17 Mac 2009

Kisah Yang Bertamu

Sejak Harakah diterbitkan setiap Jumaat dan Isnin, bermula Ogos 2008, saya hanya dapat
tidur di rumah tiga kali dalam seminggu. Selebihnya terpaku di pejabat, selalunya sampai
azan Subuh. Kalau bernasib baik, apabila bahan-bahan dapat disiapkan lebih awal, bolehlah pulang seawal jam 3 pagi.


Bagi orang surat kabar fenomena seperti itu bukannya pelik, malah lumrah. Setiap hari bagi wartawan adalah hari kerja, apatah lagi bagi mereka yang bertugas dengan akhbar dalam talian (internet). Bayangkan, kita bertungkus-lumus mencari bahan, mengeditnya berjam-jam tetapi pembaca hanya melintasinya untuk beberapa minit, dan lebih ramai yang "tidak pandang" pun.


Seringkali apabila mengejar deadline, penat dan letih tidak terasa. Mata pula sentiasa segar, langsung tidak terasa mengantuk. Sedar-sedar sudah hampir Subuh. Dalam kesunyian pagi yang hening ini, otak berputar dan disusuli kenangan lama menerpa dalam kotak fikiran.


Teringat arwah ibu yang sentiasa berpesan, pilihlah kawan yang apabila kita memandang atau bertemu dengannya, maka kita akan segera teringat Tuhan. Ibu menekankan agar bersahabat dengan orang yang dapat menyejukkan mata apabila memandangnya, serta membuatkan hati kita lembut dan takut kepada Allah.


Kawan yang sedia menegur apabila kita salah, menuntun ke jalan benar bila kita tersilap sasaran, memaafkan apabila kita berkasar, tidak jemu menasihati apabila kita terlanjur. Cukup dengan memandangnya dapat mengingatkan kita terhadap kebesaran Ilahi. Terima kasih atas pesanmu ibu.


Sungguh besar pengorbanan ibu. Semoga Allah merahmati ruhnya dan menempatkannya di kalangan para solehah dan mujahidah. Biarlah segala kenangan teramat indah bersamanya dapat diadun dan diayam bagi mengubati lenguh dan bisa badan akibat tidak cukup tidur. Dah lama tidak menziarahi pusara ibu disebabkan kesibukan untuk pulang ke kampung. Satu alasan yang pastinya dimarahi ibu jika itu yang saya maklumkan bila jarang balik menjenguk saudara-mara di kampung dahulu. Selalunya ibu yang datang ke Kuala Lumpur, menziarahiku yang sering sakit-sakit.


Izinkan saya untuk menukilkan kembali detik-detik ketika saya menerima panggilan telefon di awal Subuh tentang kematian ibu tercinta secara tiba-tiba. Terima kasih ibu atas pesanmu yang cukup berharga itu. Dan daku bersyukur kerana kerap didampingi oleh rakan-rakan yang dapat mendekatkan diri yang sering alpa ini dengan Allah SWT.


Terima kasih ibu... Buat rakan-rakan, tulisan yang dihasilkan pada 1999 ini tercatat secara spontan. Moga cetusan dari ketulusan murni ini dapat dimanfaatkan bersama. Tanpa kusedari air jernih pantas berlari di pipi. Memang, setiap kali tulisan di bawah kutatap, dada terasa sebak, ingatan bersama ibu rupanya cukup indah sekali, tiada tandingan.


Buat rakan-rakan yang masih ada ibu di sisi, usah menunggu untuk menikmati kehidupan bersama ibu. Rebutlah peluang keemasa itu. Dan bacalah ...


Apabila isteri, Siti Hawa Samsam, mengejutkan saya jam 5.20 pagi, Sabtu, 1 Mei 1999, saya rasa ia hanya untuk mengingatkan waktu Subuh telah dekat. Tetapi melihatkan raut mukanya yang pucat, matanya yang berair, bibirnya terketar-ketar, jantung saya berdegup kencang. Saya hanya menunggu, seperti seorang pesalah menanti hukuman.



"Mak ...," katanya terputus-putus. "Liza telefon tadi ... mak dah tak ada, bang." Sepi. Pilu. Sebak. Bagaikan segala pergerakan terhenti. Saya hanya mampu menarik nafas, cuba mententeramkan diri. Tidak perlu lagi saya bertanya, apa sakit mak, bila mak meninggal, di mana mak menghembuskan nafas terakhir.


