagi contoh-contoh lain bagaimana sudut-sudut kehidupan yang agak gelap dan malap itu jarang disentuh orang. Perhatian masyarakat lebih tertumpu kepada yang silau gemerlap. Malah penulis dan wartawan seperti saya sendiri kerap lupa dengan kelompok terpinggir dan tersisih ini. Jarang ada usaha berterusan untuk menjejaki mereka dan cuba mengangkat konflik hidup mereka untuk dicari jalan penyelesaian. Lihat sahaja anak-anak yatim atau keluarga miskin yang hanya dicari ketika musim lebaran bakal menjelma, maka mereka umpama bahan tontonan untuk diperagakan dalam akhbar atau media elektronik, tetapi jalan keluar tidak pernah diusahakan secara sistematik dan terancang.

Kalau mahu ditanya salahnya kepada siapa, saya tidak mahu menuding jari kepada orang lain. Saya dan teman-teman dalam dunia kewartawanan perlu meneroka dimensi baru (sebenarnya tidakpun baru) bagi mengangkat manusia kerdil yang tidak bernama ini, dan tidak lagi terlalu mementingkan liputan bahan-bahan yang menggemparkan daripada tokoh-tokoh besar sahaja. Kalau dalam media utama, yang dicari tentulah pemimpin utama kerajaan, begitu juga dalam media alternatif yang lebih memberikan ruang kepada pemimpin-pemimpinnya juga, meskipun mungkin bukanlah ada bahan yang menarik sangat untuk ditonjolkan. Benar, bahan yang dianggap menarik itu juga terletak kepada siapa yang memandangnya dan dari sudut mana dia melihatnya.

15 April 2009

Perihal Umno-BN tak cukup kain dan nenek tua selamatkan kehormatan diri pembantu rumahnya

Umno-BN masih dengan gaya lama yang sebenarnya telah menikam diri mereka sendiri, iaitu terkurung dengan sindrom menafikan atau tidak mahu mengaku kelemahan diri. Walaupun majoriti kemenangan calon PAS dan KeADILan, masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit Selambau lebih tinggi berbanding keputusan pilihan raya umum 2008, tetapi pemimpin BN tetap berusaha keras berselindung di sebalik lalang kering.

Kita juga masih belum lupa bahawa kelebihan undi Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh juga lebih tinggi daripada majoriti kemenangan Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 8 Mac tahun lalu. Malah kemenangan Abdul Wahid Endut pastinya lebih manis kerana dapat merebut kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada BN.

Justeru, apabila media dan pemimpin Umno cuba bermain dengan angka di Bukit Gantang,dengan mendakwa orang Melayu tetap setia bersama BN, nampak sangat mereka "serba tak kena", dan ditambah parah selepas wawancara Mingguan Malaysia dengan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat "menghina pengundi Cina" yang melabelkan mereka sebagai golongan yang tidak tahu membalas budi. Apabila tercetus kontroversi itu, Muhyiddin menyerang editor akhbar Cina yang disifatkannya tidak faham bahasa Melayu sehingga "memutar-belitkan" terjemahan wawancaranya itu.

Dalam pada itu, pemimpin Umno-BN turut mendakwa kemenangan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin hanya disebabkan sokongan bukan Melayu, khususnya pengundi Cina. Maka semakin lancang tuduhan bahawa Menteri Besar pilihan rakyat itu "boneka DAP" dan "penderhaka" kepada Sultan Perak. Sedangkan sokongan pengundi Melayu kepada Nizar masih di sekitar 45 peratus. Malah, anak-anak muda Melayu menjadikannya sebagai ikon baru. Nizar kini merupakan antara pemimpin PAS yang begitu diperhatikan rakyat Malaysia.

