07 Mei 2009

Sewajarnya Raja Nazrin tidak hadir sidang Dun ...

Memang banyak tangkapan yang dibuat polis hari ini di Perak. Dan ramai daripada mereka yang ditahan itu adalah tokoh politik Pakatan Rakyat, khususnya ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun. Mudah sangat polis kita buat kerja, tangkap dan tangkap, langsung tiada budi bicara, rasa kemanusiaan, seolah-olah yang dihadapnya itu benda mati, tiada perasaan, tiada respons. Lihat saja kes tangkapan Naib Presiden PAS, Mat Sabu. Baru buat rayuan solat hajat dan pakai baju hitam sudah dicekup, juga dengan kekerasan, di tempat awam, di tengah-tengah orang ramai. Ya, nak seru orang solat hajat dan munajat di masjid pun sudah menjadi kesalahan besar.

Segala tumpuan dari seluruh negara dihalakan ke sidang Dun Perak, yang menyaksikan dua Menteri Besar dalam satu dewan, dua Speaker dalam satu dewan, dua barisan Exco dalam satu dewan. Memang ia satu sejarah buat Malaysia apabila Speaker yang sah terpaksa diusung keluar dewan oleh pihak polis. Hari ini akan dikenang sebagai satu lagi tarikh hitam gelita dalam perkembangan demokrasi di Malaysia. Ramai yang mengikuti debar drama di Ipoh itu dengan penuh tegang, dan ramai juga yang ketawa atau gelihati melihatnya. Pelik melihat bagaimana Adun Umno, yang tentunya didorong dan diarahkan oleh pimpinan atasan mereka untuk memastikan juga bahawa sidang Dun hari ini berjaya memecat Speaker Sivakumar. Dan dengan bantuan polis, secara kekerasan, Sivakumar dibawa keluar Dewan.

Seorang rakan, selepas mendapat tahu Raja Nazrin Shah tetap menunggu untuk menyampaikan titahnya bagi merasmikan pemukaan sidang Dun, menghantar SMS meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan baginda itu. Saya pun tak pasti apakah satu kesalahan juga bagi rakyat negara ini jika ada rasa kesal terusik dalam dirinya apabila tidak bersetuju dengan sikap raja-raja Melayu? Apakah boleh kita sebagai rakyat biasa untuk mengkritik atau beranggapan tindakan tertentu baginda terutama dalam kes Raja Nazrin ini, dan sebelumnya tindakan Sultan Azlan Shah yang dilihat memihak kepada kepentingan Umno dan mengetepikan keadilan sejagat buat seluruh rakyat.

Apa yang pasti teman saya itu ternyata kesal dengan sikap Raja Nazrin, yang dianggapnya putera raja paling cerdik di Malaysia tetapi telah terperangkap dalam polemik atau pertentangan politik kepartaian, yang mana baginya seseorang raja itu tidak wajar meletakkan diri baginda dalam kedudukan itu. Beliau yakin rakyat akan menilai kewajaran Raja Nazrin terus berada di bangunan Dun Perak ketika tercetus kekecohan sehingga Sivakumar dipaksa meninggalkan dewan secara paksa dan ia jelas satu penghinaan kepada institusi Dun. Baginya, Raja Nazrin sepatutnya meninggalkan bangunan Dun Perak itu lebih awal dan lebih aula jika baginda langsung tidak menghadirinya. Saya pulangkan kepada pembaca untuk menilai mesej kawan baik saya itu.

06 Mei 2009

Bebaskan segera Mat Sabu dan imej Najib terus gelita

Polis buat kacau lagi. Sepatutnya bukan dengan jalan tangkapan tetapi itulah yang selalu polis kita lakukan. Semuanya memberikan mesej salah tentang situasi politik di negara ini. Ya, mengapa Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu perlu diseret polis dengan kasar ketika keluar dari sebuah restoran mamak dekat pejabat Harakah petang tadi.

Sebelum itu jurucakap Bersih, Wong Chin Huat turut ditahan, atas alasan sama, dipercayai kerana menghasut orang ramai untuk berpakaian hitam membantah persidangan Dun Perak. Rupanya di bawah pemerintahan baru Najib Razak, yang begitu ghairah mahu menunjukkan perubahan itu, adalah satu kesalahan besar rayuan kepada publik supaya berpakaian gelap gelita seperti gelitanya ruang demokrasi di negara ini.

