09 April 2009

Gimik kedua Najib sekali lagi gagal ...

Gimik perubahan yang hendak ditunjukkan oleh Najib Razak di hari pertama menjadi perdana menteri - dengan mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA dan menarik balik penggantungan 3 bulan akhbar Harakah dan Suara Keadilan - tidak menjadi, dan petang semalam, 9 April, pembentukan kabinet barunya juga tidak memberi impak besar kepada imej pembaharuan yang digembar-gemburkannya. Sekali lagi gimiknya tidak menjadi.

Ya, apa yang rakyat harapkan daripada kabinet barunya ini? Penolakan pengundi Bukit Gantang dan Bukit Selambau jelas merakamkan angin perubahan yang dicetuskan pada 8 Mac 2008 masih berterusan. Rakyat sudah menolak budaya politik lama, yang masih diwarisi oleh Najib daripada Abdullah Badawi, dan sebelumnya Dr Mahathir. Apabila Najib nampak rapat dan sememangnya akrab dengan Mahathir, sehingga bekas perdana menteri itu tidak sabar-sabar lagi untuk menyertai semula Umno selepas Abdullah bersara, maka gimik perubahan yang dicanangkan selama ini hanya usaha kosmetik untuk mendapatkan kembali undi daripada rakyat. Tak lebih dari itu.

Antara petunjuk Mahathir kembali berpengaruh dalam pemerintahan Najib adalah perlantikan Mukhriz Mahathir sebagai timbalan menteri MITI. Lebih ketara apabila Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin langsung tidak diberikan apa-apa jawatan dalam kabinet sedangkan rakan sejawatnya dalam Wanita Umno, Shahrizat Jalil, yang tidak pun menjadi Ahli Parlimen diberikan posisi menteri. Ketua Puteri pun dianugerahkan jawatan timbalan menteri. Apa kesalahan Khairy sehingga disisihkan begitu rupa kalau bukan kerana Najib mahu mengambil hati Mahathir? Bukankah Mahathir tetap berpandangan cukup negatif dan penuh prasangka dengan Khairy dan bapa mentuanya, Abdullah? Khairy seolah-olah menerima nasib yang sama dengan Zahid Hamidi ketika menang Ketua Pemuda Umno dahulu, di zaman Mahathir, ketika Zahid dilihat orang kuat Anwar.

Siapa muka baru yang dilihat mampu menjalankan amanah rakyat dengan jujur, bersih, telus dan berkesan? Apakah muka lama yang dikekalkan itu merupakan menteri yang berkeupayaan menjalankan tugas dengan baik, bebas daripada rasuah, mengutamakan kepentingan rakyat daripada memperkayakan diri dan kroni? Dan sejauh mana kecilnya keanggotaan kabinet kali ini berbanding saiz XXL kabinet Abdullah dahulu, sekurang-kurangnya untuk menjimatkan wang rakyat?

Kabinet lama ada 32 menteri. Kabinet Najib ada 28 menteri. Dulu timbalan menteri ada 38, sekarang bertambah 40. Apa sangat yang mahu dibanggakan dengan jumlah itu? Cuba kita teliti siapa menteri yang nampaknya naik pangkat, mungkin kerana kemenangan dalam pemilihan Umno; bersihkah mereka? Apakah selama memegang kuasa, ia tidak digunakan untuk kepentingan diri dan kelompok? Bukankah mereka juga merupakan sebahagian besar dari anggota kabinet yang pernah ditolak oleh pengundi setahun lalu?

Memang tidak adil untuk kita membuat kesimpulan tanpa memberi kesempatan kepada Najib dan Muhyiddin untuk membuktikan kemampuan team baru ini, namun jika penerajunya itu Najib, maka apakah anda sekalian bersedia membazirkan lebih banyak masa untuk orang seperti Najib membuktikan segala jaminannya akan cuba diusahakan dengan jaya?

Bukan pula kita mahu mengungkit kes pembunuhan Altantuya yang baru saja diputuskan hukumannya pagi semalam? Biarpun hari ini orang sibuk bercakap soal kabinet baru, namun misteri Altantuya tidak mudah dikambus begitu sahaja. Siapa boleh menerima hakikat bahawa dua pembunuhnya melakukan perbuatan terkutuk itu tanpa sebarang motif yang munasabah? Di sebalik pembunuhan itu, oranag ramai masih tidak berpuas hati dengan pembabitan kenalan rapat Najib berkaitan rasuah pembelian senjata Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib ketika itu.