Manakala Umno-BN ibarat "kain tak cukup"; nak tutup kepala, kaki terselak, nak tutup peha, rambut terjurai! Untuk mengambil hati pengundi Melayu, segala "keburukan" Nizar, antaranya memberi tapak rumah kepada orang Cina miskin di kampung baru didedahkan. DAP digambarkan perampas tanah orang Melayu sedangkan hakikatnya, generasi baru kini tidak dapat dikelirukan lagi dengan "lagu lama" yang menyudutkan DAP jauh dari orang Melayu dan menyisihkan PAS tersorok dari khalayak Cina. Walhal pengundi tanpa mengira kaum sudah dapat menerima PAS, sama seperti mereka menyokong KeADILan dan DAP. Akhirnya, kepada BN, Cina-India terlepas, undi Melayu pun tidak bertambah.

Dalam keadaan BN tergugat teruk itu, sehingga MIC turut mengugut untuk keluar barisan, kedudukan Umno di negeri-negeri yang masih dikuasainya bergolak hebat. (Parti-parti komponen BN, yang merasakan mereka ditolak bulat-bulat oleh pengundi hanya atas imej Umno yang hodoh itu, tidak mustahil boleh meneroka hubungan baru dengan Pakatan Rakyat). Situasi penolakan terhadap MB di Perlis dan Terengganu cukup mendebarkan. Ramai pengerusi perhubungan Umno negeri, misalnya Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang kalah dalam pemilihan Majlis Teringgi. Konflik dalaman tambah serius. Cantas mencantas yang sedia membarah kian parah. Najib juga dilihat sebagai dalang utama untuk memancung orang-orang Abdullah Ahmad Badawi.

Serentak itu, mesyuarat agung kawasan-kawasan PAS yang mula rancak berjalan, menjelang muktamar tahunan Jun nanti, mendapat perhatian agak luar biasa. Mungkin agenda pemilihan parti di pelbagai peringkat menarik minat ramai. PAS yang disandarkan himpunan harapan jutaan rakyat, yang resah dengan kebobrokan BN, perlu menampilkan barisan kepimpinan terbaik daripada semua aspek. Biarpun dapat berbangga sebagai satu-satunya parti yang bebas rasuah dalam pemilihan kepimpinannya, PAS harus terus mengekalkan jati diri dan keunikannya itu. Tidak mudah menggalas impian ramai ketika PAS menjadi peneraju utama beberapa kerajaan negeri.

Penutup catatan ini, tersentuh saya membaca berita seorang nenek 81 tahun, Loh Koon Eng di Teluk Intan yang menggadai nyawa, jam 3 pagi 13 April, demi menyelamatkan pembantu rumahnya, Marina Andrajani, 23, daripada dirogol tiga penyamun di rumahnya, yang juga sebuah kilang memproses kopi. Warga emas itu yang memukul penjenayah terbabit bagi menyelamatkan Marina akhirnya mati disebabkan sakit jantung kerana terlalu letih bergelut.

13 April 2009

Hishammuddin perlu buktikan KDN adalah kementerian yang pertama bakal dirobah!

Kementerian yang menjadi tumpuan utama sekarang adalah Kementerian Dalam Negeri. Apakah benar berlaku pembaharuan kepada Kabinet baru pimpinan Najib Razak tertakluk kepada perubahan yang dicetuskan oleh menterinya, Hishammuddin Hussein, iaitu sepupu Najib Imbang Penuhsendiri?

Ramai menjangkakan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan dipindahkan ke kementerian yang begitu strategik ini. Mungkin Najib memerlukan seorang menteri yang dipercayai leboh 101 peratus kesetiaannya, maka Najib tidak mahu memperjudikan masa depannya dengan meletakkan Muhyiddin di situ. Sama ada Hishammuddin berkeupayaan melakukan pembaharuan adalah soal kedua bagi Najib, yang penting ia tidak menikam dirinya balik.

Rakyat mahu melihat KDN berubah, antaranya dengan menghapuskan akta drakonian yang cukup zalim dan memang tidak diperlukan lagi, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta ini untuk kesekian kalinya memakan korban yang bukan sedikit. Ia ditentang oleh pelbagai pihak, termasuk golongan dalam BN sendiri. Sesiapa yang pernah dikurung tanpa bicara di bawah ISA akan mengerti dan faham bahawa kita langsung tidak memerlukan akta berkenaan demi mempertahankan keselamatan negara. Sudah cukup banyak testemoni tentang kezaliman dan penyalahgunaan ISA yang dibuku dan didokumentasikan, namun kerajaan BN mengambil sikap pekak badak dengan segala kritikan dan teguran itu.