Saya tidak nampak mengapa perlu Mat Sabu ditahan dan diseret polis di depan umum, seolah-olah beliau seorang penjenayah tegar ketika rakyat mempertikai cara polis menangani masalah mat rempit. Dan sudah tentu, seperti yang dilakukan pihak polis bagi menghalang perhimpunan Bersih dan bantahan PPSMI tidak lama dulu, iaitu dengan mengadakan sekatan jalan raya di laluan strategik. Dan kemudiannya apabila tidak ramai yang turun berdemonstrasi maka digembar-gemburkan bahawa perhimpunan itu tidak mendapat sokongan.

Jelas, pihak polis yang mendapat arahan terus daripada Najib mengamalkan pendekatan kuno, yang terbukti selama ini menimbulkan amarah rakyat. Menahan Mat Sabu, seorang tokoh yang tidak pernah mengalah dengan perjuangan menuntut perlaksanaan demokrasi yang lebih terbuka dan di negara, hanya membuatkan imej Najib dan kerajaan Umno-BN bertambah gelita seperti hitamnya pakaian orang ramai bagi membantah tindakan rampasan kuasa di Perak itu.

Seharusnya Mat Sabu dibebaskan segera. Beliau langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika mana begitu ramai penjenayah lain bebas di luar sana. Mat Sabu hanya menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin rakyat, untuk memberi reaksi sepatutnya kepada amalan tidak bertamadun BN merampas kuasa di Perak, dan hal ini juga diakui oleh Dr Mahathir Mohamad yang jelas tidak bersetuju dengan cara Najib mengambil alih pemerintahan negeri daripada Pakatan Rakyat.

Kita tunggulah perkembangan selanjutnya nanti. Apa pun imej Najib yang sedia kelam itu akan menjadi lebih gelita, dan segala usaha memulihkan imejnya sia-sia berlaku.

Persepsi salah tentang pemilihan PAS boleh bawa padah

BUKAN suatu perkara pelik apabila akhbar-akhbar harian yang dikawal mutlak Umno terus memainkan jarum halus untuk mengadu-domba pemimpin PAS menjelang pemilihan parti awal Jun depan. Bagi Umno-BN, yang kini melewati zaman paling sukar, kesepaduan seteru terdekat mereka itu harus dipecah-belahkan, sambil mempertajamkan lagi apa-apa perbezaan pendapat sesama parti dalam Pakatan Rakyat.

Di zaman media baru seperti laman web dan blog menjadi fenomena, maka segala idea, pandangan dan informasi mudah dikongsi oleh khalayak lebih besar dalam waktu paling singkat. Jika internet berjaya dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggugat hegemoni Umno, tidak mustahil kemudahan yang sama boleh menggegarkan ketahanan dalaman parti Pakatan Rakyat. Justeru, segala "kudis" sukar untuk disembunyikan lagi, malah mungkin akan didedahkan kepada publik oleh anggota parti sendiri.

Seperti saya tekankan dalam tulisan lalu, adalah lumrah untuk rakan-rakan dalam akhbar lain untuk memburu scoop dengan "membongkar" cerita-cerita "ribut dalam cawan", yang mahu disamakan mereka dengan konflik dan komplot serius dalam pemilihan Umno. Sedangkan usaha menawarkan diri atau "berlumba-lumba melakukan kebaikan", dengan bersedia menjadi calon untuk mana-mana jawatan yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti, sepatutnya dilihat daripada kacamata positif.


Meskipun sering dipertegaskan bahawa proses pemilihan dalam PAS - termasuk untuk jawatan no. 2, yang sebenarnya acapkali dipertandingkan sejak tiga penggal lalu - tidak sama sekali melambangkan berlakunya krisis kepimpinan atau pertembungan antara kelompok, namun ia tidak seharusnya membawa mesej salah kepada masyarakat awam.

Harus diingat, PAS kini adalah sebuah parti yang begitu diperhatikan, khususnya selepas menang besar dalam pilihan raya 1999 dan melonjak tangkas dalam pilihan raya 2008. Rakyat yang sudah cukup muak dengan gejala rebutan kuasa dalam Umno tentunya mahukan satu kelainan dan pemurnian dalam amalan demokrasi, yang dimulakan oleh proses pemilihan dalaman parti.