08 April 2009

Era baru tsunami politik kedua

Kemenangan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau bagaikan tsunami kedua melanda lanskap politik Malaysia, selepas gegaran pertama, Mac 2008. Ia cukup indah. Segala kepedihan ekoran rampasan kuasa BN, yang didalangi Najib Razak, ke atas kerajaan Pakatan Rakyat Perak, meskipun tidak terubat sepenuhnya tetapi sudah cukup untuk membuatkan kita menarik nafa lega.

Dato' Seri Nizar Jamaluddin yang berhempas-pulas mengangkat maruah Pakatan, khususnya berdepan dengan segala fitnah dan tohmah, akhirnya memperolehi kemenangan yang pastinya cukup manis itu. Perjuangan untuk memartabatkan suara dan kehendak rakyat Perak menempuh satu fasa baru. Tidak pasti pula bagaimana tanggapan pihak Istana Perak terhadap referendum rakyat yang secara jelas mahu budaya politik lama, seperti yang ditunjukkan oleh Najib Razak dan konco-konconya dibenamkan sedalam-dalamnya.

Dari awal semua maklum bahawa pilihanraya kecil Bukit Gantang bukan semata-mata mahu mencari pengganti kepada Almarhum Roslan Shaharom. Ia medan istimewa bagi memenangkan idealisme politik luhur, sekaligus mengatasi budaya politik hodoh, yang selama lebih 50 tahun bermaharajela di bumi Malaysia tercinta ini. Pengundi Bukit Gantang wajar diberi anugerah kerana berani membuat pilihan setepatnya. Mereka sudah menyampaikan mesej yang jelas, tegas dan cukup lantang. Juga memberi amaran, sekiranya Umno-BN terus tidak mahu berubah, apatah lagi mahu berpatah balik ke belakang apabila bersedia memberi tempat kepada Dr Mahathir Mohamad, maka masa depan parti itu sememangnya suram dan kelam.

Bukit Gantang juga mempamerkan pendekatan lapok dan kuno Umno-BN. Walaupun Najib memberi jaminan tiada lagi rasuah politik dalam bentuk projek mee segera, tetapi realitinya bumi Bukit Gantang dan Bukit Selambau menjadi bukti sikap lidah bercabang mereka. Segala projek mahu dilonggokkan di sana, belum dikira umpan wang ringgit dan ugutan-ancaman buat pengundi yang sukar dilunakkan dengan cara halus. Tabik buat pengundi Melayu yang tidak termakan dengan fitnah Umno-BN yang mendakyahkan bahawa Nizar itu boneka DAP, orang yang menjual tanah kepada Cina dan Menteri Besar yang derhaka kepada rajanya sendiri.

Pengundi Melayu yang menjadi taruhan Umno-BN untuk merampas kembali Bukit Gantang sudah berfikiran matang dan dapat menilai fakta yang dikemukakan Nizar dan jentera kempen PAS-Pakatan Rakyat. Sentimen perkauman sempit ditolak mentah-mentah petanda positif rakyat berbilang kaum di negara kita masih dapat berfikir dan menimbang sesuatu secara rasional, walaupun dalam situasi sulit dan genting semasa kempen pilihan raya. Mereka juga menolak propaganda murahan Umno-BN yang disebarkan secara meluas melalui RTM (Radio Televisyen Mahathir). Rakyat lebih percayakan sumber berita alternatif termasuk melalui media baru di alam siber.

Era baru tsunami politik yang kedua ini harus diwarnai sebaiknya oleh Pakatan Rakyat. Gerak kerja perlu diatur segera bagi memastikan harapan tinggi rakyat itu tidak disesiakan. Peluang untuk menawarkan kerajaan alternatif dalam pilihan raya akan datang begitu cerah. Peralihan kuasa dalam kerajaan dan Umno-BN tidak sewajarnya menganggu pelan peralihan kuasa sebenarnya, iaitu daripada BN kepada Pakatan Rakyat. Anwar Ibrahim, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang serta barisan kepimpinan Pakatan di semua peringkat tidak seharusnya membazirkan peluang keemasan ini. Siap sedia memacu perubahan dan membentuk kerajaan alternatif dalam pilihan raya akan datang, insya-Allah.

