24 Ogos 2009

Bila pegawai SPRM perdagangkan laporan rasuah ...

Surat misteri yang dikatakan ditulis sendiri oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock dan rumah mewah Dr Khir Toyo tidak boleh dipandang ringan. Banyak misteri yang perlu diselongkar dan dibentangkan kepada umum, bagi mendedahkan konspirasi jahat di sebaliknya

Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim didakwa menjadi aktor penting, bukan saja dalam proses soal siasat Beng Hock, malah membuat pakatan dengan Khir untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Khir dikatakan rapat dengan Hishamuddin selepas pegawai kanan SPRM itu "menyelamatkannya" daripada pelbagai tuduhan rasuah dan salahguna kuasa, termasuk aduan yang pernah saya laporkan pada 23 Oktober 2001.

Dakwaan terhadap Hishamuddin memang cukup berat lagi mengejutkan. Integriti SPRM yang sebelum ini sudah pun dipersoalkan kini menjadi taruhan yang paling kritikal. Beliau perlu segera membersihkan namanya dan memulihkan imej SPRM.

Tidak wajar berdiam diri

Oleh kerana surat itu sudah tersebar dengan meluas terutama dalam internet, dan menarik perhatian umum, Hishamuddin tidak wajar berdiam diri dengan hanya menunggu siasatan polis.

Bayangkan, bos no. 2 SPRM Selangor itu dituduh menghilangkan semua bukti yang boleh dikaitkan, antaranya dengan mencari helah untuk tidak memberikan sampel DNA, meninggalkan pejabat pada jam 6.10 pagi 16 Julai 2009 tanpa mengetuk kad perakam waktu selepas menjadi orang terakhir menemui Teoh, dan mengarahkan pegawai bawahannya mengelap kesan cap jari pada tingkap yang dipercayai tempat Teoh jatuh.

Beliau juga dikatakan mempunyai teknik soal siasat tersendiri, dengan cara memegang di bahagian hadapan tali pinggang saksi atau suspek dan mengangkatnya beberapa kali serta menggoncangnya!

Saya terpaksa menyebut beberapa dakwaan dalam surat berkenaan -- walaupun belum dapat dipastikan kesahihannya -- bagi menggambarkan betapa seriusnya imej dan integriti SPRM kini. Tanpa integriti SPRM hanya menjadi sendaan awam dan sia-sia sahajalah usaha kerajaan melakukan penambahbaikan kepada BPR dahulu.

Gerun untuk saya mimpikan ... ya, bagaimana jika benar, ada pegawai-pegawai SPRM "memperdagangkan" laporan rasuah yang kita adukan kepada mereka.

Maknanya, segala dokumen yang dikemukakan kepada SPRM dijadikan modal untuk pegawainya "memeras-ugut" secara halus tokoh-tokoh politik terkemuka yang begitu berkuasa khususnya untuk mengagih-agihkan khazanah kekayaan negara. Kes didiamkan jika habuan munasabah dihulur kepada pegawai SPRM berkenaan.

Dokumen dan bukti yang kita serahkan kepada SPRM sepatutnya dijadikan asas untuk satu siasatan lebih profesional, telus dan bertanggungjawab, bukannya untuk dieksploit untuk kepentingan diri. Alangkah hina dan jijiknya jika ada pegawai SPRM yang bertindak sedemikian rupa.

Pengadu bersusah payah mencari bahan bukti, membelanjakan wang dan menghabiskan begitu banyak masa, selain menanggung risiko berat, tetapi ada segelintir pegawai SPRM yang menjadi musuh dalam selimut, gunting dalam liputan ...

Lokasi strategik

Justeru, ada pihak mendakwa terdapat penguasa (ahli politik berkuasa)yang bermurah hati "menganugerahkan" tanah di lokasi strategik dan bintang kebesaran kepada pegawai kanan SPRM untuk "menjinakkan" mereka.

Mungkin bagi seorang Perdana Menteri, kes rasuah menteri atau menteri besar di bawahnya boleh dijadikan sandaran untuk memastikan "kesetiaan" mereka berkekalan.