Cukup dibimbangi jika persepsi ramai terhadap gembar-gembur "pertelingkahan golongan ulama-profesional" itu dapat mempengaruhi rakyat untuk memandang negatif parti yang diharap dapat mengungguli budaya "politik baru". Benar, apa yang berlaku dalam PAS hanyalah proses biasa rutin pemilihan yang langsung tidak berupaya merobek kesatuan sesama ahli dan pimpinan, tetapi, seperti ditekankan tadi, kita harus mengelak daripada menyampaikan apa jua mesej yang salah, walaupun secara tidak langsung, kepada publik.

Rakyat sudah lemas dengan budaya rasuah politik, skandal seks, cantas-mencantas, fitnah-umpat dan kehidupan mewah memperaga kesombongan yang berkembang-biak dalam Umno. Sokongan luar biasa, khususnya di kalangan bukan Melayu, terhadap parti-parti pembangkang pada Mac 2008 (ketika itu belum pun dibentuk Pakatan Rakyat) lebih kepada penolakan mereka terhadap keangkuhan Umno-BN yang memperbodohkan rakyat, dengan segala elemen menjijikkan di dalamannya, terutama amalan korupsi, kronisme dan nepotisme.

Ramai beranggapan pengundi tidaklah begitu "menyayangi PAS, KeADILan mahupun DAP"; mereka mahu memberi peluang buat pakatan pembangkang selepas kecewa dengan prestasi lebih 50 tahun BN, dan sebelumnya Perikatan, memerintah. Rakyat yang menjatuhkan BN di empat negeri, selain Kelantan, adalah golongan yang terbukti prihatin dan peka dengan lingkungan politik mereka, yang mana mereka juga akan menggunakan kuasa keramat undi untuk menggugat Pakatan Rakyat jika amanah itu dikhianati.

Dan dalam politik, kadang-kadang ia tidak perlu menunggu isu besar sebelum kuasa bertukar tangan, tetapi cukup dengan persepsi negatif yang dikumpulkan daripada mesej salah yang rakyat terima. Cermat dan berhati-hatilah ....

04 Mei 2009

Ribut Dalam Cawan

Akhbar yang selama ini dikawal mutlak Umno-BN tiba-tiba saja banyak memberikan ruang agak besar kepada PAS, termasuk di muka depan. Sebabnya mudah ditelah, iaitu melaporkan agenda pemilihan yang berlaku setiap dua tahun sekali itu, dengan gaya sensasi yang kerap tersasar dari fakta sebenar.


Walaupun liputannya lebih tertumpu kepada "aspek-aspek negatif" yang boleh dicungkil daripada debar pemilihan kepimpinan parti Islam itu, yang dijadualkan awal Jun depan, namun saya tidaklah mahu terburu-buru mahu memberikan label negatif kepada akhbar-akhbar berkenaan.

Ada teman-teman yang mahu saya menempelak media yang menyorot "secara berlebihan" senario pencalonan yang dibuat oleh mesyuarat agung PAS kawasan-kawasan di seluruh negara, bagi jawatan tertinggi parti, khususnya Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Saya cuba mengelak.

Bagi saya, dari segi tertentu, biarlah ... bukankah PAS itu sebuah parti besar yang terbukti mampu berdepan pelbagai tribulasi, mehnah dan fitnah? Ia bagai pohon kayu yang makin kukuh pegangan akarnya apabila sering dilanda angin dan taufan.

Masakan parti yang ditubuhkan hampir 60 tahun lalu boleh lumpuh hanya kerana jarum propaganda musuh dikatakan sudah menjalar ke segala urat nadi organisasi, walhal selamaini ia terbukti kukuh berdada pelbagai dugaan, dari luar dan dalam? Saya tidak rasa daya tahan PAS dan kekebalan pendokongnya menghadapi "ujian kecil" itu begitu lemah sekali.
Pembaca juga tidak mudah dikelirukan jika realiti dalam PAS berbanding laporan akhbar itu umpama beza langit dengan bumi. Lainlah kalau kita sendiri menyediakan "ramuan" bagi media mudah "memutar-belitkan" cerita sebenar.



Lebih daripada itu, PAS yang merupakan saingan terdekat kepada Umno sejak sekian lama, kini bersama-sama mengungguli Pakatan Rakyat yang dilihat tegak berdiri sebagai sebuah "kerajaan menanti". Justeru, parti yang semakin membesar jumlah keanggotaan dan melebar-luas jalinan rangkaiannya tentu kian kompleks pula karenah dalamannya.

Sebagai parti yang bukan lagi terbatas pengaruh dan kekuatannya di wilayah tradisi seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, fokus yang diberikan rakyat terhadapnya, termasuk daripada media meningkat berkali ganda. Apa jua pergolakan dalam parti pastinya cepat dihidu, dan akan diberi tafsiran mengikut kehendak seteru politik PAS yang mendominasi media.