Terserlahnya Kewibawaan Dato` Seri Ir Haji Nizar

:: Mesej Bukit Gantang ::

Ia bukan sekadar kemenangan berganda (sebenarnya di Semenanjung sudah 4-0, bermula Permatang Pauh, Kuala Terengganu, seterusnya Bukit Gantang dan Bukit Selambau), tetapi kejayaan Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil ini lebih terasa manis dan lazatnya.

Memang cukup mendebarkan. Ya, persaingan yang sengit dan sukar diramal. Malah lebih ramai menjangkakan Nizar bakal kecundang ekoran tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu. Isu-isu seperti tohmahan menjadi "boneka DAP" dan "sembah derhaka" dibimbangi berjaya mempengaruhi pengundi untuk kembali menyokong BN. Tidak sedikit teman-teman yang turun berkempen di Bukit Gantang meluahkan rasa curiga terhadap kemampuan Nizar untuk memenangi hati pengundi Melayu.

"Ada kawasan Melayu yang kita langsung tak dapat masuk untuk berkempen. Malah, banyak rumah yang menaikkan bendera Umno dan BN. Jentera BN juga agak agresif berkempen," lapor wartawan Harakah Perak. "Tak ramai orang yang hadir dalam program ceramah kita," tambahnya lagi.

Di samping itu, kehadiran Dr Mahathir Mohamad di hari akhir kempen pula dikatakan boleh menyebabkan pengundi bukan Melayu memikirkan semula sokongan terhadap calon Pakatan Rakyat. Tidak kurang juga yang membayangkan "situasi terburuk" jika ada pengundi yang terpengaruh dengan beberapa langkah awal Dato' Seri Najib Razak, yang baru empat hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Saya pula memang tidak suka meletakkan harapan tinggi kepada sesuatu impian bimbang kecewa akhirnya.

Dibandingkan dengan debar pilihan raya kecil Kuala Terengganu, saya kira Bukit Gantang lebih mencemaskan lagi. Pertama, ia kerusi yang PAS pertahankan. Kedua, sejak awal kita sudah isytiharkan keputusannya nanti melambangkan referendum seluruh rakyat Perak terhadap krisis politik dan perlembagaan yang tercetus awal Februari lalu. Tidak dapat saya bayangkan apa akan terjadi sekiranya Nizar dikalahkan, seolah-olah ini pertandingan hidup atau mati.

Pendek kata, jika berjumpa sepuluh orang yang balik berkempen dari Bukit Gantang, atau sekadar membuat tinjauan rambang di sana, lebih separuh daripadanya tidak meletakkan harapan tinggi PAS dapat mengekalkan kerusi berkenaan. "Saya hanya menyandarkan impian kepada ketokohan Nizar semata-mata, dari sudut lain, terutama kepada pengundi Melayu, saya benar-benar bimbang," kata seorang kawan.

"Bukankah semasa penamaan calon baru-baru ini, jumlah penyokong Pakatan jauh lebih ramai," saya cuba menduganya. "Itulah masalahnya, kita sudah melepasi kemuncak. Selepas hari penamaan calon, 29 Mac, kita terus merosot," reaksi pantas kawan saya itu menambahkan lagi kerisauan.

"Saya pula tak pasti apakah Nizar kini menjadi asset atau liabiliti kepada kita di Bukit Gantang. Tuduhan dia boneka DAP atau jual tanah kepada orang Cina menyebabkan pengundi Melayu meraguinya," kata seorang lagi kawan.

"Kalau setakat dua isu itu, tak payah susah hatilah, kita ada fakta konkrit yang cukup untuk menyanggahnya," saya pula cuba mententeramkan hati mereka dan sekali gus menenangkan gelodak rasa saya sendiri. "Ini bukan soal fakta, ini soal sentimen dan persepsi," balas seorang daripada mereka.