Saya cuba mengelak daripada mengemukakan pengalaman saya sendiri ketika berurusan dengan BPR sebagai bukti bahawa badan siasatan itu tidak boleh dipercayai sepenuhnya bagi membanteras rasuah.

Malah dalam banyak keadaan, ia menyemarakkan lagi amalan terkutuk itu; apatah lagi umum mengetahui korupsi merupakan suatu jenayah yang paling sukar dibanteras kerana tidak jelas "siapa mangsanya".

Apa pun, saya mengharapkan kandungan surat misteri itu palsu semata-mata kerana tidak sanggup membayangkan bagaimana masa depan negara ini jika SPRM boleh berkomplot dengan penjenayah rasuah! Hishamuddin perlu tampil menangkis tuduhan itu, jangan biarkan hanya Khir berbuat demikian. Isunya bukan masalah peribadi Hishamuddin tetapi kedudukan SPRM itu sendiri.

Semasa menyiapkan artikel pendek ini, tiba-tiba orang kawan lama yang pernah menolong saya membongkar kegiatan rasuah memaklumkan melalui telefon: "Lutfi, aku boleh tunjukkan lokasi tanah-tanah sebuah agensi kerajaan negeri yang dianugerahkan kepada empat pegawai atasan SPRM, dengan harga murah."

20 Ogos 2009

Sederhana resepi terbaik untuk kelangsungan Pakatan

UNTUK menafikan bahawa Pakatan Rakyat tidak menghadapi sebarang masalah tentulah tidak munasabah, namun untuk mendakwa ketiga-tiga parti komponennya sering berbalah, sehingga menggugat asas-asas persefahaman, lagilah tidak berasas.

Begitulah adat dan kelaziman dalam permuafatan politik, apatah lagi membabitkan parti-parti yang berbeza ideologi, pasti ada yang mudah terguris dan terusik

Di samping ada prinsip utama yang dipersetujui bersama, tentulah masih berbaki perbezaan pendapat yang memerlukan darjah toleransi yang tinggi, sikap berlapang dada dan dingin kepala, keutamaan mematuhi janji, dengan tidak melupakan masih perlu elemen tegur-menegur dan kritikan membina.

Minimumkan syak wasangka sesama Pakatan

Bagaimanapun rasa syak wasangka dan prejudis sesama sendiri hendaklah diminimumkan. Pakatan bukan seperti BN, yang menutup ruang bicara parti komponen atau pemimpin yang tidak berpuas hati, atas asas keputusan ketua adalah muktamad.

Sejarah penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat menjelang pilihan raya umum 1990 mungkin tidak begitu kompleks berbanding pembentukan Barisan Alternatif pada 1999. Parti yang dikatakan "berlainan kutub", PAS dan DAP, mencipta sejarah ketika itu apabila dapat bersama dalam BA, berkongsi manifesto, namun ia tidak kekal lama apabila DAP menarik diri ekoran isu Negara Islam.

Senario itu mudah difahami memandangkan usia BA masih muda dan pemimpinnya mungkin mudah terangsang dengan provokasi nakal bikinan Umno-BN. Lagipun hanya PAS kelihatan "paling beruntung" dalam pilihan raya umum ke-10 itu, meninggalkan DAP dalam kedukaan dan KeADILan yang belum berjaya mengasaskan tapak yang kukuh.

Tsunami politik Mac 2008 memang mengejutkan. Rakyat yang sebelumnya agak diam - tidak sepertimana riuh-rendah kebangkitan reformasi September 1999 - memanfaatkan sepenuhnya peti undi.

Kemenangan paling gemilang BN dalam pilihan raya umum April 2004 hilang begitu sahaja sehingga memaksa Abdullah Ahmad Badawi berundur lebih awal daripada pelan asal. PAS, KeADILan dan DAP, yang kemudiannya membentuk Pakatan Rakyat, masing-masing hampir seimbang mencapai kemenangan.

Lebih penting, setiap parti dalam Pakatan berpeluang menerajui kerajaan negeri, misalnya PAS di Kedah, DAP di Pulau Pinang dan KeADILan di Selangor, malah eksperimen 10 bulan di Perak begitu menarik dan mahal harganya terutama dalam konteks hubungan baru PAS-DAP.