Semua akur, peranan PAS tidak boleh diperlekehkan termasuk di beberapa negeri yang dulunya agak asing, seperti di Johor dan Negeri Sembilan, malah kini menjadi penentu lakaran politik masa depan. Rakyat sebenarnya sedang meneliti apa jua perkembangan dalam PAS dengan penuh minat. PAS bukan lagi berada di pinggiran tetapi sedang merapati posisi yang dapat mendefinisikan sepenuhnya situasi siasah mutakhir.

Oleh itu, jika berlaku pertandingan dalam proses pemilihan kepimpinan PAS, terutama di peringkat atasan, ia suatu fenomena biasa. Ia hanya menyaring tokoh terbaik di kalangan mereka yang menawarkan diri, yang diperuntukkan perlembagaan. Dan saya kira semua ahli-ahli parti, selain tidak perlu panik membaca laporan "adu-domba" yang melaga-lagakan pemimpin-pemimpin kanan PAS, harus bersikap terbuka dan tidak mudah melatah.

Apabila setiap gerak parti diperhatikan, sehingga dibaca berapa darjah kecondongannya dalam isu-isu tertentu, maka PAS tidak boleh memandang remeh apa jua pandangan dan kritikan terhadapnya. Ahli-ahli dan pemimpin pula harus bijak "menjaga diri" dengan tidak terdedah dalam aktiviti "melobi" di luar batasan, yang jika tidak dikendali secara beradab boleh mencetuskan tunas-tunas yang kemudiannya boleh mewabak tanpa sedar.

Agenda rutin pemilihan itu juga dapat mengingatkan penyandang jawatan agar sentiasa cuba memberikan yang terbaik dalam tempoh tertentu bagi memenuhi amanah dan aspirasi perwakilan dari seluruh pelosok negara. Prestasi akan dihalusi setiap dua tahun sekali. Dan terbukti selama ini pun perwakilan PAS bijak memanfaatkan peluang untuk membuat pilihan.


Era Umno-BN menghampiri penghujungnya. Namun gelagat pemimpinnya tetap menjolok mata. Gejala kehidupan materialistik yang menyuburkan rasuah bagai tidak boleh dibendung. Rakyat diperbodohkan dengan pelbagai ungkapan manis dan jaminan yang tidak pernah tertunai. Tidak pernah dalam sejarah, Umno-BN menghadapi cabaran segetir ini daripada pakatan pembangkang yang begitu menyerlah.

Majoriti rakyat pelbagai kaum sudah bersedia untuk melakukan perubahan besar, seperti ditandai keputusan mengejutkan dalam pilihan raya Mac 2008, dan dituruti beberapa pilihan raya kecil kemudiannya. Namun perubahan juga ada ilmu dan seninya, yang hanya mampu digerakkan dan disempurnakan oleh pemimpin terpilih.

29 April 2009

Mengapa tidak ikhlas bayar cukai pendapatan?

30 April, Khamis adalah hari terakhir menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan 2008 dan membayar sejumlah wang selepas pengiraan tertentu kepada negara. Melalui media, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri memberi penerangan secukupnya, termasuk iklan TV, tentang keperluan setiap warganegara yang layak membayar cukai pendapatan untuk berbuat demikian tepat pada masanya.

Saya sendiri pernah didenda ekoran tidak prihatin untuk mengisi borang taksiran kerana merasakan belum layak membayar cukai. Sehubungan itu, banyak juga wang yang terpaksa dilunasi, walaupun dibenarkan secara berjadual, hanya kerana kecuaian menyerahkan borang taksiran. Walaupun diuar-uarkan wang pembayar cukai merupakan antara hasil terbesar pendapatan negara, dan akan dibelanjakan untuk pembangunan bagi kesejahteraan semua, namun realitinya, hasil titik peluh rakyat itu gagal diuruskan dengan berhemat dan beramanah.

Bayangkan, bagaimana sakit hatinya pembayar cukai - yang sebahagiannya terpaksa mengikat perut untuk menjelaskan tepat pada masanya - apabila melihat atau mengetahui dana awam dibazirkan untuk tujuan-tujuan tidak berfaedah, malah lebih teruk lagi seolah-olah diagihkan sesama kroni bagaikan sekumpulan penyamun membahagikan wang rompakan.