Segala persoalan bertukar menjadi jawapan. Yang penting, mak sudah tak ada



Saya terpaku di katil hampir lima minit, memandang kosong sekeliling. Terbayang wajah kudus mak, bicara manja mak, nasihat bermakna mak, kelembutan tangan mak, syahdu suara mak mengaji al-Quran, tekunnya mak menjagaku hampir sebulan ketika sakit, gelisahnya mak bila diberitahu SB (polis cawangan khas) selalu menganggu kehidupanku, dan sepinya dunia yang terasa menghimpit dan menggigit


Terdengar isteri sibuk mengejutkan anak-anak. Yang kecil, Umar Mukhtar merengek. Selepas menyusun kembali tarikan nafas, saya turut membangunkan anak-anak lain. Ahmad Luqman Hakim kebingungan bila diminta cepat bersiap balik kampung: "Buat apa balik kampung. Abang nak periksa besok.


Adiknya, Nurul Syafiqah dan Ahmad Ikmal Syafiq, mengeliat kiri dan kanan, maklumlah, malam tadi mereka tidur selepas 12 tengah malam


Tanpa menunggu anak-anak bangun, saya ke bilik air. Di samping wajah ibu memenuhi ruang rumah, sekilas ingatan buat bapa, yang meninggal dunia hampir 20 tahun lalu, menyentuh kalbu


Pandangan tertumpu kerusi di anjung rumah, tempat mak selalu berehat dan berbual
mesra denganku bila datang KL.


Kesedihan rupanya cukup menyakitkan


Pancuran air panas tidak dapat menghilangkan kedinginan Subuh. Siramannya hanya dari dada ke bawah. Jika bermula dari kepala, terasa lemas dan sesak. Semasa membentang sejadah, sebak di dada memuncak


Pipiku panas menahan larian air mata. Di bilik sembahyang itulah mak selalu mengurut
badanku sambil bercerita pahit manis kisah silam dan gelagat cucu-cucunya di kampung,
memicit kepalaku sambil mengingatkan pantang larang sakit yang kutanggung


Selalunya bila mak datang, mak akan 'melaporkan' segala perkembangan di kampung, siapa yang akan naik haji, siapa yang berkahwin, siapa yang meninggal, apa khabar saudara di kampung, sihatkah Teh, Tok Su, Tok Jam, Wa, Pak Su


Sambil berteleku memohon doa, kurasakan perjalanan hidup ini terlalu singkat. Baru beberapa minggu lalu, mak ceria bersama cucu-cucunya, bergembira bersama menantunya, langsung tidak menampakkan sebarang penyakit serius yang ditanggungnya.


Sejak Umar Mukhtar lahir enam bulan lalu, sudah empat kali mak ke KL, menguruskan isteriku, menemaniku di hospital, dan kali terakhir "nak tengok rumah baru Mad (panggilan untuk diriku)".


Selepas pak meninggal, saya selalu menghayati kata-kata nasihat yang cukup bermakna:
"Selalunya, apabila kita teringat untuk membalas jasa ibu dan ayah, kita sudah terlewat."


Saya genggam sungguh-sungguh tuntutan di sebaliknya. Janganlah ada apa-apa tindakan dan kata-kata yang boleh menumpahkan air mata mak. Berbaktilah semasa mereka masih segar bugar, jangan ditunggu lagi. Menunggu bermakna kita pasti terlewat, percayalah. Mak mungkin tak tahu banyak tentang pergolakan semasa, tetapi maklah yang menjadi pendorong dan sumber inspirasi selama ini. Bermula selepas dipecat UTM, ditangkap ISA, disusahkan kerjaku sebagai penulis, mak amat memahami perasaan dan kehendak anak kelimanya ini.


Kedegilanku untuk terus mencabar, sejak zaman kampus, mungkin menggusarkannya tetapi sedikitpun tidak pernah dihalangnya, dan saya langsung tidak merasakan mak tidak selesa dengan apa yang saya lakukan.


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampung Raja, Kubang Pasu, cukup lama dan panjang sekali.
Sebelum bertolak, isteri sempat membisikkan, "inilah saatnya yang paling takut ditempuh,
pulang ke kampung, tanpa mak yang menunggu ... akhirnya detik itu datang juga."


Melalui lebuh raya, pandangan dilemparkan di kejauhan mencari makna sisa-sisa hidup di
sebalik wajah mak yang melintas di mana-mana.


