29 April 2009

Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia: Permit akhbar tak diperlukan lagi

Oleh IRWAN MUHAMMAD ZAIN

Penulis blog tersohor, Ahirudin Attan mendesak agar kerajaan memansuhkan penggunaan permit akhbar bagi membuktikan wujudnya kebebasan media di negara ini.

Ahirudin yang mesra dikenal dengan nama Rockybru menegaskan kerajaan Malaysia tidak perlu takut untuk memansuhkan penggunaan permit kerana semua negara demokrasi lain tidak mengenakan syarat sedemikian kepada mana-mana individu atau parti yang mahu menerbitkan akhbar.

"Jika Dato' Seri Najib Tun Razak serius mahu melaksanakan ketelusan dalam pentadbiran beliau seharusnya penggunaan permit akhbar dihapuskan.

"Kebebasan harus diberikan kepada mana-mana individu atau parti untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri," tegas beliau ketika dihubungi Harakah.

Syarat permit yang dikenakan terhadap mana-mana individu atau parti yang mahu menerbitkan akhbar dianggap sebagai ketinggalan zaman.

Rocky menegaskan jika permit dihapuskan kerajaan pimpinan Najib akan dilihat lebih bersifat toleransi berbanding Perdana Menteri sebelumnya.

Setakat ini, tegas beliau, pentadbiran Najib dilihat lebih memberikan ruang untuk semua rakyat merayakan kebebasan media.

"Ada harapan untuk kita melihat keterbukaan yang mungkin tak pernah dilakukan dibawah pentadbiran Najib," tegas beliau.

Jika penghapusan permit ini dilaksanakan tegas Rocky, akhbar organ parti seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket tidak lagi menghadapi ancaman dirampas atau ditarik balik permit.

Beliau turut menegaskan tindakan merampas akhbar, mengantung atau menarik balik permit tidak lagi sesuai dilakukan di zaman serba canggih ini.

Mengenai sambutan Hari Kebebasan Media, Rocky menjelaskan pihak National Press Club dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan dan All Blog merancang untuk mengadakan sambutan bersama secara besar-besaran.

Perbincangan untuk mengadakan sambutan tersebut masih lagi dibincangkan dan tarikhnya akan diumumkan kelak.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, walaupun turut mengharapkan kebebasan akhbar di negara ini segera dipulihkan di bawah pemerintahan Najib, namun beliau kurang yakin ia akan menjadi realiti jika rakyat tidak bersungguh-sungguh memperjuangkannya.

"Lebih penting semua warga media, khususnya wartawan, tidak kira dari akhbar alternatif mahupun akhbar arus perdana, harus bersama-sama memperjuangkan kebebasan akhbar di Malaysia. Jika kita tidak bersatu menuntut hak, saya yakin kerajaan hanya pandang sebelah mata isu sepenting ini," katanya, yang juga jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), sebuah NGO yang pernah aktif mempromosikan isu kebebasan akhbar.

Lutfi yang berpengalaman luas berdepan dengan sekatan KDN kecewa dengan sikap Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, yang langsung tidak memberi reaksi positif kepada cadangan bernas menteri terdahulu, Dato' Seri Syed Hamid Albar yang mahu kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, beberapa hari sebelum beliau tidak dipilih menganggotai Kabinet.

Beliau mendedahkan, walaupun penggantungan Harakah ditarik balik oleh Najib, namun di pasaran terbuka, akhbar alternatif no. 1 itu tetap menerima tekanan. "Saya dimaklumkan Harakah masih dirampas di beberapa lokasi tertentu, malah dalam beberapa kes ada pihak polis yang merampas akhbar kami tanpa mengikut prosedur, mereka langsung tidak menyerahkan borang rampasan," ujarnya.

Beberapa majalah dan akhbar yang diusahakan Lutfi pernah diharamkan KDN, antaranya Detik, Wasilah dan Cabaran, selain buku-buku politiknya yang kerap dijadikan sasaran rampasan pihak berkuasa.

"Syarat mengehadkan jualan Harakah kepada ahli PAS sahaja sudah tidak ketinggalan zaman, begitu juga sekatan kandungan Harakah hanya kepada aktiviti PAS dan kenyataan pemimpinnya juga tidak munasabah langsung. Saya setuju dengan Ahirudin agar konsep permit penerbitan sekarang dimansuhkan sahaja, begitu juga Akta Mesin Cetak," tegas Lutfi.

Tambahnya, terpulang kepada Najib untuk membuktikan kesungguhannya membawa perubahan atau sekadar terus mengulangi retorik setiap perdana menteri yang baru dilantik. "Sekurang-kurangnya Dato' Seri Abdullah Badawi memulihkan kembali kekerapan Harakah daripada dua kali sebulan kepada dua kali seminggu, jadi kami harapkan Najib tidak menunggu lama untuk memansuhkan pelbagai peraturan karut di KDN," ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Silakan memberi komentar anda. Moga ianya akan terus bersama membina keyakinan untuk perjuangan.