Rasuah, makan suap, tumbuk rusuk dan apa jua istilah yang semaksud dengannya seperti tidak dapat disekat lagi walaupun BPR sudah bertukar menjadi SPRM, perdana menteri beralih tangan sambil menjanjikan usaha memerangi salahguna kuasa akan dipergiatkan sampai ke lubang cacing.

Mungkin sebab itu, bertambah ramai masyarakat kelas menengah, yang tentunya terdiri daripada pembayar cukai, tidak dapat lagi menyembunyikan rasa amarah terhadap pemerintah apabila wang poket mereka bagai dirompak di tengah jalan pada siang hari. Jalan mudah bertindak, seperti pernah dinasihati Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, adalah dengan menggunakan peti undi semasa hari pilihan raya.

Sepanjang 20 tahun menjadi wartawan, saya melihat sendiri dana awam disalahgunakan secara sewenang-wenangnya, dengan jumlah yang cukup besar. Melalui prosedur yang sah, wang pembayar cukai yang dicurahkan kepada projek-projek pembangunan 'dihanguskan' tanpa segan silu.

Nilai projek, misalnya membekal dan memasang paip air di Selangor, yang sepatutnya tidak melebihi RM40 juta, dengan mudah ditingkatkan kosnya menghampiri RM100 juta. Kos jalan merentasi sawah di Tanjong Karang - yang tidak diketahui mengapa ia perlu dibina, dan diberikan kepada kontraktor yang disenarai-hitamkan - bernilai lebih RM93 juta sedangkan taksiran sebenar sepatutnya tidak melebihi RM50 juta pun.

Begitu juga dengan projek mengecat dan mengindahkan sebuah sekolah, yang subkontraktornya hanya diperuntukan RM120,000 tetapi nilai sebenar melebihi RM200,000. Saya tidak bercakap tentang sebuah sekolah tetapi ia melibatkan ratusan sekolah di seluruh negara. Projek membina sebuah istana, kos awalnya melebihi RM1,100 juta tetapi selepas didedahkan oleh Harakah, boleh pula diturunkan kepada sekitar RM600 juta.

Kita juga belum lupa Laporan Ketua Audit Negara 2006, antara lain mendedahkan bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital (Kodak, DC4800, 3.1 Megapixel) melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik (3 saiz 8 inci, 6 inci dan 4 inci) RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater (jenis PVC) RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

Belum lagi diambil kira kos membina enam kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia, ketika Dato' Seri Najib Menteri Pertahanan yang pada awalnya bernilai RM5.35 bilion, ditambah kepada RM6.75 bilion tanpa sebarang justifikasi. Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan RM943.46 juta kepada kontraktor disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan. Kontraktor yang dipilih juga didapati tidak layak!

Rasanya tidak perlu kita dibebankan dengan lebih banyak fakta. Ia sudah cukup untuk membuktikan wang pembayar cukai tidak diuruskan dengan cermat, sebaliknya dieksploit untuk memperkayakan diri dan suku-sakat. Hatta wang yang diguna untuk kemudahan awam seperti sekolah, hospital, jalan raya juga dibazirkan dengan cara yang langsung tidak bertanggungjawab. Justeru, bila tiba waktu membayar cukai, ia terpaksa dilunasi dengan begitu berat hati.

Oleh itu, saya sentiasa menekankan agar media kita bebas untuk melaporkan segala kepincangan kerajaan terutama dalam menguruskan dana awam. Agensi pencegah rasuah mestidiperkasa dan bergerak independen tanpa kongkongan pemerintah, khususnya Perdana Menteri. Undang-undang antikorupsi harus mampu mencegah amalan rasuah yang kini semakin sofistikated. Penubuhan Ombudsman yang menyiasat pengaduan awam harus disegerakan.

Ketua Audit Negara pula mesti dilengkapkan dengan kemudahan yang mencukupi dan sumber kewangan bebas agar ia tidak menjadi seperti "pencuri memilih anjing penjaga". Jawatan itu mesti disandang oleh tokoh berintegriti tinggi dan bertanggungjawab dengan Parlimen. Selain itu, pendedahan harus disusuli tindakan perlu termasuk membawa ke muka pengadilan. Barulah nanti rakyat ikhlas membayar cukai ...

Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia: Permit akhbar tak diperlukan lagi

Oleh IRWAN MUHAMMAD ZAIN

Penulis blog tersohor, Ahirudin Attan mendesak agar kerajaan memansuhkan penggunaan permit akhbar bagi membuktikan wujudnya kebebasan media di negara ini.