Langkah pembaharuan yang diuar-uarkan oleh Kabinet Rakyat pimpinan Najib tidak membawa sebarang makna jika ISA terus dikekalkan. Malah, penentang ISA perlu menunjukkan bantahan kuat mereka melalui perhimpunan raksasa yang lebih besar daripada perhimpunan bantah PPSMI atau Bersih. Hal ini sebenarnya telahpun diumumkan oleh isteri tahanan ISA, Norlaila Othman, dan ia hanya menunggu lampu hijau daripada penganjur, khabarnya ia bakal diterajui Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dengan kerjasama erat daripada GMI. Kalau tidak silap saya, mungkin GMI sendiri yang mengetuainya dan pihak-pihak lain, seperti PAS, akan mendokongnya.

Soalnya, bersediakah Najib dan Hishammuddin mendengar suara nurani rakyat yang cintakan keadilan dan hak asasi manusia dengan memansuhkan segera akta zalim ini? Dan jika Najib terus berlengah, atas alasan untuk berunding dengan pelbagai dahulu, dan akhirnya akta itu dikekalkan juga (dan akan digunakan dalam waktu kritikal bilamana kerajaan BN menghadapi tentangan hebat dari seteru politiknya), apakah tindakan yang mampu dilakukan rakyat, selain mengadakan bantahan dan perhimpunan? Mampukah ISA menjatuhkan BN dalam pilihan raya akan datang atau isu ini gagal meraih simpati dan dokongan rakyat untuk menolak secara total pakatan pemerintah sekarang?

Selain ISA, akta yang perlu dimansuhkan segera, seperti disuarakan bekas Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar ialah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Akta inilah yang memberikan ruang untuk menterinya menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan baru-baru ini, selama tiga bulan, yang kemudiannya atas pertimbangan tiga pilihan raya kecil, maka ia ditarik balik serta merta selepas berkuat kuasa selama 11 hari.

Akta Mesin Cetak jarang diberikan perhatian oleh mana-mana NGO. Namun masanya sudah tiba untuk satu kempen besar-besaran dilancarkan bagi menggerakkan usaha penerangan di seluruh negara, bagi menjelaskan mengapa perlu Akta Mesin Cetak ini juga dikuburkan.

Isu keganasan polis juga mesti ditangani baik. Banyak kes brutaliti polis yang berlaku, dan mendapat perhatian ramai, tetapi dibiarkan begitu sahaja. Hishammuddin perlu meneliti kewibawaan polis dan imejnya yang sudah cukup tercemar, dengan mencari jalan langkah-langkah perlu seperti yang pernah dicadangkan oleh suruhanjaya diraja yang ditubuhkan khas mengenai perkara itu. Polis sering diperalatkan setiap kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, juga untuk kepentingan BN dalam menguruskan tentangan daripada seteru politiknya. Semua isu-isu ini tidak boleh terbiar begitu sahaja, dalam masa keselamatan rakyat umum semakin menjadi pertaruhan sehingga ada pihak melihat keamanan negara kini seolah-olah diberi ehsan oleh penjenayah.

Hishammuddin, dan tentunya Najib, harus ingat, rakyat mahu melihat tindakan serius yang segera, bukannya hanya menunggu kata-kata ...

Najib Tiada Pilihan Selain Segerakan Pembaharuan

Di Semenanjung, Pakatan Rakyat - yang dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 - telah memenangi semua kerusi dalam empat pilihan raya kecil yang diadakan, bermula di Permatang Pauh, kemudiannya di Kuala Terengganu dan terakhir di Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Maknanya, Pakatan Rakyat belum pernah tewas dalam semua pilihan raya yang disertainya, kecuali di Batang Ai, Sarawak. Dan ini satu kejayaan gemilang yang menjanjikan gelombang perubahan cukup besar dalam pilihan raya umum akan datang.