Abang sulungku, Dinsman, rupanya masih belum tiba, ketika kami sampai. Dia dalam perjalanan dari Kota Bharu. Kak Ton, Kak Na, Bang Ludin, Adik Ishak nampak jelas menyimpan kesedihan.
Alhamdulillah, mereka di sisi mak ketika mak nazak, kesempatan paling bermakna buat seorang anak


Sambil menahan air mata, wajah syahdu mak kukucup:"Semoga Allah mengasihinya, sebagaimana mak mengasihiku di masa aku kecil hinggalah ke detik ini."


Buat pembaca, mohon maaf kerana catatan ini terlalu bersifat peribadi. Al-Fatihah buat Aishah Megat Hamzah.

* Tulisan ini disiarkan pertama kalinya oleh majalah Detik keluaran 15 Mei 1999 (yang kemudiannya diharamkan KDN). Beberapa nama yang disebutkan dalam artikel ini seperti puteriku, Nurul Syafiqah; nenek, Tok Jam; nenek saudara, Tok Su; dan mak saudara, Wa, juga telah meninggal dunia.

12 Mac 2009

Permulaan Yang Dimulakan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Saya sebenarnya "dipaksa" oleh seorang teman untuk memulakan blog ini. Rupanya beliau baru saja dapat mengesan bahawa banyak juga tulisan-tulisan saya selama ini tidak hanya berlegar sekitar isu-isu politik semasa.

Katanya, elok juga tulisan-tulisan saya, misalnya yang mengisahkan beberapa episod kematian keluarga terdekat terutama puteri kesayangan saya, Nurul Syafiqah dan bonda Aishah Megat Hamzah dapat dikumpulkan dalam satu blog.

Rakan baru saya itu menambah, tapi usahlah hanya cerita kematian yang dimuatkan dalam blog itu nanti. Banyak lagi pengalaman yang boleh dikongsi bersama dengan pengunjung, katanya.

"Janganlah ambil tentang kematian sahaja. Nanti akan membuatkan khalayak terlalu bersangka. Jadi elok ada campurannya, biarlah semuanya membuatkan ada motivasi ataupun manfaatnya untuk sekalian yang bertamu", pesannya lagi.

Sebelum ini anak saudara saya, Zabidi Morad - yang mengendalikan blog mindalutfi yang hanya memuatkan koleksi kolum saya dalam harakahdaily - sering menggesa agar saya
mengemaskinikan tulisan-tulisan terbaru tentang isu-isu semasa yang makin hebat bergolak.

"Hang tulislah apa saja, sikit pun tak apa, asalkan ada tiap hari. Orang mesti nak baca. Tambah sekarang banyak isu-isu yang boleh disinggung. Tengok saja tajuk-tajuk akhbar harian, boleh ulas dari situ pun," gesa Zabidi, separuh mendesak.

Malangnya, sampai hari ini, saya tidak memberi apa-apa respons positif terhadap permintaan Zabidi itu. Mungkin dia pun kecewa dengan sikap "pekak-badak" saya itu. Bagaimanapun, Zabidi terus gigih mengemaskinikan laman yang sama-sama kami bina lima tahun dahulu, detikdaily.net.

Saya tidak pasti apa "ilmu" yang dipakai teman baru saya ini yang berjaya "mempengaruhi" saya untuk bersetuju "mencatat apa sahaja tentang kehidupan ini". Katanya, banyak juga tulisan-tulisan saya yang tidak sarat dengan nilai-nilai politik itu yang boleh dijadikan sumber motivasi buat pembaca.


Saya akui memang ada beberapa catatan personal yang saya lakarkan terus dari cetusan
nurani, tanpa diedit pun. Misalnya, kepulangan jantung hati keluarga kami, Nurul Syafiqah,
saya nukilkan ketika ramai kenalan dan anggota keluarga berkunjung mengirim takziah. Sebaik selesai nokhtah terakhir terus saja saya emel kepada rakan-rakan di Siasah. Saya, waktu itu Ketua Pengarang Siasah, bercuti seminggu, untuk "menikmati" detik-detik kesedihan dan kepedihan ditinggalkan Syafiqah.

Janji boleh dilafazkan. Jaminan boleh diberi. Tapi untuk memastikan blog ini sentiasa ceria dengan tulisan-tulisan baru tentang segi-segi kehidupan yang menyimpan begitu banyak misteri ini, ia tentulah merupakan tugas sukar, apa lagi untuk mengelak tema yang dipilih itu bertindan dengan kolum Catatan Hujung saya.

Sekadar termampu saya cuba untuk berkongsi rasa dengan anda sekalian. Biar kita sama-sama "nikmati" kehidupan yang sementara ini, dengan menyingkap pelbagai lapisan misteri di dalamnya. Terima kasih.