Rupanya kadang-kadang kita sendiri terkeliru untuk membaca realiti sebenar di lapangan. Pengamat politik juga boleh tersilau sehingga membuat rumusan yang agak terpesong, sedangkan para pengundi, khususnya generasi di bawah 50 tahun, sudah melangkah ke dunia politik baru. Emosi mereka tidak mudah lagi dipancing dengan sentimen perkauman atau dakyah politik lama yang dangkal dan hodoh itu.

Apatah lagi sosok tubuh Nizar yang karismatik dan kini menjadi ikon baru itu sudah cukup untuk mematikan segala tohmahan tidak berasas, sebaliknya menyuntik keyakinan baru yang luar biasa kesannya kepada rakyat Perak. Ketokohan Nizar sudah melangkah melampaui sempadan negeri dan bersedia untuk menawan hati audien yang lebih luas di seluruh pelosok negara.

Kemenangan calon PAS dan KeADILan, masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, dengan majoriti lebih besar, pastinya membuatkan tidur Najib pada malam Selasa lalu terganggu. Ia satu mesej jelas penolakan akar umbi terhadap kepimpinan beliau yang cuba untuk melakukan kejutan dengan beberapa pembaharuan kosmetik pada hari pertama dinobatkan sebagai Perdana Menteri keenam.

Membebaskan 13 tahanan ISA (dan terus mengurung tahanan yang lebih lama tersiksa di Kamunting) serta menarik balik penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan (serta mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, juga peraturan karut-marut yang dikenakan ke atas semua lidah rasmi parti) jelas tidak berupaya untuk mengelirukan rakyat yang semakin benci dan muak dengan pendekatan politik lama. Bukankah orang masih ingat, itulah juga yang dilakukan Dr Mahathir ketika mula-mula dilantik menjadi perdana menteri? Tindakan Najib hanya memperkukuhkan tanggapan umum bahawa era Mahathirisme seolah-olah sekali lagi bakal mencengkam tanahair tercinta.

Apa pun telahan yang dibuat, senario politik Malaysia selepas tsunami pertama pada Mac 2008 menjadi semakin menarik. Ia tidak mungkin berpatah balik ke era lama, seperti yang cuba diusahakan Dr Mahathir. Pilihan Najib semakin terbatas. Peluangnya untuk mewariskan takhta di Seri Perdana kepada pemimpin Umno-BN nampak tipis. Terpulang kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat untuk mengisi kekosongan ini ...

07 April 2009

Menanti isyarat istimewa dari 2 bukit, 1 batang ...

Hari ini hari mengundi buat tiga kawasan pilihan raya kecil. Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai mencatat sejarah. Ketiga-tiga kawasan ini mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri dalam lanskap politik tanahair. Begitu juga dengan negeri Perak, Kedah dan Sarawak. Ia bukan sekadar memilih Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri. Pilihan raya ini jauh lebih penting daripada mengundi wakil rakyat baru.

Kepada Dato' Seri Najib Razak, Perdana Menteri ke-6 yang baru mengangkat sumpah, kemenangan BN pada ketiga-tiga kawasan berkenaan cukup penting untuk menyuntik semangat menebus kekalahan dalam dua pilihan raya kecil sebelum ini. PAS juga perlu menang di Bukit Gantang bagi membuktikan rakyat Perak menolak budaya politik rimba rampasan kuasa Februari lalu apabila kerajaan Pakatan Rakyat dijatuhkan secara tidak bermaruah. Lebih ironis lagi apabila gerak kerja BN itu didalangi Najib sendiri.

Selepas Perak, BN cukup mengimpikan untuk menawan semula Kedah. Justeru, Bukit Selambau mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia juga satu petanda awal sama ada pengundi bukan bukan Melayu, khususnya masyarakat India, masih kekal menolak BN, seperti yang ditunjukkan secara nyata dalam pilihan raya umum 8 Mac 2008, atau sudah kembali lunak untuk menyokong BN. Keputusan malam ini juga memberi petunjuk tersendiri terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pimpinan Ustaz Azizan Abdul Razak.