Dan semua ini merupakan pengalaman paling berguna untuk memperkukuhkan lagi persefahaman sehingga masalah-masalah dalaman yang timbul tidak mudah untuk meretakkan Pakatan.

Maka, isu-isu seperti arak di Selangor dan babi di Kedah, mungkin di peringkat awal nampak kalut tetapi dengan mudah dileraikan secara bijaksana oleh pemimpin Pakatan. Saya yakin aktivis Pakatan tidak akan memandang remeh kuasa rakyat yang kini sudah mempunyai "pilihan dalam pilihan raya", yang seterusnya memperkukuhkan lagi konstruksi sistem dua parti gabungan di Malaysia.

Anwar Ibrahim dalam wawancara dengan akhbar Harakah ada mengingatkan pemimpin Pakatan: "Tidak perlu terlalu banyak karenah atau perbicaraan di kalangan penyokong yang mudah ditafsir sehingga menimbulkan persepsi negatif."

Usah abaikan janji reformasi

Masyarakat boleh memahami karenah media talibarut (istilah Zulkifli Yahaya) yang cepat menangkap peluang untuk mengadu-domba parti-parti seteru BN, tetapi mereka tidak akan memaafkan jika harapan besar rakyat yang ditunjukkan dalam pilihan raya 2008 dikhianati apabila kepentingan umum diketepikan, hal peribadi dan kelompok pula yang diutamakan.

Janji-janji reformasi harus ditunaikan, selain gaya hidup pemimpinnya, - walaupun sudah berkuasa terutama di peringkat kerajaan negeri - mesti kekal sederhana dan dekat dengan degup jantung rakyat.

Rumusan pensyarah sains politik UKM, Muhamad Nadzri Mohamed Noor dalam bukunya, Politik Malaysia di Persimpangan; Praktik Politik dalam PRU 2008 dan Kontemporari (2009) menarik untuk direnungi: "Pembentukan Pakatan adalah satu respons pragmatik parti oposisi terhadaptrend perilaku pengundi dalam PRU 2008. Yakni, tindakan masyarakatlah yang memungkinkan Pakatan terbentuk. Di kalangan mereka terdapat pengundi yang muak, memprotes cara urus tadbir BN dan mengharapkan persekitaran kehidupan diubah kepada yang lebih kondusif dan lestari.

"Kejayaan Pakatan ... mungkin bukanlah satu sokongan yang benar-benar solid ... tidaklah lahir daripada sokongan pengundi tegar ... sebaliknya dibantu sokongan pengundi atas pagar dan penyokong BN yang memprotes. Sokongan dalam bentuk ini agak mudah dialihkan atau ditarik balik oleh pengundi di kemudian hari."

Oleh itu, bagi Nadzri, Pakatan mestilah benar-benar melaksanakan alternatif yang yang sedia ada, terutama janji-janji pembaharuan dalam pilihan raya umum 2008 dan siri pilihan raya kecil berkenaan dengan keadilan, ketelusan, urus tadbir bersih, bertanggungjawab, responsif dan merakyat. Kedua, parti-parti Pakatan mesti bijak untuk bersederhana dalam merencana dan melaksanakan perjuangan bagi mengekalkan keberlangsungan pakatannya.

19 Ogos 2009

Bersediakah Najib beri ruang buat Saifuddin, Zaini Ujang?

Selepas meninggalkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 23 tahun lalu, hanya beberapa kali saya singgah di kampus Jalan Semarak itu meskipun sering melintasinya ketika pulang dari pejabat.

Namun pada 11 Ogos lalu, saya tergerak untuk mengikuti syarahan perdana Naib Canselor, Prof Dr Zaini Ujang, bertajuk Universiti, Kreativiti, Inovasi. Dan memang berbaloi saya mengorbankan 'waktu tidur petang' selepas menyiapkan deadline Harakah.