Perjalanan kempen sehingga hari mengundi 7 April lalu juga membuktikan bahawa usaha memperjuangkan sistem pilihan raya yang bersih, adil dan bebas perlu digiatkan lagi. SPR masih dikongkong dan menurut telunjuk serta kemahuan Umno-BN. Tarikh pilihan raya dan hari penamaan calon juga menunjukkan ia dipengaruhi kepentingan Umno.

Era pemerintahan Dato' Seri Najib Razak - mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri empat hari sebelum pilihan raya - yang mahu dilihat lebih terbuka, tidak lebih daripada gimik politik semata-mata. Media massa, khususnya RTM dan TV3, diperalatkan semahunya untuk kempen BN, sekali gus memburukkan Pakatan Rakyat, termasuk Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pihak polis masih menjadi 'perkakas' untuk menekan seteru politik BN. Janji pembangunan 'mi segera' tetap menjadi umpan walaupun sudah tidak berkesan lagi.

Bersih, gabungan pelbagai parti politik dan NGO yang memperjuangkan pilihan raya bersih dan telus harus diaktifkan kembali. Banyak tuntutannya yang belum dipenuhi. Usah terleka dengan pola pengundian masa kini yang memihak Pakatan Rakyat. Umno-BN yang menerajui kerajaan pusat akan mengeksploitasi apa jua demi mempertahankan sisa-sisa kuasa mereka.Sehubungan dengan itu, demokrasi di Malaysia mesti bertambah matang dan tahan uji. Bagaimanapun, ia tidak datang menggolek jika tidak didesak secara sistematik dan berterusan.

Persepakatan parti-parti Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau juga cukup mengkagumkan. Biarpun terpaksa mengagihkan sumber yang terhad untuk dua pilihan raya yang dijalankan serentak, tidak termasuk Batang Ai, masing-masing berganding bahu memerah keringat turun ke lapangan berkempen.

"Saya kagum dengan ramai pimpinan DAP yang aktif berkempen, siang dan malam, seolah-olah mereka yang bertanding di Bukit Gantang," kata seorang pemimpin kanan PAS.

"Walaupun akhbar Cina memberi ruang agak saksama kepada semua pihak yang bertanding, DAP tetap agresif berceramah dan berkempen dari rumah ke rumah. Pada hari mengundi, saya lihat mereka gigih bekerja sampai tempoh mengundi tamat. Memang berbaloi majoriti undi Cina memihak calon kita," tambahnya.

Dengan kemenangan besar Dato' Seri Nizar Jamaluddin itu, gesaan agar Dun Perak dibubarkan - bagi mendapatkan semula mandat rakyat - pastinya bertambah kuat. Kemelut berpanjangan ini tidak akan dapat diselesaikan di mahkamah. Pemimpin BN, termasuk Dato' Zambry Abdul Kadir sendiri mengakui, dalam sidang akhbar bersama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa antara faktor kekalahan BN di Bukit Gantang adalah penolakan pengundi terhadap cara kerajaan Pakatan Rakyat Perak ditumbangkan.

Rakyat juga menolak pendekatan politik lama BN, yang memainkan sentimen perkauman, berdasarkan audien yang berbeza-beza. Nizar sepanjang kempen ditohmah sebagai penderhaka, boneka Cina, sanggup serah tanah Melayu kepada orang asing, dan pelbagai label negatif lainnya. Kematangan pengundi teruji walaupun disedari PAS sepatutnya sokongan lebih besar daripada masyarakat Melayu. Harus dibedah-siasat kelemahan jentera kempen sehingga masih ramai pengundi Melayu yang terus terkeliru dengan dakyah jahat Umno-BN.

II.

Selepas gimik politik Najib, dengan menarik balik penggantungan Harakah dan Suara Keadilan, gagal pada hari pertama beliau menjadi Perdana Menteri, maka usahanya untuk membawa pembaharuan melalui pembentukan Kabinet juga tidak disambut baik.

"Kabinet baru ini langsung tidak impresif ... ya, langsung tidak menarik. Muka-muka baru yang entah dari mana, nak dikatakan profesional pun bukan, mahu disebut mewakili parti pun tidak," ujar seorang profesor sains politik.