Menjelang saat-saat akhir hari mengundi, ramai bimbang dengan kecenderungan pengundi Melayu di Bukit Gantang. Ada yang beranggapan segala tohmahan terhadap Nizar, misalnya dakwaan beliau boneka DAP dan menjual tanah kepada orang bukan Melayu, boleh mempengaruhi pengundi Melayu. Apakah jika Nizar kalah, maka segala perjuangannya untuk mendapatkan kembali jawatan Menteri Besar Perak berkubur begitu sahaja? Apakah jika Nizar tidak terpilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang maka ia bermakna majoriti rakyat Perak juga menolak beliau?

Kempen untuk 2 bukit dan 1 batang terus membuktikan bahawa Umno-BN di bawah Najib tetap tidak bersedia untuk menyediakan padang permainan yang sama rata. Ia dipenuhi dengan budaya politik rimba BN, yang sarat dengan ugutan-ancaman dan tawaran-rasuah. Lihat saja bagaimana TV1 menyiarkan secara langsung ucapan Dr Mahathir ketika berkempen di Bukit Gantang. Di mana etika dan tatasusila dalam sebuah negara demokratik apabila kemudahan awam diperalatkan semahunya untuk kepentingan politik BN? Ini bermakna kita langsung tidak boleh meletakkan harapan bahawa Najib bakal membawa perubahan, selaras dengan beberapa tindakan awalnya mengenai penahanan ISA dan permit penerbitan Harakah, Suara Keadilan.

Menang atau kalah memang adat pertandingan. Cuma, yang disesali jika pertandingan itu dicemari dengan elemen tidak demokratik, rasuah, ugutan, ancaman, dan salahguna kuasa. Sampai bila kita harus menunggu untuk melihat pilihan raya di negara kita dapat dijalankan secara adil, telus dan bebas? Sepatutnya dengan peralihan kepimpinan baru, proses demokrasi Malaysia menjadi semakin matang dan diperkukuhkan lagi dengan nilai-nilai budaya politik baru. PAS boleh saja menerima kekalahan jika itulah yang dikehendaki rakyat, dan ia harus menilai di mana kelemahan bagi memastikan untuk pilihan raya berikutnya ia dapat diterima majoriti rakyat. Namun yang dikesalkan jika padang permainan tidak sama rata dan pengadilnya bersikap berat sebelah.

PAS juga harus meneliti mesej yang hendak disampaikan pengundi melalui keputusan malam ini. Mungkin PAS terus dapat mengekalkan kemenangan, tetapi dengan undi yang diperolehinya nanti, banyak perkara yang boleh dirumuskan demi kelangsungan perjuangan Islam seterusnya. Kita harapkan proses pengundian hari ini berjalan baik, insya Allah.

04 April 2009

Hujjah dirampas, Harakah dikembalikan; apa muslihat Najib?

MEMANG satu sejarah pun. Harakah yang digantung penerbitan selama tiga bulan bermula 23 Mac - hari gelita kebebasan akhbar Malaysia - tiba-tiba pada malam 3 April, Perdana Menteri baru, Dato' Seri Najib Razak melalui kenyataan ringkas di TV, mengumumkan arahan itu ditarik balik.

Tepat jam 8.20 malam, kami menerima faks surat Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar yang memaklumkan keputusan menarik balik penggantungan itu berkuatkuasa serta-merta.

Sedangkan pada jam 9 pagi, hari yang sama, saya menerima panggilan telefon daripada seorang anggota polis Cawangan Khas (SB) Bukit Aman yang memberitahu bahawa akhbar tidak berkala, Hujjah - yang kami terbitkan sebagai alternatif kepada Harakah - perlu diambilnya bagi tujuan siasatan.

Dalam masa sama, saya menerima SMS, "1350 naskhah Hujjah dirampas di Bukit Mertajam atas kesalahan melanggar Seksyen 5(1) dan 11(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984".

Pencetak di Shah Alam pula memberitahu bahawa selepas solat Jumaat, unit penguatkuasa bahagian kawalan penerbitan, KDN akan mengunjungi premis mereka.

Sebelum itu, saya sudahpun mencetak ratusan ribu risalah mengecam langkah "bacul-penakut" KDN menggantung penerbitan Harakah, anggaran sebanyak 25 keluaran. Sebahagian kecil daripadanya, termasuk stiker dan poster, telah diedar kepada orang ramai sewaktu kami menghadiri perhimpunan raksasa 50,000 orang pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Bukit Gantang, di Taiping.