Zaini, 43, naib canselor termuda, merupakan teman lama sewaktu aktif dalam gerakan pelajar sekitar 1984-86. Walaupun tidak berkesempatan menyerlahkan sepenuhnya daya kepimpinan beliau sewaktu menggerakkan Persatuan Mahasiswa UTM, bakat alam Zaini cukup terserlah.

Intipati syarahannya pada petang Selasa itu mengingatkan saya idealisme Zaini yang tidak pernah pudar. Tanggapannya terhadap konsep universiti, budaya ilmu dan tugas kesarjanaan kekal segar.

Ini tidak menghairankan; Zaini dikenali sejak mahasiswa sebagai ulat buku, pencinta ilmu, yang kemudiannya penulis prolifik yang memenatkan para editor di Penerbit UTM Press!

Bayangkan untuk tahun ini sahaja sudah enam judul bukunya diterbitkan.

Antara lain Zaini mengungkapkan senario semasa yang perlu diubah: "... betapa menjadi pensyarah tidak lagi memerlukan kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme terhadap akademia ... Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, 'kegilaan membaca dan menulis' dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting.

"Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan isu semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi. Kalaupun ada jarang sekali dianjurkan. Itu pun dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu ..."

Walaupun kehadiran Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah adalah untuk merasmikan majlis syarahan perdana itu, namun ucapannya juga menggugah pemikiran dan mencetuskan minat audien.

Agak lama tidak mendengar pak menteri bercakap dengan nada dan lenggok Saifuddin, terutama selepas Anwar Ibrahim dipecat. Kupasannya tentang dunia ilmu nampak original dan selari dengan Zaini.

Lebih dari itu, secara peribadi saya melihat Saifuddin mempunyai 'keberanian' tersendiri khususnya apabila membicarakan soal idealisme mahasiswa dan kaitan dengan dunia politik.

Dalam satu program Astro Awani, Saifuddin ditanya hal pembabitan mahasiswa dengan pergolakan semasa. Timbalan menteri dalam jawapannya banyak memberi ruang buat pelajar untuk bereksperimen. "Biar mahasiswa menentukan diri mereka sendiri," begitulah antara yang beliau sering tekankan.

Dari sudut ini, saya kira, jalur pemikiran Saifuddin nyata berbeza dengan rakan-rakannya dalam Umno dan kerajaan. Malah ketika menyampaikan ucaptama dalam kongres anjuran Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 8 Ogos lalu, beliau dilaporkan memuji penganjurnya kerana lantang berjuang supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti dipinda.

Dalam sidang media selepas itu, Saifuddin berkata, selepas pindaan Auku, mahasiswa boleh terlibat lebih banyak dalam politik.

Ditanya sama ada kementeriannya telah mengenal pasti mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi anti-ISA, 1 Ogos, Saifuddin hanya menjawab "tidak ada". Lebih menarik apabila beliau menyoalnya kembali: "Apa masalahnya dia hendak demonstrasi?"

Saifuddin dan Zaini mungkin dilihat sebagai watak-watak baru yang diharap berupaya memecahkan kongkongan lapuk di kampus-kampus, yang sekian lama menderita terpasung.

Malangnya lebih ramai pentadbir universiti, apatah lagi golongan penguasa, yang terus terikat dengan pendekatan kuno, dan meletakkan warga kampus dalam penjara terbuka.

Moga-moga dua anak muda ini, yang rasanya rapat secara peribadi dengan Perdana Menteri, berjaya menggapai impian mereka meskipun saya masih sangsi Najib Razak akan membuka ruang selesa buat mereka.

10 Ogos 2009

Hukuman Menanti Buat Yang Alpa

Himpunan aman anti-ISA 1 Ogos lalu masih mendapat perhatian luar biasa media yang dikawal mutlak oleh Umno. Pelbagai sudut dicari dan direka untuk menggambarkan bagaimana hodohnya demonstrasi itu, yang dikatakan memberi impak buruk kepada peniaga Melayu di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman.

Taksiran angka kerugian berubah-ubah, dan terpaksa disesuaikan bagi merasionalkan dakyah itu. Bermula dari RM200 juta, kemudiannya turun mendadak, ketika banyak pihak mengandaikan sebenarnya ramai peniaga yang mengutip laba besar semasa kawasan sekitar diserbu lebih 50,000 peserta demonstrasi. Makin jelas siapa sebenarnya 'mempolitikkan' isu ini.