"Ada yang tidak bertanding dalam Umno terpilih lagi, begitu juga yang kalah, tapi ada tokoh yang menang besar terpelanting. Kata mahu kuatkan parti dalam kerajaan, apakah Umno sudah tiada ahli-ahli Parlimennya yang berwibawa? Melihat kabinetnya, seolah-olah Najib enggan menerima suara rakyat apabila melantik mereka yang kalah dalam pilihan raya, dan tidak bersedia mengiktiraf dokongan parti kerana memilih mereka tewas dalam pemilihan Umno," tegasnya lagi.

"Bagi saya, Umno sudah masuk dalam zaman kepupusan kerana sudah tidak ada lagi pemimpin yang hebat di dalamnya. Malah kita tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan BN sendiri akan runtuh," tambah profesor yang enggan disebut namanya.

"Jika trend sekarang berterusan, iaitu hanya Sabah dan Sawarak sahaja dapat menerima BN dengan baik, tidak mustahil satu hari nanti, ibu kota Malaysia akan berpindah ke sana pula," katanya sambil ketawa.

Ditanya pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri ke-6, beliau berkata, "Najib belum berani untuk menjadi dirinya sendiri, dan dia bermain politik demi menjaga hati Dr Mahathir."

Bagaimanapun pensyarah muda ini sempat merakamkan tahniah kepada Dato' Seri Hishammuddin Hussein, sepupu Najib: "Selaku Menteri Dalam Negeri, tumpuan kini difokuskan kepadanya. KDN harus menjadi kementerian pertama yang melakukan perubahan. Rakyat mahu melihat isu-isu kritikal diselesaikan segera seperti ISA, kebebasan media, dan keganasan polis. Hishammuddin tidak perlu menabur janji, rakyat mahu lihat tindakan konkritnya."

Beliau juga menaruh harapan tinggi kepada Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin: "Selaku Menteri Pelajaran, Muhyiddin harus segerakan penyelesaian isu PPSMI, juga tentang kos pendidikan yang kian terbeban, termasuk yuran sekolah yang cakap lain, buatnya lain." Tidak terkecuali kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Mustapa Mohamed: "Bawa sebanyak mungkin pelabur asing ke Malaysia, atasi masalah kegawatan ekonomi terutama dari segi peluang pekerjaan."

III.

Pada hari semua akhbar melaporkan kemenangan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, saya tertarik dengan berita kaki Utusan Malaysia, Hapuskan Akta Mesin Cetak - Syed Hamid. Menurut Mentari Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 boleh dimansuhkan bagi membolehkan syarikat-syarikat penerbitan bergerak lebih bebas sejajar dengan tuntutan rakyat masa ini. Akta itu disifatkan tidak relevan lagi, termasuk Akta Kediaman Terhad 1953. "Rakyat tidak suka akta itu, syarikat media pun tidak suka akta itu," kata Syed Hamid pada sidang akhbar khas di kediamannya, 7 April.

Saya kira cadangan Syed Hamid itu harus disegerakan perlaksanaannya. Akta Mesin Cetak memang perlu dimansuhkan terus. Di dalamnya banyak peraturan "karut-marut", khususnya yang dikenakan terhadap Harakah, selain kuasa mutlak menteri untuk menolak permohonan, menggantung dan mengharamkan permit penerbitan.

Mungkin idea Syed Hamid ini mahu menebus "dosanya" menggantung penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan, yang mana 11 hari kemudiannya ditarik balik Najib. Selamat bersara Syed Hamid, bersama-sama Abdullah Ahmad Badawi!

09 April 2009

Gimik kedua Najib sekali lagi gagal ...

Gimik perubahan yang hendak ditunjukkan oleh Najib Razak di hari pertama menjadi perdana menteri - dengan mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA dan menarik balik penggantungan 3 bulan akhbar Harakah dan Suara Keadilan - tidak menjadi, dan petang semalam, 9 April, pembentukan kabinet barunya juga tidak memberi impak besar kepada imej pembaharuan yang digembar-gemburkannya. Sekali lagi gimiknya tidak menjadi.

