21 April 2009

Usah lupa manusia kerdil tidak bernama ...

Memang tak tertunai juga janji saya mahu kemaskinikan blog ini, terutama bagi menulis hal-hal bukan politik. Ramai yang tegur mengapa saya harus terikat dengan isu-isu semasa sedangkan saya sudah bertekd mahu jadikan blog ini lain daripada kolum saya dalam Harakah dan Harakahdaily, "Catatan Hujung". Ya, memang tidak mudah untuk menekuni hal-hal di luar skop politik semasa saya diamanahkan untuk menerajui sebuah akhbar politik, Harakah, ketika mana banyak polemik tercetus dalam percaturan politik tanahair.

Saya memulakan bidang penulisan pun dalam bidang politik, malah saya kadangkala lebih dikenali dengan buku-buku politik yang saya nukilkan dengan agak banyak jumlahnya ketika Anwar Ibrahim menjadi bintang bersinar dalam Umno. Hanya setahun selepas Anwar dipecat daripada Umno, kalau tak silap saya, maka saya tidak lagi berminat untuk mendekati politiking dalaman Umno. Tokoh-tokoh seperti Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak ... dan siapa lagi ya, tidak berjaya meruntun minat saya untuk terus menjadikan Umno sebagai subjek utama penulisan saya. Perlahan-lahan saya meminggirkan diri, kecuali dalam kes membabitkan dakwaan rasuah Dr Mohd Khir Toyo, apabila saya bertindak bukan lagi sebagai pelapor tetapi juga sebagai aktor penting dalam membongkar kes salahguna kuasa bekas Menteri Besar Selangor itu.

Saya pada asalnya cuba mencatatkan apa sahaja yang terlintas dalam pemikiran dan benak rasa ... ya, yang lain daripada pergolakan politik, misalnya rencam kehidupan anak muda kini, permasalahan mahasiswa di kampus universiti tempatan, atau keluarga tahanan ISA yang dilupakan, atau mungkin tidak perlu terlalu serius dengan orang-orang besar, ya ... banyak lagi insan biasa yang terpinggir di celah-celah kehidupan yang jarang diberikan fokus oleh media. Kekadang ada rasa bersalah apabila Harakah lebih kerap menumpukan laporannya kepada cerita-cerita yang mendapat perhatian luar biasa, yang dicetuskan oleh tokoh-tokoh penting. Misalnya dalam liputan pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang, pastinya ada watak-watak penting tetap sering terlindung dengan nama-nama besar, namun mereka juga pemain utama yang menghidupkan jalan cerita, malangnya tiada wartawan atau penulis yang mahu berkongsi cerita dengan mereka.

Apabila keputusan peperiksaan SPM diumumkan misalnya, tentulah hanya pelajar yang berjaya dengan cemerlang, dengan mengutip puluhan A menjadi serbuan akhbar, tetapi bagaimana pula dengan pelajar yang tercicir dan ketinggalan, sedangkan mereka juga mungkin sudah berusaha sebaik mungkin, ya dengan kemampuan yang terbatas, dengan halangan tertentu ... siapa yang mahu peduli dengan pelajar malang ini. Bukan bukan kerana mereka tidak berusaha tetapi lingkungan yang membelit memaksa mereka jauh menapak di belakang. Faktornya kalau mahu disenaraikan, mungkin banyak ... yang sebahagiannya bukan atas kesalahan atau dosa mereka sendiri. Dan mereka terus tercicir dan tertinggal jauh ... sedangkan media dan kerajaan terus memberi fokus kepada golongan yang cemerlang, dengan tawaran biasiswa dan tempat pengajian yang hebat-hebat.

Banyak lagi contoh-contoh lain bagaimana sudut-sudut kehidupan yang agak gelap dan malap itu jarang disentuh orang. Perhatian masyarakat lebih tertumpu kepada yang silau gemerlap. Malah penulis dan wartawan seperti saya sendiri kerap lupa dengan kelompok terpinggir dan tersisih ini. Jarang ada usaha berterusan untuk menjejaki mereka dan cuba mengangkat konflik hidup mereka untuk dicari jalan penyelesaian. Lihat sahaja anak-anak yatim atau keluarga miskin yang hanya dicari ketika musim lebaran bakal menjelma, maka mereka umpama bahan tontonan untuk diperagakan dalam akhbar atau media elektronik, tetapi jalan keluar tidak pernah diusahakan secara sistematik dan terancang.

Kalau mahu ditanya salahnya kepada siapa, saya tidak mahu menuding jari kepada orang lain. Saya dan teman-teman dalam dunia kewartawanan perlu meneroka dimensi baru (sebenarnya tidakpun baru) bagi mengangkat manusia kerdil yang tidak bernama ini, dan tidak lagi terlalu mementingkan liputan bahan-bahan yang menggemparkan daripada tokoh-tokoh besar sahaja. Kalau dalam media utama, yang dicari tentulah pemimpin utama kerajaan, begitu juga dalam media alternatif yang lebih memberikan ruang kepada pemimpin-pemimpinnya juga, meskipun mungkin bukanlah ada bahan yang menarik sangat untuk ditonjolkan. Benar, bahan yang dianggap menarik itu juga terletak kepada siapa yang memandangnya dan dari sudut mana dia melihatnya.

1 ulasan:

  1. Salam,

    Saudara Lutfi, teruskan menulis.....semoga mendapat lindungan Allah s.w.t.

    BalasPadam

Silakan memberi komentar anda. Moga ianya akan terus bersama membina keyakinan untuk perjuangan.