Walhal yang sebenarnya merosakkan bisnes hari itu adalah sikap ganas-ego polis, yang sememangnya dari awal mendapat arahan agar diambil tindakan paling keras bagi menghalang kebangkitan rakyat.

Justeru, bermimpikah kita mengharapkan ISA akan dipinda jika akta-akta represif lain, seperti Akta Polis, semakin mengganas?

Apakah menteri seperti Hishammuddin Hussein atau Nazri Aziz akan mencadangkan reformasi undang-undang?

Maka, semakin terserlahlah sentimen perkauman yang terus dibakar-marakkan oleh media propaganda. Orang Melayu yang memenuhi lokasi demo didakwa menjadi alat bangsa lain. Mereka juga dituduh telah diperalatkan untuk memusnahkan ekonomi Melayu hanya kerana tidak berani menunjuk perasaan di Petaling Street!

Bagi tukang kipas, sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya akan datang adalah kritikal dan penentu survival kuasa Umno, lalu dengan apa jua cara, wajah Pakatan Rakyat wajib dihitamkan segelap-gelapnya, terutama pada kacamata masyarakat peribumi.

Pelik juga memikirkan, apa yang tertanam dalam benak pemikiran strategis Umno ini. BN hampir tumbang diasak tsunami politik Mac 2008 disebabkan penderhakaan pengundi bukan Melayu.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh 17 bulan ini tidak banyak usaha dilakukan pemimpin Umno-BN untuk menjinakkan kembali pengundi bukan Melayu, selain riuh-rendah 1-Malaysia danbeberapa rancangan liberalisasi Najib Razak yang dilihat sarat elemen politiknya.

Dalam masa sama, perancang media BN dikatakan mahu menamatkan era 'terbuka' yang dilihat boleh mengundang padah dan petaka buat Najib. Stesen TV Media Prima misalnya mula 'mengetatkan skru-skru longgar'.

Arahan yang diterima, usah pedulikan rating, populariti dan untung jika akhirnya melorongkan BN kecundang dalam pilihan raya ke-13. Kerajaan BN tidak akan membiarkan syarikat medianya kerugian hanya disebabkan sikap bias dan menutup ruang buat Pakatan Rakyat.

Najib mengingatkan petugas partinya, pilihan raya umum ke-13 hanya tinggal tidak sampai dua tahun lagi. Apa-apa yang berlaku dalam tempoh genting ini akan menentukan siapa pemenangnya.

Justeru, ramai khuatir, ketika Umno terus melakukan kesilapan masakan Pakatan juga terjebak dalam perangkap sama? Bagaimana persepsi rakyat - yang memberi harapan besar buat Pakatan dalam pilihan raya umum lalu - selepas menyaksikan beberapa "pertikaian kecil" yang heboh digembar-gemburkan media kini?

07 Ogos 2009

ISA isu Utama Kempen Pilihan Raya ke-13

TIADA keraguan bahawa ISA, sejak diperkenalkan, merupakan akta yang paling banyak disalahgunakan. Ia juga menjadi perkakas bagi pemerintah atau pemimpin utama kerajaan untuk menumpaskan musuh politiknya secara mudah.


Tanpa perlu mencari bahan bukti seseorang boleh dikurung tanpa bicara, untuk tempoh waktu yang tidak terbatas. Rekod klasik di luar negara adalah Said Zahari dan Nelson Mandela yang menderita, masing-masing ditahan selama 17 tahun dan 27 tahun.


ISA memang bertujuan politik dan sarat dengan motif politik, jadi tidak timbul isu mengenainya - terutama himpunan untuk memansuhkan akta drakonian ini pada 1 Ogos lalu - telah dipolitikkan.


Bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Dr Mahathir Mohamad,akta ini makin diperketat dan ruang untuk semakin kehakiman dipersempitkan, meskipun ancaman komunis bersenjata sudah lama berakhir, dan ia lebih terarah untuk menjinakkan seteru politik.