Ahirudin yang mesra dikenal dengan nama Rockybru menegaskan kerajaan Malaysia tidak perlu takut untuk memansuhkan penggunaan permit kerana semua negara demokrasi lain tidak mengenakan syarat sedemikian kepada mana-mana individu atau parti yang mahu menerbitkan akhbar.

"Jika Dato' Seri Najib Tun Razak serius mahu melaksanakan ketelusan dalam pentadbiran beliau seharusnya penggunaan permit akhbar dihapuskan.

"Kebebasan harus diberikan kepada mana-mana individu atau parti untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri," tegas beliau ketika dihubungi Harakah.

Syarat permit yang dikenakan terhadap mana-mana individu atau parti yang mahu menerbitkan akhbar dianggap sebagai ketinggalan zaman.

Rocky menegaskan jika permit dihapuskan kerajaan pimpinan Najib akan dilihat lebih bersifat toleransi berbanding Perdana Menteri sebelumnya.

Setakat ini, tegas beliau, pentadbiran Najib dilihat lebih memberikan ruang untuk semua rakyat merayakan kebebasan media.

"Ada harapan untuk kita melihat keterbukaan yang mungkin tak pernah dilakukan dibawah pentadbiran Najib," tegas beliau.

Jika penghapusan permit ini dilaksanakan tegas Rocky, akhbar organ parti seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket tidak lagi menghadapi ancaman dirampas atau ditarik balik permit.

Beliau turut menegaskan tindakan merampas akhbar, mengantung atau menarik balik permit tidak lagi sesuai dilakukan di zaman serba canggih ini.

Mengenai sambutan Hari Kebebasan Media, Rocky menjelaskan pihak National Press Club dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan dan All Blog merancang untuk mengadakan sambutan bersama secara besar-besaran.

Perbincangan untuk mengadakan sambutan tersebut masih lagi dibincangkan dan tarikhnya akan diumumkan kelak.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman, walaupun turut mengharapkan kebebasan akhbar di negara ini segera dipulihkan di bawah pemerintahan Najib, namun beliau kurang yakin ia akan menjadi realiti jika rakyat tidak bersungguh-sungguh memperjuangkannya.

"Lebih penting semua warga media, khususnya wartawan, tidak kira dari akhbar alternatif mahupun akhbar arus perdana, harus bersama-sama memperjuangkan kebebasan akhbar di Malaysia. Jika kita tidak bersatu menuntut hak, saya yakin kerajaan hanya pandang sebelah mata isu sepenting ini," katanya, yang juga jurucakap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), sebuah NGO yang pernah aktif mempromosikan isu kebebasan akhbar.

Lutfi yang berpengalaman luas berdepan dengan sekatan KDN kecewa dengan sikap Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, yang langsung tidak memberi reaksi positif kepada cadangan bernas menteri terdahulu, Dato' Seri Syed Hamid Albar yang mahu kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, beberapa hari sebelum beliau tidak dipilih menganggotai Kabinet.

Beliau mendedahkan, walaupun penggantungan Harakah ditarik balik oleh Najib, namun di pasaran terbuka, akhbar alternatif no. 1 itu tetap menerima tekanan. "Saya dimaklumkan Harakah masih dirampas di beberapa lokasi tertentu, malah dalam beberapa kes ada pihak polis yang merampas akhbar kami tanpa mengikut prosedur, mereka langsung tidak menyerahkan borang rampasan," ujarnya.

Beberapa majalah dan akhbar yang diusahakan Lutfi pernah diharamkan KDN, antaranya Detik, Wasilah dan Cabaran, selain buku-buku politiknya yang kerap dijadikan sasaran rampasan pihak berkuasa.

"Syarat mengehadkan jualan Harakah kepada ahli PAS sahaja sudah tidak ketinggalan zaman, begitu juga sekatan kandungan Harakah hanya kepada aktiviti PAS dan kenyataan pemimpinnya juga tidak munasabah langsung. Saya setuju dengan Ahirudin agar konsep permit penerbitan sekarang dimansuhkan sahaja, begitu juga Akta Mesin Cetak," tegas Lutfi.