Ya, apa yang rakyat harapkan daripada kabinet barunya ini? Penolakan pengundi Bukit Gantang dan Bukit Selambau jelas merakamkan angin perubahan yang dicetuskan pada 8 Mac 2008 masih berterusan. Rakyat sudah menolak budaya politik lama, yang masih diwarisi oleh Najib daripada Abdullah Badawi, dan sebelumnya Dr Mahathir. Apabila Najib nampak rapat dan sememangnya akrab dengan Mahathir, sehingga bekas perdana menteri itu tidak sabar-sabar lagi untuk menyertai semula Umno selepas Abdullah bersara, maka gimik perubahan yang dicanangkan selama ini hanya usaha kosmetik untuk mendapatkan kembali undi daripada rakyat. Tak lebih dari itu.

Antara petunjuk Mahathir kembali berpengaruh dalam pemerintahan Najib adalah perlantikan Mukhriz Mahathir sebagai timbalan menteri MITI. Lebih ketara apabila Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin langsung tidak diberikan apa-apa jawatan dalam kabinet sedangkan rakan sejawatnya dalam Wanita Umno, Shahrizat Jalil, yang tidak pun menjadi Ahli Parlimen diberikan posisi menteri. Ketua Puteri pun dianugerahkan jawatan timbalan menteri. Apa kesalahan Khairy sehingga disisihkan begitu rupa kalau bukan kerana Najib mahu mengambil hati Mahathir? Bukankah Mahathir tetap berpandangan cukup negatif dan penuh prasangka dengan Khairy dan bapa mentuanya, Abdullah? Khairy seolah-olah menerima nasib yang sama dengan Zahid Hamidi ketika menang Ketua Pemuda Umno dahulu, di zaman Mahathir, ketika Zahid dilihat orang kuat Anwar.

Siapa muka baru yang dilihat mampu menjalankan amanah rakyat dengan jujur, bersih, telus dan berkesan? Apakah muka lama yang dikekalkan itu merupakan menteri yang berkeupayaan menjalankan tugas dengan baik, bebas daripada rasuah, mengutamakan kepentingan rakyat daripada memperkayakan diri dan kroni? Dan sejauh mana kecilnya keanggotaan kabinet kali ini berbanding saiz XXL kabinet Abdullah dahulu, sekurang-kurangnya untuk menjimatkan wang rakyat?

Kabinet lama ada 32 menteri. Kabinet Najib ada 28 menteri. Dulu timbalan menteri ada 38, sekarang bertambah 40. Apa sangat yang mahu dibanggakan dengan jumlah itu? Cuba kita teliti siapa menteri yang nampaknya naik pangkat, mungkin kerana kemenangan dalam pemilihan Umno; bersihkah mereka? Apakah selama memegang kuasa, ia tidak digunakan untuk kepentingan diri dan kelompok? Bukankah mereka juga merupakan sebahagian besar dari anggota kabinet yang pernah ditolak oleh pengundi setahun lalu?

Memang tidak adil untuk kita membuat kesimpulan tanpa memberi kesempatan kepada Najib dan Muhyiddin untuk membuktikan kemampuan team baru ini, namun jika penerajunya itu Najib, maka apakah anda sekalian bersedia membazirkan lebih banyak masa untuk orang seperti Najib membuktikan segala jaminannya akan cuba diusahakan dengan jaya?

Bukan pula kita mahu mengungkit kes pembunuhan Altantuya yang baru saja diputuskan hukumannya pagi semalam? Biarpun hari ini orang sibuk bercakap soal kabinet baru, namun misteri Altantuya tidak mudah dikambus begitu sahaja. Siapa boleh menerima hakikat bahawa dua pembunuhnya melakukan perbuatan terkutuk itu tanpa sebarang motif yang munasabah? Di sebalik pembunuhan itu, oranag ramai masih tidak berpuas hati dengan pembabitan kenalan rapat Najib berkaitan rasuah pembelian senjata Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib ketika itu.