Ramai juga yang memesan kemaja-T "bebaskan Harakah" yang kami pakai pada hari itu.

Namun, Najib lebih licik dan, untuk pusingan pertama, mungkin dapat memintas kami. Ketika ramai orang marah dan imejnya semakin memburuk, beliau memilih untuk membuat pengumuman awal, pada hari beliau mengangkat sumpah jawatan PM, bahawa penggantungan Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik serta-merta.

Sebenarnya rakan-rakan media saya telah menduga taktik Najib ini beberapa hari lalu. "Selain mahu memulihkan imejnya, Najib akan pastikan tiga pilihan raya kecil 7 April, terutama Bukit Gantang dimenangi BN," kata seorang editor kanan sebuah akhbar harian terkenal.

Dari sudut lain, langkah menyekat Harakah dalam zaman internet ini langsung tidak membawa kesan besar. Apatah lagi terdapat ruang dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang membenarkan penerbitanbahan tidak berkala, iaitu yang diterbitkan hanya sekali.

Saya ada pengalaman tersendiri apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penerbitan akhbar Haraki tidak bercanggah dengan undang-undang kerana ia diterbitkan sekali sahaja.

Desakan rakyat juga tinggi, amarah pembaca Harakah sukar dibendung dan Najib tiada pilihan melainkan cuba mempamerkan imej lebih terbuka sepertimana ditunjukkan mentornya, Dr Mahathir Mohamad ketika mula menjadi Perdana Menteri, 1981. (Mahathir masuk semula Umno selepas Najib dilantik PM dan Abdullah yang "dibencinya" tidak lagi Presiden Umno).

Bagaimanapun, masih banyak sekatan ke atas Harakah yang perlu ditarik balik, antaranya syarat-syarat ketat jualan dan isi kandungan yang cukup terbatas. Saya perlu ruang selesa untuk membahaskan hal ini ...

02 April 2009

Najib batalkan arahan penggantungan Harakah selepas 7 April?

Penggantungan Harakah dan Suara Keadilan memang satu langkah silap Najib Razak. Ia hanya menunjukkan Perdana Menteri baru itu begitu gentar dan takut berdepan suara kritikan atau teguran terhadapnya. Najib yang mengheret pelbagai beban sejarahnya mungkin akan menjadi PM terakhir mewakili Umno-BN.

Namun kami tidak akan membiarkan pasaran akhbar kita kosong daripada media alternatif yang menawarkan berita dan analisis berbeda daripada laporan media yang dikawal mutlak pemerintah. Hujjah merupakan akhbar tidak berkala yang kami usahakan bagi menampung lompong kosong ini. Ia boleh saja dirampas pihak polis dan KDN biarpun penerbitannya menurut undang-undang sedia ada. Seperti juga kes-kes saya lima enam tahun lalu, apabila akhbar tidak berkala saya keluarkan selepas majalah Detik dan Wasilah diharamkan, pihak polis jarang mahu melihat alasan yang kita kemukakan.

Memang kami bercadang untuk menerbitkan Hujjah atau apa jua nama yang akan kami pilih nanti, dengan menyedari pentadbiran baru Najib-Muhyiddin sentiasa memberi perhatian besar kepada sumber maklumat alternatif ini. Ya, mana tahu, tiba-tiba saja Najib merasakan perlu penggantungan ini ditamatkan segera, sebaik saja selepas 3 pilihan raya kecil ini. Mana tahu kalau Najib mahu memaparkan imej barunya, yang nampak lebih terbuka, bagi menunjukkan segala tanggapan buruk terhadapnya kini adalah salah. Ya, siapa tahu 'kan?




Lebih 100,000 akhbar baru PAS diedar
Ali Bukhari Amir (malaysiakini) Apr 2, 09 2:52pm


Pembaca setia organ rasmi PAS Harakah - yang digantung permit penerbitan selama tiga bulan sejak minggu lalu - akan tetap boleh mengikuti perkembangan semasa parti itu apabila lebih 100,000 naskhah akhbar barunya Hujjah diedar esok.

