24 September 2009

Mat Sah bebas, tapi perjuangan Norlaila belum berakhir

KETIKA warga Sandakan yang bermaustautin di Lembah Klang berpusu-pusu balik kampung menyambut Aidilfitri, kami - untuk tahun kedua berturut-turut pada hari-hari akhir Ramadan - ikut memenuhkan tiap kerusi pesawat AirAsia, bagi menyampaikan sumbangan ikhlas pembaca Harakah buat keluarga bekas tahanan borong ISA, yang dibebaskan lebih kurang 100 hari lalu.

"Kita macam orang balik kampung juga," kata saya kepada Norlaila Othman, isteri tahanan ISA, Mat Sah Satray ketika berasak-asak menunggu bagasi di Lapangan Terbang Sandakan. Beliau ditemani anaknya, Suhaib, 16 tahun. Ketika itu, jam 10.15 pagi, 15 September, 25 Ramadan, tidak siapa menduga Mat Sah akan dibebaskan pada petangnya, semasa isteri dan anaknya bersama rombongan Harakah, menziarahi lima keluarga yang pernah dizalimi ISA, jauh di seberang lautan!

Dibantu berapa kenalan, lawatan kali kedua kami dibuat senyap-senyap, menyedari kemungkinan bekas tahanan ISA tidak mahu diri mereka disorot media secara 'berlebihan'. Maklumlah, biasanya setiap bekas tahanan akan diikat dengan pelbagai peraturan dan sekatan. Pastinya kami tidak mahu menambah bebanan mereka sekeluarga, apatah lagi untuk dijadikan alasan untuk menahan mereka kembali.

Kunjungan pertama, sebaik sahaja melepaskan lelah di hotel Tyng Garden, adalah ke rumah bekas tahanan Abd Jamal Azahari, di Batu 19, Sandakan.

Terkesan dengan penderitaan

Semasa menziarahi isterinya, Norhatta, tahun lalu, kami cukup terkesan dengan penderitaan keluarga berkenaan terutama hal tujuh anak-anak mereka yang tidak bersekolah. Kali ini, saya ingin sekali bertemu dengan Jamal dan bekas tahanan yang lain.

Malang sekali apabila Norhatta memaklumkan suaminya terus dihantar pulang ke Filipina sebaik dibebaskan daripada Kamunting dan ditahan di penjara Manila. Beliau dan anak-anak belum sempat berjumpa orang yang paling mereka sayangi itu. Mujur ada adik Jamal di Manila yang tiap hari membawa makanan halal ke penjara.

Saya perhatikan kedai runcit Norhatta bagai tidak terjaga, yang ada hanya barang-barang lama yang mungkin sudah 'luput tarikh'.

Apa pun Norhatta, seperti tahun lalu juga, cukup tenang, sambil sesekali memeluk manja anak-anak kecilnya. Tiada riak gusar di wajahnya. Tapi siapa tahu gelodak di hatinya apabila suami yang dibebaskan masih tiada di sisi. Beliau menimbang kemungkinan akan balik ke kampung asal di selatan Filipina.

Pertemuan kami dengan bekas tahanan Francis Indanan di tingkat tiga, flat PPR, Taman Mesra, Sandakan, berjalan penuh mesra. Mulanya saya melarang Ali Bukhari Amir mengambil gambar, bimbang kesan negatif menyusul. Bagaimanapun Francis yang ramah bercerita bukan saja membenarkan potretnya dirakam, malah mahu isu sekatan terhadap pergerakannya, sehingga menyukarkan untuk menyara keluarga, segera ditonjolkan.

Riang betul anak-anaknya dan isteri, Jobaidah Jamil, berbeza dengan suasana ketika kami bersama-sama berbuka puasa tahun lepas bersama pimpinan PAS setempat.

Suasana sama turut dirasai di rumah Hapipah Manji di Kampung Tinosa 2, perkampungan atas air. Suami Hapipah, Zainun Rashid petang Selasa itu uzur, sering batuk-batuk dan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Dua anak mereka, terutama si lelaki petah berbicara.

Patutlah, rupanya anak kecil 6 tahun ini berbakat besar membaca puisi dan bernasyid, dan tidak pernah absen mengikuti ayahnya ke masjid, berterawih dan solat Subuh.

Wanita berhati besi

Ketika menunggu waktu berbuka di bilik hotel selepas membeli juadah di bazar Ramadan berdekatan, saya dimaklumkan suami wanita berhati waja, Norlaila telah dibebaskan.

Saya terus menghubunginya di bilik sebelah. Nada bicaranya masih sama walaupun jelas sarat dengan kegembiraan, disulami rasa syukur yang tidak putus-putus dilafazkan. Sempat juga Norlaila mengomel tentang kenyataan menteri, Hishammuddin Hussein yang mendakwa tahanan telah insaf selepas menjalani 'pemulihan'.

Beliau memberitahu, Mat sah menelefonnya apabila mendapati rumah mereka di Keramat berkunci dan tiada siapa di dalam. Sungguh terharu membayangkan, isteri yang dipisahkan secara paksa dengan suami, sejak 18 April 2002, berada jauh di rantau waktu orang tercinta dibebaskan.

Bukti nyata Norlaila gigih berjuang- sehingga ke Geneva - bukan hanya demi pembebasan suami tetapi juga mahu akta zalim itu dimansuhkan. Hingga kadang-kadang saya pun sering alpa bahawa Cikgu Laila juga seorang mangsa ...

Saya pasti obor perjuangannya bukan saja sukar dipadamkan dengan pembebasan suaminya, malah kian marak menyala. Mendengar cakapnya di hujung talian sebelum sahur tadi, seperti beliau tidak mahu berehat, cuma saya berpesan 'sesuatu itu ada masa untuknya, raikanlah'.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Silakan memberi komentar anda. Moga ianya akan terus bersama membina keyakinan untuk perjuangan.