08 April 2009

Era baru tsunami politik kedua

Kemenangan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau bagaikan tsunami kedua melanda lanskap politik Malaysia, selepas gegaran pertama, Mac 2008. Ia cukup indah. Segala kepedihan ekoran rampasan kuasa BN, yang didalangi Najib Razak, ke atas kerajaan Pakatan Rakyat Perak, meskipun tidak terubat sepenuhnya tetapi sudah cukup untuk membuatkan kita menarik nafa lega.

Dato' Seri Nizar Jamaluddin yang berhempas-pulas mengangkat maruah Pakatan, khususnya berdepan dengan segala fitnah dan tohmah, akhirnya memperolehi kemenangan yang pastinya cukup manis itu. Perjuangan untuk memartabatkan suara dan kehendak rakyat Perak menempuh satu fasa baru. Tidak pasti pula bagaimana tanggapan pihak Istana Perak terhadap referendum rakyat yang secara jelas mahu budaya politik lama, seperti yang ditunjukkan oleh Najib Razak dan konco-konconya dibenamkan sedalam-dalamnya.

Dari awal semua maklum bahawa pilihanraya kecil Bukit Gantang bukan semata-mata mahu mencari pengganti kepada Almarhum Roslan Shaharom. Ia medan istimewa bagi memenangkan idealisme politik luhur, sekaligus mengatasi budaya politik hodoh, yang selama lebih 50 tahun bermaharajela di bumi Malaysia tercinta ini. Pengundi Bukit Gantang wajar diberi anugerah kerana berani membuat pilihan setepatnya. Mereka sudah menyampaikan mesej yang jelas, tegas dan cukup lantang. Juga memberi amaran, sekiranya Umno-BN terus tidak mahu berubah, apatah lagi mahu berpatah balik ke belakang apabila bersedia memberi tempat kepada Dr Mahathir Mohamad, maka masa depan parti itu sememangnya suram dan kelam.

Bukit Gantang juga mempamerkan pendekatan lapok dan kuno Umno-BN. Walaupun Najib memberi jaminan tiada lagi rasuah politik dalam bentuk projek mee segera, tetapi realitinya bumi Bukit Gantang dan Bukit Selambau menjadi bukti sikap lidah bercabang mereka. Segala projek mahu dilonggokkan di sana, belum dikira umpan wang ringgit dan ugutan-ancaman buat pengundi yang sukar dilunakkan dengan cara halus. Tabik buat pengundi Melayu yang tidak termakan dengan fitnah Umno-BN yang mendakyahkan bahawa Nizar itu boneka DAP, orang yang menjual tanah kepada Cina dan Menteri Besar yang derhaka kepada rajanya sendiri.

Pengundi Melayu yang menjadi taruhan Umno-BN untuk merampas kembali Bukit Gantang sudah berfikiran matang dan dapat menilai fakta yang dikemukakan Nizar dan jentera kempen PAS-Pakatan Rakyat. Sentimen perkauman sempit ditolak mentah-mentah petanda positif rakyat berbilang kaum di negara kita masih dapat berfikir dan menimbang sesuatu secara rasional, walaupun dalam situasi sulit dan genting semasa kempen pilihan raya. Mereka juga menolak propaganda murahan Umno-BN yang disebarkan secara meluas melalui RTM (Radio Televisyen Mahathir). Rakyat lebih percayakan sumber berita alternatif termasuk melalui media baru di alam siber.

Era baru tsunami politik yang kedua ini harus diwarnai sebaiknya oleh Pakatan Rakyat. Gerak kerja perlu diatur segera bagi memastikan harapan tinggi rakyat itu tidak disesiakan. Peluang untuk menawarkan kerajaan alternatif dalam pilihan raya akan datang begitu cerah. Peralihan kuasa dalam kerajaan dan Umno-BN tidak sewajarnya menganggu pelan peralihan kuasa sebenarnya, iaitu daripada BN kepada Pakatan Rakyat. Anwar Ibrahim, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang serta barisan kepimpinan Pakatan di semua peringkat tidak seharusnya membazirkan peluang keemasan ini. Siap sedia memacu perubahan dan membentuk kerajaan alternatif dalam pilihan raya akan datang, insya-Allah.