Tambahnya, terpulang kepada Najib untuk membuktikan kesungguhannya membawa perubahan atau sekadar terus mengulangi retorik setiap perdana menteri yang baru dilantik. "Sekurang-kurangnya Dato' Seri Abdullah Badawi memulihkan kembali kekerapan Harakah daripada dua kali sebulan kepada dua kali seminggu, jadi kami harapkan Najib tidak menunggu lama untuk memansuhkan pelbagai peraturan karut di KDN," ujarnya lagi.

25 April 2009

Kabinet Umno, perangi rasuah dan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia

DATO' Seri Najib Razak seperti mahu menekankan beliau sememangnya serius untuk melakukan perubahan dalam Umno, sambil menyampaikan mesej jelas bahawa beliau turut berusaha keras bagi menawan semula empat negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat, melalui rombakan besar barisan pengerusi perhubungan dan jawatankuasa pengurusan parti itu, Jumaat lalu.

Meskipun gimik perubahan yang cuba dicetuskannya pada hari pertama mengangkat sumpah sebagai perdana menteri telah ditolak oleh pengundi Bukit Gantang dan Bukit Selambau, Najib masih menyandarkan harapan agar team barunya ini dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada BN. Namun formula pembaharuannya tidak menjadi; imiginasi rakyat gagal menjangkau apa yang diangan-angankannya.

Pemerhati politik melihat Najib seakan mahu menarik sokongan pengikut Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila melantik beberapa tokoh muda yang dilihat pernah cenderung dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam Kabinet dan juga memberi jawatan strategik dalam parti kepada mereka. Malah, kalau mahu disenaraikan, rasanya agak ramai juga menteri dan timbalan menteri di bawah Najib yang dikatakan pro-Anwar satu ketika dahulu.

Walaupun dilihat ada elemen perubahan semasa melantik Menteri Kewangan II, Dato' Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan, namun apabila mengekalkan ahli politik kontroversi, Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung, keputusan Najib itu tidak jauh bezanya dengan kelaziman perdana menteri sebelum ini yang meletakkan orang yang berkeupayaan melakukan misi "yang dikehendaki" meskipun ianya mempunyai imej negatif.

Najib juga melantik pengerusi perhubungan Umno yang baru untuk negeri-negeri Pakatan Rakyat, iaitu Dato' Mustapa Mohamad (Kelantan), Dato' Seri Mohd Shafie Apdal (Kedah), Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Pulau Pinang) dan beliau sendiri di Selangor, selain Tan Sri Muhyiddin Yassin di Wilayah Persekutuan, yang menyaksikan hanya satu kerusi Parlimen, Setiawangsa, dipertahankan BN.

Bagaimanapun, tindakan Najib mengekalkan Dato' Seri Mohd Ali Rustam, tokoh yang digugurkan kelayakan untuk bertanding Timbalan Presiden Umno walaupun mempunyai harapan cerah untuk menang, kerana disabit dengan politik wang, bagi mengetuai Umno Melaka, maka janji perubahannya memang ternyata retorik kosong.

Kita teringin juga mendengar komentar pengerusi badan disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddin mengenai pengekalan jawatan Ali di Melaka itu. Mungkin veteran Umno itu perlu meletakkan jawatan atau sekali lagi membuat cadangan menggemparkan sepertimana beliau pernah mengesyorkan agar sayap Puteri, Wanita dan Pemuda dimansuhkan bagi membanteras amalan rasuah politik.

Jika Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak dilantik apa-apa jawatan dalam Kabinet kerana dikaitkan dengan dakwaan bahawa beliau membeli undi dan mengamal rasuah politik dalam pemilihan lalu, apa pula alasan Najib untuk tidak menyingkirkan Ali? Begitu juga dengan perlantikan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT), yang selama ini terpalit teruk dengan tuduhan "menjual" AP oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dan sebelum itu dikaitkan dengan amalan rasuah di Miti, seperti didedahkan Anwar kepada BPR.

Tentunya tidak mudah untuk meneka apakah kayu ukur yang dipakai Najib bagi melantik anggota jemaah menteri atau barisan pimpinan Umno. Pastinya ia tidak disandarkan kepada sejauh mana seseorang itu bersih daripada rasuah atau salahguna kuasa. Seperti presiden Umno terdahulu, kriteria terpenting tidak lain adalah kesetiaan dan keupayaan melakukan "misi yang dikehendaki".

Misalnya, dalam kes Muhyiddin, yang dipilih Najib sebagai regunya, walaupun ramai menjangkakan mereka hanya "pasangan sementara". Najib terhutang budi kepada Muhyiddin disebabkan kelantangannya mendesak Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur segera daripada jawatan no 1 dalam kerajaan dan Umno, malah lebih cepat daripada perancangan awal.