Sambutan himpunan petang Sabtu itu memang mengejutkan. Biarpun polis mengenakan sekatan di semua pintu masuk kotaraya termasuk sehingga ke Seremban, audiennya yang pelbagai, merentasi kaum dan agama, tetap sanggup memgambil risiko.


Muka-muka baru terutama golonga muda nampak tidak gentar untuk berdepan serangan gas pemedih mata dan meriam air. Hampir setiap pelosok dan wilayah di luar Kuala Lumpur menghantar wakil.


Komitmen mereka jelas, usaha pembaharuan dan reformasi ini harus didokong bersama. Mereka tidak mahu hanya menjadi pemerhati dari jauh.


Kerisauan bahawa himpunan Mansuh ISA yang agak rapat tarikhnya dengan demonstrasi membantah PPSMI, dan mungkin dengan itu menyebabkan tiada sambutan, sudah berakhir.


Rupanya di luar sana sudah tersedia sekumpulan yang agak ramai jumlahnya, yang hanya menunggu masa sesuai, untuk turun ke gelanggang bagi memperjuangkan kebenaran. Persiapan mungkin tidak serapi demonstrasi Bersih dan PPSMI, antaranya kerana kerap ditunda, namun reaksinya cukup luar biasa dan berangkaian.


ISA sudah diangkat menjadi agenda perubahan yang perlu dilunasi. Hak asasi bukan lagi isu absurd yang sukar ditanggapi rakyat.


Benarlah, apabila ketakutan dan jiwa hamba sudah hilang, maka tiada gertakan, ugutan, belantan atau penjara yang boleh menghalang. Sepak terajang polis hanya menjadi episod manis untuk dikenang.


Ia sebaliknya menyuntik semangat untuk terus istiqamah melalui keperitan, sambil mendedahkan lagi sisi hodoh pemerintah yang memperalatkan semahunya pasukan keselamatan.


Pihak polis terbukti melaksanakan tugasan dengan penuh dendam dan sengaja mahu menyeksa demonstran. Situasi yang boleh dikendalikan dengan mudah melalui sikap berlapang dada telah diseret menjadi pertempuran kecil.


Dan latah pemimpin Umno terhadap demonstrasi yang menghimpunkan lebih 50,000 orang ini juga agak menghairankan. Mereka mendakwa sambutan demo tidak memberangsangkan, hanya sekitar 5,000. Peliknya, tiap hari media agresif menabur fitnah.


Apabila kerugian peniaga, yang didakwa menghampiri RM200 juta ekoran tunjuk perasaan itu, disanggah secara berkesan melalui temubual langsung dengan pengusaha restoran dan pemilik gedung, tiba-tiba serangan psikologi menjadi kendur.


(Harakah kali ini menyiarkan beberapa artikel dan berita mengenai isu kerugian peniaga di sekitar kawasan demonstrasi dan kesan ekonomi ke atas mangsa ISA). Laporan media baru terbukti berperanan besar melumpuhkan pembohongan media tradisi yang semakin kehilangan khalayaknya itu.


Saya tertarik dengan respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abd Aziz. Katanya, selagi BN memerintah, selagi ada bulan dan bintang, jangan harap ISA akan dimansuhkan.
Penegasan sama dikemukakan Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. Malah, tiada petanda akta ini, dan akta-akta drakonian lain, akan dipinda ke arah lebih demokratik, seperti jaminan Najib Razak.


Justeru, saya bersetuju dengan cadangar agar isu pemansuhan ISA ini dijadikan tema utama kempen pilihan raya akan datang.


Kalau dahulu rakyat menyambut cabaran Abdullah Ahmad Badawi agar protes terhadap kerajaan ditunjukkan dalam peti undi, dan bukannya di jalan-jalan raya, kali ini mungkin pengundi bersedia menukar kerajaan melalui isu ISA ini.

31 Julai 2009

Perjuangan Membenteras Kezaliman

















Mari kita sekalian warga Malaysia yang bencikan kezaliman terhadap ISA, kita realisasikan dalam tuasi yang sangat berhemah, berkumpul berpadu, dengan kekuatan yang ada, suarakan rasa kebencian itu pada yang melaksana dan meneruskan.