Dengan laporan utama muka depan "Referendum tolak BN", akhbar itu dijual melalui pengedar biasa Harakah, kata ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman.


Keluaran pertama Hujah, selepas Harakah diharamkan sejak 23 Mac, memuatkan laporan terkini pilihanraya kecil yang dianggap "pungutan suara" terhadap kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak, yang bakal mengangkat sumpah sebagai perdana menteri esok.Ia juga menjadi referendum terhadap calon PAS itu - sama ada pengundi menyokong tuntutan sebagai menteri besar Perak atau Najib, yang terlibat dalam rampasan kuasa terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, Februari lepas.

Setebal 48 halaman dengan harga dikekalkan RM2, kandungan akhbar baru itu tidak jauh bezanya daripada Harakah, kata Ahmad Lutfi lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga memaklumkan akhbar itu melancarkan rayuan dana 'Bebaskan Harakah' sejak semalam bagi memperjuangkan kebebasan media daripada Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang mewajibkan permit penebitan setiap tahun.

Tabung ini untuk melicinkan kempen kesedaran selepas tindakan penggantungan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga kepentingan maklumat dan laporan benar sampai kepada masyarakat.

Ahmad Lutfi berkata, rayuan dana ini sejajar dengan hasrat mahu melihat negara ini mengamalkan prinsip kebebasan media dengan memansuhkan akta kontroversi itu yang, menurutnya, sering disalahgunakan untuk kepentingan kerajaan.

"Perjuangan membebaskan Harakah ini bukan berakhir di tiga pilihan raya kecil tetapi akan diteruskan dengan lebih hebat lagi.

"Justeru saya merayu, kepada pihak yang bersimpati, pembaca dan penyokong untuk menyumbang dana bagi kami menjayakan kempen kesedaran ini," katanya.

Pembaca yang ingin menghulurkan bantuan, bolehlah menyalurkan derma atas nama HARAKAHDAILY DOT COM di akaun Maybank bernombor 5640 7000 0336.Suara rasmi PKR Suara Keadilan juga digantung permitnya selama tiga bulan dan menerbitkan akhbar penggantinya Suara Keamanan, Selasa lalu.

01 April 2009

Hujjah ganti Harakah akan berada di pasaran, Khamis

Saya terpaksa mengakui bahawa tidak mudah untuk mengemaskinikan blog ini, apatah lagi bagi memenuhi janji saya bahawa ia tiada kaitan dengan politik. Ya, ada kawan-kawan bertanya, apalah ada pada penulisan Ahmad Lutfi jika tidak menyinggung hal ehwal semasa atau pergolakan politik tanahair.

Memang banyak lagi segmen-segmen dalam kehidupan ini yang boleh diselongkar. Misterinya belum dapat dinikmati kerana kita sering bersikap stereotaip, atau sekadar mengulangi rutin harian, sehingga tidak mampu untuk mengembara seasyiknya dalam dunia tanpa sempada ini.

Menjadi lebih sulit apabila masa tersisa - selepas berhempas-pulas melakukan penyuntingan dan mencari sudut terbaik bagi melahirkan sebuah akhbar politik tidak berkala - lebih ditumpukan untuk memulihkan kekuatan bagi menyiapkan diri untuk melakukan rutin berikutnya. Kini Harakah digantung tiga bulan, mendekati tempoh 100 hari, tanpa sebarang alasan yang diberikan KDN.

Hukuman ini pastinya zalim dan perlu disanggah, ya, dengan sekeras-kerasnya. Saya berazam mahu membangkitkan isu permit penerbitan Harakah ini sejak lama lagi. Ini bukan kali pertama Harakah diserang dan dikepung. Namakan apa saja yang belum dideritai Harakah, segala keperitan terpaksa dipatuhi. Ia bertambah pedih apabila pegawai KDN terbabit, yang setiasa mengeluarkan arahan baru untuk diikuti Harakah, langsung tidak mengerti budaya persuratkhabaran.

Harakah perlu bangkit dan bingkas menentang ketidakadilan ini. Saya berhenti sekejap untuk meneliti kandungan akhir Hujjah, akhbar yang menggantikan Harakah, di tingkat atas. Maaf. Salam