Apabila Zahid mengumumkan untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden Umno, Najib khabarnya segera menitahkan bekas Ketua Pemuda Umno itu mengadapnya. Najib dikatakan memarahi Zahid, yang tidak memaklumkan hasrat untuk bertanding jawatan no. 2 itu kepadanya. Disebut orang bahawa tokoh yang meminta Zahid bertembung dengan Muhyiddin adalah Abdullah sendiri. Zahid pernah menjadi setiausaha politik Najib dalam jangka waktu yang agak lama. Meskipun berpotensi dapat mengatasi Muhyiddin, Zahid akhirnya terpaksa menarik diri.

Perlantikan Rafidah juga dikira mempunyai elemen sama, yakni difaktorkan oleh, antara lain, rasa terima kasih Najib atas kelantangan bekas Ketua Wanita itu untuk menggesa Abdullah bersara lebih cepat. Tengku Adnan yang dikaitkan dengan klip video VK Lingam juga dilihat mampu menjadi panglima paling setia kepada Najib dan sanggup melakukan "taktik kotor" untuk menjayakan misi presiden parti.


II.

Pada 3 Mei depan, seluruh dunia akan menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, yang diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mulai 1993. Menurut PBB, 3 Mei adalah hari untuk: (1) menggalakkan dan membina usaha bagi menyokong kebebasan akhbar; (2) menilai kebebasan akhbar di seluruh dunia; (3) mengingatkan kerajaan masing-masing agar menunjukkan iltizam untuk menghormati kebebasan akhbar; (4) menyedarkan orang ramai betapa pentingnya akhbar itu bebas; (5) mengingatkan petugas-petugas media dan menggalakkan debat di kalangan mereka betapa pentingnya kebebasan akhbar dan etika kewartawanan; (6) mengenang jasa wartawan yang terkorban di seluruh dunia; dan (7) menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi mangsa tindakan-tindakan menghalang, atau usaha menghapuskan, kebebasan akhbar.

Semasa saya mengetuai Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) pada 2001, beberapa program khusus dianjurkan, antara lain mengadakan siri pertemuan dengan Suhakam, khususnya bersama Naib Pengerusinya, Almarhum Tan Sri Harun Hashim. Suhakam digesa memainkan peranan aktif untuk campur tangan setiap kali wujud kes-kes penutupan akhbar dan majalah di negara ini. Ketika itu kecoh soal pengharaman majalah Detik dan Wasilah yang saya sendiri kendalikan. Akhbar mingguan politik, Eksklusif turut dibatalkan permit penerbitan, manakala Harakah dicantas kekerapan penerbitannya, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Tidak banyak yang boleh dilakukan Suhakam bagi mempromosikan kebebasan akhbar di negara ini, apatah lagi mengembalikan permit penerbitan yang diharamkan KDN. Justeru, dalam satu pertemuan dengan Harun Hashim, secara spontan saya memberikan gred merah D kepada prestasi Suhakam. Saya kira usaha paling berkesan untuk memperjuangkan hak media adalah dengan penggemblengan suara rakyat dan masyarakat sivil yang lebih teratur dan sistematik.

Ramai masih tidak jelas apa yang mahu dituntut oleh pejuang kebebasan akhbar. Malah, rakyat mungkin kurang menyedari kepentingan atau peri mustahaknya media diberikan ruang secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. Media independen dapat memastikan gejala rasuah dan salahguna kuasa dapat dibanteras, selain menyuburkan amalan demokrasi yang matang.

Menurut Jeremy Pope dalam bukunya Strategi Membanteras Korupsi, yang diusahakan bersama dengan Transparency International, media yang bebas sama pentingnya dengan kehakiman yang independen. Tingkat kebebasan media adalah tingkat yang dapat dicapainya untuk melaksanakan fungsi pengawasan masyarakat yang efektif atas perilaku kakitangan awam. Dikutip pandangan seorang editor Time Inc, Henry Grunwald bahawa "pemerintah yang terpilih secara demokratis dan patuh sekalipun dapat dengan mudah menjadi pemerintah yang korup bila kekuasaannya tidak diawasi oleh akhbar yang bebas".

Setelah sekian lama menyepi, tiba masanya KAMI kembali berperanan, sekurang-kurangnya untuk merayakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia tahun ini, walaupun saya sendiri kurang arif, ya ... apa yang mahu dirayakan sebenarnya?