Kita lakarkan arena musnahkan kezaliman ISA itu dengan Gema takbir. Moga diiringi Para Malaikat dan redha Allah, insya`allah.



Allahu Akbar.


Allahu Akbar.


Allahu Akbar.



"SELAMAT BERDEMONSTRASI, PEMERKAN WIBAWA KITA BERSAMA"

21 Julai 2009

Persepsi Perkauman Dalam Kes Kematian Teoh

BERULANG kali pemimpin kanan kerajaan dan pegawai tinggi polis menasihati (sebenarnya memberi amaran) orang ramai agar tidak membuat pelbagai andaian dan spekulasi tentang kematian misteri Teoh Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, anggota exco kerajaan negeri Selangor, 16 Julai lalu.

"Kami bukan mahu menyembunyikan sesuatu. Kami mahu perkara ini disiasat secara telus. Polis sedang menyiasat dan kita patut tunggu sehingga mereka menyiapkan siasatan mereka," janji Timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Teoh - yang sepatutnya mendaftarkan perkahwinan dengan tunangnya, Soh Sher Wei, 28, pada 17 Julai, sebelum melangsungkan perkahwinan mereka pada Oktober - ditemui mati, di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas disoal siasat selama kira-kira 10 jam, bermula jam 5 petang sehingga pukul 3.45 pagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Pejabat SPRM terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Bagai penjenayah tegar

Lagak siasatan SPRM seolah-olah Teoh penjenayah tegar sehingga perlu dipaksa kenyataan yang kelur dari mulutnya selari dengan kehendak pihak berkuasa. Beliau disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan Dun membabitkan beberapa Adun Pakatan Rakyat Selangor, kebanyakannya DAP. Ramai mempersoalkan, mengapa taktik ugut-ancam (yang lapuk dan kuno itu) yang masih dipakai pegawai penyiasat SPRM?

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mengecam tindakan SPR menyoal siasat dalam tempoh yang panjang dan hingga ke awal pagi, yang disifatkannya sebagai satu penderaan mental yang menyebabkan fizikal menjadi lemah dan tertekan dari segi psikologi. Tindakan itu adalah menyalahi etika, amalan dan prinsip hak asasi manusia.

Selain itu, ramai tidak puas hati dengan penjelasan Pengarah Siasatan SPRM, Dato' Mohd Shukri Abdull, apatah lagi apabila beliau seperti mahu mengandaikan (malah membuat kesimpulan) Teoh mungkin telah membunuh diri. Shukri berkata, "Kita tak pasti dia terjatuh atau lompat atau apa."

Lebih ramai lagi yang marah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Abdul Aziz. "Saya dapat laporan awal dari SPRM mengatakan dia dah dilepaskan selesai soal siasat semalam. Jadi, dia patut balik rumah. Kita pun tak tahu dia nak terjun bangunan itu ...," kata Nazri. Beliau turut dilihat seolah-olah menuduh Teoh membunuh diri.

Muhyiddin atau Nazri, begitu juga dengan pihak polis dan SPRM, harus menyedari bahawa rasa ingin tahu rakyat terhadap peristiwa sebenar kes kematian Teoh begitu membuak-buak sekali. Keghairahan itu tidak akan padam hanya dengan nasihat (atau arahan) agar menunggu siasatan polis selesai. Apatah lagi dalam keadaan integriti pihak polis dan SPRM berada pada kedudukan terendah.

Proses siasatan SPRM dicurigai

Agak mudah untuk mencari contoh tentang kes-kes bagaimana proses siasatan pihak polis dicurigai ketelusannya. SPRM yang baru bertukar nama daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR)dan diberikan kuasa lebih luas pada Disember lalu turut menyimpan kes-kes yang merendahkan martabat dirinya sendiri.

Kerajaan BN juga tidak dapat menghalang rakyat daripada membuat andaian demi andaian, khususnya apabila banyak persoalan yang mencurigakan timbul dalam kes kematian Teoh. Suara hati dan gelodak rasa rakyat tidak mudah untuk ditundukkan hanya dengan perintah dan amaran pihak berkuasa.

Sememangnya pemerintah atau penguasa di Malaysia, khususnya sejak 1998, tidak mempunyai wibawa untuk mempengaruhi pandangan majoriti rakyat terhadap beberapa isu kritikal, apa lagi membabitkan institusi, seperti polis dan SPRM, yang dilihat jarang berlaku adil kepada setiap rakyat tanpa mengira latar belakang pegangan politik.

Kedua-dua badan yang sepatutnya bebas itu menjadi kuda tunggangan kepada Umno- BN bagi melumpuhkan kekuatan seteru politik mereka. Jika dirujuk aduan orang ramai, SPRM sepatutnya segera menyiasat tokoh-tokoh kenamaan dari BN, malangnya tumpuan lebih diberikan kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Ya, kita lebih mudah mengingati kes-kes salahguna kuasa bertaraf mega yang membabitkan para pemimpin tertinggi BN. Sebut saja skandal kewangan terbesar PKFZ bernilai belasan bilion rimggit, juga istana puluhan juta ringgit bekas Menteri Besar Selangor.

Itu belum disebut kes-kes lama, yang kebanyakannya sudah senyap sepi tidak diperkatakan lagi, apalah sangat dengan dakwaan berlaku penyelewengan dalam pengagihan dana Adun-Adun Selangor itu, misalnya membabitkan RM2,400 bekalan bendera Malaysia!

Cara pegawai-pegawai SPRM melakukan serbuan ke pejabat Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Adun-Adun Pakatan Rakyat seolah-olah mahu membentuk satu persepsi umum bahawa Kerajaan Pakatan juga korup dan tidak terlepas dari elemen salahguna kuasa seperti yang sering dikaitkan dengan Kerajaan Umno-BN.

SPRM hanya mahu tahu sumber

Pengalaman saya turun naik pejabat BPR, di Shah Alam dan juga ibu pejabat di Putrajaya, pada tahun 2001, bagi melaporkan kes Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, cukup memeritkan. BPR lebih berminat untuk mengetahui siapa sumber yang mendedahkan kes salahguna kuasa kuasa bekas Menteri Besar Selangor itu daripada mendapatkan bukti-bukti bagi membantu penyiasatan.

Malah, belum pun keluar dari pejabat BPR, saya yakin laporan saya itu sudahpun berada di atas meja Khir! Demikian eratnya hubungan pegawai kanan BPR dengan pimpinan tertinggi Umno-BN, masing-masing saling 'bertukar-tukar maklumat', mempertahankan 'maruah' kawan-kawan!

Kematian Teoh, apa pun rumusannya nanti, dijangka memberi kesan besar terhadap percaturan politik menjelang pilihan raya ke-13 yang dilihat begitu kritikal buat semua parti. Harapnya Pakatan Rakyat semakin erat selepas nampak agak 'berselisih faham' baru-baru ini.

Daripada tragedi Teoh ini - dan sebelumnya episod rampasan kuasa di Perak - saya rasa pengundi bukan Melayu semakin jauh daripada BN manakala pemimpin PAS mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mengalihkan sokongan pengundi Melayu kepadanya. Rakyat dapat melihat sendiri bagaimana sikap pilih kasih, diskriminasi dan pendakwaan terpilih yang begitu menjolok mata.

Wibawa SPRM yang jatuh merudum sukar dipulihkan jika pegawai tertingginya, terutama Ketua Pesuruhjaya dan Pengarah Siasatan serta Pengarah Selangor digantung tugas bagi menjamin ketelusan dalam siasatan.

Dan, usah biarkan persepsi perkauman semakin galak dalam mentafsirkan situasi politik semasa termasuk dalam kes kematian Teoh ini. Ini soal keadilan yang mesti diberikan kepada setiap rakyat, tidak kira agama, bangsa dan pegangan politiknya.

Dalam pada itu, propaganda Umno tentang ketuanan Melayu mesti disanggah secara berkesan, terutama oleh PAS.